Dahulu, saya juga menikmati kehidupan dengan cara saya sendiri. Biar pun tidak berteman, tetapi saya masih berasa puas dan gembira. Bila kelapangan, perkara yang paling pasti saya lakukan ialah marathon wayang di panggung. Ada waktunya, saya akan turun naik bas mengembara ke tempat-tempat yang saya belum pernah sampai. Kadang-kadang, saya hidupkan enjin motosikal kapcai saya untuk pergi ke mana-mana warung dan menikmati maggi bandung kesukaan saya berserta segelas sirap limau.
Ia berlangsung untuk satu tempoh yang agak lama, dan saya tidak pernah terasa asing meskipun bersendirian. Demi tugas dan kekangan masa, saya memilih menjalani hidup seperti itu supaya saya dapat tumpukan sebahagian lagi hidup saya pada perkara yang lebih penting iaitu perjuangan demi agama, nusa dan bangsa.
Pun, tentu bohonglah kalau saya tidak kepinginan atau tidak teringin langsung untuk menikmati kehidupan bersama seseorang. Untuk satu tempoh yang agak lama, saya pendam sahaja keinginan tersebut kerana saya tidak yakin serta takut pada kekurangan diri sendiri. Untuk tempoh tersebut juga, saya cuba mengenali diri sendiri, membina kekuatan dalaman di samping memujuk diri supaya membuka pintu hati ini. Saya juga berdoa dan terus berharap supaya dipertemukan dengan seseorang yang betul pada ketika umur yang kian bertambah.
Ditakdirkan Allah, saya diberi peluang menyertai sebuah kursus di Kem Biro Tatanegara Kaki Bukit, Perlis pada bulan Mei 2011 yang lalu. Walaupun pada awalnya keberatan, saya gagahkan juga diri untuk memikul tugas yang diamanahkan. Dan ditakdirkan Allah, di situlah, pintu hati saya diketuk oleh seseorang. Ia bermula dengan hanya satu pandangan. Saya melihatnya dan merasai getaran tersebut. Tetapi saya masih belum yakin untuk memulakan peranan saya sebagai lelaki. Walaupun sudah diketuk, hakikatnya saya masih cuba menyorok perasaan tersebut sambil terus memerhatikannya. Setiap kali melihatnya, hanya ada satu sahaja perasaan iaitu keinginan untuk mengenalinya lebih dekat, sedekat yang boleh. Lalu saya terus berdoa supaya dimudahkan oleh Allah.
Syukur Alhamdulillah, dengan sedikit usaha, saya berjaya mendapatkan nombor telefonnya selepas pulang dari kem tersebut. Dengan perasaan yang bercampur-baur, saya menghantar pesanan ringkas pertama. Ia berjawab, tetapi kelihatan dingin sekali. Lalu saya bisikkan kepada hati, mungkin dia sudah berpunya atau mungkin juga dia tidak ada apa-apa perasaan terhadap saya. Akhirnya, perasaan itu menjadi beku begitu sahaja. Saya kembali menjalani kehidupan yang lama tanpa sebarang keinginan lagi untuk mencuba. Dan, ada satu tindakan bodoh yang saya lakukan ketika itu iaitu mencipta nama baru untuknya!
Rupa-rupanya ketukan yang telah membuka pintu hati saya sewaktu di kem tersebut terus bergetar. Saya tidak dapat melupakannya langsung walaupun saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. Saya sering tergambarkan wajahnya yang redup dan manis itu. Saya sering terbayangkan kesantunannya dan kelembutannya bila berbicara. Akhirnya, saya nekad untuk mencuba lagi dengan harapan ia bersambut, atau saya akan terus pergi dan lupuskan ingatan terhadapnya.
Ditakdirkan Allah, tergerak hati saya untuk menukar nombor telefon dari Maxis ke Celcom. Ketika saya menghubungi rakan-rakan untuk memaklumkan nombor baru tersebut, saya cuba-cuba menghantar pesanan ringkas kepadanya. Sekali lagi, ia berjawab. Kali ini kelihatan ada kemesraan. Saya seolah-olah bunga yang sedang kering tiba-tiba dicurahkan air. Saya seolah-olah mendapat semangat baru. Saya seperti mendapat keberanian baru untuk terus menghantar pesanan ringkas kepadanya. Alhamdulillah, dia membalas semuanya dengan baik dan mesra. Lama kelamaan, ia menjadi sebahagian daripada hidup baru saya.
Hampir sepagian pada setiap hari dan semalaman pada sebelah malamnya kami akan berbalas mesej. Ia akan bermula dengan ucapan selamat pagi dan ditutup dengan selamat malam dan sweetdream. Ketika itu, saya berasa cukup seronok dan mula menyimpan harapan yang lebih tinggi. Saya benar-benar tidak menyangka yang dia akan melayan saya dengan begitu baik dan mesra. Saya masih ingat, antara kata-katanya, jika dia sibuk sekali pun dia tetap akan mencari ruang untuk membalas mesej saya. Ia amat mengharukan dan saya mula menghargainya dalam diam.
Ditakdirkan Allah, hubungan kami berjalan dengan baik sekali. Pada suatu malam, kami berbual tentang satu topik yang agak berat. Dia bertanya, kenapa saya sendirian dan saya menjawab, tidak ada yang sudi. Dia bukanlah seorang yang suka bergurau sebenarnya dan kata-kata saya itu seolah-olah tidak dapat diterimanya. Lalu saya mengusik. Saya katakan saya suka padanya dan ingin mengambilnya sebagai teman hidup. Itulah rasanya keberanian sebenar pertama saya sebagai lelaki. Tetapi dia terdiam untuk seketika sehingga saya berasa risau. Memang dia tidak suka bergurau. Walaupun kata-kata saya itu dalam nada usikan, tetapi dia benar-benar mengambilnya secara serius. Dia terkilan. Dia beranggapan saya cuma tangkap muat tanpa sebarang keikhlasan.
Bergetar sekali hati saya ketika itu. Sungguh, walaupun dalam nada usikan tetapi saya benar-benar memaksudkannya. Saya benar-benar ingin menjadikannya sebagai teman hidup sebagai permulaan kepada kehidupan sebenar saya kelak, kehidupan berumah tangga. Saya harus memulakannya, itu sahaja yang saya fikirkan. Saya tidak berniat untuk sekadar suka-suka, jauh sekali tangkap muat. Cuma tindakan saya itu mungkin tidak sesuai sehingga menimbulkan salah faham padanya. Lalu saya berusaha meyakinkannya. Sekali lagi, ia bukan suatu yang mudah. Dia seorang yang sangat berhati-hati, berfikiran jauh dan bukan mudah untuk diyakinkan.
Namun, saya percaya ia persoalan takdir. Saya berdoa dan terus berdoa. Saya memohon supaya Allah tunjukkan padanya cinta dan kasih sayang saya kepadanya. Saya sudah bersedia. Walaupun ia masih awal, tetapi saya tidak mahu main-main. Itulah yang saya katakan kepadanya. Akhirnya, perlahan-lahan dia mula menanam keyakinan terhadap saya. Tetapi ia hadir dengan pelbagai ujian yang disengajakan olehnya ke atas saya. Walaupun sukar, tetapi saya tetap berusaha untuk menawan hatinya.
Pada suatu hari, dia menawarkan sesuatu yang saya sendiri tidak pernah duga. Ia suatu pemberian. Saya menerimanya dalam payah selepas berulang kali dia meyakinkan saya supaya menerima pemberian tersebut. Alhamdulillah, pemberian itu cukup bermakna dan menyebabkan saya dan adik-adik gembira. Sejak itu, saya semakin menyayanginya.
Setelah beberapa lama, kami akhirnya dapat bertemu bertentangan mata buat pertama kali. Sungguh, ia amat menggetarkan hati saya. Saya hampir hilang kata-kata ketika bersamanya. Kami luangkan masa untuk makan bersama. Dia menemani saya pada malam itu tanpa banyak berbicara. Sebahagian besar masa kami hanya diisi dengan diam. Sesekali saya mencuri lihat wajahnya, wajah yang saya rindukan selama ini. Tenang, redup dan manis. Ketenangan itu akhirnya menyerap ke dalam hati saya dan saya tidak ragu-ragu lagi untuk terus melangkah dengan lebih yakin.
Sejak itu, saya mula melihat kehidupan ini dan diri saya sendiri dari suatu sudut yang jauh lebih bermakna. Setiap kali bersamanya, saya merasai ketenangan yang menjalar ke dalam diri. Ia tidak pernah berlaku selama ini. Hidup saya juga menjadi lebih bermotivasi dan bersemangat setelah mengenalinya secara lebih dekat. Kalau sebelum ini hanya telefon menjadi penyatu kami, kini saya mempunyai ruang untuk lebih mengenalinya secara langsung.
Pun, pada awalnya, saya masih tidak yakin pada diri sendiri. Saya sering bermunajat, memohon kekuatan itu. Suatu petang, saya qiam di masjid. Saya duduk dan cuba tenangkan diri sendiri sambil berfikir tentang masa depan saya. Dengan jalan baru yang dibentangkan ini, saya melihat diri saya sebagai lelaki yang lebih bertanggungjawab, bukan lagi lelaki yang hidup bersendirian dengan tugasan yang mengekang kehidupan sebenar saya. Antara Maghrib dan Isyak, ia menjadi senggang masa yang cukup berharga pada saya ketika itu. Saya renung diri sendiri. Saya cuba berfikir kenapa selepas saya berdoa sejak sekian lama, akhirnya hati saya terbuka untuk dia. Akhirnya, saya yakin, ini persoalan takdir yang harus saya terima. Lebih daripada itu, saya menerimanya dengan penuh rasa syukur dan bangga.
Kini, walaupun sesekali masih diuji, tetapi saya akan terus berusaha membaiki kelemahan diri saya dan cuba memberikan yang terbaik semampu boleh kepadanya.
Saya tidak akan menoleh lagi. Saya tidak akan mensia-siakan anugerah Allah ini, malah lebih daripada itu juga, saya tidak akan mensia-siakan kesudiannya menerima saya. Walaupun saya tahu dia masih belum yakin dengan saya, tetapi saya akan terus berusaha untuk membuktikan kesungguhan saya ini.
Dia pernah meminta saya supaya menghargainya, tetapi percayalah, kamu seperti nyawa saya. Dia pernah menduga saya, tetapi percayalah, kamu sememangnya berhak untuk menguji saya supaya kamu akan lebih yakin terhadap saya.
Dia terlalu bererti kepada saya. Bukan sekadar teman lagi, tetapi pelengkap hidup saya. Siapa dia? Hanya dia yang tahu. Terima kasih, terima kasih, terima kasih……..Alhamdulillah.

2 comments:
alhamdulillah..:)
seronok baca bila kaum adam meluahkan isi hatinya dengan ikhlas..
mudah2 an jodoh ant awk dan dia berpanjangan ke jinjang pelamin..:)
insya-Allah... :)
tq k
Catat Ulasan