Rabu, 10 Mac 2010

Satira Cinta : Misteri Setan Celaka

Jam sudah lewat 3. Di pagi begini, mata cuma menuntut kantuk. Cemburu sekali melihat kebugaran ini bertahan. Tapi kantuk tak mahu juga datang. Saya jadi rimas. Apa lagi hendak saya lakukan waktu-waktu begini. Papan kekunci ini pun barangkali sudah lebam-lebam dihenyak jari-jemari yang berjumlah kurang sembilan saya ini. Memerah idea satu kerja yang saya benci. Keterpaksaan begini hanya menyebabkan idea lebih takut untuk datang. Saya pentingkan kualiti dalam setiap penulisan yang saya kerjakan. Tetapi tarikh akhir itu cuma tinggal lusa dan esok, sedang saya masih suku perjalanan. Masih jauh.

Satira Cinta, novel seram tragis ini benar-benar menyesakkan nafas saya. Kenapa kau mati dulu Arman? Kalau bukan Arman yang memulakannya pasti saya tak perlu berusaha segigih ini. Projek saya bahkan terbantut. Kalau tak kerana Anees, isterinya yang setia itu, pasti saya tak akan menerima desakan untuk habiskan sekuel novel berhantu Arman ini. Sekarang, kau datanglah Arman walaupun sebagai hantu. Aku butuhkan kamu, Arman. Anees, kasihan dia.

Anees, Anees kau cantik, kau ayu, kau jelitawan abad ini. Astaghfirullah….fokus Fauzan fokus. Saya penulis cerita kanak-kanak. Orientasi saya sebenarnya pada kedewasaan kanak-kanak. Cerita-cerita yang saya karang selama ini hanyalah tentang kanak-kanak. Namun, untuk dibandingkan hasil kerja saya dengan Arman, novelis muda itu sebelum dia mati lemas, saya sebenarnya lebih gemilang. Syarikat Anees Publications itu hidup mewah pun barangkali, kalau tak keterlaluan untuk dikatakanlah, adalah kerana larisnya tulisan-tulisan saya.

Anees kenal Arman melalui saya. Arman, teman sekuliah saya dahulu punya minat yang sama dengan saya. Semuanya bermula pada satu hari bila Arman temani saya untuk serahkan transkrip cerita Kancil, Pelanduk dan Matahari kira-kira dua tahun dahulu. Awalnya, saya suma emelkan sinopsisnya saja ke beberapa syarikat penerbitan. Mungkin kerana masih bertaraf amatur maka karya saya itu seolahnya tidak dilayan hinggalah saya mendapat emel balas daripada Anees Publications pada satu petang.

Kunjungan kami esoknya ke syarikat tersebut disambut baik. Lebih istimewa, tentunya Arman. Pertemuan itu bukan sahaja membahagiakan hidup saya tetapi juga Arman. Walaupun sudah terbit rasa cemburu di hati tapi saya lebih gembira kerana Anees suka dengan karya saya itu, sekurang-kurangnya. Arman dapat Anees tapi Anees dapat karya saya. Itu lebih penting.

Tidak lama selepas itu hubungan Anees dan Arman bertambah intim, malah mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga. Sebagai teman, saya tumpang gembira dan cemburu sekali gus. Rezeki Arman ternyata bagus sekali. Anees terlalu menyayangi Arman saya kira. Buktinya, beberapa buah karya tulisan Arman telah diterbitkan walaupun semuanya gagal di pasaran.

Tetapi Satira Cinta itu telah merobah segalanya. Saya tidak pasti bagaimana Arman mendapat ilham menulis cerita tersebut. Apa yang saya tahu, Arman memulakan projek itu sebaik sahaja mereka pulang dari melancong dari Bali, Indonesia. Semuanya menjadi luar biasa, cerita Anees kepada saya suatu ketika dahulu.

Luar biasanya Arman kerana dia mampu menghabiskan cerita tersebut dalam tempoh yang cukup sekejap. Arman menulis bukan biasa-biasa juga. Kata Anees, suaminya itu seolah-olah pertapa aneh yang tinggal di dimensi lain. Setiap malam selama seminggu Arman mengurung dirinya di dalam kamar sedang Anees disuruh tidur di bilik lain. Esok paginya Arman akan tidur selepas Subuh dan bangun pada waktu tengah hari. Lebih aneh, dalam seminggu itu juga Arman langsung tak jamah apa-apa makanan.

Genap seminggu, Arman mengunjukkan naskah Satira Cinta itu kepada Anees. Saat Anees menyentuh naskah itu barulah Arman seolah-olah tersentak, tersedar dari lamunannya yang penuh misteri. Selepas itu, kata Anees, Arman kembali normal dan boleh berbasa basi sebagai seorang suami yang sihat. Lega hati Anees tak terkata. Namun sebagai orang sastera, Anees sebetulnya memahami bila suaminya ingin berkarya. Sebab itulah dalam seminggu yang aneh itu Anees hanya berdiam diri saja.

Suatu pagi, ketika naskah Satira Cinta masih diperingkat pembacaan kali ketiga, Arman meminta izin dari Anees untuk pergi ke sebuah kawasan air terjun tidak jauh dari bandar. Anees tak keberatan untuk melepaskan suaminya kerana semuanya kelihatan begitu normal. Namun itulah juga kali terakhir mereka berbicara. Arman didapati hilang di kawasan tersebut. Lima hari kemudian barulah Arman ditemui, tetapi sebagai bukan Arman yang bernyawa lagi.

Sejak kejadian itu, Satira Cinta juga seolah terperam dan merajuk. Anees mengambil tempoh yang agak lama untuk pulih daripada kejutan akibat kematian suaminya itu. Hinggalah, kira-kira tujuh bulan kemudian, selepas segalanya kelihatan kembali biiasa, Anees membuka kembali naskah Satira Cinta. Anees ambil masa tiga hari untuk menghabiskan bacaannya sebelum nekad menerbitkan novel tersebut. Tanpa disangka-sangka, ia diterima dengan begitu baik sekali hingga berulang kali dicetak. Novel itu menjadi novel berhantu bahkan dianggap sebagai karya pemecah tradisi. Kredit daripada beberapa orang penulis tersohor bahkan menambahkan lagi nilai novel Arman itu.

Namun, Arman meninggalkan celaka yang cukup besar pada novel itu. Bab terakhir daripada Satira Cinta telah menyebabkan ramai sekali hilang waras. Arman seolah-olah memasukkan ruh asing dalam bab ini yang disebutnya Petualang, hingga ramai sekali pembaca yang mengambil nyawa mereka sendiri kerana dihimpit rasa bersalah atas kecurangan masing-masing. Ternyata, pembaca menghayati tulisan Arman. Saya benar-benar cemburu dengan kejayaan semerta itu.

Celaka lebih besar yang Arman tinggalkan tentunya kepada saya dan Anees. Tindakan Anees menerbitkan novel itu sebenarnya adalah kesilapan terbesar yang pernah dilakukan oleh syarikatnya. Satira Cinta, akibat kejadian demi kejadian yang diluar jangkaan tersebut dan setelah sekian banyak nyawa melayang begitu saja, telah ditarik balik daripada pasaran. Lebih dahsyat, sasterawan ternama yang turut memberikan ulasannya dalam cetakan kelima telah ditarik balik anugerah tersebut kerana didakwa tidak cermat menilai sebuah karya yang dianggap boleh meracuni akal waras khalayak.

Fenomena Satira Cinta terlalu besar. Ia bahkan dibincangkan hingga ke peringkat Kabinet. Cetakan terakhir yakni cetakan kelima novel tersebut telah mengundang semua insiden bunuh diri dalam kalangan pembacanya. Akibatnya, Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah mengarahkan semua buku tersebut dirampas daripada individu yang memiliki atau menyimpannya. Tindakan tersebut ternyata telah memberikan implikasi yang cukup besar terhadap Anees Publications.

Suatu hari, seorang penulis bertaraf ulamak dari Indonesia telah didatangkan khas ke negara ini bagi menilai novel tersebut. Di sinilah celaka sebenar menimpa saya. Menurut kiai tersebut, ada lompang yang disengajakan tinggal oleh Arman pada novel Satira Cinta. Akibat lompang itulah, ruh jahat petualang bernama Saleh dalam bab akhir tersebut hidup kembali. Kiai itu turut memberitahu bahawa Arman tidak menulis novel tersebut sebaliknya Salehlah yang sebenar-benarnya menulis Satira Cinta. Juga kerana itulah Arman berkurung di dalam bilik selama seminggu tanpa ditemani siapa-siapa termasuk Anees, isterinya sendiri. Ia bagi mengelakkan Saleh daripada diganggu sewaktu hendak menulis novel tersebut.

Lompang itulah celaka sebenar buat saya. Kata kiai itu, novel Satira Cinta ada sambungannya. Saleh masih mempunyai sesuatu yang belum dilunaskan. Dalam Satira Cinta, Saleh digambarkan sebagai petualang cinta kepada Mazni sehingga seluruh khayalak percaya Mazni adalah mangsanya. Namun, lompang yang mesti ditutup itu sebenarnya adalah penjelasan tentang sebab kenapa Saleh sanggup menjadi petualang. Ia mesti dihabiskan. Seseorang mesti sanggup menghabiskan Satira Cinta 2.

Kata kiai itu lagi, jika Satira Cinta tidak dihabiskan, Saleh akan terus merasuk lebih ramai lelaki yang pernah menjadi petualang dalam percintaan mereka untuk membunuh diri. Juga kerana itulah, Arman mati. Tetapi Arman bukan petualang. Sebaliknya, kata kiai, Arman enggan menghabiskan sambungan Satira Cinta lantas menyebabkan Saleh menjadi marah. Dendamnya kepada Arman tak hanya terlunas apabila Arman mati, yang sebenarnya bunuh diri, tetapi lebih dahsyat daripada itu. Saleh mencari sesiapa saja lelaki yang pernah menjadi petualang sebelum merasuk mereka membunuh diri.

Kerana itulah, sekarang ini saya masih mengadap komputer ini. Saya ditugaskan oleh kiai dan Anees untuk menghabiskan Satira Cinta 2 dalam tempoh seminggu atau selekas yang boleh. Namun, sejak memulakan ceritanya, saya tidak rasa apa-apa. Tidak ada pun bisikan aneh atau sapaan seram daripada siapa-siapa. Kerana itulah, saya tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan idea untuk menulis sekuel novel ini. Bukan saja Saleh, Arman sendiri pun tak pernah datang jumpa saya. Tetapi demi Anees, saya akan cuba bertahan. Semoga Saleh segera datang dan menghabiskan ceritanya itu. Jika dia datang, saya akan senang hati meminjamkan komputer ini kepadanya dan saya pula bolehlah tidur.

Arman, Saleh..mana kalian. Datanglah, habiskan Satira Cinta ini wahai setan-setan celaka.

0 comments: