Rabu, 28 Disember 2011

Fight For Your Love!

Ketika sedang menyiapkan slides untuk presentation dalam satu bengkel yang akan saya sertai tidak lama lagi, tiba-tiba fon saya bergetar. Dalam mod mute, getarannya itu sedikit mengejutkan saya. Pertama, fon saya jarang menerima pesanan, dan kedua, kalau ada pun, tentu dari dia. Namun sejak beberapa minggu yang lalu, ia sudah benar-benar jarang berlaku.

Pesanan yang saya terima itu datangnya dari seorang kenalan yang baru saya kenal kira-kira dua bulan yang lalu. Dalam tempoh itu, saya baru sekali berpeluang duduk bertemu muka dengannya. Pertemuan tak dirancang itu berlaku di sebuah kafe di Putrajaya pada minggu lepas. Walaupun tidak selalu  bersua muka, tetapi ukhuwah kami kekal terjalin melalui perhubungan sekali sekala menggunakan yahoo messenger ataupun SMS.

Konten pesanannya itu lain sekali. Dan seperti selalu, dia tagih nasihat dari saya. Nasihat yang melibatkan masalah hati dan perasaan. Memikirkan ini satu keperluan dari seorang kenalan, maka saya luangkan sedikit masa untuk bertanya lanjut. Jelas, ia menyangkut soal seseorang yang dicintainya, tetapi orang itu seakan-akan tidak menghargainya. Maksud di sini bukanlah orang itu tidak mempedulikannya, bahkan, mereka sebenarnya amat akrab. Apa yang menjadi masalah bagi kenalan ini ialah, orang berkenaan seperti tidak mengetahui betapa dia amat dicintai oleh kenalan saya itu.

Saya diam. Seketika, saya jadi kelam. Pandangan saya seolah-olah menghantar saya jauh ke satu sudut di mana di sudut itu, saya terperosok, buntu sendiri. Saya juga sedang pada sudut itu, sama seperti kenalan saya. Kami berada pada sudut yang sama, justeru hendak bagaimana saya nasihatkannya? Cepat-cepat saya sedar kemudiannya, bahawa untuk menasihatkan orang, harus tidak boleh kita mesti juga nasihatkan diri sendiri dahulu.

Lalu saya berterus-terang padanya, dengan ayat yang paling mudah untuk dia fahami, bahawa saya amat-amat-amat memahami situasinya itu. Dan saya beritahu, saya juga sedang merasainya, tetapi saya akan berikhtiar untuk memberikan kata-kata nasihat yang terbaik untuknya, dengan sedikit ruang dan masa. Dia bersetuju, dan persetujuan itu terkandung sebesar-besar harapan. Saya kasihan, tetapi adakah saya juga dikasihani?

Saya juga sedang kehilangan seseorang yang amat saya cintai. Dia sedang meraih bahagianya. Walaupun pernah dia beritahu betapa sayalah yang membuatkan dia bahagia, tetapi tidak lagi kini. Saya disuruh mendengar dan menghayati lagu Cinta Itu Ketawa Dan Air Mata dan juga lagu Pastikan supaya dapat memberikan konotasi pada cinta kami, tetapi, ia tak lebih sekadar satu plot yang dicipta supaya jadi konflik dan akhirnya, si wirawatinya dapat bersatu juga dengan si wira pujaan hatinya. Begitulah akhirnya watak saya dimatikan. Mudah, bukan?

Saya tidak menyesal walaupun diberikan peranan tempelan, atau sekadar pengacau. Saya suka melihat peranan itu sebagai satu jambatan yang teguh dan utuh. Jambatan itu dipijak dan digilis, tetapi ia sentiasa menyatukan. Saya mahu menyatukan mereka berdua, walaupun saya sendiri sakit dan terseksa.

Tetapi bolehkan saya nasihat kenalan saya itu begitu? Sudah tentu tidak. Dia masih mahu berusaha untuk cintanya. Mungkin kata-kata ini lebih bersemangat untuknya, fight for your love! Dan ketika itu, saya sendiri sudah pun mengalah. 

0 comments: