Khamis, 23 September 2010

Tiga Kehidupan Malam.


Ada tiga buah rumah. Ada tiga pasangan muda. Di sebuah kota besar, mereka berjiran. Di suatu malam, pasangan di rumah tengah pulang. Agak lewat berbanding selalunya. Penghuni rumah dikanannya sedang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pasangan muda. Penghuni rumah di sebelah kiri pula, sedang asyik menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai hamba Allah yang rendah diri.

Ketika pasangan muda rumah tengah itu pulang, mereka kehairanan. Dilihat mereka bilik utama di kedua-dua rumah kiri dan  kanan masih terang-benderang. Diputuskan kemudian oleh mereka berdua, kedua-dua jiran mereka sedang berbahagia. Begitulah, banyak perkara yang ingin diteroka lalu mereka tersenyum dan masuk ke rumah dengan senang hati. Tiada bezanya balik lewat kerana jiran-jiran mereka pun belum lelap.

Si isteri terus ke dapur meneguk air. Si suami terus naik ke atas mencuci diri. Usai semuanya, mereka berbungkam di empuk tilam. Si isteri bermalasan. Tidak dikenakan apa-apa wangian malah pakaiannya masih pekat berbau aroma bandar, tengik. Si suami juga bermalasan. Langsung dipusingkan badannya ke kiri, memberikan susuk belakangnya kepada si isteri. Melihatkan itu, si isteri lantas menarik bantal peluk panjang diletakkan di tengah. Seketika, mereka hanyut dalam lamunan masing-masing.

Di rumah sebelah kanan, si suami semakin berselera. Kiri dan kanan didatangi isterinya. Sesekali isteri mendengus. Akhirnya mereka menamatkan malam itu penuh asyik. Terbungkam jua akhirnya, kepenatan. Esok pasti bersemangat ke tempat kerja setelah mendapat suntikan azimat. Itulah kunci kebahagian. Buat seketika, si suami tersenyum. Si isteri apatah. Jauh di sudut sanubari, biarlah ia berulang lagi sekerap mungkin kerana ia bagi mereka, kunci kehidupan berumah tangga.

Di sebelah kiri, lampu masih belum terpadam. Walaupun kesamaran, ia seolah dilimpah cahaya bulan purnama, bercahaya-cahaya, indah. Sesekali jendela yang terbuka sedikit itu menghembuskan keluar haruman semerbak, di bawa angin jauh-jauh pergi tetapi tak pernah berdikit baunya, terus keluar dan keluar. Si suami lama sekali di tikar sejadahnya. Rintihnya, sebak, tangisnya, sesak. Si isteri sayu. Sayu hatinya kerana tidak dapat turut serta bermakmum si suami di sepertiga malam tetapi dia juga menangis, bercucuran dalam diam, melihat si suami qiam.

Begitulah alam menukilkan kehidupan. Tiga buah rumah. Tiga pasangan muda. Masing-masing dengan kehidupan seperti yang telah direncanakan untuk mereka. Maha Agung Allah Yang Menjadikan. 

0 comments: