Khamis, 28 Oktober 2010

Angin Gunung Kampung Kememeh [Part 1]



Petang itu sedang aku duduk-duduk di pangkin kayu di pangkal humi sebatang pohon ciku besar menghadap sawah yang terbentang sayup-sayup, tiba-tiba aku disapa oleh seorang pak cik tua. Dia kelihatan agak uzur pada pandangan anak muda kota sepertiku. Dibahunya terselempang kain pelikat usuh. Lantaran tidak memakai baju, maka terjengollah juga selangkanya yang kelihatan cekung sekali dengan perut yang berlipat-lipat. Kalau di kota, pada usia begini selalu orang-orang tuanya gendut-gendut tetapi pak cik tua itu tidak. Dia nampak kurus benar dan kulit tubuhnya jelas dengan kesan dibaham matahari, kelam dan kusam.

“Assalamualaikum, anak muda..” sapanya sambil tersenyum. Beberapa batang gigi menghiasai  senyumannya itu. Aku kira mungkin ia senyuman paling indah yang bisa dihadiahkan untukku dalam pertemuan pertama kali kami itu. Giginya kalau boleh kugambarkan di sini, barangkali setanding dengan gigi orang gasar yang tak pernah disentuh berus atau dicalit ubat berpudina. Kuning. Berkarat. Anda mungkin fikir aku jijik ketika itu. Tapi percayalah, wajahnya terlalu bersih untuk aku lukiskan di sini dan wajah itulah yang menyegerakan aku untuk memesrainya kembali.

Aku jawab salamnya dengan penuh rasa hormat. Aku jabat tangannya. Namun, yang terasakan cumalah jemari-jemari yang keras bertulang. Hampir tidak aku rasa sentuhan manusia kalau tidak kerana masih ada jaluran-jaluran kasar pada tapak tangannya itu. Pak cik tua itu kemudian duduk di hujung pangkin, di sisi kananku. Kain selempangnya digibar-gibarkan sebelum disangkut kembali ke bahunya. Dia terbatuk-batuk tatkala aku masih asyik dipersonakan dengan kehadirannya di pangkin itu.

“Angin..” tiba-tiba dia bersuara. Kepalanya diangkat, dan matanya kukirakan jauh memandang ke tengah sawah. Entah sejauh mana tidaklah aku pasti kerana pada usia begitu, kalau di kotaku, orang-orang tuanya kebanyakan menggunakan cermin mata berkuasa tinggi. Tetapi pak cik tua ini tidak. Aku semakin takjub.

“Err..pak cik nampak angin ke?” aku bertanya kepadanya. Bodoh. Kenapa soalan itu yang terkeluar. Tetapi apa lagi yang boleh kuresponkan bila dia hanya menyebut angin secara tidak semena-mena dan kemudian terus diam.

“Angin kotamu terlalu kuat, anak muda. Menusuk lubang hidung pak cik. Apa kamu ini dari Kuala Lumpur?” dia membalas sambil menoleh kepadaku. Dia senyum lagi. Aku balas senyuman itu tetapi tidak berani pula untuk bertentang mata lebih lama. Aku segera tunduk sebelum melontar pandangan jauh ke hujung sawah dan pak cik tua itu pula, masih memandang aku.

“Kuala Lumpur. Tetapi sebetulnya dari Bangi, pak cik. Ke kampung ini kerana menziarahi keluarga bapa saudara saya. Walimatulurus minggu hadapan untuk anak lelaki sulungnya,” jawabku jujur dan jelas.

“Pertama kali di sini?” soalnya lagi. Dan masih, memandang ke arahku. Aku jadi tak senang duduk. Pertama, memang aku baru di kampung itu dan keduanya, aku jarang beroleh ruang seperti itu. Maksudku, di Bangi, aku jarang duduk-duduk dengan orang-orang tua. Aku jadi kekok.

“Ha’ah..baru di sini,” aduhhhh…tersalah lagi! Aku tak sepatutnya menggunakan kata ha’ah begitu dengan orang yang lebih berusia. Kedengaran langsung tidak beradap. Aku pernah diherdik oleh pensyarahku kerana menggunakan perkataan tersebut apabila ditanya di dalam kuliah. Dia mengusulkan supaya menggunakan perkataan lain yang lebih santun seperti ya, benar atau hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum! Ha’ah itu kepasaran.

Pak cik tua itu kembali diam. Dia mengalih pandangannya. Ibarat bersembunyi daripada penyamun, apabila penyamun itu beredar maka kita pun terasa amat lega, begitulah juga denganku bila pak cik tua itu mengalihkan pandangannya. Bukan aku takut atau tidak suka, tetapi pandangannya terlalu menggetarkan!

“Pak cik orang kampung sini?” tanyaku pula.

“Di hujung bendang tu rumah pak cik.”

Aku mengangguk-angguk. Di hujung sana ada sungai, diseberangnya ada padang yang dipenuhi nisan berceracak. Di sebelanya itu ada sebuah surau tua beratap nipah dan di situlah, adanya rumah-rumah penduduk Kampung Tokang, jiran terdekat kepada Kampung Kememeh iaitu kampung yang sedang aku dan pak cik tua itu melabuhkan punggung kami.

“Maksudnya, dekat surau Kampung Kememeh?” aku bertanya lagi untuk mendapatkan lebih kepastian.

Pak cik tua itu kembali menoleh kepadaku. Dia tersenyum lagi seraya mengangguk. “Cuma ada dua kampung ini saja, nak. Dahulu di belakang sana, ada lagi orang kampung yang masih diam di situ,” beritahunya sambil menunding jari ke arah kiri kami. Namun yang ternampakkan cumalah pohon-pohon kelapa tua yang gemalai pelepahnya dipupuk angin gunung senja. Dari pangkin itu juga aku boleh melihat sebatang jalan bertar yang sudah pecah-pecah membelah sebuah bukit terus menuju ke hulu Kampung Kememeh. Barangkali di sebelah sana bukit itulah yang dimaksudkan oleh pak cik tua. Aku tidak pernah lagi sampai ke sana. Seram rasanya.

Aku pernah dengar cerita dari sepupuku, anak kedua Tok Ayah Chik, yang di atas bukit itu dahulu terdapat beberapa buah rumah penduduk yang kini tidak lagi berpenghuni. Mereka katanya orang asal Sumatera dari jurai Minang. Tak pula ku pasti kebenarannya sebab Tok Ayah Chik tak pernah pun bercerita. Kata sepupuku itu, pernah satu ketika ada insiden berbunuhan di salah sebuah rumah di situ. Mangsanya seorang nenek tua yang tinggal sendirian. Mayat mangsa ditemui  selepas dua hari, itu pun selepas  anak saudaranya datang berkunjung. Apa yang tragis, bilang sepupuku, pembunuh itu adalah anak kepada anak saudara mangsa sendiri yang datang menziarahinya itu! Nauzubillah.

“Pak cik tahu selok belok di sini?” aku cuba menduganya. Mungkin ini peluang terbaik untuk aku menyelidiki kebenaran peristiwa tersebut. Tiba-tiba aku peroleh satu idea. Kenapa tidak aku bongkarkan kisah kejam itu sebagai tesis aku kelak? Jurnal itu mesti diserahkan akhir semester hadapan, juga semester terakhir aku di Bangi. Masih ada banyak masa dan sekarang, aku mesti dapatkan bahannya, dari orang tua itu. sekurang-kurangnya, itulah yang aku fikirkan ketika itu tanpa sedikit pun mengetahui padah yang menanti. 

0 comments: