-cerita ini menganduingi unsur seram yang sederhana-
Saya bertolak pagi itu dalam payah. Motosikal pancit, hujan lebat, kilat masih dentum dentam dengan sesekali angin kencang. Tapi saya mesti bergerak. Mahu selekas boleh. Mahu cepat sampai sebelum urusan semua selesai. Saya tidak mahu lewat. Saya tidak mahu terlepas upacara penting itu, hanya sekali. Hanya sekali inilah saya akan melaluinya, andai terlepas pasti saya akan menyesal seumur hidup, selama mungkin.
Jauh jarak cuma kurang 30 kilometer. Dalam jarak itu sekurang-kurangnya tiga pekan kecil dan satu sempadan daerah mesti saya tempuh. Di negeri sebelah, terpisah oleh sebatang sungai sebesar jalan dua hala, saya mesti melalui pula sebuah jambatan. Jambatan itulah jadi tanda sempadan negeri. Saya asal negeri sebelah sana, tetapi kini menetap dan tinggal di negeri sebelah sini. Mencari rezeki di sini lebih mudah.
Sungai itu pasti bah besar. Sudah dua hari hujan turun sungguh-sungguh. Sudah dua hari juga langit mendung dan gelap. Matahari langsung tak tunjukkan mukanya. Entah merajuk entah penat. Manusia selalu lupa matahari. Bila terlalu rajin matahari berkerja menyimbahkan cahayanya buat isi alam, manusia jugalah yang paling banyak merungut membebel. Panas. Semua pun panas. Pokok-pokok di tengah belantara, rerumput di tengah padang, sungai-sungai, sawah bendang semuanya panas. Tetapi manusia jugalah, yang punya tempat berlindung dan kipas-kipas dan penghawa dingin yang paling banyak merungut membebel. Sudahnya, bila hujan begini, siapa yang susah? Alam pastinya gembira, pokok-pokok apatah. Alam menghijau tetapi manusia jadi bantut rutinnya.
Saya fikir saya mesti cepat sampai, itu sahaja. Anak isteri saya tinggalkan. Anak yang sulung sudah awal-awal di sana. Cuma isteri dan anak kedua dan ketiga di rumah. Isteri saya sakit. Dia sakit mahu bersalin. Saya payah sekali memikirkannya. Di sana, urusan itu lagi penting dan saya mesti lekas. Lekas sampai dan lekas selesaikan semua urusan maka lekas jugalah saya dapat pulang ke rumah. Isteri yang sakit mahu bersalin begitu tak boleh saya tinggal-tinggal. Saya sayang isteri saya. Kata orang sayang isteri tinggal-tinggalkan tidak sesuai dipraktikkan dalam situasi sekarang. Saya jadi payah, benar-benar payah.
Isteri mahu bersalin dan saya sekarang sedang menunggang motosikal untuk ke kampung bagi menyelesaikan urusan itu. Kalaulah anak sulung saya sudah tahu segala selok belok, legalah. Tapi dia pun lembam, sama macam anak kedua dan ketiga yang ada bersama ibu mereka di rumah ketika ini. Saya benar-benar payah. Semua kerana isteri. Kalau saya tahu dia hunikan meroyan dalam dirinya dahulu, pasti mentah saya tolak. Saya tahu saya bukan kacak dan bukan berharta tetapi soal beristeri, saya juga ada keinginan. Urusan itu mendesak sekali. Sejak berkahwin dan sejak tahu meroyan isteri, saya jadi benar-benar marah. Sudahnya, saya berbangsat ke negeri sebelah sini dengan alasan cari rezeki. Sebetulnya saya merajuk.
Ayah yang mengatur urusan perkahwinan kami dahulu langsung tak tahu hakikat diri bakal menantunya itu. Rupanya manis, hitam yang tak terlalu hitam. Mesranya penuh santun. Saya suka benar dengan isteri saya ini. Tapi itu dulu. Semuanya sehingga saya tahu siapa diri dia yang sebenar, kemudian rasa sayang itu berubah, jadi takut, jadi seram, jadi ngeri. Meroyan isteri saya ini pelik. Sangat menakutkan. Dia pernah meroyan tak tentu pasal.
Saya ingatkan meroyannya bila nampak air saja, tetapi lebih dari itu. Dia pernah menjerit waktu kami mahu bersama pada satu malam. Dia menjerit bertempik. Dalam berbogel saya lari keluar dan menguncinya dalam bilik seorang diri sampai cerah. Sembilan bulan kemudian, lahir anak sulung saya itu. Bahana itulah, kemudian saya tahu anak saya itu lembam dan sering menjerit-jerit walaupun dia lelaki gagah sama macam saya. Justeru tak banyak yang saya harapkan dengan anak sulung ini. Sebab itu saya hantar dia pulang ke kampung bersama keluarga ayah saya supaya dia tak jadi ancaman kepada adik-adiknya. Saya bimbang sekali melihat perkembangan mentalnya itu yang semakin masa semakin parah lembamnya, kadang baran lebih-lebih. Sebab itulah saya tak hantarkannya ke sekolah.
Saya sampai ke pekan terakhir sebelum meneruskan perjalanan. Motosikal perlu diisi minyak. Di sana, susah nak cari pam minyak yang beroperasi sampai lewat malam. Kalau tak kerana hujan begini mungkin ada yang sanggup berjaga lewat malam, itupun kalau ada kawan-kawan bermain dam aji dan melapuk bersama sambil menggulung rokok daun. Tapi kalau asyik hujan begini semuanya lebih suka di rumah memeluk isteri masing-masing atau menonton filem ghairah bagi yang muda-muda. Dahulu saya pun begitulah. Sekarang pun masih. Cuma bezanya, lebih gemar menonton bersama isteri.
Pekan ini memang kecil saja. Sehari dalam seminggu iaitu pada hari Jumaat akan diadakan pasar sehari. Ramai sekali yang datang berniaga di sini. Tapi hari ini hari Sabtu. Maka yang nampak di pekan ini hanya sampah-sampah berlonggokan di sana sini sebelum lori sampah datang memungutnya pada hari Isnin. Ada seekor dua anjing jalanan dan kucing-kucing kurap memunggah timbunan sampah-sampah tersebut dalam lebat hujan. Sesekali berebut dan menyeringai sesama sendiri.
Begitulah, semuanya rakus. Manusia juga begitu adakalanya. Saya kira di sini manusia-manusianya pun masih berebut rezeki. Siapa yang tidak ingat, dahulu, kira-kira dua puluh tahun dahulu, satu kejadian menyayat hati melibatkan dua orang lelaki yang selama ini bersahabat baik tetapi kerana petai sebatang mereka bertikam-tikaman. Masing-masing mendakwa pokok petai nan sebatang itu milik sendiri walhal ia jauh terpacak di dalam hutan simpan, maknanya milik seluruh masyarakat. Tetapi kerana mencari sesuap nasi untuk anak-anak dan bini, mereka sanggup apa saja.
Saya teruskan perjalanan yang masih berbaki kurang 7 batu itu. Hutan semakin menebal. Sawah di kiri dan kanan saya nampak balam-balam. Padi sudah tinggi. Dalam kelam rembang petang begitu, suasananya nampak suram benar. Saya seram sekali tetapi kerana sudah biasa dengan jalan tersebut saya cekalkan hati sambil fikiran tak putus-putus memikirkan isteri di rumah. Semakin jauh saya pergi dan semakin hampir saya ke tempat itu, semakin dekat juga bayangan isteri dan rumah saya di mata. Saya mesti selesaikan urusan itu segera.
Tiba di simpang terakhir sebelum saya ambil jalan tanah bendang untuk terus sampai ke rumah Wak Long, suami Cu Loh, tiba-tiba motosikal saya jadi sentak-sentak. Apa lagi?? Saya mula menyumpah-nyumpah. Hujan tak mahu juga perlahan, reda jauh sekali nampaknya. Saya paksa juga motosikal supaya terus menderam. Saya paksa, kalau tidak, saya akan henjutkan ia supaya selamat sampai tanpa perlu memimpinnya dalam becak selut sawah. Batas ban yang dihimpit tali air kiri dan kanan licin sungguh. Saya mesti hati-hati. Kalau silap percaturan, senang-senang saja saya boleh terjun ke tali air itu.
Hati semakin lega bila nampak rumah Wak Long. Arwah sebetulnya. Wak Long mati pagi tadi. Cu Loh isterinya tukang urut patah handalan. Wak Long pula arif dalam ubat-ubat kampung. Anak sulung saya dulu ikat pegangan dengan Wak Long. Arwah ayah saya yang beriya-iya sangat mahukannya diikat pegangan, kononnya supaya Wak Long dapat menjaganya selalu. Entahlah, saya lihat lembamnya tak berubah pun. Sama lembam saja dengan Wak Long yang selalu terketar-ketar itu.
Waktu arwah ayah meninggal kira-kira dua minggu lepas, Wak Long datang cari anak sulung saya itu. Dia pimpin anak lelaki saya itu ke reban belakang rumah. Kemudian, saya lihat dia suruh anak lelaki saya masuk ke dalam sambil menjinjing satu bungkusan kain kecil berwarna kuning. Saya tak pasti apa tujuannya. Tapi saya tahu ayam-ayam kepunyaan emak sudah dijual semuanya selepas arwah ayah bertempik satu petang kerana tak tahan bunyi bising dari ibu-ibu ayam yang mahu mengeram. Waktu itu ayah sakit tenat. Emak cebik muka saja bila ayah berkeras supaya ayam-ayam itu dihapuskan. Esoknya emak jualkan semua sekali gus. Dan esoknya pula, ayah meninggal. Begitulah manusia saya kira, selalu ikutkan hati sendiri.
Jadi apa yang dilakukan Wak Long dan anak lelaki saya waktu itu? Saya sebetulnya tak ambil pusing sangat. Mungkin menghalau jin hantu setan yang banyak di kawasan rumah. Wak Long pernah beritahu dahulu, tanah rumah kami ini letaknya di tengah laluan angin. Laluan hantu setan katanya. Satu hari Wak Long datang tawarkan khidmat kedukunannya untuk alihkan laluan tersebut supaya tidak ada lagi hantu setan yang terlanggar rumah kami sampai bergegar-gegar atap, tiang dan dinding.
Waktu Wak Long menurun di halaman rumah, kami semua disuruh kosongkan rumah. Semua diminta membelakangkan rumah sambil menutup mata. Wak Long beritahu, kalau kami tengok apa yang berlaku ketika itu, hidup kami akan susah sampai bila-bila. Masa itulah, anak lelaki saya curi-curi tengok kerana arwah ayah saya terlepas pelukannya. Memang benar, anak lelaki saya memang dapat susah. Dari lembam biasa-biasa, akhirnya dia jadi sangat aneh.
Dia selalu ke reban di belakang rumah setiap kali waktu maghrib, setiap hari. Waktu ayam-ayam emak masih ada, dialah yang akan halau ayam-ayam itu masuk ke reban termasuk dirinya juga. Kalau emak tidak bertempik memanggilnya keluar maka tidurlah dia bersama ayam-ayam tersebut. Isteri saya sampai tertekan yang teramat. Sebab itu jugalah kami berpindah dahulu. Hanya anak lelaki saya yang tinggal di rumah pusaka itu bersama arwah ayah, emak dan dua orang pak menakannya yang juga ada masalah mental. Hanya saya dan abang sulung yang sihat, normal dan waras.
Saya tiba di rumah Wak Long dengan selamat. Motosikal yang tadinya meragam-ragam seolah memahami kesulitan saya. Dia bertahan dalam payah juga barangkali, saya fikir. Terima kasih, itu bisikan saya kepada motosikal Honda Cup 70cc buatan tahun 80-an milik arwah ayah yang diserahkan kepada saya dahulu. Belum sempat saya naik ke atas rumah, abang long saya turun tergesa-gesa. Dia minta saya terus ke belakang rumah. Ke kubur katanya. Kubur untuk Wak Long belum digali. Katanya lagi jenazah mesti dikebumikan lekas-lekas walau hari gelap walau hari hujan. Saya jadi gundah. Kalau begini, pasti lambat saya boleh pulang. Isteri di rumah perlukan teman dan sayalah sepatutnya teman itu kerana saya suaminya. Tetapi tugas ini tak bisa saya tolak. Hanya saya dan abang long saja yang mampu uruskannya. Orang-orang kampung semuanya tak sanggup, kata abang.
Dalam berat hati, saya ambil pongkes, cangkul dan alatan lain di bawah rumah Wak Long. Saya mengekor abang long ke belakang rumah. Saya menyumpah-nyumpah. Kenapa mesti di sini digali kuburnya? Abang long lantas bisikkan, seolah memahami pertanyaan hati saya, bahawa semuanya sudah diaturkan sendiri oleh Wak Long. Kelak kamu akan faham, kata abang long lagi perlahan. Saya angguk dan terus berjalan lekas-lekas.
Mujur tanahnya lembut. Mujur jua hujan turun. Tanah jadi lembut sekali gus memudahkan kerja kami. Tapi saya hairan sekali kerana abang long memilih kawasan di lereng bukit, sedikit lereng saya kira. Di bawah sepohon pokok cermai yang sudah tua dan tidak lagi berbuah sejak kira-kira tujuh tahun dahulu. Waktu kecil saya selalu juga memanjat cermai itu sambil memetik buahnya. Cu Loh suka benar kalau emak buat jeruk buah-buah cermai itu. Tapi Cu Loh tak pernah pula menjerukkan sendiri buah-buah cermai milik mereka itu. Sewaktu bergilir-gilir menggali itulah, abang long bisikkan kepada saya bahawa Wak Long amalkan ajaran songsang. Wak Long bukan muslim, katanya. Sebab itulah tidak ada orang kampung yang sanggup uruskan jenazahnya. Saya terkejut yang teramat sangat. Saya seolah-olah lemah segala sendi. Saya nampak isteri di rumah. Saya nampak dua anak gadis saya yang menemai isteri saya di rumah. Saya nampak anak sulung saya di rumah Cu Loh bersama emak.
Tapi abang long lekas-lekas pegang tangan saya. Dia jampikan sesuatu, dihembuskan di muka saya. Kemudian, kami teruskan kerja menggali. Saya tidak pasti apa yang berlaku tetapi jampi tersebut seakan-akan memberikan kekuatan kepada semangat saya. Saya terus menggali. Kemudian abang long bisikkan lagi, kuburnya biarlah dalam 5 kaki saja, tiada berliang tapi hanya sedepa lubang di tengah supaya jenazah dapat dikerengkokkan. Jenazah mesti ditanam dalam keadaan memeluk badannya dengan lutut ke dada.
Usai isyak, segala urusan selesai. Kami lekas-lekas pulang. Cu Loh sedang beratib sakan dalam bahasa yang terlalu asing. Saya langsung tak faham. Saya tak peduli lagi. Apa yang penting jenazah mesti segera ditanam kata abang long. Selepas abang long membisikkan sesuatu ke telinga Cu Loh, saya lihat dia mengangguk-angguk seolah-olah faham apa yang dibisikkan.
Abang long kemudian mengajak saya kembali ke kubur yang kami galikan tadi. Saya seperti mahu bertanya kenapa tetapi terbantut kerana nampak abng long seperti tergesa-gesa. Saya terus mengikut abang long. Di belakang rumah, kami lencong ke satu pohon rambai yang rendang saja. Abang long petik kira-kira tujuh helai daun dari lima ranting yang berjuntai ke bawah kemudian segera ke kubur. Abang long aturkan daun-daun tersebut menjadi seolah-olah alas badan untuk jenazah. Selesai urusan tersebut, abang long bisikkan kepada saya supaya berdiri di belakang pohon cermai dan menunggu Cu Loh datang bersama jenazah suaminya. Saya sangat hairan ketika itu. Namun saya terus diam dan mengikut saja apa yang diarahkan.
Kira-kira lima minit kemudian, dalam suram cahaya lampu dari rumah Wak Long dan dalam rintik-rintik hujan yang masih bersisa, saya lihat Cu Loh sedang memikul sesuatu dalam payah menuju ke arah kami. Ia kelihatan berat sekali tetapi Cu Loh nampak lebih kuat dari biasa. Di belakang, saya nampak emak memimpin tangan anak lelaki saya. Mereka menuju ke kubur yang kami galikan. Sampai dekat baru tahu saya yang dipikul oleh Cu Loh itu ialah jenazah suaminya, Wak Long. Saya rasa mahu menjerit. Saya lihat jenazah yang cuma dibalut dengan sehelai kain batik Jawa dengan kakinya berjuntaian seperti dibakar. Rupanya sangat menakutkan. Bahagian kepada jenazah pula diikat dengan kain hitam dan merah. Wajahnya langsung tak kelihatan. Saya percaya, sekiranya saya nampak wajah Wak Long saat itu pasti saya terselimpuh pengsan.
Cu Loh kemudian menghempaskan jenazah ke dalam lubang kubur. Dia turun sama. Tanpa bantuan dari kami anak beranak, Cu Loh tenang-tenang saja uruskan jenazah suaminya itu. Memang benar seperti yang diberitahu oleh abang long tadi. Jenazah Wak Long benar-benar dikebumikan sedemikian rupa yakni dalam keadaan memeluk kakinya yang rapat ke dada. Jenazah juga diiringkan ke kanan sambil kepalanya didongakkan. Pasti terseksa mayat itu, getus hati kecil saya. Selesai semua kerja tersebut, Cu Loh naik semula dengan bantuan abang long. Kemudian Cu Loh arahkan kami menimbus kembali tanah ke kubur Wak Long.
Pulang dari kubur, saya dan abang long terus ke perigi di tepi pangkin di belakang dapur rumah Wak Long. Kami diarahkan mencuci badan. Kata Cu Loh, mandi di situ akan membantu membuang badi dan segala kekotoran daripada kubur tadi. Saya hanya mengikut kerana tak mahu membantah-bantah lagi. Saya mahu lekas pulang ke rumah pada malam itu juga.
Seminggu kemudian, ketika anak baru saya berumur 5 hari, saya mendapat berita Cu Loh pula meninggal dunia. Tetapi bukan di rumahnya. Abang long telefon saya petang itu beritahu Cu Loh ditemui mati di sisi kubur suaminya, kubur yang kami gali dahulu. Saya meremang. Kenapa jadi begitu, tanya saya. Kemudian abang long beritahu, Cu Loh saban malam menjerit-jerit nama Wak Long kemudian akan berlari-lari keliling rumah sambil meratap-ratap. Dia berkelakuan demikian tanpa penat.
Emak, abang long, dua lagi adik lelaki saya dan anak lelaki saya tak pernah berani pergi ke rumah Cu Loh sejak Wak Long mati. Semua orang kampung bahkan tahu, Cu Loh sudah berubah jadi setan. Tiga hari selepas Wak Long mati, abang long buat keputusan berpindah rumah ke pinggir kampung dan tinggal bersama orang kampung yang lain kerana tidak tahan gangguan dari Cu Loh. Rumah pusaka di hulu kampung itu ditinggalkan begitu sahaja.
Cu Loh pernah sekali, kata abang long, bertempik menjerit ke arah emak sambil mengugut akan membunuh semua isi rumah kami jika kami tidak tinggalkan rumah tersebut. Kata Cu Loh, kawasan tersebut sudah jadi milik dia dan Wak Long sebaik saja dia menyertai suaminya itu kelak. Benar, selepas Cu Loh meninggal, kawasan rumah kami dan rumah Wak Long benar-benar menjadi kawasan yang cukup menyeramkan. Tidak ada siapa pun yang berani masuk ke kawasan itu.
Kata abang long lagi, mayat Cu Loh tidak pernah dikebumikan oleh siapa-siapa. Sesekali, ada juga orang kampung yang melintas di kawasan tersebut yang nampak rumah Wak Long diterangi cahaya lilin dan lampu kalimantang pada awal pagi. Pemburu juga selalu nampak rumah Wak Long seolah-olah ada penghuni. Lebih menyeramkan, ada yang mendengar senda gurau suami isteri itu yang diketahui memang manja dan mesra selalu.
Psssttt...rekaan semata-mata OK.