Rabu, 26 Januari 2011

Kisah Ibu, Anak dan Kekasihnya




Suatu hari, seorang ibu menghubungi anaknya yang sedang menyiapkan tugasan di biliknya di sebuah asrama universiti. Si anak lantas menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum, bu!” sapa si anak lebih awal, mendahului ibunya. Sebagai anak yang baik, dia tidak mahu menjadi si penyambut salam.

“Waalaikummussalam,” jawab si ibu sambil tersenyum penuh syukur atas doa yang dikirimkan dari jauh oleh anaknya itu.

“Ada apa bu telefon petang-petang ni?” tanya si anak. Dia mengalihkan telefon ke sisi kiri telinganya bagi membolehkan tangan sebelah kanan terus menaip pada papan kekunci notebook di hadapannya itu. Kurang dua jam lagi dia perlu menyiapkan tugasan tersebut sebelum dicetak dan dihantar ke bilik pensyarahnya.

“Amboi, tak boleh ke ibu telefon anak sendiri?” tanya si ibu pula sambil berseloroh. Begitulah kemesraan yang sememangnya sedia terjalin antara mereka anak-beranak.

Namun si anak kurang selesa untuk bermesra. Dia mula membentak. Gelakkan kecil ibunya itu tidak cukup untuk menghiburkan hatinya pada waktu-waktu begitu.

“Ibu ni, saya sibuk ni. Kalau ada hal penting, cepatlah kasi tahu bu,” jawab si anak acuh tak acuh. Matanya sekejap memandang skrin pemuka dan sekejap lagi menelaah nota-nota yang berselerakan memenuhi ruang meja belajarnya itu. Mula rimas, lalu si anak terus merengus. Ibunya tersentak.

“Anak ibu ni sibuk benar ye? Dah makan ke belum nak? Jangan lupa makan tau walau sibuk sekali pun,” balas si ibu. Dia cuba menyembunyikan rasa hati yang terguris. Lekas-lekas dibuang jauh. Hati ibu, walau terguris, tetap tak membekas lebih-lebih lagi jika anaknya sendiri yang mengguris. Itulah kasihnya, itulah sayang dan cinta hatinya. Sikit-sikit tu alah biasa tegal biasa saja bagi si ibu. Dia cuba menguntum senyum.

“Ehmm..” jawab si anak. Matanya semakin berpinar. Ligat kepalanya mengarang ayat-ayat terbaik untuk dihantar ke sistem data notebooknya sebelum diterjemah sebagai kod-kod bermakna di skrin pemuka. Bila dia tidak berpuas hati, dipadamnya kod-kod perkataan tersebut lalu dikarang semula. Namun, fokusnya seakan terganggu. Gegendang telinganya seolah menjadi tidak seimbang dek kerana terpaksa mendengar celotehan biasa-biasa ibunya. Hampir setiap hari, itulah ayat yang ditanyakan. Dia boleh terima jika waktunya sesuai, tetapi bukan pada kali ini. Masa, itu soal pokoknya. Akhirnya dia menjadi rimas. Anginnya mula naik.

Tiba-tiba,

“Eh bu, ada panggilan masuk ni. Kejap ye. Nanti angah telefon balik,” kata si anak lalu gegas mematikan panggilan daripada ibunya untuk menjawab panggilan yang baharu saja masuk itu. Alangkah berbunga hati si anak tatkala menatap skrin Experia hadiah hari jadi dari ibunya itu. Tertera Sayang dengan gambar profile comelnya. Buah hatinya, pengarang jantung intan payung hidupnya. Oh, alangkah!

“Hai sayang..!” sapa si anak penuh mesra. Dia senyum meleret. “Ada apa ni sayang tiba-tiba telefon? Kan tadi dah jumpa? Rindu lagi ye? “ Bertalu-talu si anak bertanya sambil berseloroh. Seronok benar hatinya waktu itu. Tangan yang menaip juga terhenti seketika.

“Hmm..sayang belum siap lagi tugasan ni..” jawab si buah hatinya. Suaranya kedengaran manja dibuat-buat di hujung talian tapi si anak buat-buat tak endah. Dia akan layan sama ada manja itu dibuat-buat ataupun sungguh-sungguh. Demi sayangnya, sentiasa ada masa untuk diluangkan.

“Haishhh sayang ni, biar betul. Kan dah nak hantar kejap lagi?” tanya si anak ragu-ragu.

“Betullah..tak kan sayang nak main-main. Lagi tiga muka surat tapi sayang dah buntu. Kering dah otak ni tau tak. Tak nak hantar hari ni boleh tak?”

“Haa..tak nak hantar?” si anak terkejut dengan kata-kata buah hatinya itu.

“Alah, tak apa kot. Hari ni kan Jumaat. Esok, lusa cuti. Tak kan orang tua tu ada kat bilik kot cuti-cuti. Nanti hari Ahad, kita hantarlah. Masukkan bawah pintu, ok tak?”

“Hmm..”

“Alaa..bolehlah. Sayang betul-betul malas dah ni nak habiskan lagi tiga muka surat. Lagi pun, memang dah tak sempat ni. Ada kurang sejam lagi kan?”

“Kalau macam tu, ikut sayanglah, ok? Kita hantar hari Ahad ni,” dengan berat hati si anak membuat keputusan. Dia tahu, dia tetap akan mengalah juga pada akhirnya.

“Yeaa….terima kasih, terima kasih!” balas buah hatinya penuh kegembiraan. “Ehmm..jom!” buah hatinya bersuara lagi.

“Nak ke mana?” tanya si anak itu.

“Kita keluar sebentar. Makan Mac.D ke, KFC ke..sayang laparlah,” jawab buah hatinya dengan pantas.

“Ok..lapar juga ni. 10 minit. Tunggu di bus stop kat depan ye sayang,” si anak segera membuat perancangan. Hatinya senang sekali. Telefon dimatikan. Dia segera bersiap-siap. Tanpa dia sedar, dua perkara telah diabaikan. Pertama, menelefon kembali ibunya, dan kedua, solat fardhu Asar. Syaitan di kiri kanannya bergembira tak terperi lagi. Umpan mengena. Selesai bersiap-siap, si anak segera bergegas turun. Dia meluru menuju motosikal kesayangannya, juga hadiah dari ibunya sewaktu dia mula-mula mendaftarkan diri di universiti tersebut.

Enjin dihidupkan melalui starter khas. Motosikalnya itu diteran dua tiga kali sebelum pedal gear dihenyak keras bagi mendapatkan daya pecutan pertama, yang juga sebenarnya pecutan terakhir buat si anak. Motosikalnya meluru deras menuju ke simpang di hadapan blok asramanya itu. Tanpa menoleh ke kanan, si anak menerpa masuk ke lorong utama. Sebuah kereta dari arah bertentangan juga meluru masuk ke simpang.

Sesaat itu, seluruh penghuni blok terpinga-pinga. Bunyi dentuman maha kuat memecahkan kesunyian petang. Jemaah di masjid yang tidak jauh dari situ baru saja memberi salam kedua dan semuanya seolah-olah tidak percaya dengan bunyi tersebut. Semua penghuni dan jemaah bergegas keluar untuk melihat kemalangan yang melibatkan si anak dengan kereta tersebut, tetapi tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Si anak terkulai layu. Motosikalnya tertiarap di atas bonet hadapan kereta sementara si anak sudah terperosok ke dalam kereta melalui cermin hadapan yang sudah hancur berkecai. Waktu itu, si pemandu kereta sudah pun berdiri di luar pintu. Sedikit pun tiada kecederaan tetapi jelas, dia juga terpinga-pinga.

Saat itu juga, nun jauh di kampung, si ibu masih setia menunggu panggilan dari si anak. Dan tidak jauh dari simpang tersebut, si buah hati sudah berwangian-wangian, sedang menapak menuruni blok asramanya menuju bus stop di hadapan. Namun si anak, sedang menghitung segala hutangnya!

1 comments:

riyadh darius berkata...

bagus nian cerpenmu..salam kenal ya dari indonesia :)



riyadh darius