Selasa, 26 Oktober 2010

Anis Madhihah [Part 3]




Jam langkau sepuluh tiga puluh lima minit. Kota besar Kuala Lumpur semakin galak dengan citra malamnya. Manusia-manusia berbondongan keluar, ada yang bersiar-siar, ada yang berhibur dan paling ramai, riadah bersama keluarga. Anak-anak muda kota, riang di sana sini. Tapi itu semua tidak menggamit sebarang rasa buat Johan dan Sara yang sudah kepenatan. Johan memandu Passat CC kesayangannya dengan santai walaupun hatinya mahu lekas saja pulang ke rumah dan beristirahat.

“Hmm..boleh tahan juga ye awak ni Sara..” Johan membutir bicara sebaik saja  keretanya lepas dari selekoh pertama susur keluar pusat beli belah tersebut.

“Kenapa?” soal Sara, sedikit kehairanan.

“Boleh tanan juga awak bila jolly…” Johan membalas sambil tersenyum nipis. Dia tidak menoleh kepada Sara yang sedari tadi seperti cenggeng dengan kata-katanya.

“Oohh…tak adalah. Dah memang saya macam ni,” kata Sara sambil ketawa kecil. Dia kembali memandang ke hadapan. Langit kelihatan cerah sekali dengan taburan bintang malam 13 Safar itu. Di ufuk barat, ada balam-balam awan kemerahan. Ia satu fenomena langit kota yang sudah biasa walaupun awan menebal mengisyaratkan hujan bakal datang.

“Solat sudah, makan sudah, jalan-jalan sudah..shopping pun sudah..” tiba-tiba Johan bersuara. Nadanya sederhana tetapi agak serius. Kali ini Sara menoleh lagi kepadanya. Dia menunggu Johan menghabiskan bicaranya itu. Pasti ada sesuatu. Johan seorang yang cermat bila bertutur kata. Selalunya dia akan menyusun patah-patah perkataannya sebelum dihamburkan keluar, dan setiap kali itu, ia pastinya mudah dan senang untuk dicernakan oleh sesiapa. Ekonomi dalam berkata-kata, budaya Jepun yang menjadi prinsip hidupnya.

Tetapi penantian itu menjadi sesuatu yang aneh buat Sara. Johan belum menghabiskan ayatnya tadi. Dia asyik menggenggam stereng kereta sambil sesekali menukar posisi gear auto bila bertukar laluan. Passat CC itu seolah isteri kesayangannya, dibeli selepas saja dia ditinggalkan oleh cinta hatinya. Sara tahu itu kerana Johan sendiri yang menceritakannnya, malah Sara juga yang menjadi peneman waktu dia pertama kali mengunjungi pusat Volkswagen kira-kira tiga bulan yang lalu.

“Kenapa, Cik Johan?” akhirnya Sara melantunkan pertanyaan setelah dilihat Johan terus senyap membiarkan ayatnya tadi tergantung bagitu saja.Johan menoleh, memandang wajah Sara. Sekilas.

“Sara, terima kasih!”

“Untuk?” Sara kehairanan.

“Awak terlalu banyak menyokong hidup saya selama ini. Percayalah, kalau hati saya ini tiada lagi Anis, sudah lama saya lamar awak jadi suri hidup saya. Awak mengisi sebelah daripada ruang kesunyian yang sedang saya tanggung, tetapi sebelah lagi, masih terisi dengan rindu kepada Anis..” Johan akhirnya bersuara. Dia tidak memandang Sara lagi. Untuk seketika, bening mengisi sudut-sudut mewah dalam keretanya itu.

Sara diam. Jantungnya berdegup kencang. Dalam payah dia cuba menarik nafas. Dia mahu uraikan kekusutan suasana akibat luahan yang menggemparkan oleh Johan itu tadi. Dia tahu kini suasana hening itu menjadi tanggungjawabnya untuk dipecahkan kerana Johan pasti tidak akan bersuara lagi selepas ini. Kebiasaannya begitulah. Tapi kali ini, ia sangat payah buat Sara. Cepu fikirnya sarat dan ligat mencari topik lain.

Namun jauh di sudut hati, ada sesuatu juga yang ingin diluahkan oleh Sara.. Johan, kalaulah kamu juga mengerti….

Sara menekan punat audio. Bercempera cahaya-cahaya biru lembut menjengah keluar dari pemuka skrin sesentuh. Dia mencari frekuensi FM, terus ligat mengesan channel Suria. Tiba-tiba Johan menghalang. Dia mematikan sistem audio tersebut tatkala suara DJ semakin lantang berkemundang dicelah speaker beresolusi tinggi keretanya. Sara mahu membukanya sekuat yang boleh, biar mereka terpisah seketika dari dunia itu. Namun dia terkejut dengan tindakan luar duga oleh Johan.

“Sara, cakaplah sesuatu..” Johan bersuara.

“Entahlah..saya pun buntu. Keadaan kita begini, tak betul..” Sara menghela nafasnya. Allah, hanya Dia yang tahu betapa gundahnya perasaannya saat dihenyak dengan persoalan berat begitu. Apa lagi yang perlu dikatakan. Aku tersepit kali ini, Johan…

“Saya juga menginginkan hubungan yang lebih baik, dengan lelaki yang boleh memberikan hidupnya kepada saya..tetapi saya tidak akan mengambil kesempatan. Sesekali tidak,” tegasnya. Ya, aku tidak akan mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Sesekali tidak. Umi dan Ayah pasti tidak merestui.

“Saya sendiri juga buntu Sara. Entah kenapa, saya begitu bergantung kepada awak selama ini. Saya tidak menyalahkan kerja yang menyebabkan kita begini. Tetapi inilah takdir. Kita dipertemukan waktu kita sendiri sangat memerlukan seseorang,” balas  Johan. Perbincangan itu menjadi semakin personal, seolah-olah masing-masing cuba menyelami dua hati serentak.

“Encik Johan, cukuplah  ya. Saya penat. Perkara ini perlukan ketenangan untuk dibincangkan. Lagi pun dah nak sampai ni..insya-Allah, ada masa yang sesuai, kita bincang lagi. Daerah hati saya sentiasa bersedia untuk diisi, kalau ada yang sudi.” Sara senyum.

Johan tidak membalas kata-kata Sara itu. Dia faham akan perasaan Sara. Dia sendiri sejujurnya belum bersedia. Hatinya masih mengharapkan Anis akan pulang semula dan menjelaskan segala-galanya.

Kereta yang mereka naiki mula memasuki daerah Selayang. Rumah Sara terletak sedikit ke atas sebuah bukit sekali gus memberikan panorama yang indah pada bila-bila masa. Johan mengambil selekoh ke taman perumahan mewah yang menjadi kejiranan Sara. Kira-kira tiga minit kemudian, kereta Passat CC itu sudah pun berada di hadapan pintu pagar rumah Sara.

“Ayah belum tidur barangkali,” kata Sara. “Lampu ruang tamu masih terang. Layan wrestlinglah tu,” katanya lagi sambil tersenyum manis. Dia memandang Johan buat kali terakhir sebelum keluar.

“Percayalah, hati saya bersedia untuk diisi, kalau ada yang sudi..assalamualaikum.” Sara terus membuka pintu dan keluar, meninggalkan Johan yang hanya mampu tersenyum. Hatinya semakin kusut. Dia menyambung perjalanan untuk pulang ke rumahnya.

Anis Madhihah..aku sangat merindui kamu sayang…

****

Sara menghempaskan badannya ke katil. Barang-barang yang dibelinya bersama Johan tadi dibiarkan bersepah di sebelah. Jeans, tudung kesukaannya, t-shirt labuh..semuanya dibeli oleh Johan. Satu sen pun tidak menggunakan duitnya walaupun dia berkeras untuk membayarnya tadi. Tetapi semua itu tidak lagi membangkitkan keterujaan buat Sara, sebaliknya dia sebu sekali memikirkan kata-kata Johan sewaktu dalam perjalanan pulang tadi sebentar.

Dia mencapai telefon bimbit.

Boss, pandu hati-hati =)

Mesej dihantar kepada Johan. Sara menunggu kalau-kalau Johan akan membalasnya, tetapi masa berlalu tanpa sebarangan deringan masuk. Sara bangun. Dia membuka tudungnya satu persatu. Dia duduk di hadapan cermin besar yang melekat utuh pada almari berkayu jati di dalam biliknya itu. Itulah tempat dia merenung kekurangan diri dan mensyukuri nikmat kecantikan yang dikurniakan oleh Ilahi kepadanya selama ini.

Datuk Hamdan, ayahnya, tidak memiliki anak gadis lain, juga anak teruna. Hanya dia seorang. Mereka dikelilingi kemewahan tetapi ayahnya dan umi sentiasa mengiringkan kehidupan mereka dengan sifat kesederhanaan dan kasih sayang yang tidak melampaui batas. Buktinya, pada usia muda begitu lagi Sara sudah memiliki perkerjaan walaupun gajinya kecil saja. Datuk Hamdan punya rangkaian butik dan tekstil yang luas, tetapi semua itu belum menjadi milik Sara. Belum masanya.

Sara mencapai anak patung kecil Spongebob yang tergantung pada cermin hiasnya. Dia tersenyum. Kenangan zaman persekolahan dari cinta pertamanya, Izuddin. Lelaki itu kini sudah berjaya. Dia terkenal di seluruh negara sebagai Yang Berhormat termuda di Malaysia. Laluan kejayaannya diiringi dengan minat yang cukup mendalam terhadap politik. Dalam diam Sara kagum dengan mantan kekasihnya itu. Mungkin aku sudah dilupakan..getusnya sendirian.

Kemudian dia membelek pula sekuntum bunga ros yang telah diawetkan dan diletakkan di dalam gelas tinggi yang jernih. Ia juga sesuatu yang bermakna. Pemberian seseorang yang kini sedang menghabiskan pengajiannya di India dalam bidang perubatan, bunga itu terlalu bererti. Ia lambang penantian dan kesetiaan. 
Lelaki itu sabar menantinya walaupun Sara sudah beberapa kali membikin masalah. Bukan dia tidak mahu serius, tetapi sikap Iskandar yang sering mengabaikannya selama ini kerap melukakan hatinya. Tetapi sejak akhir-akhir ini, Iskandar kembali intim dengannya. Mungkin kerana pengajiannya akan tamat tidak lama lagi dan dia bakal pulang berkhidmat dalam negara.Sara kembali kusut. Iskandar…. dan Johan juga. Sesuatu mesti dilakukan..fikirnya. Pasti.

*****

Pagi bertamu. Johan sudah bersiap. Hari ini dia tidak boleh lewat. Jam 8.30 sudah ada mesyuarat dengan Lembaga Pengarah, diikuti perbincangan peringkat akhir dengan Cik Farahain. Walaupun ini kali pertama dia akan berbincang secara formal dengan Cik Farahain tapi Johan sudah bersedia. Wanita muda itu terlalu cerewet dan mementingkan ketelitian, itulah pesanan yang disampaikan oleh bossnya dahulu. Johan terus bergerak meninggalkan apartmentnya.

Sebaik tiba di pejabatnya, Johan terus ke bahagian pantry. Seperti biasa, segelas nescafe suam dan dua bungkus nasi lemak kegemarannya sudah tersedia di atas meja, dan ia pastinya disediakan oleh Sara yang datang lebih awal. Dia suka dengan nescafe bancuhan pembantunya itu. Enak dan harum. Pernah suatu ketika Johan berasa takjub kerana setiap keinginan dan kesukaannya mampu difahami oleh Sara dengan baik, berbanding kekasihnya sendiri.

“Encik Johan, ada lima minit lagi. Jangan lewat!!” tiba-tiba suara mesra dari Sara menerjah lamunannya. Dia menoleh ke belakang. Sara berdiri di pintu sambil mengelek sebuah fail dan case laptopnya. Dia tersenyum manis. Semakin manis dengan padanan tudung Arlene berwarna ungu lembut dan rambut yang disanggul tinggi. Nampak ayu dan sopan sekali, sesuai pula dengan susuk tubuhnya yang tinggi lampai itu.

“Orait!!” balas Johan sambil mengangkat tangan kirinya. Dia lekas-lekas menghabiskan sarapannya. “Sedap sungguh nescafe awak ni Sara. Rehat nanti saya nak lagi ok, dengan ais!” katanya lagi sambil tersenyum lebar. Sara tergelak kecil. Senang hatinya melihat senyuman Johan itu. Hatinya berbunga mekar. Kata-kata Johan semalam masih segar diingatan, terngiang-ngiang. Semalaman juga dia bermuhasabah. Johan dan Iskandar. 
Sesuatu telah diputuskan.

Sara sudah tekad untuk meluahkan isi hatinya kepada Johan. Dia akan luahkan segalanya. Biar Johan jelas dan pasti. Biar Johan tidak menduganya lagi. Biar Johan tidak sunyi lagi. Dan kalau boleh, dia juga mahu jelaskan kepada Johan tentang Anis, bekas kekasihnya yang tergamak mengkhianati cinta agung Johan selama ini. Biarlah, biar apa pun, Johan mesti tahu juga dan tidak lagi menunggu seperti anak kecil yang kematian ibunya. Selepas itu, segalanya akan diserahkan kepada Johan dan pada takdir. Biar Johan yang menentukannya. Jika Johan sudi, dia akan minta lelaki itu datang ke rumah dan selesaikan segalanya mengikut adat dan hukum. Sara tidak mahu buang masa memadu cinta. Dia mahu bahagia secara halal, dengan seorang lelaki bergelar suami. Dia akan pupuk cinta yang hadir selepas segalanya menjadi sah miliknya.
Dan Iskandar, dia mesti faham dan menerima keputusan ini.

******

“Sara, saya akan ke Dubai. Tuan minta saya ke sana dengan Cik Farahain,” Johan memulakan bicara. Dia memandang wajah Sara yang duduk dihadapannya itu. Ada riak-riak terkejut, tapi disembunyikan oleh ketenangan pada wajah wanita muda tersebut.

“Oh..berapa lama?” tanya Sara kembali. Dia tidak pasti adakah itu tindak balas yang sepatutnya diberikan. Mungkin Johan akan ceritakan juga. Ahh…bodohnya aku. Sebetulnya aku bertanya kenapa dengan Cik Farahain, kenapa tidak aku??

“Lima hari saja. Untuk berbincang dengan Syarikat Melati Cari Gali. Tuan mahu dimuktamadkan segera dan kita akan mulakan kerja-kerja awal di tapak hujung bulan depan, insya-Allah. Awak kena bantu saya tau di sini sepanjang ketiadaan saya nanti,” Johan menjelaskan lebih lanjut. Dia senyum. Sara membalas senyuman itu walau dihatinya membunga kesayuan.

“Ehmm..kalau awak tak kisah, saya nak luangkan masa lagi dengan awak hari ini, boleh Sara?”

“Err..hari ini?” Sara seolah-olah terkejut dengan permintaan Johan itu. Dia masih memikirkan kunjungan berdua Johan ke Dubai, dan pasti, semuanya akan berubah kelak. Hatinya semakin luluh.

“Ye..selepas waktu kerja. Pastikan semua kerja dibereskan, ok?” Johan segera membalas. Dia senyum lagi. Manis. Berseri. Sambil itu dia menarik gelas besar berisi air bali ais yang baru saja diletakkan oleh pelayan restoran tersebut. Air batu campur yang dipesan oleh Sara masih belum sampai.

“Encik Johan berapa lama di Dubai?..” tiba-tiba Sara bertanya lagi. Dia tidak memandang wajah Johan sebaliknya hanya merenung gelas yang sedang digenggam oleh Johan dihadapannya.

“Eh kan saya dah bagitahu tadi..lima hari. Awak ok ke Sara? Kenapa lain saja ni?”

“Eh ye ke..maafkan saya. Tak perasan pula Encik Johan dah beritahu tadi. Maafkan saya. Hmm…mana ABC saya ni. Lambatnya..”

Johan tidak membalas kata-kata Sara itu. Dia juga tidak senyum lagi. Sara dihadapannya kelihatan resah. Air mukanya seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Johan dapat mengesan perubahan pada wajah dan reaksi badan wanita itu. Selalunya dia tenang saja walau dalam apa jua keadaan sekalipun dan ketenangan itulah yang menyenangkan Johan selama berkerja dengan Sara. Tapi tengah hari ini, dia lain sekali. Jelas keresahan itu menyelubungi dirinya.

“Sara..” tiba-tiba Johan bersuara. “Awak ada masalah? Cuba kongsikan dengan saya..” katanya lagi.

“Ehmm…petang nanti ye Encik Johan. Kan kita nak keluar lagi. Petang ini saya akan temankan Encik Johan..”

Johan hanya mampu tersenyum. Hatinya juga resah kini. Sara..kenapa ruang ini yang tercipta untuk kita?   

2 comments:

Akin Saidah berkata...

habis da ke?
jgn la buat citer tergantung...

cheqOne berkata...

insya-Allah ade lg..cume kesuntukan mase sket =)