Suatu mitos yang selalu dipercayai bahawa sebenarnya yang beremosi ialah lelaki, bukannya wanita. Meskipun dikurniakan sembilan akal berbanding hanya satu bagi wanita, tetapi dalam banyak keadaan, lelaki lebih lebih kuat mengikut emosi dan hawa nafsunya manakala wanita pula lebih tenang dan rasional.
Andai ini betul, ternyata ia satu tamparan buat lelaki yang selalunya dilihat pada kredebiliti mereka selain perwatakan yang tenang dan matang di mata para wanita terutamanya gadis-gadis. Lelaki juga sebenarnya pelakon paling berjaya di pentas kehidupan manusia di dunia ini berbanding wanita kerana mereka mampu memanipulasi akal fikiran wanita untuk mempercayai sesuatu perkara dan wanita pula lebih banyak menerima berbanding berusaha memikirkan hal-hal yang dipercakapkan oleh lelaki.
Dalam sesetengah kes, jelas sekali dua kelebihan ini, iaitu emosi dan manipulasi minda oleh lelaki, telah banyak menguntungkan kaum tersebut. Misalnya, kes-kes penipuan yang melibatkan sesetengah pasangan di mana mangsanya lebih banyak wanita, berbanding kes-kes terpencil yang melibatkan lelaki sebagai mangsa.
Emosi kaum lelaki sebenarnya berbahaya kerana mereka cenderung menggunakan tindakan fizikal berbanding wanita yang lebih halus dan sentimental. Lelaki yang beremosi pula selalunya tidak berupaya menggunakan kesemua daya akal yang dimiliki, atau dalam erti kata lain, tak sampai ke tahap yang sepatutnya ketika mereka menimbangkan sesuatu perkara.
Misalnya, dalam kes hilang dara sebelum kahwin, sesetengah lelaki melihat perkara ini dengan pandangan emosi yang lebih tinggi berbanding memikirkannya secara rasional. Sesetengah lelaki tidak dapat menerima wanita yang ‘rejek’ akibat zina sebelum kahwin manakala sesetengah yang lain masih boleh menerimanya dengan hati yang terbuka kerana menganggap ‘dara’ itu hanya satu lapisan nipis dalam kehidupan wanita yang tidak perlu diperbesarkan sehingga meruntuhkan suatu ukhuwah.
Keadaan menjadi parah apabila lelaki-lelaki tersebut menggunakan pertimbangan emosi untuk menghukum wanita-wanita yang hilang dara sebelum kahwin, melabel dengan pelbagai istilah seperti jalang, rosak dan kotor. Namun adakah mereka sedar akan perasaan wanita-wanita tersebut? Bagaimana dengan hak mereka mendapatkan kehidupan yang lebih baik seandainya mereka sudah insaf dan berubah?
Emosi lelaki juga amat koheran dengan ego tetapi percayalah, tidak ada lelaki yang terlalu kental dan keras jiwanya. Pada masa-masa tertentu, mereka juga sebenarnya boleh disentuh dan tersentuh. Inilah titik misteri yang seharusnya dicari oleh setiap wanita supaya mereka juga boleh memanipulasi lelaki!
Justeru dakwaan umum bahawa lelaki juga beremosi sebenarnya tepat dan wajar. Emosi di sini bukanlah bermaksud lemah jiwanya tetapi lebih merujuk kepada pertimbangan halus dalam juzuk-juzuk perasaannya, sama ada ia legap atau boleh lut dengan asakan-asakan tertentu yang menimpa dirinya. Lelaki juga tidak harus malu untuk menangis, tetapi bukanlah lelaki yang hebat jika memilih jalan menangis sebagai proses melegakan tekanan.
0 comments:
Catat Ulasan