Rabu, 22 Februari 2012
Isnin, 6 Februari 2012
Mahu Jadi Power Rangers
Merah Susu dan Kuning
Ketika zaman kanak-kanak, Power Rangers merupakan satu-satunya sebab untuk saya dan rakan-rakan berteleku di hadapan televisyen. Dan saya memikul jerami padi sama beratnya dengan beg sekolah, hampir setiap hari sepanjang musim menuai.
Saya harus katakan ini: Oh, indahnya zaman itu! Tetapi Power Rangers telah menjadikan setiap waktu petang kami lebih advencer dan mengubah sedikit maksud indah zaman-zaman gemilang tersebut atau tepatnya, tahun 90-an, kepada suasana yang lebih radikal.
Ketika itu, memiliki peti televisyen masih merupakan satu kebanggaan bagi sesetengah warga kampung berbanding sebagai satu alat keperluan bagi warga di bandar. Disebut peti juga satu hal yang aneh, tetapi bagi kami, peti yang berpintu kayu dan berkaki empat itu mengandungi sebuah kotak dengan muka depan bercermin yang akan menghasilkan dua jenis output iaitu gambar berwarna dan suara yang disebut orang hari ini sebagai audiovisual apabila suisnya dihidupkan
Rumah saya ditakdirkan Tuhan memiliki satu peti itu. Dan lama sebelum kehadiran peti yang menceriakan itu, kami adik beradik hanya menatap sebuah lagi televisyen berlesen bersaiz 14 inci berkuasa bateri dengan visual tanpa warna. Tetapi apalah bezanya ketika itu antara biru, merah, hijau dan segala unsur plasma yang lain kerana bagi kami, jam 8 malam adalah waktu ideal untuk televisyen itu dinyawakan semata-mata untuk menonton siaran berita bersama ayah. Selepas itu, ia akan perlahan-lahan malap, atau ayah akan mematikannya terus.
Ketika Power Rangers mula-mula menyerang negara ini, ditakdirkan Tuhan, ayah baru membeli peti televisyen berpintu dan berkaki empat itu daripada seorang rakannya. Ia dibaik pulih hampir seminggu sebelum tiba ke rumah kami. Saya mula jatuh cinta akan Power Ranggers selepas menonton siaran iklan promosinya yang pertama menerusi peti audiovisual ini. Bandai! Itulah kata keramat yang masih melekat dalam ingatan saya. Saya fikir ia merupakan Raja Segala Rangers itu tetapi rupa-rupanya, ia hanyalah kompeni pengeluar barang mainan dari Jepun. Ia bukan Raja Segala Rangers, tetapi Tuhan mereka, tentu sekali.
Iklan pertama itu disiarkan lebih kurang jam 4 petang iaitu sejam awal mengikut jadual waktu bermain saya pada pukul 5 petang. Siaran itu sungguh mendebarkan. Saya tidak pernah melihat sekumpulan pemuda dan dua pemudi bertukar menjadi makhluk asing yang hebat dengan warna kegemaran saya iaitu Merah menjadi ketuanya. Wah, ini sesuatu yang luar biasa. Saya mesti beritahu sepupu dengan segera, Mat Pen! Itulah yang menyendati seluruh fikiran saya ketika itu. Dan jantung saya berdegup kencang. Ia umpama menyaksikan pengumuman penting daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Jepun sedang menyerang negara, dan saya harus bertukar menjadi seorang adiwira.
Saya segera berlari ke rumah sepupu saya itu. Mujurlah jaraknya tidak terlalu jauh. Saya hanya perlu melompat kawat pagar, meredah sedikit padang rumput dan melintasi laman rumah nenek kami sebelum bergegas memanjat tangga rumah Mat Pen. Segera itu juga saya bercerita kepadanya tentang serangan baharu dari negara matahari terbit itu ke atas Malaysia. Saya katakan, ini bukan main-main. Mereka siap boleh bertukar wajah dan terbang di langit malah mempunyai robot gergasi boleh ubah yang perkasa! Dan paling penting, Merah ialah ketuanya! Saya tekankan pada imej ketua itu dengan sungguh-sungguh kerana saya tahu Mat Pen selalu ingin jadi ketua. Malangnya, ia berwarna merah, warna kesukaan saya.
Alang kepalang girang saya apabila Mat Pen turut tertarik, lalu rencana diatur. Kami harus menyebarkan rencana cemas itu kepada rakan-rakan yang lain bagi membentuk perisai keterujaan bersama. Saya rasa berbunga-bunga. Saya pasti, sayalah orang pertama antara kami yang mendapat berita itu dan saya akan diberikan amanah menyebarkannya. Ia sesuatu yang membanggakan apabila menjadi orang pertama mengetahui sesuatu hal atau perkara dan ia pula dianggap penting. Kredit pujian pasti berlebih-lebihan diterima.
Petang itu juga berita mustahak tersebut tersebar ke seluruh kampung. Di sungai, di padang bola, bahkan hingga ke surau, hampir setiap warga kanak-kanak seusia dan sedikit lebih tua daripada saya mendapat tempias daripada berita yang saya sampaikan itu. Selama ini kami hanya kenal Suria Perkasa Baju Hitam dan Gaban sahaja, tetapi kini sudah tiba wira baharu. Keesokannya, saya pasti semua akan melekat di hadapan televisyen di rumah masing-masing untuk menonton siaran iklan Power Rangers itu sambil sabar menanti tayangan perdananya iaitu seminggu kemudiannya.
Oh, ia memang suatu minggu yang mencemaskan. Ke mana-mana sahaja kami pergi, masing-masing akan bercerita tentang Power Rangers. Masing-masing sudah mempunyai watak idaman. Seperti yang telah saya jangkakan, Mat Pen tetap mahu jadi ketua. Saya tidak punya pilihan lain. Sebagai anak buah yang setia dan patuh, saya redha menyerahkan kostum kesukaan saya itu kepadanya. Sebagai tanda hormat, Mat Pen memakaikan saya dengan kostum Biru selaku penolong manakala seorang lagi kawan kami, Lokman, bangga menjadi rakan kongsi nombor tiga berwarna Hijau.
Masalah baru mula timbul. Kami kekurangan anggota! Anggota ini bukan sebarangan kerana kekuatan batalion warga kampung yang sebaya dengan kami tidak pernah menjadi isu. Kami punya ramai tenaga yang bersedia untuk bergabung pada bila-bila masa sahaja. Kami boleh menghantar surat perlantikan kepada Azizul ‘O’, Wadi, Pijoe, Bolah dan ramai lagi. Masalahnya, mereka berkongsi satu jenis alat yang sama. Alat kelakian mereka itu tidak cocok untuk melayakkan mereka dipakaikan kostum Merah Susu (Oh, waktu itu kami tidak tahu pun ada warna pink) dan Kuning kerana kalau mengikut iklan yang kami tonton, dua orang pemudi telah bertukar menjadi anggota Power Rangers dengan warna-warna tersebut. Jadi kami harus mempunyai satu perancangan sulit, atau tepatnya, pakatan rahsia!
Lokman! Hanya dia yang mempunyai jawapan kepada permasalahan yang sedang kami tanggung itu. Saya berbincang dengan Mat Pen dan selaku penolong ketua, saya rasa bertanggungjawab untuk mencadangkan sesuatu. Tetapi selaku ketua pula, Mat Pen lebih pantas tampil dengan ideanya. Kita harus bermesyuarat dengan Lokman! Saya setuju. Kami ke rumahnya dengan segera. Mesyuarat untuk membincangkan pakatan rahsia itu terpaksa dilangsungkan secara senyap-senyap. Lokman kemudian mencadangkan kami ke sungai di hadapan surau. Kami tahu, cadangan itu sangat molek. Sambil bermesyuarat boleh juga mandi. Wah, ini sangat mengujakan. Kami segera ke sungai. Setengah jam pertama, kami hanya menyelam timbul menyelam timbul, kononnya mencari ilham. Akhirnya, Mat Pen memutuskan kami harus memanjat sebatang pokok Kayu Baharu yang dahannya merintangi sungai tempat kami mandi itu. Kata Mat Pen, kami boleh mengesan musuh jika duduk di atas pokok secara senyap-senyap. Saya senyum. Ketua kami seorang yang cerdas dan saya amat mengaguminya.
Mat Pen mula membuka topik. Mukadimahnya, dia membangkitkan rasa teruja kami kepada Power Rangers apabila menceritakan kehebatan Merah berdasarkan iklan yang kerap kami tonton itu. Kuasanya tiada tandingan, begitu juga Biru dan Hijau. Saya dan Lokman senyum lebar kerana Mat Pen memuji wira kami itu. Akhirnya, kami tiba pada titik perbincangan utama, iaitu menyelesaikan masalah kekurangan anggota kumpulan. Kami perlu segera mencari Merah Susu dan Kuning jika tidak mahu kalah menentang musuh, yang ketika itu terbayang di fikiran saya ialah Wadi dan Pijoe, dua orang adik beradik yang selalu membuli saya. Mentang-mentanglah saya ini kecil!
Lokman senyum sahaja sebelum ketawa. Itu tak jadi masalah, kata Lokman. Wah, ini sudah cukup bagus. Saya tahu apa yang ada dalam fikirannya ketika itu. Kuasa telepati saya bukanlah hebat sangat dan saya pun tak mampu membaca fikirannya, tetapi sekilas air di sungai, saya sudah tahu jenis ikan itu sama ada Seluang atau Tebang Sisik. Hanya dua jenis ikan itu sahaja yang selalu bermain di dalam sungai kami. Sama juga seperti Lokman. Saya sudah tahu idea bernas yang akan terbit dari mulutnya itu. Segera saya memetik jari dan memotong cakapnya. Asmah dan Fatimah! Lokman senyum. Mat Pen senyum. Kami lalu ketawa beramai-ramai. Masalah sudah berjaya diselesaikan. Merah, Biru, Hijau, Merah Susu dan Kuning, lengkap!
Labels:
kehidupan
Jumaat, 30 Disember 2011
Pesan Diri
Cinta tak perlukan falsafah. Itu pegangan saya. Saya percaya cinta itu ada untuk setiap manusia. Di puncak banjaran Tibet bahkan ada cinta. Di lereng dan tebing jalan di Lahore bahkan ada cinta.Pun juga, di dasar muara Kinabatangan, ada cinta.
Saya selalu percaya, cinta itu milik mereka yang punya jiwa besar. Dalam jiwa besar itu, dia punya iltizam yang tak pernah kenal erti penat mahupun lelah. Yang dia tahu ialah berusaha dan terus berusaha. Semacam bunyinya seperti falsafah, tetapi itulah hakikatnya. Cinta perlukan usaha kerana di puncaknya ialah kejayaan. Jadi tak namanya kejayaan kalau tiada usaha.
Persoalannya, cinta bagaimana yang harus atau perlu diusahakan? Cinta yang mendamaikan? Cinta yang menyegarkan? Atau cinta sekadar bila perlu?
Lakaran cinta yang tulen memerlukan mozek minda yang lebih kompleks untuk difahami dan dihadami sebelum dinikmati. Cinta tulen kalau pun tidak seagung Khadijah dan Muhammad SAW, cukuplah jika mampu meraih janji-janji bahagia dari Tuhan mereka yakni Allah SWT.
Pertama, cinta itu fitrah dan hak, benar bagi setiap makhluk terutamanya manusia yang dikurniakan dengan akal dan perasaan. Hakikat ini diratifikasi oleh firman Allah SWT yang bermaksud, "Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik." (Al-Qur`an: Al-Imron ayat 14).
Secara ringkas, dari firman-Nya ini, terdapat dua bahagian yang harus dirungkaikan oleh kita. “Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik”. Bahagian pertama, daripada potongan maksud ayat yang saya fokuskan ini ialah kesenangan hidup di dunia, yang seharusnya membawa atau membuka pintu kepada kebahagiaan sebenar iaitu kehidupan selepas alam dunia, yang dimaksudkan sebagai tempat kembali yang baik iaitu di sisi Allah SWT (bahagian kedua) dalam potongan ayat tersebut.
Tetapi sejauh mana kita, terutamanya saya sendiri, mengadaptasi segala ruang yang dikurniakan oleh Allat SWT untuk mendekatkan diri kepada-Nya? Dengan segala nikmat yang diberikan – wanita, anak-anak dan harta yang banyak – adakah kita meletakkan kurniaan-kurniaan ini pada tempat yang betul supaya pada akhirnya manfaat sebenar ialah redha Allah SWT, Empunya Agung Segala Yang Ada Di Langit dan Di Bumi?
Kita mungkin mudah mengungkapkan cinta, namun jarang sekali kita mampu memberikan makna pada ungkapan itu. Mengungkapkan makna pada cinta ternyata lebih sukar daripada mengungkapkan kalimah itu sendiri kerana ia memerlukan usaha yang sungguh-sungguh. Saya percaya, kerja memberikan makna pada cinta melampaui batas lisan atau kata-kata, melangkaui batas alphabet atau huruf-huruf dan nombor yang boleh digunakan untuk menulis kata-kata cinta itu, dan paling pasti, ia melewati segenap ruang konkrit yang ada di hadapan mata kita ini. Lalu bagaimana hendak bercinta kalau sedemikian hebat cabarannya?
Adakah kita sedar bahawa cinta yang paling tinggi dan hakiki ialah cinta kepada Allah SWT? Ramai yang mengakuinya tapi tak ramai yang menyedari dan menginsafi hakikat ini. Bahkan, lebih ramai pula yang berusaha untuk meraih cinta pada tingkat yang lebih rendah semata-mata untuk berasa bahagia. Apakah tidak disedari oleh mereka bahawa punca segala kebahagiaan ialah daripada cinta tingkat teratas itu?
Cinta agung ini sebenarnya lebih murah dan mudah untuk digapai, dirasai dan dinikmati sepuas-puasnya. Kamu tidak perlu mengikis duit poket untuk membeli seutas rantai emas atau cincin berlian. Kamu tidak perlu menyediakan peruntukan bulanan untuk membayar duit kereta semata-mata untuk menarik perhatian cinta ini.
Kalimah-kalimah cintanya bahkan sudah lama diajar. Tak perlu kamu bersusah-payah mencari ilham mengarang puisi atau madah indah. Sebutkan saja tiga kalimah suci Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar – Maha Suci Engkau Ya Allah, Segala Puji Hanya UntukMu Ya Allah dan Maha Besar Engkau Ya Allah. Tidurmu, jagamu pasti terisi dengan kebahagiaan hakiki. Yakinkan sahaja hatimu pada kalimah Laailahaillallah, bahawa Tiada Yang Berhak Disembah Melainkan Allah. Nah, cinta hakiki itu tidak akan bertangguh-tangguh lagi menyapa hidupmu.
Namun, sayang sekali, kita jarang benar mahu meraih cinta ini terlebih dahulu. Sebaliknya, kita lebih berusaha untuk mengenali cinta yang buta itu berbanding mengenali cinta yang bersifat penerang segala kebutaan dan kekaburan duniawi. Lalu ketika kita tewas dalam perjuangan mengejar cinta buta itu, segera itu juga hati kita jadi resah dan tertanya-tanya, kenapa aku ditinggalkan, apa kurangnya aku ini, mahu apa lagi kamu selepas segalanya aku berikan? Macam-macam menyerabuti fikiran dan perasaan kita. Ketika itu jugalah, tanpa kita sedar, syaitan akan mengaburi pandangan mata kita ini sehingga akhirnya kita tewas dalam permainan perasaan dan emosi.
Hal ini berbeza sekali jika kita berjaya menggapai kelazatan cinta hakiki. Cinta hakiki tidak bisa luntur pada setiap cabaran, tidak luput pada setiap masa dan tidak usang pada setiap musim. Cinta hakiki bahkan akan terus malar segar, menyemarakkan jiwa untuk terus mendekatinya. Cinta hakiki akan menyapa hati dan jiwa kita dengan kuasa iman menyebabkan kita terus terdorong untuk berkhalwat dengan Kekasih Agung ini pada setiap masa dan ketika. Malah, cinta hakiki akan sentiasa menggamit kita supaya bersegera mendapatkannya, menebarkan harum rindu pada setiap celik dan pejam mata kita ini dan akan terus menyuburkan kalbu kita dengan bisikan-bisikan ilham yang indah nian. Hanya hati kita yang akan merasainya.
Jika cinta yang buta itu hanya membazirkan masa usia dan wang ringgit kita, cinta hakiki pula akan senantiasa meremajakan diri kita dan menambahkan pendapatan akhirat kita. Cinta hakiki tidak mengajak kita ke panggung wayang untuk memesrainya, tidak mendorong kita membeli-belah untuk menawan hatinya. Cinta hakiki hanya akan menghantar kita ke tempat-tempat terbaik di muka bumi ini. Cinta hakiki akan sentiasa menggetarkan naluri kita supaya menghiburkan nafsu dengan memuji-muji kebesaran Allah SWT di setiap penjuru alam sehingga menyebabkan jiwa kita semakin kaya dan menjadi jutawan apabila dibangkitkan di hadapan-Nya kelak.
Insya-Allah, jika semua ini sudah mampu diraih, datanglah cinta-cinta lain yang bersifat sementara itu. Cinta manusia antara lelaki dan perempuan, sebagaimana yang pernah disebut oleh Imam As-Syafie, ialah salah satu daripada enam nikmat dunia yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Raihlah, railah dengan adab yang betul mengikut garis yang dianjurkan. Tidaklah salah mencari cinta sesama manusia tetapi biarlah cinta itu diletakkan pada tingkat yang betul supaya ia akhirnya mendidik kita untuk terus mencintai Allah SWT.
Saya pernah diajar tentang jiwa besar dalam kita menikmati cinta, bahawa belajar melepaskan ialah salah satu daripada kekuatan yang harus dimiliki. Justeru, dalam kita meletakkan cinta manusia yakni pada pasangan yang bukan muhrim, kita harus cuba melepaskannya. Jika benar dia milik kita, ia akan kembali dengan sendirinya nanti. Ini semua adalah kuasa Allah SWT kerana sebagai makhluk yang serba kekurangan, kita tidak tahu siapakah yang akan menjadi pasangan mutlak kita. Kita hanya disuruh mencari tetapi yang menentukannya ialah Allah SWT. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tetapi percayalah, cinta jenis ini tak ubah seperti merpati. Kamu tangkap dan kamu usap tetapi jika kamu lepaskan, ia akan pergi. Namun jika ia sudah mengenalimu dan hatinya sudah serasi denganmu, ia akan kembali. Dan ketika ia kembali itu, pinanglah ia segera mampu dan nikahinya segera mampu juga.
Justeru, ketika dia pergi, dekatkanlah hatimu pada cinta hakiki. Berdoalah sungguh-sungguh supaya kamu diperlihatkan dengan cinta manusia yang sebenar-benarnya untukmu. Berusaha, berdoa dan bertawakal, itulah rahsia kejayaan.
Labels:
Hakiki
Khamis, 29 Disember 2011
Epal Pun Ada Yang Masam
Saya tidak tahu apakah mood ketika ini. Sunyi, sepi, rindu, sedih. Saya cuma mahu segera sedar bahawa saya perlu melepaskannya. Tetapi kenapa saya perlu lepaskannya?..supaya dia bahagia.
Rabu, 28 Disember 2011
Fight For Your Love!
Ketika sedang menyiapkan slides untuk presentation dalam satu bengkel yang akan saya sertai tidak lama lagi, tiba-tiba fon saya bergetar. Dalam mod mute, getarannya itu sedikit mengejutkan saya. Pertama, fon saya jarang menerima pesanan, dan kedua, kalau ada pun, tentu dari dia. Namun sejak beberapa minggu yang lalu, ia sudah benar-benar jarang berlaku.
Pesanan yang saya terima itu datangnya dari seorang kenalan yang baru saya kenal kira-kira dua bulan yang lalu. Dalam tempoh itu, saya baru sekali berpeluang duduk bertemu muka dengannya. Pertemuan tak dirancang itu berlaku di sebuah kafe di Putrajaya pada minggu lepas. Walaupun tidak selalu bersua muka, tetapi ukhuwah kami kekal terjalin melalui perhubungan sekali sekala menggunakan yahoo messenger ataupun SMS.
Konten pesanannya itu lain sekali. Dan seperti selalu, dia tagih nasihat dari saya. Nasihat yang melibatkan masalah hati dan perasaan. Memikirkan ini satu keperluan dari seorang kenalan, maka saya luangkan sedikit masa untuk bertanya lanjut. Jelas, ia menyangkut soal seseorang yang dicintainya, tetapi orang itu seakan-akan tidak menghargainya. Maksud di sini bukanlah orang itu tidak mempedulikannya, bahkan, mereka sebenarnya amat akrab. Apa yang menjadi masalah bagi kenalan ini ialah, orang berkenaan seperti tidak mengetahui betapa dia amat dicintai oleh kenalan saya itu.
Saya diam. Seketika, saya jadi kelam. Pandangan saya seolah-olah menghantar saya jauh ke satu sudut di mana di sudut itu, saya terperosok, buntu sendiri. Saya juga sedang pada sudut itu, sama seperti kenalan saya. Kami berada pada sudut yang sama, justeru hendak bagaimana saya nasihatkannya? Cepat-cepat saya sedar kemudiannya, bahawa untuk menasihatkan orang, harus tidak boleh kita mesti juga nasihatkan diri sendiri dahulu.
Lalu saya berterus-terang padanya, dengan ayat yang paling mudah untuk dia fahami, bahawa saya amat-amat-amat memahami situasinya itu. Dan saya beritahu, saya juga sedang merasainya, tetapi saya akan berikhtiar untuk memberikan kata-kata nasihat yang terbaik untuknya, dengan sedikit ruang dan masa. Dia bersetuju, dan persetujuan itu terkandung sebesar-besar harapan. Saya kasihan, tetapi adakah saya juga dikasihani?
Saya juga sedang kehilangan seseorang yang amat saya cintai. Dia sedang meraih bahagianya. Walaupun pernah dia beritahu betapa sayalah yang membuatkan dia bahagia, tetapi tidak lagi kini. Saya disuruh mendengar dan menghayati lagu Cinta Itu Ketawa Dan Air Mata dan juga lagu Pastikan supaya dapat memberikan konotasi pada cinta kami, tetapi, ia tak lebih sekadar satu plot yang dicipta supaya jadi konflik dan akhirnya, si wirawatinya dapat bersatu juga dengan si wira pujaan hatinya. Begitulah akhirnya watak saya dimatikan. Mudah, bukan?
Saya tidak menyesal walaupun diberikan peranan tempelan, atau sekadar pengacau. Saya suka melihat peranan itu sebagai satu jambatan yang teguh dan utuh. Jambatan itu dipijak dan digilis, tetapi ia sentiasa menyatukan. Saya mahu menyatukan mereka berdua, walaupun saya sendiri sakit dan terseksa.
Tetapi bolehkan saya nasihat kenalan saya itu begitu? Sudah tentu tidak. Dia masih mahu berusaha untuk cintanya. Mungkin kata-kata ini lebih bersemangat untuknya, fight for your love! Dan ketika itu, saya sendiri sudah pun mengalah.
Isnin, 28 November 2011
9 Mei 2011
9 Mei 2011. 8 bilion manusia. Satu detik. Satu ruang kecil. Saya ditakdirkan bertemu dengannya. Walau 8 bilion kali sehari pun saya ditanya, itulah jawapannya. Jika ada perpisahan, biarlah diuruskan oleh takdir juga. Urusan takdir sangat sulit untuk difahami. Cukuplah mensyukurinya
Selasa, 22 November 2011
Ong Kim Swee
kami bersamamu
"They don't respect you, they don't respect our flag, they don't respect our King and they don't respect your parents. If you allow this to happen, then you are cowards. You must teach them what being Malaysian is all about."
ong kim swee
Labels:
bola
Langgan:
Catatan (Atom)





