Jumaat, 25 Disember 2009

dalang sejarah

E-VIEW berbunyi malas. Ada gersik-gersik bersepit mencelahi tona-tona bunyi Trough My Window paduan tenaga Bunkface. Sudahnya, jadi serabut serabai lagu hebat ini. Tersenyum. Betapa daif ciptaan manusia.

Entah giliran ke berapa sudah harinya hari ini saya di rumah. Menghabiskan baki cuti semester yang begitu sekejap sebenarnya, sambil menancap kembali makna anak kampung adalah sesuatu yang begitu istimewa . Di kampung ini, saya jadi begini dewasa. Di kampung ini, saya memahami manusia di luar sana sebenarnya lebih kalut. Ya, semuanya siur kalut.

5hb 12 2009. Oh, sudah hari lima bulan akhir untuk tahun ini. Hari dua puluh satu saya akan pulang ke kampus. Aduh, cepatnya [ aduh, malas sebetulnya ].

Ruang kecil bilik ini saya seluruhi. Kalaulah di sini juga ada lentum-lentam senapang dan pistol, atau gegak gegar bola-bola api bedilan meriam Turki yang tegar disambut meriam Benggali, atau mungkin juga membusur simpang-menyimpang anak-anak panah pahlawan Melaka mempertahankan jambatan penting Kota Metropolitan mereka ketika itu, pasti bilik ini sudah sembah bumi. Mungkin bersepai tak berpuing. Saya pejam. Ah, di sini aman. Membaca sejarah yang begitu sarat dan saya jadi penat memikirkan sejarah masa depan. Sejarah masa depan? Tentu ada.

Sejarah, manusia, kemanusian dan peperangan adalah seperti air, tanah, angin dan udara, semuanya saling berkisah dalam satu jagat yang sama. Saya tidak suka perang. Perang menyebabkan kemanusiaan jadi rendah serendah-rendahnya. Tetapi sejak beberap hari yang lalu, saya begitu intim dengan kisah-kisah peperangan yang pernah wujud dalam sejarah kemanusiaan, lalu kerana itulah, saya jadi takut dengan peperangan, dan lalu jadi benci sebenci-bencinya. Semoga tiada peperangan lagi dalam catatan sejarah masa depan.

Bapak Pramoedya pernah menukilkan ceritera manusia Indonesia menentang keparat Belanda. Bumi Manusia yang beliau nukilkan itu begitu terkesan oleh saya.

Allahyarham Tun Sri Lanang juga sudah berjaya memesongkan keyakinan saya selama ini bahawa peperangan pernah berlaku atas nama keagungan bangsa manusia, tetapi ia juga menyebabkan bangsa yang lainnya, sengsara. Kolonialisasi. Itulah namanya. Proses menjarah kemanusiaan.

-Tetapi Melaka dan angkatannya juga pernah menakluk? Pastinya ada yang sengsara juga.

Saya teringat mesej dari dia semalam.

Tentu. Tetapi itu bukankah untuk memakmurkan juga..

Saya belum khatam asbab Melaka menakluk. Sumber literal dalam teks-teks Sejarah Malaysia bukan primer. Saya tidak mahu berpegang pada teks seperti itu.

Kemanusiaan. Sejarah ada sisi yang gelap.

-Tentu. Sejarah dicatat oleh manusia, pastinya ia ditulis atas nama kemanusian. Tetapi jangan dilupa, ia juga boleh saja dimanipulasikan.

Setuju. Tapi tidak begitu seluruhnya.

-Sudah tentu. Ada sejarawan yang jujur. Mereka masih faham apa itu sejarah.

Tetapi yang sebaliknya, juga ramai.

Maut. Meski dihindar, tetap akan datang. Maut itu pasti. Maut mendatangi manusia dari segenap sudut dan sisi. Manusia bisa lari, tapi maut itu tentu. Manusia boleh menyorok waktu, tapi maut datang tak kira waktu. Dan perang pula menyegerakan waktu untuk maut.

Sejarah mencatatkan juga, bahawa manusia yang paling lantang menyeru keamanan kemanusiaan adalah manusia yang paling durjana menyeru perang, melakukan kerja-kerja perang, mencabut nyawa kemanusiaan yang lainnya. Lebih jijik, manusia-manusia itu jugalah yang mengaut senang daripada perang.

Baca Dami N. Toda, Kesibukan Hamba-hamba Kebudayaan.

Baca Keberanian Untuk Takut.

Baca 1515.

43 pengarang Jerman Timur dan Barat pernah berkumpul atas nama Pertemuan Berlin Untuk Membina Perdamaian ketika dunia begitu di ambang perang oleh kerakusan Reagan, Brezhnev, Gromyko, Haig dan sekutu-sekutu keparat mereka, yang angkuh sial, yang mengsyaitankan semboyan perang dan bala tenteranya demi kekayaan.

Brezhnev membanting sepatu butnya di Afghanistan, plesir ke Polandia, main mata di Amerika Tengah, mengirim senjata ke Vietnam, Afrika dan Timur Tengah. Reagan juga turut serta. Menikmati wang darah daripada penjualan senjata ke Timur Tengah dan El Salvador. Dan mereka berdualah juga manusia paling dalang getol bercakap tentang keamanan dan perdamaian!

Atas nama Gospel, manusia Barat dari Portugal menjarahi Timur, rakus. Alfonso memugar Ormuz dan ke Goa, kemudian datang ke Nusantara memijak-mijak bumi agung Melaka. Turki dan Uthmaniyah jadi kalut tapi Raja Manuel di istananya, riang tak terkata menyembahkan syukur kepada Jesus kononnya syiar Kristianiti sudah menemui pintunya di Timur, meluaskan wilayah hegemoni Eropah Baru. Islam hampir tersungkur terus.

-Sultan Mahmud adalah penyebab kejatuhan Melaka.Dan anaknya, Sultan Ahmad.

Baca 1515. Mereka sudah dihukum.

-Tapi adilkah hukuman itu? Melaka jatuh. Islam tersungkur. Turki langsung hilang taringnya di Nusantara. Melaka adalah pusat Uthmaniyah agung di Nusa Tenggara. Jatuhnya Kota Melayu Raya ini adalah titik penting kejatuhan Uthmaniyah, secara tidak langsung. Melaka dironyak rakus, dibakar hangus, ditusuk tembus segala maruahnya, akibat kealpaan baginda berdua. Adilkah Melaka dihukum begitu?

Sultan adalah payung. Sultan adalah kepala kepada badannya iaitu rakyat dan isi negeri. Kalau isi negeri dirabak-rabakkan, hingga berbekas luka besar-besar, bolehkah kepala itu terus menahan sakit sendirian? Sudahnya pasti kepala tertunduk mengaduh pilu, akhirnya terkulai. Tetapi baginda Sultan Mahmud tidak lekas tunduk, tidak cepat terkulai, tidak segera mengundur langkah.

-Penentangan baginda tidak disertakan kesungguhan dan keinsafan. Baginda terlalu lambat.

Sejarah.

Banyak betul yang disimpangkan. Catatan sejarah dalam buku teks KBSM ternyata tempang di sana sini. Saya tidak mahu mengangkat 1515 sebagai sebuah teks sejarah. Ia tentu cuma novel. Tetapi membacanya membuatkan saya lebih realistik, berfikir pada darjah yang sepatutnya. Membaca sejarah tanah air tidak boleh dengan hanya mengadap teks formal. Keformalitian itulah sebenarnya yang menyebabkan banyak graduan sejarah jadi lesu. Tak terhitung graduan sarjana dan sarjana muda negara yang menelaah sejarah, tetapi yang lesu sudahnya masih banyak. Mereka tak dapat berfikir dengan jelas kenapa; jauh sekali untuk menjawab jika ditanya, apakah sebenarnya yang berlaku; atau, apakah disebaliknya yang menyebabkan keadaan itu atau ini, berlaku.

Saya pernah diberitahu bahawa Melaka alah kerana bentengnya lemah, dan rencana Almarhum Sultan Melaka sendiri terlalu goyah. Tetapi setakat itu sahajalah. Kenapa benteng Melaka lemah? Kenapa rencana baginda goyah? Kenapa Portugis begitu gagah, pongah datang menjerkah baginda seisi negeri?

Saya diberitahu juga betapa Alfonso celaka itu datang cuma dengan angkatan laut yang begitu kecil. Sedang kapalnya sendiri sedang mereput saat tiba di gigi laut Selat Melaka. Tetapi kenapa wizurai tua itu masih bermotivasi tinggi, begitu lapar melapah emporium Melayu Islam yang begitu jauh dari negeri asalnya, Portugal?

Saya anti sejarah?

Tidak. Saya cuma tidak menyenangi kaedah yang digunapakai. Sejarah harus diceritakan. Mengajar sejarah itu bagus, tetapi sejarah yang diceritakan sebenarnya lebih realistik.

Sejarah masa depan tentang perang. Saya tahu ia sebenarnya sudah dan sedang berlaku. Barry sang hitam presiden bukannya manusia pencinta aman, bahkan lebih getul dari Bush anak beranak. Dia terima Nobel penuh kontroversi. Dia kunjungi Abbas sambil menyelinapkan jutaan dollar ke poket Netanyahu, bisikkan betapa Amerikan simpati Palestina, tanpa mahu pula menyekat penghantaran peluru-peluru hidup kepada Mofaz dan angkatan perangnya. Israel. Zionis. Amerika. Semua itu ialah sejarah masa depan tentang peperangan.

E-VIEW berhenti bergersik-gersak. Playlist menukar tona bunyi ke irama balada. Saya berkisar badan, mendakap bantal kecil pemberian seseorang. Bantal ini kecintaan. Bantal ini mengingatkan saya kepadanya, yang begitu jauh. Yang dekat cuma kecintaan ini sahaja.

Rindu..rindu..rindu..kalbu

Memanggi-manggil namamu

Seperti terbang di langitmu

Tenggelam di lautan cintamu…

Sejarah. Saya mencari ertinya. Seseorang pernah berkata, belajar sejarah bermakna kamu bergerak ke hadapan dengan menoleh belakang. Dan seseorang yang lainnya pula berkata, bangsa yang tidak belajar sejarah adalah bangsa yang akan mengulangi kesilapannya yang lalu.

Adakah Barry Hitam itu belajar sejarah, seperti halnya Sultan Mahmud dan anaknya Sultan Ahmad? Adakah mereka semua belajar sejarah? Genghiz Khan memperkosa kota ilmu Bahgdad. Adakah Sultan Mahmud tahu tentang itu? Barry saat kempennya juga menawarkan keamanan kepada dunia, tetapi tindakannya menghantar lebih 30,000 soldadu kufar jahanam ke bumi Afghanistan, adakah itu langkah manusia yang belajar daripada sejarah?

Saya buka 1515, terus ke muka 96. Ada sesuatu di sana.

Hari seterusnya setelah pertempuran hebat antara Portugis dan penduduk Melaka, Feringgi berundur dari jambatan yang sempat mereka kuasai sebentar. Pengunduran itu membolehkan pengikut baginda sultan membaiki kubu. Mereka meletakkan lebih banyak meriam, malah menyediakan benteng di sepanjang jambatan dan jalan raya. Orang Melaka juga berkerja sepanjang malam meletakkan meriam di bahagian sebelah masjid dan jeti. Kali ini mereka mencacak besi berduri yang direndam racun semalaman di sepanjang pantai dan tebing sungai.

Dalam pada itu, Albuquerque tidak duduk diam; bermain politik dengan menghubungi ketua-ketua saudagar dan masyarakat asing di Melaka menerusi bantuan Nina Chattu. Dia memberi amaran kepada mereka supaya tidak membantu negeri Melaka, sebaliknya berpaling tadah kepada Portugis kerana sangat yakin Melaka akan menerima nasib yang sama dengan Ormuz dan Goa. Kerana itu, Utimutiraja, pemuka orang-orang Jawa menghubungi Wizurai Portugis tersebut, menawarkan hadiah kayu wangi dan berjanji untuk tidak membantu pasukan tentera Melaka.

Pagi ini dingin sungguh. Terasa malas sekali untuk bangun dan mengintai langit luar. Kalaulah saya di zaman Melaka Raya ketika ini, apakah yang sedang saya lakukan? Pada usia begini, mungkin saya sedang bersama pemuda-pemuda kampung memugar hutan meluaskan sempadan. Mungkin juga saya sedang menarik sauh yang dilabuh semalaman, menyimpul perca pukat-pukat ikan dan memunggah ke atas juak untuk ditarik ke tengah laut. Mungkin juga saya sedang bersedia untuk menebar jala ke muara sungai. Mungkin, dengan perahu kolek milik ayah atau atuk, saya sedang menyeberang arus Sungai Melaka bersama hasil tanaman untuk ditukarkan di pasar Melaka di pelabuhan dengan beras, garam dan sedikit bauan dari Tanah Arab. Atau bahkan, mungkin juga saya sedang bersama laksamana-laksamana Melaka menggugah lautan samudera ke timur alam bersama misi diplomatik yang penting-penting!

Utimatiraja.

Saya pernah baca tentang lelaki ini dalam beberapa sumber di perpustakaan, namun versi 1515 ternyata amat lain. Seperti kata Maude, Utimatiraja kelihatannya sedang mengkhianati Melaka saat ia sedang diserang hebat oleh Benggali Putih. Saya pasti, ramai lagi yang beranggapan demikian seandainya mereka terus dipasak oleh penulisan –penulisan para orientalis, apatah lagi jika hanya bersandarkan sumber daripada Suma Orientals semata.

Utimatiraja tidak khianat. Baca 1515.

Utimatiraja tidak pernah mahu khianat, bahkan dia dan keluarganya begitu berjasa terhadap baginda Sultan Melaka. Bahagian inilah yang sering digelapkan oleh sejarawan Eropah kala menulis tentang kekalahan Melaka dalam perang terhadap Portugal pada 1511. Bahagian inilah juga yang gagal diselongkari oleh sejawaran kita dengan baik, bahkan hingga ke hari ini.

Yang khianat ialah Nina Chattu. Sejarah mencatatkan bahawa ini benar, bahawa bangsa Keling yang bukan asal Melaka itulah yang khianat, celaka. Utimatiraja darahnya asli Melayu jurai Jawa. Melayu zaman Melaka tiada ingin khianat dengan bangsanya sendiri. Tapi Keling yang keparat itu bingai, bejal akalnya, tamak nafsunya begitu rakus mahu menjahanamkan sebuah emporium Melayu yang agung kerana hasadnya yang tiada tara. Goa sudah sembah Portugal. Ormuz tersungkur. Bangsa China yang lain sudah angkat sauh pulang atau lari ke Siam, mengirim domba dari Albuquerqe bahawa Siam juga mesti bantu Portugis. Melaka mesti tunduk juga seperti Goa dan Ormuz.

-Jadi, sejarah yang dicatatkan itu benarlah?

Benar. Tetapi ia digelapkan. Tidak banyak sisi ini didedahkan. Ia dimanipulasikan.

-Mungkin ada sebabnya.

Apa? Apa sebabnya? Untuk jamin kesejahteraan negara ini? Untuk sedapkan hati bangsa Cina dan India bahawa mereka juga penting dalam pembentukan sejarah negara?

Saya berkisar lagi. Empuk tikar mengkuang ini memang tidak sama dengan tilam di kampus. Susah untuk saya cari sudut yang selesa. Ah, Tuah, Jebat yang gagah perkasa pun pernah tidur beralaskan mengkuang juga, berbantalkan sabut kelapa pula!

Cina tidak datang ke sini kalau di tempat mereka rezekinya melimpah ruah. Cina tidak datang ke sini kalau di negeri mereka, kerajaan yang memerintah diperkenan oleh mandat dari langit. Sejarah mencatatkan betapa ketika itu, negeri China sedang gundah. Tanah runtuh. Banjir. Kemarau. Peperangan. Ya, peperangan yang tak pernah lelah. Bangsa Cina adalah bangsa yang paling banyak berperang. Angkatan mereka hebat-hebat. Muslihat juga sungguh licik. Sun Tzu bahkan menulis tentang ilmu menipu dalam seni perangnya. Menipu dalam perang itu harus, katanya. Tontoni Red Cliff 1 dan 2. Lantaran itulah bangsa cina berduyun-duyun meredah Laut China Selatan hingga ke rantau sini kerana mahu mencari sesuap nasi sambil menyelamatkan diri dan keluarga. Mereka bukan penduduk asal tanah ini.

Bangsa India bahkan. Melayu juga. Yang asal hanya juak-juak asal yang menghuni hutan belantara dan pantai-pantai di tanah ini. Tetapi kerana rantau ini digelar Nusantara, dan Melayu itu ada di seluruh pelosoknya, maka bertuanlah Melayu di sini. Itu tidak salah. Itu fakta, kerana orang asal itu sudah diiktiraf sebagai sebahagian rumpun besar Melayu, berkongsi empunya tanah ini. Prosesnya semulajadi. Malangnya, ada pihak hari ini yang mahu mempertikaikan semua ini. Apa pokok isunya?

Saya bangun. Kaki terasa kebas. Kebas ini tidak jadi sendiri. Suatu ketika, baginda Sultan Mahmud pernah kebas kaki dan tangannya kerana terlalu lama memangku tubuh-tubuh montel dayang-dayang istana. Tubuh-tubuh itu kemudian digomoli semahu mungkin. Generasi Melaka yang lahir akibat kedurjanaan itu bukan sedikit. Tun Fatimah tidak terdaya untuk menegah. Tak mengapa kerana ketika itu Melaka sedang kemewahan. Lantaran itu baginda mahu bersuka-ria. Sultan Ahmad bahkan lebih suka ria menikmati kemakmuran itu. Seluruh isi negeri turut serta.

Silap Melaka hingga alah barangkali kerana semua itu. Kerana baginda dan isi negeri sedang alpa. Musuh pasti telah lama hidu kelekaan orang Melaka. Kerana itu mereka datang melanggar ketika semuanya seperti tidak bersedia. Malangnya, sejarah yang ditulis tidak menggambarkan hakikat sebenar. Yang tertera dalam buku-buku sejarah ialah, Melaka diserang begitu hebat, dan alahnya pula kerana beberapa faktor yang terpecah kepada faktor dalaman dan luaran. Sungguh cantik ia dihias-hidang buat anak-anak hari ini.

Kalaulah, ya, kalaulah, sejarah sebenar ditulis, mahukah ia diterima?

Bahawa Melaka alah kerana pemerintahnya alpa.

Bahawa Melaka alah kerana alim ulamaknya alpa.

Bahawa Melaka alah kerana segelintir pahlawannya alpa.

Bahawa semua itu alpa kerana Melaka terlalu bermewah-mewah, agama tidak dijaga, politik dilacurkan.

-Jadi, Melaka harus ditelanjangkan dalam catatan sejarah, dengan mencatatkan segalanya?

Tentu. Anak-anak di sekolah zaman ini mesti diberitahu tentang kesengsaraan yang ditanggung oleh anak-anak Melaka saat perang, zaman ia alah.

-Siapa yang mahu menulis? Kau?

Mesej pesanan ringkas itu adalah yang terakhir dari dia, kerana selepas itu, saya tidak membalasnya lagi. Saya tidak mampu menjawab pertanyaan tersebut. Malam yang panjang sekali saya rasakan semalam, hingga akhirnya saya tertidur, kemudian bangun pagi ini dengan kepala yang sarat memikirkan tentang sejarah yang telah dipesongkan. Saya tidak mampu menjawab kerana saya tidak tahu siapa yang harus membetulkan arah pesongan tersebut. Saya bangun. Kebas di kaki sudah mengendur. Saya harus mandi segera dan segera pula ke dapur. Perut sedang berperang dengan dahsyat sekali.

Sejarah.

Masa depan pasti ada sejarahnya. Adakah saya masih berupaya menelaah catatan sejarah tentang masa depan, hatta esok? Sesungguhnya, saya pasti bahawa tidak ada sesiapa yang boleh menjanjikan perkara tersebut, kerana maut itu tentu. Harapan saya masih, semoga tidak ada lagi peperangan dalam catatan sejarah masa depan.

2 comments:

YanaYeir berkata...

wooo...makin 'berisi' la blog kali ni...

hana berkata...

anda mmbaca 1515 karya faisal tehrani??