Selasa, 27 September 2011

Tak Kenal Jangan Bercinta



Sejak beberapa hari yang lalu, saya berasakan bahawa saya bukan lagi seperti saya yang dahulu. Sebenarnya, ia bermula sejak beberapa minggu yang lepas, malah lebih awal sejak bulan Mei lagi. Namun perasaan dan kesedaran itu menjadi semakin kuat sejak belakangan ini.

Mungkin tak keterlaluan kalau dikatakan dahulu saya seorang yang hidup tanpa motivasi. Cukup menjalani rutin seharian seperti biasa. Pagi dengan tugasan pagi, petang dengan tugasan petang dan malam dengan tugasan malam, berlarutan.

Pun, semuanya mula berubah bila saya ditakdirkan bertugas sebagai fasilitator di sebuah kem di utara tanah air. Sejak itu, ada suatu daya positif yang mula menyegarkan hidup saya. Reviving me up, semacam itulah dayanya sehingga saya menjadi seperti tidak sabar-sabar menunggu hari esok dan esok dan esok, sehingga saya tidak dapat menunggu lagi untuk bertemu hari seterusnya yang masih misteri.

Daya itu sebenarnya datang dari seseorang yang ditakdirkan menjadi ahli kumpulan saya dalam kem tersebut. Untuk seketika, saya percaya ia bukan secara kebetulan berlaku kerana ada beberapa peristiwa sebelumnya yang sepatutnya telah menghalang saya menyertai kem tersebut dan menghalang saya daripada menjadi fasilitator bagi kumpulan itu, namun semuanya tidak berlaku.

Hari ini, saya semakin percaya ia sememangnya takdir. Saya ditakdirkan menghadiri kem tersebut walaupun pada asalnya saya sepatutnya sudah pulang ke rumah. Saya ditakdirkan menjadi fasilitator kumpulan itu walaupun pada awalnya saya membuat permohonan untuk bersama kumpulan lain yang lebih saya kenali anggotanya.

Alhamdulillah, takdir itu jugalah yang mula merubah saya. Dan hari ini, saya begitu bersyukur dipertemukan dengannya. Mungkin sukar untuk dihuraikan misteri takdir, tetapi pada waktu-waktu tertentu, kita boleh merasainya. Kita boleh percaya bahawa kita ditakdirkan untuk itu dan ini kerana kita sentiasa hidup dalam lingkungan takdir. Terpulang pada kita untuk mentafsirnya.

Apa pun, saya amat bersyukur dan menghargai takdir ini. Alhamdulillah.

0 comments: