Saya ingin memulakannya dengan mengatakan, lelaki sebenarnya tidaklah seego yang difikirkan oleh kaum lawannya. Memanglah umum menganggap lelaki itu egonya tinggi, sukar ditundukkan apatah untuk mengaku sendiri salah, jauh sekali. Memanglah juga, wanita itu umumnya berperawakan lemah lembut, sopan budinya, dan sedikit marahnya.
Tetapi sebenarnya, wanita itu juga jika berego, ia mungkin lebih tinggi dari lelaki, atau sedikit lebih dari lelaki. Kenapa, kerana mereka itu wanita dan tercipta dengan emosi yang terlalu kompleks dan berencah seribu berbanding lelaki yang lebih santai dan mudah. Adakah ia bermakna wanita lebih ego? Dalam sesetengah keadaan, jawapannya tentu.
Sebagai contoh, terdapat wanita yang terlalu lekas tercabar bila dibandingkan dengan lelaki, walhal mereka tahu, lelaki itu memang bukan bandingan. Maka dari situlah, kita melihat ada satu senarai panjang wanita-wanita besar yang kadang-kala, berpencapaian tinggi berbanding lelaki. Kenapa? Kerana mereka berego untuk mengalahkan lelaki dan tidak pernah percaya kepada yang mustahil dan akhirnya mereka berhasil.
Tetapi sayangnya, dalam banyak keadaan, potensi wanita itu sering pula dinafikan oleh kerja manusia sendiri termasuk oleh wanita. Wanita diperlihatkan sebagai kaum yang mesti berdamping harap dengan lelaki, menjadi kaum yang menempel dan kurang penting. Adalah malang kerana usaha pemasakkan persepsi ini disuburbajakan oleh sekian banyak penulis wanita kita sendiri, mengikut jejak langkah penulis barat lainnya. Apakah ini perlu? Sudah tentu ia satu tindakan yang jengkel.
Kita tidak hairan jika ia dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam novel-novelnya utamanya Ranjau Sepanjang Jalan sehingga begitu sekali dihinakan Jeha yang kematian Lahuma. Jeha itu wanita tetapi dipakaikan dengan pakaian kesempitan sehingga yang terlukis di minda pembaca ialah kesengsaraan Jeha, kegilaannya lantaran hilang tempat pergantungan usai Lahuma temui ajalnya, tetapi kenapa mesti begitu? Sastera itu mungkin seni pelukisan kisah manusia, tetapi adakah bermoral untuk merendahkan wanita supaya akhirnya, khalayak dipasakkan dengan kenyataan bahawa tanpa lelaki (Lahuma) maka wanita (Jeha) akan berdepan sukar?
Adalah memalukan untuk menelaah teks tersebut dalam arus moden begini meskipun ia diangkat sebagai dokumentasi penderitaan manusia yang baru mengenal alam kemerdekaan tanah air ketika jabatan-jabatan kerajaan masih mentah. Sebagai wanita, di mana ego anda kalau anda membaca kisah begitu sehingga tertitis air mata? Tidakkah ia memualkan?
Begitu, kita juga melihat bagaimana penulis wanita lewat zaman tersebut juga, cenderung sekali atau suka sekali mereka untuk menukilkan kisah-kisah wanita tetapi juzuk pandang alamnya tetap sama, wanita itu di takah dua selepas lelaki. Lebih mual apabila longgokan besar karya alaf baru ini, kisahnya tetap menampilkan wanita-wanita yang terhegeh-hegehkan kasih pria. Apakah itu perlu? Di mana letaknya ego wanita? Serendah-rendahnyakah?
Apa pun, kisah tragis jutawan kosmetik yang dibunuh kejam oleh lelaki adalah bukti jelas pembunuhan terhadap ego wanita di zaman ini. Sayang sekali kerana kita kehilangan satu contoh wanita yang punya ego yang cukup ekstraordinari akhirnya dilenyapkan dengan mudahnya oleh ego manusia lawannya bernama lelaki. Akhirnya, wanita kekal untuk berasa takut kepada lelaki!
0 comments:
Catat Ulasan