Isnin, 6 Februari 2012

Mahu Jadi Power Rangers


Merah Susu dan Kuning

Ketika zaman kanak-kanak, Power Rangers merupakan satu-satunya sebab untuk saya dan rakan-rakan berteleku di hadapan televisyen. Dan saya memikul jerami padi sama beratnya dengan beg sekolah, hampir setiap hari sepanjang musim menuai.

Saya harus katakan ini: Oh, indahnya zaman itu! Tetapi Power Rangers telah menjadikan setiap waktu petang kami lebih advencer dan mengubah sedikit maksud indah zaman-zaman gemilang tersebut atau tepatnya, tahun 90-an, kepada suasana yang lebih radikal.

Ketika itu, memiliki peti televisyen masih merupakan satu kebanggaan bagi sesetengah warga kampung berbanding sebagai satu alat keperluan bagi warga di bandar. Disebut peti juga satu hal yang aneh, tetapi bagi kami, peti yang berpintu kayu dan berkaki empat itu mengandungi sebuah kotak dengan muka depan bercermin yang akan menghasilkan dua jenis output iaitu gambar berwarna dan suara yang disebut orang hari ini sebagai audiovisual apabila suisnya dihidupkan

Rumah saya ditakdirkan Tuhan memiliki satu peti itu. Dan lama sebelum kehadiran peti yang menceriakan itu, kami adik beradik hanya menatap sebuah lagi televisyen berlesen bersaiz 14 inci berkuasa bateri dengan visual tanpa warna. Tetapi apalah bezanya ketika itu antara biru, merah, hijau dan segala unsur plasma yang lain kerana bagi kami, jam 8 malam adalah waktu ideal untuk televisyen itu dinyawakan semata-mata untuk menonton siaran berita bersama ayah. Selepas itu, ia akan perlahan-lahan malap, atau ayah akan mematikannya terus.

Ketika Power Rangers mula-mula menyerang negara ini, ditakdirkan Tuhan, ayah baru membeli peti televisyen berpintu dan berkaki empat itu daripada seorang rakannya. Ia dibaik pulih hampir seminggu sebelum tiba ke rumah kami.  Saya mula jatuh cinta akan Power Ranggers selepas menonton siaran iklan promosinya yang pertama menerusi peti audiovisual ini. Bandai! Itulah kata keramat yang masih melekat dalam ingatan saya. Saya fikir ia merupakan Raja Segala Rangers itu tetapi rupa-rupanya, ia hanyalah kompeni pengeluar barang mainan dari Jepun. Ia bukan Raja Segala Rangers, tetapi Tuhan mereka, tentu sekali.

Iklan pertama itu disiarkan lebih kurang jam 4 petang iaitu sejam awal mengikut jadual waktu bermain saya pada pukul 5 petang. Siaran itu sungguh mendebarkan. Saya tidak pernah melihat sekumpulan pemuda dan dua pemudi bertukar menjadi makhluk asing yang hebat dengan warna kegemaran saya iaitu Merah menjadi ketuanya. Wah, ini sesuatu yang luar biasa. Saya mesti beritahu sepupu dengan segera, Mat Pen! Itulah yang menyendati seluruh fikiran saya ketika itu. Dan jantung saya berdegup kencang. Ia umpama menyaksikan pengumuman penting daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Jepun sedang menyerang negara, dan saya harus bertukar menjadi seorang adiwira.

Saya segera berlari ke rumah sepupu saya itu. Mujurlah jaraknya tidak terlalu jauh. Saya hanya perlu melompat kawat pagar, meredah sedikit padang rumput dan melintasi laman rumah nenek kami sebelum bergegas memanjat tangga rumah Mat Pen. Segera itu juga saya bercerita kepadanya tentang serangan baharu dari negara matahari terbit itu ke atas Malaysia. Saya katakan, ini bukan main-main. Mereka siap boleh bertukar wajah dan terbang di langit malah mempunyai robot gergasi boleh ubah yang perkasa! Dan paling penting, Merah ialah ketuanya! Saya tekankan pada imej ketua itu dengan sungguh-sungguh kerana saya tahu Mat Pen selalu ingin jadi ketua. Malangnya, ia berwarna merah, warna kesukaan saya.

Alang kepalang girang saya apabila Mat Pen turut tertarik, lalu rencana diatur. Kami harus menyebarkan rencana cemas itu kepada rakan-rakan yang lain bagi membentuk perisai keterujaan bersama. Saya rasa berbunga-bunga. Saya pasti, sayalah orang pertama antara kami yang mendapat berita itu dan saya akan diberikan amanah menyebarkannya. Ia sesuatu yang membanggakan apabila menjadi orang pertama mengetahui sesuatu hal atau perkara dan ia pula dianggap penting. Kredit pujian pasti berlebih-lebihan diterima.

Petang itu juga berita mustahak tersebut tersebar ke seluruh kampung. Di sungai, di padang bola, bahkan hingga ke surau, hampir  setiap warga kanak-kanak seusia dan sedikit lebih tua daripada saya mendapat tempias daripada berita yang saya sampaikan itu. Selama ini kami hanya kenal Suria Perkasa Baju Hitam dan Gaban sahaja, tetapi kini sudah tiba wira baharu. Keesokannya, saya pasti semua akan melekat di hadapan televisyen di rumah masing-masing untuk menonton siaran iklan Power Rangers itu sambil sabar menanti tayangan perdananya iaitu seminggu kemudiannya.

Oh, ia memang suatu minggu yang mencemaskan. Ke mana-mana sahaja kami pergi, masing-masing akan bercerita tentang Power Rangers. Masing-masing sudah mempunyai watak idaman. Seperti yang telah saya jangkakan, Mat Pen tetap mahu jadi ketua. Saya tidak punya pilihan lain. Sebagai anak buah yang setia dan patuh, saya redha menyerahkan kostum kesukaan saya itu kepadanya. Sebagai tanda hormat, Mat Pen memakaikan saya dengan kostum Biru selaku penolong manakala seorang lagi kawan kami, Lokman, bangga menjadi rakan kongsi nombor tiga berwarna Hijau.

Masalah baru mula timbul. Kami kekurangan anggota! Anggota ini bukan sebarangan kerana kekuatan batalion warga kampung yang sebaya dengan kami tidak pernah menjadi isu. Kami punya ramai tenaga yang bersedia untuk bergabung pada bila-bila masa sahaja. Kami boleh menghantar surat perlantikan kepada Azizul ‘O’, Wadi, Pijoe, Bolah dan ramai lagi. Masalahnya, mereka berkongsi satu jenis alat yang sama. Alat kelakian mereka itu tidak cocok untuk melayakkan mereka dipakaikan kostum Merah Susu (Oh, waktu itu kami tidak tahu pun ada warna pink) dan Kuning kerana kalau mengikut iklan yang kami tonton, dua orang pemudi telah bertukar menjadi anggota Power Rangers dengan warna-warna tersebut. Jadi kami harus mempunyai satu perancangan sulit, atau tepatnya, pakatan rahsia!

Lokman! Hanya dia yang mempunyai jawapan kepada permasalahan yang sedang kami tanggung itu. Saya berbincang dengan Mat Pen dan selaku penolong ketua, saya rasa bertanggungjawab untuk mencadangkan sesuatu. Tetapi selaku ketua pula, Mat Pen lebih pantas tampil dengan ideanya. Kita harus bermesyuarat dengan Lokman! Saya setuju. Kami ke rumahnya dengan segera. Mesyuarat untuk membincangkan pakatan rahsia itu terpaksa dilangsungkan secara senyap-senyap. Lokman kemudian mencadangkan kami ke sungai di hadapan surau. Kami tahu, cadangan itu sangat molek. Sambil bermesyuarat boleh juga mandi. Wah, ini sangat mengujakan. Kami segera ke sungai. Setengah jam pertama, kami hanya menyelam timbul menyelam timbul, kononnya mencari ilham. Akhirnya, Mat Pen memutuskan kami harus memanjat sebatang pokok Kayu Baharu yang dahannya merintangi sungai tempat kami mandi itu. Kata Mat Pen, kami boleh mengesan musuh jika duduk di atas pokok secara senyap-senyap. Saya senyum. Ketua kami seorang yang cerdas dan saya amat mengaguminya.

Mat Pen mula membuka topik. Mukadimahnya, dia membangkitkan rasa teruja kami kepada Power Rangers apabila menceritakan kehebatan Merah berdasarkan iklan yang kerap kami tonton itu. Kuasanya tiada tandingan, begitu juga Biru dan Hijau. Saya dan Lokman senyum lebar kerana Mat Pen memuji wira kami itu. Akhirnya, kami tiba pada titik perbincangan utama, iaitu menyelesaikan masalah kekurangan anggota kumpulan. Kami perlu segera mencari Merah Susu dan Kuning jika tidak mahu kalah menentang musuh, yang ketika itu terbayang di fikiran saya ialah Wadi dan Pijoe, dua orang adik beradik yang selalu membuli saya. Mentang-mentanglah saya ini kecil!

Lokman senyum sahaja sebelum ketawa. Itu tak jadi masalah, kata Lokman. Wah, ini sudah cukup bagus. Saya tahu apa yang ada dalam fikirannya ketika itu. Kuasa telepati saya  bukanlah hebat sangat dan saya pun tak mampu membaca fikirannya, tetapi sekilas air di sungai, saya sudah tahu jenis ikan itu sama ada Seluang atau Tebang Sisik. Hanya dua jenis ikan itu sahaja yang selalu bermain di dalam sungai kami. Sama juga seperti Lokman. Saya sudah tahu idea bernas yang akan terbit dari mulutnya itu. Segera saya memetik jari dan memotong cakapnya. Asmah dan Fatimah! Lokman senyum. Mat Pen senyum. Kami lalu ketawa beramai-ramai. Masalah sudah berjaya diselesaikan. Merah, Biru, Hijau, Merah Susu dan Kuning, lengkap!