Memaparkan catatan dengan label wanita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wanita. Papar semua catatan

Isnin, 2 Mei 2011

Ketika Lelaki Bersendirian


Aku tak tahulah betul ke tak, tapi ada orang kata, kalau lelaki makan sorang-sorang, jalan sorang-sorang, tengok wayang sorang-sorang, itu lelaki yang gagal. Sejauh mana benda ni betul, aku memang tak pasti. Apa ukurannya dan adakah ia adil, juga tak pasti.

Bagi aku, lelaki pun ada waktunya lemah, lagi-lagi bila bersangkut-paut soal hati dan perasaan. Nak jaga hati sendiri satu hal, nak jaga hati orang lain pun satu hal. Luaran mungkin nampak ‘bersendirian’ tapi dalamannya, mungkin lelaki tu sedang berusaha menjaga hati-hati yang lain.

Lelaki juga ada waktunya akan bersedih, sunyi dan kadang-kadang seperti kehilangan. Bukan semua lelaki boleh hidup gembira setiap masa. Kawan-kawan cuma sebahagian daripada diri setiap lelaki tetapi sebahagian yang lain, adalah ruang untuk diisi oleh seseorang yang istimewa. Cuma sorang sahaja.


Kalau lelaki dicop sebagai suka mempermainkan hati wanita, tak kurang juga ramai lelaki yang dipermainkan oleh wanita sehingga hatinya menjadi sakit. Tapi tak semua lelaki menzahirkannya. Bila lelaki ingin bersendirian, itu tandanya dia sedang melawan kesakitan itu dengan caranya sendiri.

Lelaki, adalah misteri bagi wanita. Bohong kalau ada wanita yang faham sepenuhnya hati pasangan lelakinya. Masalah lalu akan timbul bila wanita bersikap pentingkan diri. Ramai wanita yang tak hormat keinginan, minat dan kehendak pasangan lelakinya. Bagi mereka, tak mengapa kalau si lelaki itu tak dapat apa yang dihajati atau diminatinya dan si lelaki pula, akan berkorban demi si wanita. Ini tanggapan yang salah.

Memang ada benarnya kalau lelaki sudah sayang, dia akan sayang betul-betul dan penuh-penuh. Tapi wanita-wanita harus ingat, lelaki juga ada perasaan. Mungkin lelaki akan pendam dan pendam dan pendam selagi mampu demi menjaga hati wanitanya, tetapi bolehkah wanita melakukannya untuk lelaki? Tak ramai. Sebaliknya, ramai wanita yang lebih gemar melepaskan terus amarahnya dan si lelaki, kekal bersabar.

Ada juga lelaki yang sanggup melepaskan keseronokan menjadi lelaki seperti lepak dengan rakan-rakannya, berhibur, main bola dan sebagainya hanya semata-mata mahu memenuhi keinginan dan kehendak wanitanya. Tapi ramai  wanita yang lebih utamakan rakan-rakannya walaupun pada waktu si lelaki amat memerlukan kehadiran wanita itu di sisi. Bagi si wanita, teman lelakinya akan faham. Lalu si lelaki pun terus memendam perasaan.

Memang kompleks kalau nak dikupaskan persoalan macam ni. Lelaki bersendirian bagi aku bukan lelaki yang gagal. Wanita yang sanggup mengecewakan hati si lelaki hanya kerana mahu mengejar kebahagiaan, keseronokan tanpa mahu bertolak ansur dengan keinginan dan kehendak si lelakilah yang sebenarnya gagal.

Wanita lebih cepat membuat keputusan, singkat pertimbangannya dan lebih mudah berasa sesal berbanding lelaki, tetapi lelaki boleh hidup ketika dia kecewa dan jatuh. Lelaki juga akan lebih matang apabila dikecewakan. Kematangan itu kadang-kala diperolehnya ketika bersendirian.

Jumaat, 11 Mac 2011

Wahai Wanita-wanita kami..


Assalamualaikum..

Kehadapan sekalian wanita kami,

Ini surat terbuka yang harus dibaca oleh terutamanya para wanita dan juga lelaki-lelaki yang sayangkan wanita mereka. Ini surat terbuka yang kandungannya harus jangan disalahtafsir, sebaliknya diterima juga dengan hati yang terbuka.

Kami lelah, wahai wanita. Tidaklah kami seronok dengan aksi-aksi anda akhir-akhir ini. Muktahir ini kami begitu lelah dan sesak melihat anda wahai wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang. 

Bukanlah kami ini lemah nafsu atau tidak tertarik tetapi kami minta anda wanita-wanita lekaslah sedar bahawa kami ini lebih-lebihlah bernafsu, justeru awaslah. Kami tidak mahu dipersalahkan jika kami menguasai dan melayani nafsu-nafsu lelaki kami yang memang sudah tertulis ia akan tertarik kepada wanita. Kelak anda wanita-wanita juga yang susah. Sekali lagi, usahlah disalahkan kami jika itu berlaku.

Wahai wanita-wanita, adapun kami ini pelindung tugasnya, tetapi jagalah juga diri kalian kerana kami ini tetap bukan mahram kalian selagi tidak diiktirafkan syarak. Meski kami ini kalian kasihi atas nama teman-teman kalian yang intim, tetapi kami tidak mampu melindungi kalian dari bisikan para syaitan yang senantiasa menantikan peluang. Justeru kami merayu, jagalah juga diri kalian wahai wanita-wanita. Bantulah kami menjadi teman yang diredhai. Kami mahu mengasihi kalian wahai wanita-wanita setulus hati, bantulah kami.

Barang harus diperkirakan juga wahai wanita-wanita bahawa kami ini lelaki maha besar tanggungjawabnya, ada waktunya kami kesasaran, banyak waktunya pula kami kekhilafan. Tapi usahlah segera kami dihukum kerana kami ini hamba juga tarafnya. Mulia kami, hina kami, di mata Tuhan kami semua sama, melainkan atas takwa kami. Jadi perbataskanlah galak kalian wahai wanita supaya kita tidak sama-sama terbabas.

Wahai wanita-wanita, ketahuilah pada diri kalian banyak sekali fitnah-fitnah ke atas kami. Dari ubun-ubunmu hingga ke hujung kuku-kukumu, jika diperhiaskan, bisa menawankan hati dan pandangan kami, lebih-lebih lagi pada dada-dada kalian. Tutupilah dengan pakaian bermaruah, supaya yang mampu kami tatapi cuma kecantikan yang dihalalkan dan supaya kami kekal memuji Tuhan, bukannya kalian.

Wahai wanita-wanita, di perjalanan ini, kami tempang tanpa kalian. Dunia sepi tanpa kehadiran kalian. Kami menghargai wujud kalian tetapi tahulah juga kalian, tempatmu bukan sebagai tuan. Jadi berdirilah bersama kami sebagai pembantu yang paling setia, memimpin kami sejalan para mujahadah. Kami benar bimbang, andai kami tergelincir kerana kalian, tapi kami lebih bimbang jika kami yang menjerumuskan kalian ke lembah kehinaan atas daif akal kalian. Maka kami mohon, kalian persiapkanlah diri kalian sebagai para pembantu kami di medan juang ini.

Akhir sekali, ketahuilah wahai wanita-wanita kami betapa kami mensyukuri anugerah Tuhan pada diri kalian. Kamu wahai wanita-wanita adalah kiriman Tuhan untuk kami permaisurikan di suatu sudut yang mulia, tetapi andai kalian sendiri yang menghinakan diri kalian, apa lagi daya kami melainkan terus mengadu kepada Tuhan. Andai kami mengadu, anggaplah kalian sudah jauh kesasaran dan harus diselamatkan oleh Tuhan. Justeru pilihlah jalanmu wahai wanita-wanita kami.

 Ini sahaja pesan kami berisi luahan dan pengaduan, tulus ikhlas dari kami lelaki-lelaki yang sayang akan kalian. Hingga bertemu lagi.

Khamis, 23 September 2010

Tiga Kehidupan Malam.


Ada tiga buah rumah. Ada tiga pasangan muda. Di sebuah kota besar, mereka berjiran. Di suatu malam, pasangan di rumah tengah pulang. Agak lewat berbanding selalunya. Penghuni rumah dikanannya sedang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pasangan muda. Penghuni rumah di sebelah kiri pula, sedang asyik menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai hamba Allah yang rendah diri.

Ketika pasangan muda rumah tengah itu pulang, mereka kehairanan. Dilihat mereka bilik utama di kedua-dua rumah kiri dan  kanan masih terang-benderang. Diputuskan kemudian oleh mereka berdua, kedua-dua jiran mereka sedang berbahagia. Begitulah, banyak perkara yang ingin diteroka lalu mereka tersenyum dan masuk ke rumah dengan senang hati. Tiada bezanya balik lewat kerana jiran-jiran mereka pun belum lelap.

Si isteri terus ke dapur meneguk air. Si suami terus naik ke atas mencuci diri. Usai semuanya, mereka berbungkam di empuk tilam. Si isteri bermalasan. Tidak dikenakan apa-apa wangian malah pakaiannya masih pekat berbau aroma bandar, tengik. Si suami juga bermalasan. Langsung dipusingkan badannya ke kiri, memberikan susuk belakangnya kepada si isteri. Melihatkan itu, si isteri lantas menarik bantal peluk panjang diletakkan di tengah. Seketika, mereka hanyut dalam lamunan masing-masing.

Di rumah sebelah kanan, si suami semakin berselera. Kiri dan kanan didatangi isterinya. Sesekali isteri mendengus. Akhirnya mereka menamatkan malam itu penuh asyik. Terbungkam jua akhirnya, kepenatan. Esok pasti bersemangat ke tempat kerja setelah mendapat suntikan azimat. Itulah kunci kebahagian. Buat seketika, si suami tersenyum. Si isteri apatah. Jauh di sudut sanubari, biarlah ia berulang lagi sekerap mungkin kerana ia bagi mereka, kunci kehidupan berumah tangga.

Di sebelah kiri, lampu masih belum terpadam. Walaupun kesamaran, ia seolah dilimpah cahaya bulan purnama, bercahaya-cahaya, indah. Sesekali jendela yang terbuka sedikit itu menghembuskan keluar haruman semerbak, di bawa angin jauh-jauh pergi tetapi tak pernah berdikit baunya, terus keluar dan keluar. Si suami lama sekali di tikar sejadahnya. Rintihnya, sebak, tangisnya, sesak. Si isteri sayu. Sayu hatinya kerana tidak dapat turut serta bermakmum si suami di sepertiga malam tetapi dia juga menangis, bercucuran dalam diam, melihat si suami qiam.

Begitulah alam menukilkan kehidupan. Tiga buah rumah. Tiga pasangan muda. Masing-masing dengan kehidupan seperti yang telah direncanakan untuk mereka. Maha Agung Allah Yang Menjadikan. 

Lelaki sebenarnya...


Saya ingin memulakannya dengan mengatakan, lelaki sebenarnya tidaklah seego yang difikirkan oleh kaum lawannya. Memanglah umum menganggap lelaki itu egonya tinggi, sukar ditundukkan apatah untuk mengaku sendiri salah, jauh sekali. Memanglah juga, wanita itu umumnya berperawakan lemah lembut, sopan budinya, dan sedikit marahnya.

Tetapi sebenarnya, wanita itu juga jika berego, ia mungkin lebih tinggi dari lelaki, atau sedikit lebih dari lelaki. Kenapa, kerana mereka itu wanita dan tercipta dengan emosi yang terlalu kompleks dan berencah seribu berbanding lelaki yang lebih santai dan mudah. Adakah ia bermakna wanita lebih ego? Dalam sesetengah keadaan, jawapannya tentu.

Sebagai contoh, terdapat wanita yang terlalu lekas tercabar bila dibandingkan dengan lelaki, walhal mereka tahu, lelaki itu memang bukan bandingan. Maka dari situlah, kita melihat ada satu senarai panjang wanita-wanita besar yang kadang-kala, berpencapaian tinggi berbanding lelaki. Kenapa? Kerana mereka berego untuk mengalahkan lelaki dan tidak pernah percaya kepada yang mustahil dan akhirnya mereka berhasil.

Tetapi sayangnya, dalam banyak keadaan, potensi wanita itu sering pula dinafikan oleh kerja manusia sendiri termasuk oleh wanita. Wanita diperlihatkan sebagai kaum yang mesti berdamping harap dengan lelaki, menjadi kaum yang menempel dan kurang penting. Adalah malang kerana usaha pemasakkan persepsi ini disuburbajakan oleh sekian banyak penulis wanita kita sendiri, mengikut jejak langkah penulis barat lainnya. Apakah ini perlu? Sudah tentu ia satu tindakan yang jengkel.

Kita tidak hairan jika ia dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam novel-novelnya utamanya Ranjau Sepanjang Jalan sehingga begitu sekali dihinakan Jeha yang kematian Lahuma. Jeha itu wanita tetapi dipakaikan dengan pakaian kesempitan sehingga yang terlukis di minda pembaca ialah kesengsaraan Jeha, kegilaannya lantaran hilang tempat pergantungan usai Lahuma temui ajalnya, tetapi kenapa mesti begitu? Sastera itu mungkin seni pelukisan kisah manusia, tetapi adakah bermoral untuk merendahkan wanita supaya akhirnya, khalayak dipasakkan dengan kenyataan bahawa tanpa lelaki (Lahuma) maka wanita (Jeha) akan berdepan sukar?

Adalah memalukan untuk menelaah teks tersebut dalam arus moden begini meskipun ia diangkat sebagai dokumentasi penderitaan manusia yang baru mengenal alam kemerdekaan tanah air ketika jabatan-jabatan kerajaan masih mentah. Sebagai wanita, di mana ego anda kalau anda membaca kisah begitu sehingga tertitis air mata? Tidakkah ia memualkan?

Begitu, kita juga melihat bagaimana penulis wanita lewat zaman tersebut juga, cenderung sekali atau suka sekali mereka untuk menukilkan kisah-kisah wanita  tetapi juzuk pandang alamnya tetap sama, wanita itu di takah dua selepas lelaki. Lebih mual apabila longgokan besar karya alaf baru ini, kisahnya tetap menampilkan wanita-wanita yang terhegeh-hegehkan kasih pria. Apakah itu perlu? Di mana letaknya ego wanita? Serendah-rendahnyakah?

Apa pun, kisah tragis jutawan kosmetik yang dibunuh kejam oleh lelaki adalah bukti jelas pembunuhan terhadap ego wanita di zaman ini. Sayang sekali kerana kita kehilangan satu contoh wanita yang punya ego yang cukup ekstraordinari akhirnya dilenyapkan dengan mudahnya oleh ego manusia lawannya bernama lelaki. Akhirnya, wanita kekal untuk berasa takut kepada lelaki!