Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan

Ahad, 3 Julai 2011

Gadis Jambu Merah


1

Kg. Garok. 4.15 PM.

Tret tett..tret tett…
Petang ni bersidang. Lokasi biasa.

2

Kg. Merbau. 4.16 PM.

Tret tett..tret tett…
Petang ni bersidang. Lokasi biasa.

3

Bidin tercengang. “Apahal mamat ni?” soalnya sendirian. Dia menggaru-garu lututnya yang tidak gatal. Topi keledarnya disangkut pada pemegang motosikal. Enjin dimatikan. Ada hal penting agaknya.

Orait.

Pesanan itu segera dibalas.

4

Sazly menongkat galah pandak itu ke sisi. Dia mengelap peluh yang bercucuran di ketiaknya itu. Digarunya halus. Diciumnya pula jemari itu. Hamis. Mindanya berputar ligat. Bersidang? “Apahal budak ni?” soalnya seorangan.

Apahal, oit?

Pesanan itu dibalasnya. Lama dia tunggu, tapi tiada reaksi lanjut. Hmm…mesti penting ni. Dia membuat rumusan awal.

5

Ipin senyum. Dia terbayang-bayang kejadian sebentar tadi. Kejadian yang kini hebat menghantuinya. Hantu yang tidak menyeramkan sama sekali sebaliknya menyemarakkan semangatnya untuk lekas bertemu dua orang sahabat karibnya itu.

Andai hati ini sang kecapi
Perasaan jadi talinya
Engkau memetik jari jemari
Berlagu irama duka dan lara

Ipin sengih. Dia menepuk-nepuk papan pangkin bersulam batang pinang itu. Dia terbuai sendirian. Daun jering yang berjuntaian di kepalanya tidak semena-mena bertukar menjadi bebintang walaupun hari masih siang. Ipin merebahkan badannya. Lutut kanan dipanggungnya di atas lutut kiri dan digoyang-goyangkan sementara jemarinya pula bergedik-gedik di atas dadanya. Senyum dan sengihnya kian panjang. Batu pun boleh direpih dengan senyuman itu. Bisanya, selar pun boleh tersipu menyimpan taring.

Andai tubuh ini boneka
Nalurinya benang sutera
Engkau di dalam mengawalnya
Ke timur ke utara ke mana jua

Oh, bagai. Oh, merah. Oh, e-reload. Ipin menekan butang-butang pada telefon bimbitnya. Baki ditambah tadi belum menyusut. Oh, masa. Alangkah bagus kamu boleh aku undur. Ipin menyimpan angan lagi.

6

Kak Ton E-Reload Sdn. Bhd., Sg. Bayor. 2.40 petang.


“Akak, macam biasa. Lima ringgit punya,” sapa Ipin sebaik melangkah masuk ke dalam kedai tambah nilai itu.

“Engkau ni Pin. Bila laa nak tambah 30 ke, 50 ke..” balas Kak Ton dalam nada mengeluh. Asal masuk je, tambah lima. Sejak pagi tadi lagi semuanya tambah lima. Kecuali seorang yang baru tadi tambah 50, yang lain semuanya lima. “Kad atau masuk terus?” soalnya lagi.

“Belum kaya lagi kak..hehe..Bagi yang kad punya,” kata Ipin pula. Dia menyengih bagai kerang busuk.

“Habis aku ni pun nak kaya jugak. Meniaga macam ni lambat untung kalau orang macam kamu ni ada 50 orang lagi..huh!”

“Alah akak ni, hari-hari apa saya tambah. Kalau seminggu 7 hari, akak darab lima, hah berapa?”

“Engkau tambah lima, aku cuma dapat dua puluh sen. Tujuh kali baru seringgit empat puluh sen aku dapat. Banyak?”

“Memanglah tak banyak. Tapi kalau 50 orang macam saya? Cuba Kak Ton kira?”

“Seringgit empat puluh sen kali 50…alahai Ipin, sewa tapak pun belum cukup.”

“Itu baru 50 orang tambah lima kak. Tak kan hari-hari semua tambah lima je. Tentu ada yang sepuluh, dua puluh, tiga puluh kak.. Hah tu, tengok tu. Lima puluh pun ada. Eh siapa ni kak?” tanya Ipin sambil mengalihkan  buku catatan tambah nilai di hadapannya itu ke arahnya.

“Itu? Sarimah, anak Pak Teh Hussein Air Jambu Kampung Tapah,” jawab Kak Ton acuh tak acuh. Malas dia nak layan si Ipin itu.

“Sarimah?” Ipin seperti tertarik dengan nama itu. Belum pernah dia dengar nama Sarimah di kampungnya. Kak Sarimah yang seorang itu sudah kahwin, tapi dia anak Pak Long Rahman. Ini anak Pak Teh Hussein mana pula ni.

“Kenal ke kamu?” tanya Kak Ton setelah dilihatnya Ipin seperti memikirkan sesuatu. Pelik.

“Manalah saya kenal kak. Saya ni pun jarang-jarang balik kampung. Kaya budak ni ye kak. Tambah 50 sekali gus,” ujar Ipin kagum.

“Orang ada duit, bukan macam kamu tu!” Sentap. Ipin terkesan dengan kata-kata berbisa itu tapi dia faham. Kak Ton memang gurau kasar. Kena pulang paku buah keras ni.

“Aii..akak ni. Mana top-up saya ni kak. Dah lama ni saya tunggu. Banyak lagi urusan nak selesaikan. Kalau dok sini layan akak, sampai Isyak pun tak habis.”

“Ahah, banyak la kamu. Aku yang penat layan kamu. Nah..” cebik Kak Ton sambil menghulur kad isian semula bernilai RM5 kepada Ipin. “Lama ke kamu cuti, Pin?” soalnya lagi.

“Lama jugaklah kak. Kalau bertunang, sempat kahwin kot..hehe..”

“Iyalah tu. Berapa bulan?”

“Ompet bulan!”

“Humang aih..lamo tuh. Buleh la ekau lepak sini hari-hari teman akak hehe..” balas Kak Ton sambil tersengih-sengih. Lucu rasanya bila bertutur dalam loghat Nismilan begitu. Dia tahu Ipin memang gemar ajuk loghat orang Minang. Dulu katanya, Ipin pernah cuba-cuba sangkut dengan gadis Negeri ketika tahun pertama di universiti tapi masuk tahun dua kandas. Tak kemana juga akhirnya. Kak Ton tersenyum sendirian.

“Sini? Teman akak? Tak payahlah kak. Kalau akak nak tanggung makan minum saya hari-hari tak apalah,” balas Ipin. Dia menggores kad tambah nilai tersebut dengan syiling yang disediakan oleh Kak Ton.  Tiba-tiba seorang gadis berbaju merah masuk. Dia memberikan salam.

“Assalamualaikum!”

“Wa’alai…kumussalam,” Ipin yang seolah terkejut dengan kehadiran gadis itu jadi gagap. Matanya terpana. Sekilas, semerbak  harum bau menerkam kalbu, menerobos jiwa terunanya.

“Wa’alaikumussalam, Sarimah. Nak tambah lagi?” tanya Kak Ton, empunya kedai reload itu. Dia sedikit kehairanan dengan kedatangan Sarimah. Baru sebentar tadi sebelum Ipin datang, gadis itu sudah tambah nilai. Mahu lagi?

“Eh taklah kak,” jawab Sarimah mesra. “Ni kak, yang saya top-up tadi, belum masuk lagilah,” katanya lagi. Ipin menyisih ke tepi. Matanya kerling-kerling pada gadis itu. Dupp dapp dupp dapp..

“Oh, gitu. Kejap akak check ok. Duduklah dulu. Hah, Ipin, bagi kerusi tu kat Sarimah.” Perintah Kak Ton itu segera dipatuhi oleh Ipin. Dia menyonsong  kerusi plastik di sebelahnya kepada Sarimah.

“Terima kasih, bang.” Sarimah menghadiahkan seulas senyuman buat Ipin. Luruh. Jantungnya seolah kehabisan darah untuk dipam dan diproses. Impulsenya juga seolah kaku. Begitu juga deria lihat, bau dan dengar, semuanya seolah disfungsi. Hanya bibir yang masih boleh bekerja, lalu seukir senyuman dibalas.

“Sama-sama, Cik Sarimah…” jawab Ipin. Gugup.

“Hmm..akak dah hantar tadi. Cuba kamu tengok ni. Mungkin laluan sibuk kot,” kata Kak Ton sekali gus mematikan kembara asyik Ipin.

“Bukan laluanlah kak, line..talian!” tiba-tiba Ipin mencelah.

“Ah, mana-mana ajelah. Kau ni Ipin kalut betul!” sergah Kak Ton. Dia menyeringai dengan mata yang luas dijegilkan ke arah Ipin sambil disambut dengan ketawa  oleh Sarimah. Ipin tersipu-sipu. Dia jeling lagi ke arah Sarimah.

“Dua-dua pun boleh Kak Ton, Abang Ipin. Asalkan tambah nilainya sampai,” kata Sarimah pula. Mereka bertiga ketawa serentak. “Ehmm..kalau macam tu tak mengapalah Kak Ton. Saya balik dululah. Bukan apa, abang yang bising-bising tadi. Top-up tak masuk katanya. Saya suruh ambil yang kad dia tak mahu,” katanya lagi.

“Akak minta maaflah ya. Mungkin lewat sikit kot. Biasalah kan, kampung macam kita ni line selalu sibuk. Sampaikan salam akak pada abang kamu,” balas Kak Ton.

“Baiklah kak. Saya pergi dulu. Assalamualaikum..”

“Baik budak tu kan kak..berapa umurnya?” Ipin mula menyiasat sebaik saja Sarimah berlalu pergi dengan scooternya.

“Entahlah Pin. Akak pun tak pasti. Sarimah tu anak ketiga Pak Teh Hussein. Kakaknya, katanya belajar  kedoktoran di UKM. Salamiah namanya kalau tak silap akak. Si Sarimah ini pun belajar lagi rasanya sebab jarang-jarang akak tengok dia. Macam kamulah juga, nak balik kampung pun susah,” leter Kak Ton. Ipin hanya tersengih. Maklumat itu belum cukup baginya.

“Hehe..terima kasih Kak Ton yang comel. Saya gerak dulu. Kirim salam Abang Jali ye. Adios!!”

“Hah..dah tak tahu nak bagi salam?”

“Ya Allah, kau sejahterakanlah Kak Ton yang comel ini selalu. Aminnn..” usik Ipin nakal. Dia ketawa kecil sambil berlalu pergi meninggalkan Kak Ton yang masih mencebikkan mukanya. Geram campur geli hati melayan budak kampung yang cerdik seperti Ipin itu. Itu belum datang lagi dua orang sahabatnya si Bidin dan Sazly. Semuanya suka bikin onar di kedainya itu. Jarang-jarang sekali mereka datang tapi setiap kali datang, pecah dinding segala bagai dengan ketawa masing-masing. Kalau Abang Jali ada lagilah. Menjadi-jadi.

7

Pangkin Rumah Sazly. 5.45 petang

“Hah, apahal penting sangat?” soal Bidin. Dia tak sabar-sabar lagi. Sebaik melabuhkan punggungnya tadi, dia terus menerka Ipin dengan soalan itu. Sazly mengangguk-angguk. Dia juga butuh jawapan. Ipin tenang. Dia sengih seperti selalu.

“Biar ayahanda duduk dulu,” kata Ipin sambil duduk di hujung pangkin.

“Ah…..ayahanda tak ayahanda. Aku dah batalkan game petang ni tau tak. Berapa banyak aku dah rugi sebab mesorat ni. Belum kira awek-awek kampung yang tiap-tiap petang tunggu aku turun main. Sekarang baik kau bagitahu cepat,” bentak Sazly. Dia dah tak sabar menunggu penjelasan Ipin.

“Ceh..futsal tu malam nanti pun boleh main. Ini lagi mustahak. Urgent! Aku perlukan bantuan enta-enta berdua,” jawab Ipin. Dia berlagak tenang seraya mengeluarkan telefon bimbitnya. Skrin disentuh lalu memencar cahaya putih. Dia menggilir-turun program hingga tertera senarai nama dalam simpanan nombor kenalan. Dia menunjukkan suatu nombor telefon kepada Sazly dan Bidin.

“Tengok ni!” gesa Ipin. Bidin mengensot sedikit bagi memberikan ruang kepada Sazly. Pangkin itu kecil tetapi panjang dan beralaskan tikar getah bercorak kotak-kotak hitam putih. Ia tersudut kemas di bawah dua pohon rambutan rendang di hujung penjuru pagar rumah Sazly. Suasana begitu cukup menyamankan.

“Apa? Nombor siapa ni?” soal Bidin. Dia kehairanan.

“Sarimah. Tapi ni nombor abang dia, Hadi. Tak apa, yang penting sekarang Sarimah” jawab Ipin lekas.

“Ada apa dengan nombor ini sahabat? Sarimah mana?” soal Sazly pula.

“Haa..ini yang aku nak bagitahu ni. Kamu berdua dengar sini baik-baik.” Bidin dan Sazly berpandangan sesama sendiri. Bingung dibuatnya.

“Adapun seperti yang kalian berdua tahu, hari ini 27hb Jun 2011,” Ipin menuturkan kata-kata dengan tenang dan lancar. Dia menarik nafas.

“Oit, boleh potong tak? Aku malas nak dengar madah-madah kau petang-petang macam ni,” bentak Sazly. Dia sedikit bengang.

“Sabar boleh? Adapun hari ini, genaplah sudah tiga tahun aku menyolo. Seperti yang kamu dan kamu tahu..,” kata Ipin sambil memandang wajah kedua-dua orang sahabat hidup dan matinya itu. “Selama tiga tahun ini, aku melalui pelbagai susah dan senang. Bergelar pria single dalam usia begini bukan mudah sahabatku. Tak macam kau Sazly. Kau ada Rosmilah yang selalu ada di sisi waktu susah dan senang. Dan kau, Bidin, walaupun kau tak ada steady girlfriend, tapi aku tahu kau punya ramai scandalsss di Kuala Lumpur. Tapi aku, ke hulu ke hilir, makan minum tengok wayang, semuanya seorang.”

“Woih, baik sikit cakap tu. Aku baik. Anak tok bilal macam aku ni mana ada bersosial,” Bidin meradang. Ipin tidak mempedulikannya.

“Sahabatku, enta tahu tak?” tanya Ipin kepada mereka berdua. Dia menjegilkan matanya. Sambil menepuk-nepuk dadanya , dia meneruskan syarahan petangnya itu, penuh emosi. “Aku sunyi hukhukhuk..”

“Halah halah..aku sekeh juga mamat ni. Itu je? Habis selama ni kami berdua kat tepi, kiri, kanan, depan, belakang kau, untuk apa?”

“Ishh..sahabatku. Enta jantan. Nak buat apa? Bukan boleh bagi zuriat pun!”

“Adoi brader..lu bikin sengallah. Lu nak apa sekarang? Ni Sarimah nih, siapa?” bentak Sazly. Dia makin tidak sabar dengan kerenah sahabatnya itu.

“Ahah, ini yang aku nak khabarkan ni.” Ipin bingkas berdiri. Dia menepuk-nepuk punggung dan berjalan ke arah motosikalnya. “Sekarang ikut aku!” katanya lagi.

8

Persimpangan Jalan Besar, Kg. Tapah. 6.40 petang.

Tidak jauh dari rumah Sazly, mereka bertiga singgah di sebuah gerai di tepi jalan. Di gerai itu terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang dijual bergantungan dan berlonggokan. Pisang, nenas, jambu batu. Berwarna-warni. Penggerainya, Hadi, juga menjual sukun goreng dan air jambu. Saban petang gerainya dikunjungi budak-budak kampung dan orang ramai tak putus-putus. Namun kedatangan Ipin, Bidin dan Sazly pada petang itu ada hajat yang lebih besar, untuk menyunting Sarimah!

“Bang, bagi ayaq jambu ni tiga. Asam taruk lebih ok!” pinta Ipin. Dia bersemangat. Sazly dan Bidin yang mengekorinya sejak tadi tersenyum-senyum. Ipin mahu belanja. Ini ajaib!

“Rezeki kamu semua..ini last kopek dah ni” balas Hadi. Dia mengambil bekas untuk diisi dengan air jambu yang dipesan.

“Nak tutup dah ke bang?” soal Ipin. Sebagai menggalas hajat besarnya itu, satu perbualan harus dibuka disusuli sesi ramah mesra yang seterusnya,

“Ha’ah”

“Macam kencang je bisnes abang ni kan..” celah Bidin pula.

“Bolehlah. Musim kemarau macam ni oklah..kalau musim hujan, hah sakit jugalah. Kamu bertiga ni dari mana?”

“Saya orang sini juga bang. Kawan saya ni Kampung Garok. Yang tu pula Kampung Damak,” giliran Sazly pula bersuara sambil menepuk-nepuk bahu kedua-dua orang sahabatnya sebagai isyarat perkenalan kepada Abang Hadi. Dia mencelah masuk di tengah-tengah antara Ipin dan Bidin menyebabkan Bidin sedikit terkesamping.

“Patutlah tak pernah nampak. Nah..abang bagi free air ni. Minumlah!” balas Hadi sambil tersenyum lebar. Anak muda bertiga di hadapannya itu dirasakan istimewa baginya. Ada sesuatu yang menarik pada mereka bertiga.

“Ohoh terima kasih bang. Murah rezeki mudah-mudahan,” kata Ipin. Sazly dan Bidin mengangguk-angguk sambil tersenyum mesra. “Aminn..” kata mereka berdua serentak. Bidin dan Sazly menyambut air yang dihulurkan oleh Hadi itu.

“Ehmm bang, tanya sikit boleh?” tanya Ipin tiba-tiba.

“Kau nak tanya apa?”

“Abang ni, anak Pak Teh Hussein?”

Hadi diam seketika. Ipin jadi serba-salah, bimbang-bimbang kalau soalan itu tidak kena waktu dan tempatnya, atau mungkin salah orang. “Arwah dah tiga tahun meninggal. Abang anak sulung. Sekarang abang ambil alih bisnes air jambu dia,” jawab Hadi jujur. “Kenapa kau tanya?”

“Hehe…tak ada apa-apa. Saya tak pernah singgah sini selama  ni. Selama ni dengar orang cakap je. Hari ni baru dapat rasa. Sedap!” jawab Ipin berterus-terang. Lega. Kak Ton tak pernah menipu. Tapi niat sebenarnya masih belum diserlahkan. Biar perlahan-lahan, pesan hatinya sendiri.

“Biasa je dik. Dah lama air jambu ni kat sini. Arwah pun sampai lekat nama Hussein Air Jambu. Arwah besarkan kami adik-beradik dengan hasil air jambu inilah. Besar jasanya. Cuma….” Hadi diam seketika.

“Kenapa bang?” soal Bidin pula lekas. Dia turut tertarik dengan perbualan antara sahabatnya itu dan Abang Hadi.

“Satu cita-cita arwah belum tercapai. Arwah nak besarkan bisnes ni sebenarnya. Dia dah lama simpan hasrat nak buka ladang jambu tapi asyik terbantut. Macam-macam halangan. Sampailah arwah pergi, satu pokok jambu pun tak sempat dia tanam. Abang pun tak mampu nak teruskan hasratnya itu,” jawab Hadi. Nada suaranya perlahan. Tutur katanya kedengaran satu persatu, disusun jelas.

“Ooo…” balas Bidin dan Ipin hampir serentak.

“Kamu bertiga ni, tak selalu nampak di kampung. Belajar lagi ke?” giliran Hadi pula menyoal. Dia mengalih topik. Sambil itu dia mengelap meja dan mengemas barang-barang niagaannya. Dia perasan akan kelainan perawakan ketiga-tiga anak muda itu. Tidak sebiasa budak-budak kampung yang lain.

“Ikutkan begitulah bang. Kawan-kawan saya ni belajar di Kuala Lumpur. Saya di Pulau Pinang. Sekarang cuti bolehlah balik kampung lama sikit,” jawab Ipin. Dia menguis serbuk asam yang sedikit tertumpah di atas penutup bekas airnya itu. Bidin dan Sazly hanya tersenyum. Mereka memerhatikan Hadi melakukan kerja-kerjanya. Cekap dan pantas, sekali gus menjadi isyarat betapa dia mahir dengan kerjanya itu. Sekejap saja meja itu sudah selesai dikemaskan.

“Baguslah. Dua orang adik abang pun masih belajar,” beritahu Hadi tanpa memandang mereka bertiga. Dia menarik keluar tong gas yang terperosok di bawah meja. Kepala penyambung dapur dicabut dan disimpan di dalam sebuah almari kecil bersama dapurnya.

Ipin tiba-tiba berdebar-debar. Dua orang adiknya masih belajar? Tentu salah seorang daripadanya ialah Sarimah seperti yang dikatakan oleh Kak Ton tadi. Kalau benar, maka usahanya semakin membuahkan hasil. Sazly, Bidin, lepas ni hari-hari aku belanja kamu berdua minum air jambu! Dia membulatkan azam di tengah-tengah tahun itu.

“Seorang di UKM buat Sarjana. Adiknya, di UPM, di tahun tiga,” kata Hadi lagi. Dia duduk sebentar melepaskan lelah selepas mengangkat tong gas tadi ke dalam van. Ipin semakin tertarik. Mahu saja dia menyampuk untuk mendapatkan kepastian tetapi ditahannya. Biarlah Abang Hadi yang bercerita.

“Hebat juga adik-adik Abang Hadi ni ya,” tiba-tiba Sazly mencelah.

“Manusia tak ada yang hebat, dik. Yang hebat cuma Allah Taala. Kita cuma berusaha. Yang nampak hebat tu mungkin kerana usaha itu lebih dari orang lain, lebih dari orang biasa, lalu Allah kurniakan rezeki yang lebih atas asbab usaha dan kesungguhan itu. Kita semua sama, baik akal mahupun jasmani. Allah tetapkan pada setiap manusia itu satu takdir. Tapi Allah sembunyikannya, sebab Allah mahu kita berusaha menyingkapnya. Satu persatu akan terhijab, lekas ataupun lambat, tapi yang pasti tetap akan terhijab bila tiba waktunya. Usaha dik, usaha. Hanya itu yang diperlukan.” Hadi diam seketika. Syarahnya, adalah syarah sang peraih redha yang terbiasa dengan ketentuan Allah. Semoga anak-anak muda di hadapannya itu faham.

“Betul tu bang. Saya setuju. Err..boleh saya tanya? Yang di UPM tu, Sarimah namanya, kan?” soal Ipin. Dia tidak dapat bersabar lagi. Dia menunggu reaksi Abang Hadi penuh debar. Hadi bingkas bangun dan menuju ke meja gerainya.

“Mana kamu tahu?” tanyanya kembali. “Memang Sarimah namanya. Adik bongsu abang. Kami tiga beradik saja,” kata Hadi lagi tanpa sempat Ipin menjawab soalannya itu.

“Oh, begitu. Hmm..oklah bang. Hari pun lewat dah ni. Kami mintak diri dululah ye,” kata Ipin. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Hadi diikuti Bidin dan Sazly.

“Baiklah. Senang-senang datanglah lagi,” balas Hadi sambil tersenyum. Dia berjabat tangan dengan ketiga-tiga anak muda itu. Terasa sudah lama kenal.

“Insya-Allah bang,” sambut Ipin. Dalam hatinya, wajib hari-hari! Sambil tersenyum puas dan penuh harap, Ipin berlalu pergi. Sazly dan Bidin mengekorinya. Masing-masing bingung. Jawapan yang dicari belum ditemui, tapi bunga-bunganya sudah hampir kelihatan. Sarimah. UPM. Tentu ada kaitan dengan keghairahan si Ipin ni, fikir Sazly sendirian.

Sebaik meninggalkan gerai Abang Hadi tadi, Ipin pun bersuara. “Enta berdua ada dengar? Sarimah, adiknya. Belajar di UPM..hehe,” kata Ipin sambil tersengih-sengih. Dia mengangguk-angguk. Motosikal EX5 Dreamnya ditunggang cermat, beriringan dengan LC si Sazly yang dibonceng oleh Bidin. “Tiga tahun sahabat-sahabatku, tiga tahun. Maka hari ini aku rasakan hari yang indah!” kata Ipin lagi seakan-akan mahu menjerit riang.

“Woit..kau ni apahal? Kau nak tackle adik Abang Hadi? Sarimah? Macam tu?” soal Bidin bertalu-talu sambil cuba melawan deruman enjin kedua-dua motosikal kawan-kawannya itu.

Absolutely right, my friend!

“Ahah, aku dah agak sejak tadi lagi. So, apa tindakan seterusnya? Aku sedia membantu hahahaha..” kata Sazly sambil ketawa besar. Lucu rasanya. Ipin nak mengorat? Ipin nak bercinta lagi? Hampir tidak dapat dipercayai langsung! Tiga tahun dulu Ipin pernah berpacaran dengan budak Negeri. Cinta hatinya itu dipuja bagai nyawanya sendiri. Sudahnya, nyawa itu yang melayang pergi ke jasad lain dan meninggalkannya sendirian. Ipin menderita tiga tahun. Dan tiga tahun itulah Ipin pesimis dengan perempuan, malah hampir-hampir membenci terus. Tapi hari ini Ipin sudah berubah. Ipin mahu pasang lagi!

“Malam ni kita bersidang lagi, ok?” jawab Ipin sambil menoleh ke arah kawan-kawannya itu. Dia mengelak tompokan tahi lembu kering yang bertempekan di atas jalan

“Tempat biasa?” soal Bidin pula.

“Kedai Mat. Aku lapar burger daa..” usul Sazly lekas.

“Aku setuju. Lagi setuju kalau Ipin belanja hehe..” jawab Bidin sambil tersengih panjang.

“Yelah yelah..pukul 9.30, ok?”

“Okeh, bro!”

“Demi Sarimah, pizza hari-hari pun aku sanggup hahaha…”

“Terbaik!” sahut Sazly. Mereka bertiga ketawa panjang. Bidin senang melihat Ipin senyum dan ketawa begitu. Sudah lama Ipin jadi pendiam selepas ditinggalkan kekasihnya dulu. Kali ini dia juga berazam untuk membantu Ipin semampu yang boleh termasuk menemaninya ke gerai Abang Hadi anak Pak Teh Hussein Air Jambu itu setiap hari. Untung-untung boleh minum free selalu.

9

Teratak Hadi, Kg. Tapah. 9.00 malam, 12 Mei 2014.

“Imah, sudah siap semua?” tanya Hadi sebaik sahaja dia menjenguk masuk ke ruang makan. Dilihatnya Sarimah sedang tekun menyiapkan hidangan di atas meja. Adik kesayangannya itu berpaling dan menguntumkan senyuman manis kepadanya.

“Dah, bang. Dia orang datang pukul berapa?” tanya Sarimah.

“Ikutkan abang janji lepas Isyak. Sekarang dah pukul 9.00..kejap lagi sampailah tu,” jawab Hadi mesra. Dia menghampiri meja hidangan. “Waduh harum-harum belaka. Apa kau masak ni dik? Masak merah daging pun ada? Ni kepak ayam perap, kan? Kesukaan abang ni!” katanya lagi sambil tersenyum lebar.

“Alhamdulillah bang. Kak Ton datang tolong sikit-sikit tadi. Adik dah jemput dia dan Abang Jali. Mungkin sebentar lagi sampailah tu,” kata Sarimah. Dia menanggalkan apron dan berlalu pergi menuju ke dapur.

“Baguslah kalau macam tu. Abang pun ada jemput si Jali waktu di masjid tadi. Nak ajak ramai takut tak cukup pula,” kata Hadi. Dia ketawa kecil. Sarimah muncul semula dari dapur bersama dulang berisi gelas. Dia senang hati melihat gelagat abangnya itu. “Tak mengapa bang, nanti kita buat kenduri kesyukuran pula sebelum kami berangkat,” katanya.

“Insya-Allah. Abang pun hajatnya begitulah. Mungkin minggu hadapan. Tak apalah, abang ke depan dulu. Kat sini susah nak dengar kalau-kalau ada orang datang ke, bagi salam ke..”

“Ok!”

10

Kampung Kuala Sg. Rambutan. 9.00 malam, hari yang sama.

Sazly tergesa-gesa turun dari rumah mentuanya itu. Dia lekas-lekas menuju ke kereta Integranya. Sambil itu dia mengomel sendirian. Macam mana boleh lupa ni. Nasib baik isterinya peringatkan tadi, kalau tidak, mengamuklah si Bidin tu.

“Sayangg..buat apa lagi tu. Kita dah lewat ni…” jeritnya apabila kelibat Rosmilah tidak muncul-muncul walaupun enjin kereta sudah berderuman di halaman rumah.

“Lewat apanya abang. Kan sayang kat sebelah ni? Apa laa orang tua ni,” jawab isterinya.

“Ait…bila kamu masuk?” tanya Sazly ketakjuban.

“Itulah, pakai kereta mahal tapi tak pandai nak hargai langsung. Ini kan Integra bang, bukan Kancil. Tutup pintu pun tak berbunyi,” balas Rosmilah. “Dah dah..kita dah lewat kan. Gerak sekarang bang,” katanya lagi.

Deruman enjin V10 generasi terbaharu Integra Type R bingit membelah kegelapan malam di Kampung Kuala Sungai Rambutan itu. Walaupun berkuasa tinggi tetapi ia harus dipandu cermat dan berhati-hati. Di kampung begitu, apa-apa pun boleh dengan tiba-tiba sahaja melintas terutamanya babi hutan. Lembu dan kerbau usah ceritalah. Hanya kepakaran pemanduan sahaja diperlukan khususnya untuk mengelak tompokan tahi haiwanan tersebut di atas jalan. Bagi Sazly dan Rosmilah, ia cuma najis tetapi tidak bagi Abang Hadi, Bidin dan Sarimah. Ia adalah baja. Ia kompos yang paling diidam-idamkan oleh tanah ladang mereka.

11

Jalan Besar, Selama.

Salmiah terjaga dari lenanya. Dia mengintai ke luar. Suasana di pekan Selama tergambar jelas. Lampu-lampu jalan yang melimpahkan cahaya merah dan jingga membangkitkan suasana itu, suasana yang sama selama hampir berpuluh tahun. Tiada pembangunan yang rancak. Mudah dan ringkas. Bila malam, pekan itu umpama kota kuburan yang didiami oleh sekumpulan penggali kubur seperti dalam sesetengah cerita zombi Hollywood.

Dia mengisarkan badan sedikit. Di sebelahnya, sang suami tercinta asyik dengan pemanduannya. Berhati-hati. Entah apa juga yang difikirkan. Salmiah malas hendak menegur atau memulakan perbualan. Perjalanan mereka sejak dari Johor Bahru tengah hari tadi sudah disulam dengan pelbagai topik dan isu terutamanya hal-hal politik dan Melayu. Suaminya itu, teguh Melayunya. Tak boleh disangkal-sangkal.

Kurang sepuluh minit lagi sampailah ni, pujuk hatinya. Sarimah dan Abang Hadi. Dua insan yang dirindui. Wajah mereka terlukis lagi di pandangannya. Keluarga itu dahulu kecil. Hanya bertiga. Namun sejak tiga tahun lalu, ia sudah membesar tanpa membiak. Kehadiran tiga orang baru sekaligus telah mengubah lanskap keluarganya menjadi sebuah taman kehidupan penuh warna-warni. Sejak ayah dan ibunya pergi, Abang Hadi dan Sarimah sahajalah yang menjadi bantal dan selimut kehidupannya. Bantal itulah yang menemani tidurnya dan selimut itulah yang selalu melindungi dirinya. Kini, Sarimah dan Abang Hadi sudah meniti hidup masing-masing dan dia juga sama, bersama suami tercinta.

12

Perkarangan Teratak Hadi, Lot 3011-A Kg. Tapah.

Sebuah Integra berwarna putih tiba tepat jam 9.05. Pemandunya, Sazly keluar dan disambut oleh Hadi, mesra. Rosmilah hanya tersenyum melihat gelagat dua orang lelaki itu berpelukan dan saling bergurauan.

“Sarimah ada di dalam. Masuklah dulu,” kata Hadi kepada Rosmilah. Tanpa berbasa-basi, Rosmilah gegas masuk ke banglo tiga tingkat itu. Dia langsung ke dapur mencari Sarimah. Sementara itu di luar, Hadi dan Sazly masih berbual-bual. Tidak lama kemudian, muncul pula sebuah kereta pacuan empat roda Mitsubishi ASX berwarna merah hati. Ia SUV Ipin, kenderaan yang diimpikan sejak dahulu lagi.

“Hah, itu Ipin dah sampai. Kereta baru lagi,” kata Hadi.

“Biasalah bang. Ipin memang gila kereta!” sahut Sazly sambil ketawa.
Ipin keluar dari keretanya lalu mendapatkan Sazly dan Abang Hadi. Mereka bersalaman dan berpelukan. Tidak lama kemudian, keluar pula isterinya bersama barang penuh di tangan. Dia terkial-kial.

“Abangg..tolonglah sama. Hisshh..pantang jumpa geng!” jerit isterinya itu. Sazly, Abang Hadi dan Ipin ketawa serentak. Ipin segera mendapatkan isterinya untuk membantu.

“Jomlah kita masuk,” kata Hadi kepada Sazly.

“Eh bang, kejap bang. Ada yang tak kena ni..”

“Apa?”

“Mana Bidin? Tak nampak-nampak pun?”

“Oh, Bidin. Kejap lagi sampailah tu.”

Pin Pinnn…tiba-tiba sebuah trak pick-up Navara meluncur masuk ke perkarangan Teratak Hadi. Trak berwarna hitam kepunyaan Hadi itu dipandu oleh salah seorang pekerjanya. Di sebelahnya, kelihatan Bidin sedang tersenyum megah. Sazly dan Ipin sudah tiba. Kini semuanya sudah lengkap. Dia tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu mereka.

“Woih Bidin. Kau ke mana, hah?” sergah Ipin sebaik sahaja Bidin melompat keluar dari kenderaan utiliti sukan itu.

Bidin ketawa. Dia segera mendapatkan sahabatnya itu, dirangkul dan didakapnya penuh mesra. Sazly menyertai dua orang sahabatnya itu. Mereka berpelukan untuk seketika.

“Sihat kau Ipin?” tanya Bidin sebaik merungkai pelukan.

“Kau ni Bidin, bilalah agaknya nak panggil aku abang?” soal Ipin kembali. Sazly hanya tersenyum simpul. Dia juga gembira melihat mereka bertiga kembali bersatu. Sementera itu, Hadi yang sudah berdiri di muka pintu terataknya hanya memerhatikan gelagat tiga anak muda itu. Empat tahun dahulu, tiga anak muda itu dirasakan istimewa dan hari ini, ia benar-benar istimewa buat dirinya.

“Bila kau dah jadi ayah dan aku dapat anak saudara sulung,” jawab Bidin. Dia ketawa lagi.

“Eh jomlah masuk. Abang Hadi dari tadi tunggu kita,” gesa Sazly tiba-tiba. “Kat dalam nanti kita borak lagi,” katanya lagi.

“Jomlah. Mazlan, kau bawakan ais tu ke dalam,” perintah Bidin kepada pekerja abangnya itu.

13

“Alhamdulillah, semuanya dah sampai. Ipin, Sazly pun dah ada. Dah lama kan kita tak bersama macam ni. Satu keluarga besar,” luah Sarimah sebaik sahaja mereka semua duduk di ruang tamu. Dia mengerling ke arah Bidin. Lelaki itu hanya membalas dengan senyuman manis, seperti selalu.

“Itulah kan. Jarang-jarang dapat balik, nak buat macam mana. Sibuk semuanya,” sambut Rosmilah pula. Perbualan menjadi meriah apabila masing-masing mengimbau kenangan silam. Masing-masing tidak mahu ketinggalan bersuara.

“Assalamualaikum,” tiba-tiba satu suara memberi salam kedengaran dari luar. Sarimah gegas menuju ke muka pintu. Dia kenal suara itu.

“Waalaikumussalam. Kak Ton, Abang Jali..masuklah.”

“Semua dah ada ya?” tanya Kak Ton sebaik sahaja menyambut salam yang dihulurkan oleh Sarimah.

“Alhamdulillah, kak. Semua dah sampai. Masuklah”

“Hah Jali..masuk masuk,” sapa Hadi sebaik sahaja melihat kelibat lelaki itu melangkah masuk.

“Wah, semua dah ada. Keluarga doktor-doktor belaka ni. Macam-macam doktor, kan. Dr. Sazly dan isterinya Dr. Rosmilah, Doktor Bahasa.  Dr. Ipin pula dengan Dr. Salmiah, Doktor Sastera…like always!” Kata-kata Abang Jali menyebabkan mereka semua ketawa serentak. Lucu dirasakan.

“Ini Dr. Sarimah dan Dr. Bidin, jangan dilupa bang. Doktor Pertanian!” sapa Kak Ton pula.

“Iyelah..yang itu dah tentu!” balas suaminya disambut dengan ketawa oleh tetamu yang lain.

“Sudah-sudah…jom kita makan dulu!” celah Sarimah. Dia tidak mahu perihal “keluarga doktor” itu dipanjangkan lagi. Jauh di sudut hatinya ada sebak, ada sayu. Sebak kerana ada yang kurang. Sayu kerana ada yang hilang. Ibu dan bapanya, mereka tentu paling bahagia kini jika masih bersama mereka.

14

Malam itu, selepas semua tetamu pulang, suasana jadi hening. Hadi memanggil kedua-dua adik perempuan kesayangannya itu bersama suami masing-masing. Di ruang tamu itu, dia meluah amanat. Dia imbau kenangan silam supaya adik-adiknya tidak lekas hilang pedoman. Kesusahan adalah sebahagian daripada kehidupan mereka dahulu yang tidak harus dilupakan sekali-kali pada hari ini. Ia harus dijadikan suluhan. Lama dia bercerita tentang susur galur keluarganya, tentang kepayahan arwah ayah mereka membesarkan mereka bertiga. Daripada seorang pemuda kampung yang tersisih, arwah bingkas dan berlari bukan lagi bertatih-tatih. Dia bina diri dan keluarga walaupun dicemuh kerana tidak berharta. Akhirnya, Hadi meninggalkan pesan supaya setiap daripada mereka jangan sekali-kali bersikap takbur dengan kejayaan, hormat orang tua dan berjiwa dengan jiwa dermawan..

“Abang..terima kasih,” tutur Sarimah, sebak. “Tak tahulah di mana saya hari ini kalau Allah tak kurniakan arwah ayah dengan seorang anak lelaki seperti abang. Terima kasih bang,” katanya lagi. Dia menerka tangan Hadi. Dirangkulnya, dicium-ciumnya. Air mata yang berjejaran menitis ke atas tangan Hadi dibiarkan sahaja. Salmiah juga turut merangkul tangan itu. Mereka berpelukan. Aksi itu dipandang sayu oleh Bidin dan Ipin. Kedua-duanya turut sebak. Allah telah menakdirkan mereka berdua menjadi sebahagian daripada keluarga berjiwa besar itu.

“Bidin, kau jagalah Sarimah baik-baik. Kat negeri orang nanti, macam-macam boleh berlaku kalau iman nipis dan goyang,” pesan Hadi kepada Bidin.

“Kau juga Ipin..isterimu, walaupun tetap adik aku, tapi amanah itu kini sudah berpindah. Jaga dia baik-baik.” Ipin mengangguk-angguk.

“Hmm..abang. Sudahlah tu, ok. Ni Sarimah nak beritahu satu berita gembira untuk abang,” tiba-tiba Sarimah bersuara.

“Apa dia Imah?”

“Ingat tak lagi portfolio yang pernah kami cadangkan dulu?” tanya Sarimah. Dia berpandangan dengan suaminya, Bidin. Mereka tersenyum. Ipin dan Salmiah hanya memerhatikan. Mereka juga tertarik hati mendengar kata-kata Sarimah itu.

“Yang mana? Abang lupalah…”

“Alah bang ni. Pasal tonik air jambu tu..ingat?”

“Oh..itu. Hah, kenapa?”

“Alhamdulillah bang. Kementerian setuju nak support projek kita!” jawab Bidin segera.

“Hah..betul ke ni?”

“Iye bang..alhamdulillah, syukur sangat-sangat. Penyelidikan adik berhasil!” sahut Sarimah. Dia riang sekali. Ipin dan Salmiah turut gembira.

“Minggu hadapan wakil kementerian akan buat lawatan tapak dan ke makmal penyelidikan kita. AgroTani kena bersedia. Lagi satu bang, jus jenama Hadi juga bakal diperluaskan ke peringkat global. Syukur bang, semua ini hasil usaha gigih kita semua,” kata Bidin pula. Dia senyum lebar. Reaksi wajah abang iparnya itu menambahkan lagi kegembiraan di hatinya. Hadi sebak. Air matanya tak terbendungkan lagi. Dia mengangkat tangan menadahkan kesyukuran sebelum merebahkan diri ke lantai dan melakukan sujud syukur. Dia bangun semula dan menadah tangan lagi untuk berdoa. Ipin, Salmiah, Bidin dan isterinya turut mengangkat tangan.

15

Kamar tidur Bidin dan Sarimah, Tingkat Tiga.

Sarimah dan Bidin duduk bersantai di hujung beranda bilik mereka. Di luar langit cerah. Bintang bergemerlapan. Malam masih muda. Peristiwa semalam masih terbayang di ufuk minda Sarimah. Dia tersentuh melihat abangnya yang menangis penuh kesyukuran. Itulah kali pertama, dan mungkin yang terakhir, dia melihat abangnya menitiskan air mata.

“Imah,” tiba-tiba Bidin bersuara memecahkan kesunyian. “Cuba sayang tengok tu..” katanya lagi sambil mengunjuk ke tengah ladang di seberang jalan. Ladang jambu milik AgroTani, syarikat abang iparnya itu saujana luasnya. “Dulu, abang ingat lagi. Kat tengah ladang itulah tempat abang berlari, kejar kerbau, bajak sawah..kat sawah itu jugalah tempat kami lepak-lepak bila tiba malam bulan penuh. Satu hari tu, kami sambut hari jadi Ipin kat tengah sawah tu. Sekarang, sawah dah bertukar jadi ladang jambu.” Bidin tersenyum. Dia terus mengimbau kenangan silam. Sarimah di sebelah turut melemparkan pandangannya ke tengah ladang.

“Alhamdulillah bang..berkat usaha gigih kita semua. Tak sangka, impian arwah ayah nak buka ladang jambu, rupa-rupanya akan terlaksana selepas arwah pergi. Tapi semangat arwah tetap bersama kami terutamanya Abang Hadi,” kata Sarimah pula.

“Geran sayang nanti macam mana?” tiba-tiba Bidin membangkitkan persoalan lain.

“Itulah..Imah ingat nak hold dulu. Agrotech tak sediakan kursus yang Imah nak. Pihak universiti pun belum putuskan lagi. Kalau Imah nak pergi juga, Imah kena buat kursus lain. Mungkin eko-pelancongan. Tapi kursus tu kat sini pun ada. Yang menjurus kepada pertanian kat UPM pun dah banyak, bang. Imah nak pergi Toronto sebab nak belajar benda baru. Sekurang-kurangnya, bila balik nanti, Imah tak bergantung sangat dengan kerja sebagai pensyarah,” jawab Sarimah panjang lebar. Dia meluahkan segala yang terbuku di hati. Geran penyelidikan yang ditawarkan oleh pihak kementerian itu memerlukannya menjelajah Eropah dengan pangkalan utamanya di Agrotech Institute of Toronto. Di sana, usaha tani adalah bersifat global dengan pasaran yang maha luas. Usaha inilah yang dicemburui oleh Malaysia sejak sekian lama, dan cuba dipelajari oleh pihak kerajaan menerusi kementerian dan UPM sendiri.

“Kalau begitu, apa kata kita ke New Zealand. Di sana, ada peluang yang lebih besar. Tukarkan saja geran tu. Sayang buat semula proposal, Insya-Allah, abang yakin boleh punya!” kata Bidin. Dia memandang wajah comel isterinya itu.

“Tengoklah macam mana. Imah nak rehat puas-puas dulu di rumah,” balas isterinya. Bidin hanya tersenyum. Dia faham kehendak hati isterinya itu.  “Abang, jom masuk..” Sarimah bersuara lagi, kali ini nadanya lebih mesra. Manja.

“Jomlah..pengantin baru macam kita ni tak baik berembun, kan sayang..hehe..” usik Bidin. Dia mengangkat isterinya, didokongnya hingga ke gigi katil lalu dihempaskannya. Sarimah menjerit sakit. Dia marah-marah sayang. Suaminya memang suka bergurau. Bidin hanya ketawa.

“Bang, sebelum tidur…” kata Sarimah, segera mematikan ketawa suaminya itu.

“Kenapa sayang?” soal Bidin lekas. Dia hairan.

“Abang pergi dapur. Tengok dalam peti ais. Ada segelas air jambu, dalam gelas besar. Sayang nak abang minum sampai habis dulu. Kemudian baru kita padam lampu, ok?” Sarimah melirik senyuman manja.

“Air jambu lagi? Tak naklah abang!”

“Eh yang ini lain bang. Special, Imah buat untuk abang. Ciptaan terbaru AgroTani. Abang orang pertama dapat penghormatan untuk try tau,” pujuk Sarimah lagi. Dia cuba menggoda suaminya itu.

“Apa yang special tu sayang?”

“Air jambu ni istimewa sebab Imah dah adun dengan jus pegaga dan kordeal tongkat ali asli dengan madu tualang! Khas untuk pengantin baru macam kita ni..hehe..”

“Hah..tongkat ali???”

Bidin lekas-lekas turun ke bawah menuju ke dapur. Tidak lama kemudian, dia menjerit.

“Imahhhhhhh…ada orang dah minum!!!!”


TAMAT


**Hampir 45% latar tempat, peristiwa dan watak dalam cerpen ini adalah benar.


Rabu, 26 Januari 2011

Kisah Ibu, Anak dan Kekasihnya




Suatu hari, seorang ibu menghubungi anaknya yang sedang menyiapkan tugasan di biliknya di sebuah asrama universiti. Si anak lantas menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum, bu!” sapa si anak lebih awal, mendahului ibunya. Sebagai anak yang baik, dia tidak mahu menjadi si penyambut salam.

“Waalaikummussalam,” jawab si ibu sambil tersenyum penuh syukur atas doa yang dikirimkan dari jauh oleh anaknya itu.

“Ada apa bu telefon petang-petang ni?” tanya si anak. Dia mengalihkan telefon ke sisi kiri telinganya bagi membolehkan tangan sebelah kanan terus menaip pada papan kekunci notebook di hadapannya itu. Kurang dua jam lagi dia perlu menyiapkan tugasan tersebut sebelum dicetak dan dihantar ke bilik pensyarahnya.

“Amboi, tak boleh ke ibu telefon anak sendiri?” tanya si ibu pula sambil berseloroh. Begitulah kemesraan yang sememangnya sedia terjalin antara mereka anak-beranak.

Namun si anak kurang selesa untuk bermesra. Dia mula membentak. Gelakkan kecil ibunya itu tidak cukup untuk menghiburkan hatinya pada waktu-waktu begitu.

“Ibu ni, saya sibuk ni. Kalau ada hal penting, cepatlah kasi tahu bu,” jawab si anak acuh tak acuh. Matanya sekejap memandang skrin pemuka dan sekejap lagi menelaah nota-nota yang berselerakan memenuhi ruang meja belajarnya itu. Mula rimas, lalu si anak terus merengus. Ibunya tersentak.

“Anak ibu ni sibuk benar ye? Dah makan ke belum nak? Jangan lupa makan tau walau sibuk sekali pun,” balas si ibu. Dia cuba menyembunyikan rasa hati yang terguris. Lekas-lekas dibuang jauh. Hati ibu, walau terguris, tetap tak membekas lebih-lebih lagi jika anaknya sendiri yang mengguris. Itulah kasihnya, itulah sayang dan cinta hatinya. Sikit-sikit tu alah biasa tegal biasa saja bagi si ibu. Dia cuba menguntum senyum.

“Ehmm..” jawab si anak. Matanya semakin berpinar. Ligat kepalanya mengarang ayat-ayat terbaik untuk dihantar ke sistem data notebooknya sebelum diterjemah sebagai kod-kod bermakna di skrin pemuka. Bila dia tidak berpuas hati, dipadamnya kod-kod perkataan tersebut lalu dikarang semula. Namun, fokusnya seakan terganggu. Gegendang telinganya seolah menjadi tidak seimbang dek kerana terpaksa mendengar celotehan biasa-biasa ibunya. Hampir setiap hari, itulah ayat yang ditanyakan. Dia boleh terima jika waktunya sesuai, tetapi bukan pada kali ini. Masa, itu soal pokoknya. Akhirnya dia menjadi rimas. Anginnya mula naik.

Tiba-tiba,

“Eh bu, ada panggilan masuk ni. Kejap ye. Nanti angah telefon balik,” kata si anak lalu gegas mematikan panggilan daripada ibunya untuk menjawab panggilan yang baharu saja masuk itu. Alangkah berbunga hati si anak tatkala menatap skrin Experia hadiah hari jadi dari ibunya itu. Tertera Sayang dengan gambar profile comelnya. Buah hatinya, pengarang jantung intan payung hidupnya. Oh, alangkah!

“Hai sayang..!” sapa si anak penuh mesra. Dia senyum meleret. “Ada apa ni sayang tiba-tiba telefon? Kan tadi dah jumpa? Rindu lagi ye? “ Bertalu-talu si anak bertanya sambil berseloroh. Seronok benar hatinya waktu itu. Tangan yang menaip juga terhenti seketika.

“Hmm..sayang belum siap lagi tugasan ni..” jawab si buah hatinya. Suaranya kedengaran manja dibuat-buat di hujung talian tapi si anak buat-buat tak endah. Dia akan layan sama ada manja itu dibuat-buat ataupun sungguh-sungguh. Demi sayangnya, sentiasa ada masa untuk diluangkan.

“Haishhh sayang ni, biar betul. Kan dah nak hantar kejap lagi?” tanya si anak ragu-ragu.

“Betullah..tak kan sayang nak main-main. Lagi tiga muka surat tapi sayang dah buntu. Kering dah otak ni tau tak. Tak nak hantar hari ni boleh tak?”

“Haa..tak nak hantar?” si anak terkejut dengan kata-kata buah hatinya itu.

“Alah, tak apa kot. Hari ni kan Jumaat. Esok, lusa cuti. Tak kan orang tua tu ada kat bilik kot cuti-cuti. Nanti hari Ahad, kita hantarlah. Masukkan bawah pintu, ok tak?”

“Hmm..”

“Alaa..bolehlah. Sayang betul-betul malas dah ni nak habiskan lagi tiga muka surat. Lagi pun, memang dah tak sempat ni. Ada kurang sejam lagi kan?”

“Kalau macam tu, ikut sayanglah, ok? Kita hantar hari Ahad ni,” dengan berat hati si anak membuat keputusan. Dia tahu, dia tetap akan mengalah juga pada akhirnya.

“Yeaa….terima kasih, terima kasih!” balas buah hatinya penuh kegembiraan. “Ehmm..jom!” buah hatinya bersuara lagi.

“Nak ke mana?” tanya si anak itu.

“Kita keluar sebentar. Makan Mac.D ke, KFC ke..sayang laparlah,” jawab buah hatinya dengan pantas.

“Ok..lapar juga ni. 10 minit. Tunggu di bus stop kat depan ye sayang,” si anak segera membuat perancangan. Hatinya senang sekali. Telefon dimatikan. Dia segera bersiap-siap. Tanpa dia sedar, dua perkara telah diabaikan. Pertama, menelefon kembali ibunya, dan kedua, solat fardhu Asar. Syaitan di kiri kanannya bergembira tak terperi lagi. Umpan mengena. Selesai bersiap-siap, si anak segera bergegas turun. Dia meluru menuju motosikal kesayangannya, juga hadiah dari ibunya sewaktu dia mula-mula mendaftarkan diri di universiti tersebut.

Enjin dihidupkan melalui starter khas. Motosikalnya itu diteran dua tiga kali sebelum pedal gear dihenyak keras bagi mendapatkan daya pecutan pertama, yang juga sebenarnya pecutan terakhir buat si anak. Motosikalnya meluru deras menuju ke simpang di hadapan blok asramanya itu. Tanpa menoleh ke kanan, si anak menerpa masuk ke lorong utama. Sebuah kereta dari arah bertentangan juga meluru masuk ke simpang.

Sesaat itu, seluruh penghuni blok terpinga-pinga. Bunyi dentuman maha kuat memecahkan kesunyian petang. Jemaah di masjid yang tidak jauh dari situ baru saja memberi salam kedua dan semuanya seolah-olah tidak percaya dengan bunyi tersebut. Semua penghuni dan jemaah bergegas keluar untuk melihat kemalangan yang melibatkan si anak dengan kereta tersebut, tetapi tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Si anak terkulai layu. Motosikalnya tertiarap di atas bonet hadapan kereta sementara si anak sudah terperosok ke dalam kereta melalui cermin hadapan yang sudah hancur berkecai. Waktu itu, si pemandu kereta sudah pun berdiri di luar pintu. Sedikit pun tiada kecederaan tetapi jelas, dia juga terpinga-pinga.

Saat itu juga, nun jauh di kampung, si ibu masih setia menunggu panggilan dari si anak. Dan tidak jauh dari simpang tersebut, si buah hati sudah berwangian-wangian, sedang menapak menuruni blok asramanya menuju bus stop di hadapan. Namun si anak, sedang menghitung segala hutangnya!

Ahad, 29 Ogos 2010

Nota Untuk Munirah

“Ooo..begitu kisahnya,”

“Ya, nak..sudah 43 tahun..”

Aku lihat wajah orang tua itu. Ada kedut. Ada garis-garis kesayuan di bawah kelopak matanya. Sesekali dia mengerdipkan kelopak matanya itu yang cekung sekali. Orang tua ini usianya jangkau 67 tahun. Aku cuba menghitung sambil membayangkan situasi yang dihadapinya 43 tahun yang lalu. Ketika itu dia masih bergelar anak muda…

Selasa, 12 Mei..

Munirah, hari ini saya ingin sekali berjumpa dengan awak.. Jam lima di hujung padang, tempat biasa. Harap awak sudi kali ini.

Salam sayang peluk rindu..

Hari itu, Munirah tidak datang ke kelas. Puas aku mencarinya. Rakan-rakan yang lain juga tidak tahu ke mana dia menghilang. Atika, rakan sebiliknya juga tidak tahu. Kata Atika, pagi-pagi lagi Munirah sudah bersiap dan keluar dengan gown pinknya. Atika tidak tahu dan tidak pula bertanya. Mungkin Munirah ada hal lain. Tak mengapalah, nanti kalau dia datang pada kelas sebelah petang, aku sendiri yang akan berjumpa dengannya dan bertanya terus.

Petang itu, Munirah tidak datang juga. Aku mula resah. Kelas berlangsung tanpa sedikitpun mampu aku berikan perhatian. Aku menulis lagi nota dan mengirimkannya kepada Atika.

Rabu, 13 Mei

Munirah, hari ini saya rindukan awak sangat. Semalam saya tunggu awak di hujung padang jam lima. Saya tunggu sehingga hujan turun. Saya kira awak sudah batalkan niat untuk bertemu saya bila awak nampak langit gelap. Tapi kenapa hari ini pun awak tidak datang ke kelas? Awak tak sihat ya?

Makan ubat ya sayang.

Salam sayang peluk rindu selalu..

Malam itu, aku tidak dapat lelapkan mata. Cuaca tidak dingin dan tidak juga hangat tapi angin langsung tidak bertiup. Jendela bilik aku buka luas-luas tapi di luar tiada bunyi yang menerpa masuk. Mungkin angin tiada maka tiada juga kiriman lagu cengkerik atau pungguk untukku. Kelam dan kusam sahaja. Sunyi, sepi.

Esoknya, aku ke kelas dengan semangat baru. Aku sangat berharap semoga Munirah datang dan ada kiriman nota untukku sebelum kami berjumpa jam lima di hujung padang. Alangkah bahagianya jika nota daripada Munirah tercatat impian yang sama, impian untuk berjumpa denganku seperti mana yang selalu aku catatkan kepadanya.

Munirah datang. Munirah bergown putih dengan cekak rambut warna pink. Dia nampak ceria sekali. Aku tak lepas memandangnya tapi Munirah sedikit pun tidak memandangku. Tak mengapalah. Aku faham. Munirah memang tidak mahu orang lain tahu hubungan kami. Hanya Atika yang tahu. Sudah dua tahun dan kami selesa dengan cara begitu.

Atika datang kepadaku ketika aku baru saja melabuhkan punggung di tempat dudukku. Pasti ada kiriman.

“Hassan, ini untuk kau!”

“Terima kasih, Tika!” Dengan senyum lebar aku mengambil kiriman tersebut. Ia bersampul kemas, tidak seperti selalu. Di luar, tercatat namaku. Senyum terukir makin lebar. Aku langsung tidak peduli dengan Atika yang masih berdiri di hadapan mejaku sehinggalah dia berdehem kecil. Aku mendongak memandang wajahnya.

“Hassan, kau mesti kuat..” Atika bersuara. Dia segera berpusing dan meninggalkan aku yang tertanya-tanya sendirian akan maksud kata-katanya itu. Aku segera membuka sampul surat yang dikirimkan kepadaku melalui Atika itu.

Abang, ada sesuatu yang penting ingin Munirah katakan. Kita jumpa petang ini jam lima di hujung padang ya..

Kuatkan hati..

Jantungku tak henti berdegup kencang. Menanti jam lima adalah suatu penyeksaan. Ingin saja aku meluru ke depan langsung ke meja Munirah dan Atika dan terus bertanya supaya aku tidak lagi dikurung dalam sangkar resah begitu.

“Sekarang Munirah di mana pak cik?” Aku bertanya kerana cerita yang disampaikan oleh orang tua itu seperti kurang lengkap. Munirah telah berjanji ingin berjumpa dengannya di hujung padang jam lima pada tarik 14 Mei. Tetapi Munirah sekali lagi tidak datang sebaliknya Atika yang datang menemui orang tua itu. Hassan pastinya bersedih. Orang tua itu pastinya bersedih dengan tindakan Munirah 43 tahun yang lalu.

“Boleh kamu hantar pak cik ke seberang jalan. Tak larat pula pak cik nak bawa barang-barang ini,” Orang tua itu tidak menjawab soalan aku. Kenapa dia ingin sembunyikannya pula? Dari tadi dia kelihatan terimbau dan ceria sekali dengan cerita-ceritanya tentang Munirah. Aku segera memunggah barang-barangnya dari troli. Orang tua tidak membantu sedikitpun walaupun itu barang-barangnya, bukan barang-barang aku.

“Pak cik, Munirah masih hidup?” Aku bertanya lagi. Ceritanya tergantung. Aku tidak datang sejauh ini untuk mencarinya semata-mata bagi mendapatkan sebuah cerita yang tergantung. Aku tidak datang sejauh ini untuk menemaninya membeli-belah dan kemudian membantu memunggah barang-barangnya ke dalam but kereta mewahnya itu. Aku mesti dapatkan ceritanya. Kalau tidak, pasti akan aku ganyang Zainuddian, sahabatku yang beriya-iya meminta aku menemui orang tua bernama Hassan ini. Selepas seharian bersamanya dan mendengar cerita-ceritanya, aku belum pun menemui sebarang keistimewaan yang boleh membuatkan aku menjadi kaya jika menjual cerita-cerita tersebut.

Kami berdiri di hadapan tiang lampu isyarat dan menunggu lampu hijau kembali menyala sebelum melintas di celahan manusia-manusia kota di kiri kanan kami ini. Semuanya mahu lekas. Sebuah kereta BMW Siri 7 dengan nombor pendaftaran K 12 berhenti di hadapan kami. Lampu isyarat dari arah laluannya bertukar merah dan memberikan laluan kepada kami untuk melintas. Pak Cik Hassan melihat jam di tangannya. Dia menunjukkan pula jamnya itu kepadaku sambil matanya tak putus memandang ke arah kereta tersebut. Tepat jam lima petang. Aku menarik baju batiknya. Kami mesti gegas sebelum lampu kembali merah. Dia akur.

Sebaik saja kami tiba di keretanya, tiba-tiba orang tua itu bersuara. Wajahnya kelihatan sugul. “Kalau kamu mahu tahu di mana Munirah, kejarlah kereta tadi,” katanya.

“Maksud pak cik? Kereta BMW tadi?” Aku sedikit melopong. Hairan dan keliru. K 12 merupakan nombor pendaftaran khas untuk keluarga Dato Ismail, usahawan minyak berjaya di negara ini. Dia memiliki tak kurang sepuluh buah syarikat perusahaan cari gali minyak di dalam dan luar negara dengan ibu pejabatnya di Dubai. Seluruh negara barangkali sudah tahu. Apa kaitannya dengan Munirah?

“Munirah menghilang pada 15 Mei. Aku tidak tahu ke mana dia pergi. Atika tidak pernah beritahu. Aku terlalu merinduinya sehinggalah, dua minggu kemudian, aku mendapat berita perkahwinannya dengan Ismail bin Mohd Noor, bekas kekasihnya di zaman persekolahan. Sebaik saja selesai perkahwinan mereka, Munirah mengikut Ismail ke Dubai kerana Ismail mendapat perkerjaan di sana sebagai jurutera syarikat petroleum. Sejak itu, Munirah tidak lagi datang ke kelas. Munirah aku anggap sudah mati..”

Aku memandu pulang ke Kuala Lumpur dengan perasaan yang bercampur-baur. Hassan telah memberikan keizinannya kepadaku untuk menulis kisah cintanya itu. Penuh tragis. Tetapi sanggupkah aku mengaut untung di atas kesedihan dan kesengsaraannya? Kini, Hassan berada jauh di utara, menyara hidup dengan wang pencen sebagai pengetua sekolah. Hassan tidak pernah berkahwin. Sewaktu aku di rumahnya, di sana sini tergantung gambar hitam putih dia dan Munirah. Munirah kelihatan cukup cantik, manis dan genit. Patutlah Hassan terlalu mencintai gadis tersebut. Kalau diberikan kekuatan, aku ingin sekali mencari Munirah pula dan menyelami kisah cintanya dengan Dato’ Ismail bin Mohd Noor.