Selasa, 21 September 2010

Anis Madhihah [Part 2 of 3]

Enam bulan. Masa berlalu begitu pantas, tetapi selanya menghunjam segala rasa penyeksaan ke benak hati dan jiwa Johan. Enam bulan itu terisi cuma dengan kerinduan dan kekeliruan. Rindu pada seseorang, tetapi keliru pula dengan tindakannya.

Johan melintasi ruang pejabat Anis. Dia mengintai melalui celahan tingkap kaca pandang telus, terus ke meja Anis. Masih kosong. Masih belum ada pengganti. Enam bulan ia terbiar sepi. Ke mana kau Anis?? Kau menghilang atau melarikan diri daripadaku..

Enam bulan itu bukan Johan tidak mahu berjumpa dengan rakan-rakan sepejabat Anis dan bertanyakan mereka ke mana Anis pergi. Puan Zainab, Kak Rokiah, Miss Suzanne, semuanya tahu benar hubungan mereka selama ini. Tapi Johan tidak mahu menyeksakan dirinya sendiri justeru dia memilih untuk berpura-pura seolah-olah dia juga tahu ke mana Anis pergi sejak enam bulan lalu, sedang hatinya, sendat dengan segala macam persoalan. Biarlah Anis sendiri yang mencarinya kerana dia selamanya akan terus menunggu Anis di situ, di mana saja tempat yang pernah menjadi saksi hubungan indah mereka selama setahun yang lalu.

Johan pada masa yang sama sering menyalahkan dirinya atas apa yang sedang melanda hidupnya kini. Telefon bimbitnya tercicir lalu hanyut di bawa arus deras air terjun sewaktu dia lari membawa diri ke kawasan perkhemahan tersebut. Dia ke sana untuk menyedapkan hati tatkala Anis berkeras meminta kata putus dahulu. Di sana, di tapak perkhemahan itulah, hubungannya dengan Anis kembali bertaut. Ketika itu, hanya satu yang benar-benar diimpikan oleh Johan, untuk berada bersama Anis selama-lamanya. Namun, kerana kecuaiannya itu, akhirnya Johan terus terputus hubungan dengan Anis dan langsung tidak mengetahui betapa Anis sedang bahagia bersama Lokman di bumi Dubai.

“Encik Johan, jangan lupa ya, petang ini ada taklimat khas berkenaan projek baru syarikat kita. Boss mungkin lewat dan dia mintak Encik Johan mulakan mesyuarat dengan ketua sektor terlebih dahulu,” Maisarah, pembantu peribadinya lancar menuturkan arahan di hujung talian. Johan tidak membalas. Dia hanya mematikan perbualan tersebut sebelum bangun dan bergegas keluar menemui Maisarah di luar pejabatnya.

“Sara, tolong siapkan fail saya. Ambil dalam locker, fail berwarna jingga dan letakkan di bilik mesyuarat. Kemudian jom temankan saya lunch, ok!! Saya tunggu di bawah, tempat biasa.”

Johan segera beredar. Seperti biasa, dia jarang melemparkan senyuman walaupun kepada pembantu peribadinya sendiri. Tetapi ia tidak pula menjadi masalah kepada Maisarah mahupun staf-staf yang lain kerana semuanya sudah maklum akan sikap Johan. Dia memang seorang yang serius tetapi amat baik hati dan pemurah. Hampir setiap pagi Johan akan membelikan sarapan untuk rakan-rakan sepejabatnya.

Walaupun berjawatan penting di syarikat tersebut namun Johan tidak pernah sekali-kali menyakiti hati staf lain dengan kedudukannya. Satu perkara yang mungkin kurang disenangi oleh sesetengah staf lelaki berkenaan Johan ialah solat fardhu secara berjemaah. Johan sentiasa akan memastikan semua stafnya khususnya lelaki bersolat jemaah di surau pejabat mereka dan dia sendiri akan bertindak sebagai imam secara bergilir-gilir dengan Pak Yaakob, staf paling senior di situ.

“Sara, boleh saya tanya sesuatu??” Johan tiba-tiba bersuara sebaik saja pelayan beredar setelah menghantar makanan mereka. Sara yang baru saja membetulkan kedudukan pinggannya segera mendongak, memandang wajah Johan. Lelaki muda di hadapannya itu kelihatan serius. Dia berdebar-debar. Menanti.

“Kenapa awak bertudung?” soalan yang terpacul dari mulut Johan itu sungguh tidak diduga sama sekali oleh Maisarah. Dia tidak pasti tujuan lelaki muda bernama Johan itu bertanya begitu. Tudung baginya adalah satu kewajipan dan seorang lelaki sebaik Johan sudah tentu tahu akan perkara tersebut. Ia satu tuntutan. Tetapi Maisarah juga seorang yang bijak. Dia mahu menduga Johan kali ini. Pinggan berisi nasi goreng ayam oysternya itu ditolak sedikit ke hadapan, membiarkan Johan dengan pandangan tajamnya itu. Maisarah tidak gentar lagi. Hilang gemuruhnya.

“Kerana saya berkerja dengan seorang lelaki yang mementingkan agamanya..” jawab Maisarah, bersahaja. Dia menghadiahkan seraut senyuman kepada Johan. Reaksi itu segera ditancap oleh Johan. Dia tahu, Maisarah tidak memberikan jawapan seperti yang dimahukan.

“Bagaimana kalau di hadapan awak ketika ini ialah suami orang?” Johan bertanya lagi. Kali ini, soalan itu ibarat halilintar buat Maisarah.

“Seorang lelaki yang baik seperti Encik Johan tidak mungkin akan keluar dengan seorang gadis seperti saya di tempat terbuka begini, bahkan, di tempat yang tiada orang sekali pun, Encik Johan tidak mungkin akan berdua-duaan dengan saya!!” Maisarah menjawab, pantas dan teratur. Soalan itu mencabar prinsipnya, tidak seperti soalan pertama tadi. Dunia sekarang terlalu pincang. Ramai perempuan bertudung melakukan maksiat terlarang dan banyak sekali isteri orang yang curang, tetapi dirinya bukan begitu. Encik Johan sedang menduganya, dia tahu.

“Jadi kenapa Sara belum berkahwin? Tidak adakah yang cuba mencuri hati awak? Jamal pun rasanya kacak, baik dan selalu jadi bilal di surau pejabat kita. Tak sukakah dengannya, Sara?” tanya Johan lagi. Kali ini dia tersenyum. Maisarah menatap wajah Johan. Senyuman itu mempesonakan, layaklah ia mahal dari seorang lelaki bernama Johan yang sedang ditatapnya itu. Alangkah…

Fikirannya tiba-tiba berputar ligat. Dia teringat peristiwa Jamal memangku dirinya secara tidak sengaja di tangga pejabat mereka. Semuanya secara kebetulan apabila pagi itu tiba-tiba saja bekalan elektrik rosak dan lift tidak dapat berfungsi dengan baik. Dia dan Jamal tiba seiringan dan kerana mengejar masa untuk punch-card, mereka bergegas menggunakan tangga. Di situlah peristiwa tersebut berlaku. Kakinya tersadung anak tangga sebelum hampir-hampir terlentang ke belakang. Mujurlah ada Jamal di belakang menyambutnya. Sejak itu, hubungan mereka berdua semakin intim. Namun, Jamal langsung tidak pernah menunjukkan kesungguhannya, sesuatu yang diharapkan oleh semua wanita daripada lelaki yang disukai. Tetapi perlukah dia menjelaskan perkara tersebut kepada Johan? Atau menduganya kembali?

“Saya tunggu boss kahwin dulu,” balas Maisarah, diiring dengan tawa kecil. Mukanya merah, terasa malu alah sendiri dengan jawapan nakalnya itu. “Sudahlah Encik Johan, nasik goreng saya ni dah meronta-ronta mintak disuapkan ke mulut. Encik Johan tak nak makan jugak ke?” tanya Maisarah pula. Dia berhenti ketawa sambil mencuri pandang ke wajah Johan yang masih tersenyum.

Senyumannya makin melebar hingga menampakkan susunan gigi yang rapi dan putih. Ia terlalu mahal. Kesempurnaan itu selayaknya dinikmati oleh seorang wanita yang mampu mencintai Johan, fikir Maisarah lagi. Ia akhirnya mencetuskan persoalan baru dalam cepu fikirnya, kenapa Johan belum berpunya? Kenapa setiap kali waktu makan tengah hari, dia yang menemani Johan?

Ketika mereka mula menikmati hidangan masing-masing, tiba-tiba Maisarah ternanar mengajukan persoalan tersebut kepada Johan.

“Kenapa Encik Johan belum berkahwin?” tanya Maisarah.

Johan tidak segera menjawab pertanyaan tersebut. Dia sebaliknya terus hanya berhenti menyuap. Diambilnya tisu dan dilapkan ke bibirnya. Ulas-ulas bibir Johan kelihatan basah dan berminyak. Merah sekali. Johan tidak pernah merokok seumur hidupnya, lantaran itulah bibirnya kelihatan merah sentiasa. Dia mengeluarkan iPodnya lalu ditaipnya sesuatu dan diunjukkan kepada Maisarah.

Masa makan, tak boleh bercakap!

Tatkala itu juga terhambur derai tawa dari Maisarah, tidak mampu ditahan lagi kali ini. Tidak disangka-sangka itu yang akan dibalas oleh Johan selepas dia berdebar-debar menantikannya dan selepas dia menyesali keterlanjuran kata-katanya itu tadi. Tidak disangka-sangka juga Johan sanggup bersusah payah hanya untuk menaip mesej tersebut. Lebih lucu dirasakan kerana Johan tidak menghantarnya menggunakan sistem mesej pesanan ringkas sebaliknya hanya menunjukkan skrin iPodnya itu kepadanya. Ia sesuatu yang unik, dan mungkin juga romantik!

Johan hanya tersenyum lebar. Dia cuba menahan diri daripada terikut ketawa sama. Hatinya seronok melihat Maisarah ketawa begitu. Namun, sayu juga yang bertamu. Ketawa Maisarah seolah-olah palsu. Ia tidak sejujur Anis. Ketawa Anis terlalu jujur dan bersahaja. Anis tidak berpura-pura. Setiap yang dilakukanya adalah kejujuran, termasuk dalam hal-hal yang remeh temeh seperti gelak ketawa, menyudu nasi ke mulut ataupun menghirup kuah di dalam mangkuk. Anis..Anis..di mana kamu… Johan akhirnya tertunduk. Air matanya mula bergenang. Maisarah yang perasan dengan perubahan tersebut segera berhenti dari ketawanya.

“Encik Johan..kenapa ni??” tanya Maisarah. Dia gusar sekali. “Adakah gurauan saya tadi berlebihan? Maafkan saya..” katanya lagi.

“Sara, kalau ada peluang, cintailah lelakimu setulus hatimu. Buangkan ego. Wanita duduknya di sisi suami. Kalau ada peluang, bercintalah juga denga manusia tanpa melebihkannya dari cintamu kepada Allah..kalau ada peluang, berikanlah hatimu untuk lelakimu..” Johan bertutur dalam sebak. Dia langsung tidak memandang wajah Maisarah. Dia hanya menundukkan mukanya.

Taklimat petang itu sungguh lain sekali. Johan dapat mengesan ada sesuatu yang bakal merobah hidupnya akan berlaku dan ia akan bermula tidak lama lagi, di dalam taklimat itu juga. Tetapi dia tidak dapat mengagak dengan tepat apakah perkara tersebut. Mesyuaratnya dengan ketua-ketua sektor sebentar tadi berjalan lancar dan kini mereka hanya menunggu kedatangan Tuan Haji Mansur, CEO kesayangan mereka. Kira-kira tiga minit kemudian, Tuan Haji Mansur tiba diiringi seorang wanita muda bertudung dan berbaju kurung cutton berwarna ungu lembut. Sungguh ayu. Sungguh menawan. Johan, ingat Anis..Anis….

“Assalamualaikum semua..maafkan saya kerana terlewat. Kenalkan, ini Cik Farahain, konsultan yang akan bertugas di syarikat kita bagi menjayakan projek baru kita ini. Saya rasa kita tak perlulah berusrah panjang kerana sahabat-sahabat semua akan lebih kerap berjumpa dengan Cik Farahain selepas ini..”

Cik?? Getus hati kecil Johan. Matanya masih terpaku pada wajah dan susuk tubuh wanita tersebut. Farahain..Anis Madhihah..Farahain….Anis..Farah..Farah..ini Farahain… Anis, di mana kamu??

Tuan Haji Mansur memulakan taklimatnya, tegas dan penuh karisma. Tuan Haji seperti yang dibasa-basikan saja oleh kakitangan syarikat bukanlah seorang ketua yang terlalu mementingkan status atau kedudukan, meskipun beliau sudah menerima deretan anugerah dan gelaran kenamaan, tetapi didadanya tersemat kesungguhan untuk melihat syarikat yang ditubuhkan lebih 30 tahun yang lalu itu bersama arwah isterinya mampu menggapai impian setinggi awan di langit biru. Itulah impiannya. Itulah impian syarikatnya, dan kini menjadi impian seluruh warga kerja Damia Holdings. Tidak hairanlah kerana kepimpinan yang berteraskan teladan yang baik itu menjadikan syarikatnya antara konglomerat Melayu paling berjaya dengan kadar pusingan modal yang konsisten serta paling kurang mengalami masalah kakitangan atau pekerja.

“Johan, jumpa saya di pejabat ya,” sapa Tuan Haji Mansur mesra sebaik sahaja mesyuarat dan taklimat mereka selesai. Gayanya tak ubah seperti lelaki Melayu lama, bersongkok senget, berkot hitam tanpa kancing dengan perut sedikit terjongol dan bercapal. Sederhana tetapi segak. Janggutnya juga dikemas rapi dan kumis yang sudah keputihan itu tambah berseri bila Tuan Haji Mansur menukilkan senyumannya. Amalan menggunakan kayu sugi atau meswak setiap kali berwuduk menyerlahkan giginya yang masih utuh dan tersusun cantik disulam pula dengan ulas bibir nipis yang sentiasa basah dan kemerahan sekali gus melengkapkan karismanya sebagai tuan punya Damia Holdings. Ini konglomerat Melayu yang cukup berjaya, malah sebaris dengan Yayasan Al-Bukhary, Yayasan Al-Mansur dan lain-lain syarikat di negara ini.

“Baik, Tuan Haji!” sahut Johan sambil memaniskan wajahnya. Dia memberikan laluan kepada Tuan Haji Mansur dan Cik Farahain untuk keluar terlebih diiringi ketua-ketua sektor yang berjumlah dua belas orang semuanya. Matanya mengekori rapat Cik Farahain sebelum hilang di pandangan. Setelah itu dia bergegas mendapatkan Maisarah.

“Sara, tunggu saya ya. Kita pulang bersama. Saya ada hal nak dibincangkan dengan Tuan Haji,”pesan Johan sebelum berlalu pergi.

0 comments: