Ahad, 27 Mac 2011

Anis Madhihah [Part 6]


Pagi  Ahad. Bening. Hujan semalaman membutirkan embunan di hujung rerumput di halaman. Desir air yang deras menghunjam batu-batu di dasar sungai mencetuskan pelbagai irama alam disulami bunyi mawas yang riang di puncak bukit, berpagian mencari rezeki. Johan masih enak di ranjang usangnya, sedaya upaya cuba melawan nafsu yang liat untuk bangun mencecah dingin air bagi menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim.

Pagi itu, terasa benar imannya nipis, berat digoda kedingian alam. Semalam dia memperoleh tidur yang cukup enak. Mungkin kerana kepenatan membawa adik kesayangannya pusing seluruh pekan dari petang hingga lewat malam dengan kereta barunya itu. Semuanya demi menghiburkan hati yang rawan, demi membalas dendam kerana tidak dapat tidur dengan aman pada hari sebelumnya. Semuanya kerana surat Anis itu.

Tetapi dia tetap berusaha menggugah godaan kedingian kampung itu. Subuh itu wajib. Perkara wajib tiada tidak melainkan wajib juga dilaksanakan. Itulah pesan orang tuanya sejak kecil lagi. Pagi itu, dia hanya bersolat sendirian di rumah kerana ayahnya ke surau berhampiran. Ibunya pula lebih awal bangun menunaikan kewajipan itu. Selalunya begitulah. Bangun di sepertiga akhir malam, bertahajud, berzikir dan mengaji sambil menantikan subuh dan usai segala urusan itu, bertugas di dapur menyediakan sarapan untuk keluarga. Itulah ibunya sejak dahulu hingga sekarang. Cergas. Sihat.

“Assalamualaikum ibu,” sapa Johan waktu dia melintasi dapur menuju ke bilik air.

“Waalaikummussalam. Dah bangun pun kamu, Johan. Lekas solat. Dah nak habis waktu ni.” Hajah Kalsom melemparkan senyuman. Hatinya senang melihat anak lelakinya itu bagun menunaikan solat Subuh.

“Adik tak bangun?”

“Dia awal-awal lagi dah bersiap ke sekolah. Ada jamuan katanya,” jawab ibunya.

“Eh,  gelap-gelap dah keluar?” soal Johan. “Tak ada gelapnya. Kamu yang lambat bangun,” jawab ibunya itu penuh mesra. Johan hanya mampu tersenyum. Pukulan berbisa di pagi hari!

 “Tak diberitahu pun semalam. Cadangnya nak ajak dia keluar sekejap, ke pasar.”

“Nak keluar lagi? Kan semalam semalaman kamu berdua keluar. Hari ni duduk saja di rumah. Nanti petang dah nak bertolak pulang. Rehat-rehatlah dahulu Johan,” kata ibunya.

“Nak beli barang dapur sikit mak. Johan pun bukan selalu balik.”

“Sebab itulah mak nak kamu duduk saja di rumah petang ni. Eh, dah dah..pergi solat cepat. Nanti turun bersarapan. Ayah kamu kejap lagi baliklah tu.”

Orait bu, pasti turun!” sahut Johan seraya bergegas masuk ke bilik air. Ibunya ketawa kecil melihatkan telatah Johan itu. Senang hatinya bila Johan pulang. Dalam diam, Hajah Kalsom memanjatkan doa pada Rabbul Jalil, memohon dipermudahkan jodoh buat anak lelakinya itu. Mengenangkan Johan baru sahaja ditinggalkan kekasih hati, Hajah Kalsom tahu, anaknya itu perlukan seseorang yang mampu menemaninya. Tatkala itulah dia mula berfikir, tidak adakah teman sepejabat yang boleh disunting oleh Johan? Tentu ada, putusnya sendirian. Sesuatu harus dilakukan. Hajah Kalsom lalu teringatkan suaminya. Lekas-lekas dia siapkan sarapan dan menunggu kedua-dua orang lelaki yang begitu penting dalam hidupnya kini – Johan, anaknya dan Haji Mohd Noor, suaminya – untuk turun bersarapan.

***

6.35 pagi. Hari masih gelap. Dan pada pagi Ahad begitu, yang selalu memecah kesunyian – sememangnya tidak pernah sunyi pun! – hanyalah deruan bas-bas kilang yang setia mengangkut warga kota, diselang seli oleh bingit hon sang lori  kontena dan deruman motosikal para pengedar koran mingguan yang tak pernah jemu menjelajah setiap jalan dan lorong menebar berita. Tetapi segala keriuhan itu tidak pernah sampai ke banglo mewah Sara yang kelihatan gagah berdiri di puncak bukit, melainkan hanya dingin yang masih tega menyelimuti sekitaran.

Maisarah Haji Zakaria seperti biasa, sudah bangun dari tidurnya walaupun pada hari cuti begitu. Usai subuh tadi, dia terus ke biliknya. Ditinggalkannya  ayah  dan uminya di ruang solat utama. Mereka berdua meneruskan peribadatan. Sara pula memilih untuk berlama-lamaan di ruang ibadatnya sendiri. Di atas bentangan sejadah buatan Tanah Suci di dalam biliknya, dia bermunajat. Sepi, sunyi dan dingin, bersilih berganti-ganti menyerbu sosok tubuhnya, memberikan aliran tenaga segar untuk mindanya. Dia qiam. Dia diam. Matanya erat dipejam. Munajat itu khas untuk mencari ilham, tentang masa depan. Dia berdoa dalam hatinya, mohon supaya ditunjukkan sejelas-jelasnya. Antara Johan dan Iskandar. Atau tiada untuk kedua-duanya.

****

“Johan, jadi kamu balik?” tanya Haji Suhaimi.

“Insya-Allah. Perlu balik ayah. Tak boleh tidak,” jawab Johan.

Haji Suhaimi mencapai teko di hadapannya. Melihatkan tindakan itu, Hajah Kalsom lekas-lekas menghulurkan tangan. Mahu direbutnya teko itu. Haji Suhaimi sedikit pun tidak mempedulikan reaksi pantas isterinya itu. Barangkali Hajah lupa. Pasti ada sesuatu yang menggangu fikirannya, agak Haji Suhaimi. Tidak pernah Hajah Kalsom tidak lengkapkan segala hidangan di meja makan itu sebelum dia duduk dan menjamah makanan, hatta minum apatah.  Lalu perlahan-lahan Haji Suhaimi menarik kembali tangannya. Isyarat yang jelas juga buat isterinya itu supaya tidak leka lagi.

“Tadi, ayah sembang dengan Haji Hashim. Katanya, Yulfa dah habis belajar,” Haji Suhaimi diam. Dia menyuapkan bihun goreng yang dibelinya di warung Nan sewaktu pulang dari masjid tadi. Dikunyahnya perlahan-lahan. Hajah Kalsom resah. Hatinya berdebar-debar. Johan sudah dapat mengagak kata-kata yang bakal terbit seterusnya dari mulut ayahnya itu. Semena itu juga dia menjeling ke arah Hajah Kalsom. Ada pesanan khas pada anak mata ibunya itu. Harus tunggu ayahmu habis dahulu, faham? Johan seolah mengerti maksud jelingan ibunya itu, lalu diam. Dia juga berdebar-debar.

“Yulfa tu belajarnya di India, bukan?” tanya Hajah Kalsom selepas dilihatnya Haji Suhaimi masih belum mahu berkata-kata.

“Begitulah. Baik budak tu. Ayah berkenan,” jawab Haji Suhaimi.

Berkenan? Aduh..sepatutnya aku dah agak!

“Johan, di pejabat kamu, tak adakah yang kau rapat?” tiba-tiba Hajah Kalsom menukar topik. Dia langsung tidak mempedulikan kata-kata suaminya tadi. Akan perkara itulah sebenarnya yang hendak diusulkan, bukan tentang anak Haji Hashim.

“Yulfa itu cerdik. Bijak. Ambik perubatan. Tinggi budinya,” tingkah Haji Suhaimi. Nadanya keras.

Situasi itu mula merimaskan Johan. Sebagai anak yang taat, tidak banyak yang boleh dilakukan, melainkan diam dan mengharapkan antara ibu dan ayahnya, akan ada yang diam juga. Selalunya, ibunyalah yang akan diam bila Haji Suhaimi meninggikan suara walau sedikit. Benar. Hajah Kalsom benar-benar terdiam. Dia juga tidak berani lagi membalas pandangan mata suaminya itu. Suasana menjadi sepi untuk seketika sehinggalah telefon bimbit Johan tiba-tiba menjerit bingit. Dia terpinga-pinga mencari telefonnya itu yang terperosok jauh ke dalam poket seluar track-buttomnya.

“Siapa?” soal Hajah Kalsom sebaik dilihatnya Johan tersenyum membaca kiriman SMS tersebut.

“Adik. Dia minta saya jemput jam 10 nanti. Bolehlah kami ke pekan sekejap,” jawab Johan.

“Pergilah. Tapi jangan lupa balik makan tengah hari di rumah. Bila kamu nak bertolak balik ke Kuala 
Lumpur?” tanya ibunya lagi.

“Lepas Zuhurlah agaknya. Senang bila dah bersolat. Tak risau, tak bimbang apa-apa lagi dah,” balas Johan.

Johan menghabiskan sarapannya. Dia mahu lekas-lekas beredar dari meja makan itu. Tak mahu dengar ayahnya berbicara lagi tentang siapa-siapa. Sungguh, hatinya sedang rajuk. Luka dan pedih. Tiada siapa yang mampu mengubat luka itu, baik seorang doktor yang cantik dan pakar sekali pun tak mampu merawat luka di hatinya. Inikan pula doktor pelatih seperti anak Haji Hashim itu! Aku kenal pun tidak, getus hati kecilnya lagi.

“Johan,” tiba-tiba Haji Suhaimi bersuara. “Ayah mahu kamu kenal-kenal dahulu dengan Yulfa tu. Ini harapan ayah, pada Haji Hashim juga.”

“Ayahnya, kan Johan masih bersedih, tak nampakkah? Saya ibunya, faham benar perasaan Johan tu,” pintas Hajah Kalsom. Perbincangan anak-beranak di pagi hari, di hadapan rezeki Allah itu, harus dipandu tanpa melulu-lulu. Hajah Kalsom tak mahu merosakkan keharmonian di pagi hari itu, hanya semata-mata untuk memenuhi hajat atau harapan sebelah pihak sahaja.

“Entah ayah ni. Yulfa tu saya pun tak kenal benar. Entah-entah, sudah disunting doktor lain di sana,” kata Johan. Dia cuba memaniskan muka.

“Itu usahlah kamu bimbang. Ayah tahulah apa yang ayah buat. Haji Hashim itu awal-awal lagi sudah ayah tanyakan duduk bangun akan si Yulfa tu. Kalau tak, masakan kami saling bersandar harap?” tanya Haji Suhaimi kembali.

Johan terdiam. Tiada jawapan yang boleh diberikan kali ini, apatah lagi dolak-dalih demi menggagalkan hasrat hati orang tuanya itu. Hajah Kalsom juga terdiam.

Anis.. Johan tiba-tiba sayu. Luluh benar hatinya memikirkan tindakan Anis yang meninggalkannya sendirian. Anis pergi mengejar bahagia cintanya, tetapi dia di sini derita terseksa. Derita mencari erti sebuah kehilangan, akhirnya terbalas juga pada surat yang dikirimkan oleh Anis. Tapi kini terseksa pula kerana terpaksa merawat luka itu dengan hasrat dan harapan orang tuanya sendiri. Johan bergelojak. Jiwanya runtun. Rasanya rawan. Hanya kalbunya sahaja yang belum sawan. Lalu pada Tuhan dia memohon perlindungan abadi.

Dia semakin sayu bila kenangan sewaktu bersama Anis datang menerjah ke benak sanubari, lagi dan lagi. Kebahagiaan yang dibina atas air mata orang lain, palsu semata. Allah.. Johan beristighfar. Sungguh dia sudah redha dengan ketentuan ini. Allah, ampunkan aku kerana bersangka buruk. Allah, bahagiakanlah dia, bahagiakanlah dia, bahagiakanlah dia, Allah.

*****

Kota Dubai. Menghadap sebuah bangunan tinggi yang sedang menggagau awanan, Anis sebu. Tiada yang indah pada kota itu, meskipun manusia-manusia arkiteknya berusaha menjadikan ia umpama bandaraya syurga di dunia.

Dunia Arab kini sudah jauh berubah. Arab hari ini ialah Arab ala-Eropah yang sedaya mungkin berusaha menonjolkan diri mereka melalui apa-apa sahaja cara, yang pasti, semuanya keduniaan sifatnya. Arab sudah bijak berbahasa asing, baik Jerman mahupun Itali. Arab sudah tiada silu segannya minum di kafe-kafe mewah, meneguk air mabuk dan berhibur di pub-pub. Tiada anehnya jika ada Arab yang sebelah tangannya ligat meratib tasbih dan sebelah lagi mencekik ramping pinggan gelas yang berisi arak berjenama.

Anis melarikan pandangan matanya, ke sisi jendela, jauh ke seberang bangunan kondominium mewah itu. Dia sunyi sekali. Hidup di rantau orang, ditinggal-tinggalkan pula oleh suami tercinta, hanya sunyi yang lebih banyak menemani. Kerjanya sebagai perunding tidak banyak seperti ketika bersama syarikat Tuan Haji Mansur ketika di tanah air. Walaupun masih di bawah payung yang sama, tetapi firma di Dubai ini lebih banyak mengupah pekerja tempatan. Lalu tugasnya sebagai perunding antara benua menjadi kecil. Dan menjelang lusa, dia akan dikunjungi delegasi bisnes dari Malaysia. Sudah lama dia tidak berbual-bual dengan orang Malaysia berbahasa Melayu. Aku rindu semua itu.

Telefon berdering. Anis mencapainya.

“Sayang, hubby balik lewat,” kedengaran suara di hujung talian. Anis hanya tersenyum tawar.

“Janganlah lewat sangat ye b.. Anis dah sediakan bahan untuk dimasak ni. Masak lomak cili api ni tau b,” pancing Anis. Rahman tersengih lebar sebaik mendengar umpan itu.

“Pandai ye sayang b ni..ehmm, Insya-Allah, b cuba balik secepat yang boleh. Ada lawatan tapak sekejap lagi. Lusa kan ada delegasi Tuan Haji nak datang. Haa..sayang dah siapkan slides? Esok b perlu buat presentation tu pagi,” kata Rahman.

“Pagi? Bukan petang? Semalam b bagitahu petang,” soal Anis. Wajahnya berkerut. Slides suaminya itu masih berbaki kurang 30 peratus untuk disiapkan. Harus segera.

“Tak. Pagi besok jam 8.30 pagi,” jawab Rahman lekas.

“Hmm..tak jadi lagilah kita nak keluar malam ni, b?”

“Kenapa pula?” tanya Rahman.

“Sebab tak siap lagi,” Anis menjawab jujur. Dia berdebar menantikan reaksi suaminya.

“Haa..padan muka. Siapa suruh buat lambat-lambat,” balas Rahman. Dia langsung tidak marah, sebaliknya menahan ketawa. Lucu mendengar suara Anis yang takut-takut di hujung talian. Anis memang jujur dan lurus.

“Eh Encik Rahman, saya ni isteri kamu, bukan setiausaha kerja atau PA kamu ok. Saya pun banyak lagi tugas perlu selesaikan, tau tak?” bentak Anis. Dia geram dengan sindiran suaminya itu.

“Opss..alah sayang ni. Buat apa hantaran mahal-mahal dulu kalau tak nak tolong b buat kerja,” usik Rahman lagi.

“Mahal tu sebab sayang ni kan cantik, comel..b pun tak cakap apa-apa dulu, terima je terus. Siapa suruh tak mintak kurang?” soal Anis kembali. Hatinya panas.

“Bapa kamu nak bagi ke kalau mintak kurang Puan Anis Madhihah sayang?” Rahman terus menguji Anis. Dia sedaya boleh cuba menahan ketawanya daripada lebur.

“Tak!” jawab Anis tegas.

“Hah, tau pun!” balas Rahman. Kali ini dia ketawa juga, disambut Anis. Mereka ketawa bersama, manja dan bahagia.

“Alah b ni, itu pun nak berkira,” kata Anis. Nada suaranya manja, seolah merajuk.

“Sayang, mahal atau murah, itu bukan masalahnya. B peristerikan sayang atas sebab cinta, yang dikirim Allah untuk orang yang telah diciptakan untuk b,” jujur Rahman memberitahu Anis kali ini. Hatinya penuh dengan sayang dan rindu pada Anis meskipun mereka saling berpandangan ketika itu di sebalik tingkap jendela masing-masing. Anis di rumah dan Rahman di ruang pejabatnya, hanya dipisahkan oleh sebatang jalan di bawah. Sengaja Rahman memilih ruang di tingkat 17 kondominium itu sebagai kediaman mereka di kota Dubai, menghadap bangunan pejabatnya di tingkat 15 Menara Al-Sultan, yang disebut Burj Al-Sultan oleh rakyat tempatan.

B tak menyesal, kan?” tanya Anis. Nada suaranya berubah, perlahan dan sayu. Dia menyentuh tapak tangannya pada cermin jendela, membuka seluruh jemari tangan kanannya itu. Dilekapkan, rapat. Hatinya benar-benar sayu ketika itu. Dia memandang tepat ke arah Rahman. Kalau bisa, mahu saja dia terbang kepada suaminya ketika itu. Dia rindu. Rindu pada Rahman, yang menyayanginya luar dan dalam.

“Eh kenapa pula? Are you okey sayang?” Rahman gelisah.

“Kan Anis dahulu pernah kecewakan b..”

“Anis sayang, sekarang sayang dah jadi milik b. Tak ada sebab b nak menyesal. Jangan lari tinggalkan b sudahlah ye,” kata Rahman. Dia cuba memujuk Anis dengan kata-kata yang jelas dan mudah diterima oleh isterinya itu.

“Kalau lari?” duga Anis, sengaja.

“Bayar balik hantaran!”

B……………jahat!” jerit Anis manja. Dia menampar-nampar cermin jendelanya itu seolah-olah menampar suaminya. Melihatkan gelagat itu Rahman hanya ketawa kecil. Lucu. Dia tahu Anis tidak akan meninggalkannya lagi. Keputusannya membawa Anis ke Dubai adalah keputusan yang tepat. Tidak mungkin Johan akan menjejaki Anis hingga ke sini. Itu sahaja jalan yang ada tatkala dia melamar Anis dahulu secara tergesa-gesa. Dia tidak mahu hati Anis berpaling lagi pada Johan. Cukuplah Johan merampas kebahagiaannya dahulu. Cukuplah Johan menggoyahkan setia Anis yang pernah dipupuk bertahun lamanya pada dirinya dahulu. Cukuplah Johan merasai betapa indahnya memilik seorang wanita seperti Anis dahulu walaupun sekejap. Biar Anis bahagia di sini. Allah telah menemukan mereka, menyatukan mereka. Muktamad. Walau ke hujung dunia sekalipun, aku akan bawa Anis kerana ini amanah Allah. Rahman cintakan Anis, dan Johan mesti menerimanya.

Anis Madhihah.

Abdul Rahman.

Dan Johan.

Masing-masing memburu cinta dan bahagia. Ketika Rahman meyakini kebahagiaan yang sedang dibina, Anis pula semakin resah dan gundah. Percaturan cinta itu membawa dia jauh dari Johan, tetapi dekat sedekat-dekatnya dengan Rahman. Tetapi kenapa pula aku kini semakin merindui Johan. Ya Allah, kesibukan apakah yang sedang kau landakan perasaanku ini? Tetapkanlah aku pada jalan redhamu bersama suamiku. Dekatkanlah hati-hati kami sedekat-dekatnya, dan singkirkan segala kejahatan yang cuba menguji rumah tanggaku ini. Anis berdoa, sayup-sayup, diaminkan oleh Rahman. Dan Johan, terus diulit rindu di kejauhan.

1 comments:

Akin Saidah berkata...

jln cerita semakin menarik