Selasa, 30 Mac 2010

Serindit - Dalam Episok Seorang Pak Cik Yang Sengal

-cerita ini mengandungi unsur-unsur alam yang sederhana serta sedikit elemen bangang yang agak menyerlah di bahagian hujungnya-



Satu pagi, sepasang burung serindit terbang di kawasan belukar berhampiran sebuah bukit di hujung kampung. Kelihatan di bawah mereka terbentang luas saujana mata memandang sebuah padang ragut. Sekawan arnab liar sedang berlari berkejar-kejaran di pinggir anak sungai yang mengalir dingin membelah kawasan padang tersebut. Pada malam sebelumnya, hujan agak lebat turun menyimbahi kampung tersebut menyebabkan rerumput dan segala macam lagi tumbuhan kelihatan hijau segar pada pagi tersebut.

Serindit A kelihatan ceria sekali. Dia menyanyi-nyanyi riang. Alangkah gembira hatinya kerana Serindit B sudi menemaninya bersiar-siar pada pagi tersebut. Hajat di hati cuma satu, dia mahu Serindit B menyaksikan sendiri keindahan alam semula jadi pada waktu matahari sedang naik di kaki bukit pada setiap pagi. Selama ini hanya dia seorang saja yang selalu ke kawasan belukar tersebut, jadi kali ini dia mahu sekali Serindit B ikut sama. Alangkah bahagianya dia kerana Serindit B sudi menerima ajakannya semalam.

Jadi pada pagi itu, seawal subuh, Serindit A sudah bangun. Dia mandi dan mengenakan mandian yang wangi-wangi. Dia mahu sesegar mungkin dan kelihatan ceria di mata Serindit B kelak. Selepas mendirikan solat fardhu Subuh, Serindit A mengenakan pula pakaian yang bersesuaian untuk keluar bersiar-siar pada pagi itu. Semuanya sudah disiapkan sejak malamnya lagi, digosoknya supaya kelihatan segak dan kemas. Sesudah itu, Serindit A mengenakan pula haruman yang digemarinya walaupun Serindit B kurang menyenangi bau tersebut. Tak mengapalah, asalkan tak kelihatan selekeh. Dia mahu nampak bersemangat di mata Serindit B setiap masa.

Setelah semuanya kelihatan sempurna, Serindit A lantas mencapai telefon bimbitnya. Dia mendail nombor mobil Serindit B. Seperti diduga, Serindit A tak perlu menunggu lama. Panggilannya itu segera disambut oleh Serindit B. Di kejauhan dia mendengar suara berkicauan Serindit B. Pada mulanya Serindit B seperti agak marah. Dialog mereka seperti berikut:

Awak, kenapa lambat?

Eh tak laa…awal lagi ni kan..baru jam 7.00 pagi.

Ehmm ye laa..saye dah siap ni.

Saye pun hehe..

Ok jom la kalau macam tu. Saye dah tak sabar nak terbang ni hehe..

Awak ni hehe..excited sungguh. Ok jom. Saya tunggu kat dahan biase ok..

Okk…

Serindit A senyum lebar, selebar-lebarnya. Tak disangka-sangka Serindit B juga sudah siap dan menantikan panggilannya untuk mereka sama-sama bergerak. Perkiraannya, dia menjangkakan yang Serindit B tentu masih enak diulit mimpi, atau mungkin masih enak berdengkuran di atas buaian di sarangnya. Dia faham sangat dengan keletah comel Serindit B yang kadang-kadang boleh saja membatalkan apa-apa saja yang telah dirancangkan hanya kerana mahu tidur. Tapi pagi itu, Serindit B sungguh bersemangat dan hal ini juga menyebabkan Serindit A lebih-lebih bersemangat lagi. Tapi kalau pun dia masih belum bangun tadi, aku tetap akan tunggu, bisik hati Serindit A diam-diam.

Serindit A mengenakan kasut jogging kesayangannya. Walaupun di fikirannya, mereka berdua hanya akan bersiar-siar saja, namun lebih molek jika mereka berpakaian seperti hendak bersenam. Selain nampak sihat di mata burung-burung lain, pakaian sukan seperti ini juga lebih santai dan kelihatan cukup bersemangat. Justeru, sejak malamnya lagi sewaktu mereka keluar makan di hujung kampung, dia sudah mengingatkan Serindit B supaya mengenakan pakaian sukan saja ketika keluar bersiar-siar pada paginya.

Sebaik mengunci pintu sarangnya, Serindit A terus terbang gegas ke pokok yang menempatkan sarang Serindit B. Jauhnya cuma sebesar sebatang jalan tar. Dahulu, antara pokok mereka itu, terdapat sebatang lagi pokok besar yang menempatkan banyak sarang burung, tupai dan sebagainya lagi tetapi telah dirobohkan bagi memberikan laluan kepada pembinaan jalan berturap untuk kemudahan penduduk kampung. Ada hikmahnya juga kerana orang-orang kampung sering melemparkan makanan mereka kepada haiwan-haiwan di kawasan tersebut khususnya kepada monyet, kera hutan dan lain-lain lagi.

Serindit A hanya berkuak mengepak kurang tujuh kali untuk sampai ke dahan yang selalu menjadi tempat dia menunggu Serindit B. Dahan itu agak besar dan mempunyai dedaunan yang lebat sekali. Pokok itu tidak berbuah tetapi amat sesuai untuk dijadikan tempat tinggal bagi kawanan burung seperti mereka. Memang di pokok tersebut terdapat banyak sarang burung.

Kata ibunya, lebih baik bersarang di pokok yang tidak berbuah kerana ia lebih selamat daripada sebarang gangguan. Pokok yang dihuninya pun merupakan pokok yang tidak berbuah, tetapi sangat rendang dan sebahagian besar dahannya rapat merendap ke bahu jalan. Pada sebelah petang, ramai penduduk kampung yang beriadah di bawah pokok tersebut. Selain sarangnya, dua lagi saudara kandungnya turut bersarang di pokok tersebut di samping sanak saudara yang lain.

Sementara itu, di pokok Serindit B pula, koloninya lebih besar walaupun saiz pokok tersebut agak kecil sedikit berbanding pokok yang dihuni oleh keluarga Serindit A. Sejak beberapa tahun belakangan ini, banyak sekali kawanan burung perempuan yang diterima masuk ke koloni tersebut. Ia kelihatan agak tidak seimbang berbanding kawanan burung lelaki yang diterima masuk ke koloni Serindit A.

Hal ini ternyata telah menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat burung di kawasan tersebut khususnya apabila tiba musim mengadakan aktiviti dan keramaian setempat. Penyertaan menjadi tidak seimbang kerana dasar pengambilan yang tidak setara tersebut. Penghulu burung iaitu Serindit Tua yang mengajar Ilmu Kaji Hayat di sekolah burung juga pening memikirkan hal ini, namun kerana ia telah ditetapkan oleh jawatan kuasa tertinggi koloni, maka ia harus diterima dengan penuh semangat persaudaraan.

Sememangnya, koloni di pokok Serindit A telah dikhaskan kepada kawanan burung lelaki bujang sementara di pokok Serindit B pula, ia telah dikhaskan untuk kawasan burung perempuan dara. Sementara bagi mereka yang telah berkeluarga pula bebas untuk bersarang di mana-mana dahan di kedua-dua pokok tersebut. Mujurlah, kedua-dua saudaranya semuanya lelaki, fikir Serindit A.

Sebaik hinggap di dahan tersebut, Serindit A lantas menekan butang-butang pada telefon bimbitnya. Dia tahu, Serindit B pasti tidak akan keluar selagi dia tidak sampai dan menunggunya di luar. Dia sudah faham benar dengar sikap Serindit B itu. Berikut ialah mesej pesanan ringkas yang dihantar oleh Serindit A kepada Serindit B:

Awak, saye dah kat luar ni hee.. J

(Agak lama kemudian, barulah dibalas oleh Serindit B)

Hee..jap ye sayang.

Ok J

Kurang tiga perpuluhan tujuh minit kemudian, Serindit B terpacul dari belakang Serindit A sambil menyergahnya. Alangkah terkejut Serindit A dengan tindakan Serindit B itu. Dia bahkan hampir-hampir terjatuh kerana melatah. Mujurlah Serindit B lekas menangkap hujung kepaknya. Kalau tidak, pasti berpeluh Serindit A menguak kepaknya supaya tidak menjunam ke tanah. Mereka kemudian ketawa bersama sebelum Serindit A menarik kepak Serindit B untuk segera terbang menuju ke belukar tersebut.

Sewaktu dalam perjalanan mereka itu, banyaklah yang dibualkan. Sesekali kedengaran juga hilai tawa kedua-duanya, mungkin ada leluconan yang dibuat oleh salah seekor daripada mereka sehingga memecah keheningan alam pada pagi tersebut. Kawasan belukar dan padang di situ memang meriah pada setiap pagi dengan kicau micau beburung dan kuak menguak kerbau-kerbau di baruh di hujung belukar serta kawanan kambing penduduk kampung yang pagi-pagi lagi mengembek mengajak anak-anak meragut rumput segar di padang. Namun pada pagi itu, Serindit A dan Serindit B merupakan antara yang terawal turun ke belukar. Jadi, agak kuat jugalah bunyik cicipan dari mulut mereka berdua.

Pak cik pula, seperti biasalah, terus memerhatikan keindahan alam ciptaan Tuhan ini.

Err, pak cik, boleh saye tanye?

Ye, tanye la,nak..

Macam mane pak cik tahu tentang burung-burung serindit itu semue?

Eh, pak cik dah biase dengar diorang tu bersembang. Pak cik faham ape yang burung-burung tu selalu cakap..kadang-kadang , lucah pun ada..kadang-kadang politik pun ada, nak..

Err…

0 comments: