Isnin, 8 November 2010

Anis Madhihah [Part 4]


“Sara, alamak….” terpacul suara Johan dihujung talian sebaik saja Sara menekan punat di interkomnya. Dia segera menyahut, 

“Kenapa Cik Johan?”. Jelas dia kehairanan dengan suasana tersebut. “Ada apa-apa yang perlu saya lakukan?” katanya lagi. Kalau boleh semena itu juga dia mahu gegas ke bilik Johan, andai Johan benar perlukannya.

“Eh tak tak..saya ok, cuma nak bagitahu, petang ni kita mungkin tak dapat keluar. Maafkan saya ye Sara,” Johan menjawab. Dia berkerut, resah menantikan reaksi balas daripada Sara. Kesalnya bertambah kerana dia yang mengusul pelawaan tersebut dan kini, dia pula yang terpaksa membatalkannya. Sara pasti rajuk, atau setidaknya, mengeluh lagi.

“Ohh..tak mengapalah Cik Johan. Kalau Cik Johan ada urusan lain yang lebih mustahak, dahulukan saja ye. Saya faham. Tapi boleh saya tahu kenapa?” Sara lembut menuturkan bicaranya sambil tersenyum. Dirasakan lucu pula dengan reaksi bossnya itu. Baginya ia cuma perkara kecil. Lagi pula, aku ini belum menjadi kekasihnya pun, usik hatinya sendiri. 

Senyumannya semakin lebar. Perkara yang hendak disampaikan kepada Johan sejak pagi tadi lagi semakin kuat bergelojak tetapi masih bisa ditahan. Perlukan masa, ya, aku perlukan masa yang sesuai!

“Saya perlu pulang ke kampung. Betul-betul tak dijangka. Emak telefon sebentar tadi, dia nak jumpa sebelum saya bertolak ke Dubai. Ada urusan penting katanya,” terang Johan, jujur sejujur-jujurnya.

Urusan? Sara tersentak. Tapi dia cuba menyembunyikan kehairanannya itu. Dia kenal Johan dan dia tidak mahu bersangka bukan-bukan. Lebih baik biar Johan sendiri yang menjelaskannya. “Kalau begitu Cik Johan pulanglah ya. Mungkin emak Cik Johan ada sesuatu yang nak dibincangkan. Entah-entah, nak tunangkan Cik Johan kot!”

“Ishh kamu ni Sara!” sahut Johan sambil ketawa kecil. Lucu sekali dirasakannya bila Sara menyebut soal tunang. Langsung tak terfikir atau terlintas dihatinya hendak bertunang. Kalau benar pun, hanya dengan Anis sahaja. Muktamad.

“Sara bergurau jelah,” kata Sara. Dia juga turut ketawa dengan usikan spontannya itu tadi. “Oh ya, kalau Cik Johan perlukan apa-apa pertolongan bagitahulah. Sara dah tak ada kerja lagi ni,” katanya lagi. Tiba-tiba air mukanya berubah. Dia menekup mulutnya dengan telapak tangan. Alamakkk..kenapa pula Sara? Getus hati kecilnya, cuak. Tak pernah-pernah aku guna nama sendiri selama ini, malunya! Hatinya berdebar kencang.

“Buat masa ni tak ada apa-apa kot, Sara. Thanks ye Sara!” Johan membalas, sedikit pun tidak terkesan dengan ‘keterlanjuran’ Sara itu tadi. Sara menghela nafasnya. Lega. Tanpa sempat dia membalas lagi, Johan sudah pun mematikan interkomnya, meninggalkan bunyi beep panjang sebelum Sara juga memutuskan talian. Sara tunduk. Dia segera beristighfar. Ya Allah, pimpinlah aku ke jalan redha-Mu!

Petang itu, mereka tidak lagi pulang bersama. Johan perlu mengejar masa untuk pulang ke kampung, jadi dia keluar dari pejabat lebih awal berbanding biasa. Dia perlu menempuh perjalanan yang agak jauh, ke utara tanah air dan pada hari yang sudah lewat begitu, dengan hujan yang kerap pula turun di sebelah utara, perjalannya pasti akan lebih perlahan. Sara pula tiada pilihan yang lebih baik selain mengambil teksi jarak jauh untuk pulang ke mahligai inap keluarganya di Selayang.

***

 Telefonnya bergetar berulang kali ketika Sara sedang bersesak-sesak di hentian bas di hadapan perkarangan  Mansur Tower yang juga menempatkan pejabat syarikatnya. Dia  langsung tidak menyedari panggilan tersebut. Si pemanggil pula masih belum berputus asa. Dicubanya lagi dan lagi, sehinggalah akhirnya Sara menjawab panggilan tersebut sebaik sahaja dia sudah enak di kusyen teksi Nismo. Pada mulanya Sara sendiri tertanya-tanya kerana nombor pemanggil tersebut tiada dalam senarai daftar panggilan dalam telefonnya. Ia nombor asing.

“Hello?” Sara bersuara.

“May I speak to Sara?” tanya pemanggil itu. Saat itu juga Sara seolah terkejut besar. Dia kenal suara itu. Dia kenal pemanggil yang sedang menelefonnya itu. Dia kenal amat.

“Iskandar..??” katanya perlahan. Hatinya berkocak, terusik lagi sebaik mendengar suara tersebut.

****

Hari benar-benar hujan. Johan memandu dengan penuh hati-hati. Dia tidak perlu terlalu gegas sebenarnya kerana dia menjangkakan sebelum Isyak, dia sudah boleh menjamu selera nasi kampung di rumahnya, atau bergobek sirih bersama ayahnya di beranda seperti selalu. Hujan begitu, menjemput dingin alam sambil mengutus kembali pelbagai kenangan silam. Tidak banyak juga yang boleh dilakukan oleh Johan selain terus setia dengan pemanduan Passat CC kesayangannya itu, dan sambil itu, seperti selalu juga, terus memikirkan Anis. Tanpa Sara di sisi, pasti bayangan Anis yang datang mengisi ruang-ruang yang ada.

Passat CC itu kereta idamannya. Anis juga tahu. Malah Anis juga yang beriya-iya mahukan kereta itu. Kesukaan Anis walaupun pada Mini, tetapi hatinya, Johan tahu, teruja lebih pada model Volkswagen Passat CC tatkala mereka berkunjung ke bilik pameran di Auto-city Shah Alam tidak lama dahulu, sebelum Anis tiba-tiba menghilang. Impiannya untuk menjemput Passat bersama Anis tidak kesampaian sebaliknya Sara menjadi wanita pertama yang hinggap di kusyen empuk penumpang di sebelahnya, bukannya Anis seperti yang pernah dilukiskan pada kanvas angan-angan mereka selama ini .

Johan terus diulit kerinduan. Dia mempunyai terlalu banyak masa sepanjang perjalanan pulang itu untuk mengimbau segala kenangan bersama Anis.

“Abang, nanti kalau dah ada kereta, nak bagi tak sayang drive?” tanya Anis ketika mereka pulang dari bilik pameran Volkswagen itu.

“Ehmm..” Johan tidak terkata. Dia sendiri tidak menjangkakan pertanyaan tersebut akan keluar dari mulut Anis. Bahkan, dia sendiri tidak terbayangkan lagi untuk memandu atau duduk di sebelah sebagai penumpang pada waktu-waktu tertentu. Di hatinya cuma satu, berkongsi kegembiraan tersebut dengan Anis Madhihah. Siapa yang drive, itu belakang kira.

“Kenapa? Abang tak yakin dengan Anis ye?” Anis mencebik. Dia memasamkan mukanya yang comel itu. Johan hanya tersenyum, lucu melihatkan wajah Anis yang dibuat-buat itu.

“Eh tak laa..abang yakinlah. Anis kan dapat lesen awal dari abang,” pujuk Johan.

“Tak apa, biar Anis bawa je motor ni. Abang bawalah kereta tu ye,” balas Anis pula, jual mahal. Dia tahu Johan akan cair juga nanti. Johan memang tak suka tengok Anis bersedih. Cepat saja dia memujuk walaupun tidaklah seromantis yang diharapkan oleh Anis.

“Anis sayang, tak cakap pun kan macam tu. Nanti dah ada kereta tu, abang janji bagi Anis drive dan abang duduk sebelah. Nak tidur je!” kata Johan pula seraya ketawa kecil. Dia seronok melayan kerenah comel Anis itu. Bahagia yang dirasakan seolah-olah hanya mereka berdua mengisi setiap sudut alam ini.

“Betul ni?”

“Yeap, janji!”

“Abang..”

“Ye sayang..”

“Ehmm…maafkan Anis ye. Baru sekarang Anis rasa dihargai, disayangi, dicintai. Selama ni, Anis terlalu mengejar kebahagiaan, rupa-rupanya ada di sini, ada pada abang,” tiba-tiba Anis bersuara dengan nada sebak.

“Anis, dah ye. Abang selalu maafkan sayang. Yang dah lepas tu, jangan lagi diingat. Yang penting sekarang, Anis ada di sisi abang. Itu je yang abang fikir,” balas Johan. Dia cuma mampu tersenyum. Dia faham, mulus hati Anis amat mudah diselami. Jika itu yang diluahkan, itu jugalah yang tersirat dihatinya. Anis terlalu jujur dan jelas. Air mukanya, orak matanya, tidak mampu menyembunyikan apa-apa selain keikhlasan. Begitu juga ketika dia pernah berpaling meninggalkan Johan dahulu, kemudian datang kembali. Kerana itu juga, Johan selalu yakin dan percaya, Anis pasti akan pulang.

 *****

Nismo sewa khas yang membawa Sara memasuki daerah Selayang. Kurang lima belas minit lagi, Nismo itu akan membelok ke kawasan perumahan mewah yang menjadi residensi Sara sekeluarga, tetapi di dalamnya, masih, Sara sedang bercakap dengan Iskandar. Banyak sekali yang dibualkan tanpa sedikit pun dipedulikan gelagat pemandunya yang sesekali mengintai melalui cermin pandang belakang.

“Ehm Sara dah nak sampai ni, Is..,” kata Sara. “Nanti kita berbual lagi ye.”

“Ok Sara. Oh ya, saya balik minggu hadapan, insya-Allah. Tetapi perlu habiskan kursus di Melaka pula selama setahun sebelum posting. Apa-apa nanti saya beritahu kemudian ye. Sara, boleh saya cakap sesuatu, sebelum kita stop?”

“Apa dia Is, cakaplah.”

“I.M.Y!”

“Eh,  apa tu Is?”

“Nak tahu carilah sendiri. Ok, jaga diri. Assalamualaikum.”

Sara tidak sempat membalas apa-apa kerana Iskandar sudah pun memutuskan talian. Dia hanya mampu menjawab salam tersebut di dalam hati sambil mendoakan kesejahteraan pemuda tersebut di negara orang. Dia tidak tahu, keliru. Tidak tahu apakah status pemuda tersebut kini dalam hidupnya, dan semakin keliru dengan perasaannya sendiri. Astaghfirullah. Dia lekas-lekas beristighfar. Benar, bisikan itu sentiasa memesongkan hati-hati insan yang lemah seperti aku, Allah..tabahkanlah hatiku lagi dan lagi.

Tanpa dia sedar juga, sepanjang perjalanan pulang tadi, langsung dia tidak terfikirkan Johan, sedangkan semalam dia sendiri sudah pun membulatkan tekad untuk melupakan terus Iskandar demi Johan! Ya Allah, ampunkanlah hamba-Mu ini. Jangan Kau izinkan Iblis dan Syaitan mencampuri urusan hidup dan matiku kali ini, Ya Muqiit, Ya Hasib!

Lantas, segera itu juga dia menaip pesanan lalu dititipkan buat Johan, mendoakan supaya lelaki yang disanjunginya itu selamat dalam perjalanan yang ditempuhi. Sambil itu, Sara juga berpesan supaya disampaikan salamnya buat orang tua Johan dan Ainur Adawiyah, adik kesayangan Johan. Semoga semuanya berada elok dalam ketentuan seperti yang telah dirancang oleh-Nya, doanya lagi.

2 comments:

Ainur Naseeha Roslan berkata...

ade nme Ainur..suke2..wlpn tu nme adk awk kn..hehe..=')

Akin Saidah berkata...

ni mcm da kpd citer sara drp anis..

msti citer ni pnjang lagi kan..slmt berkarya..

hehehe xsabar nak baca