Selasa, 4 Mei 2010

Cinta Sampai Syurga [Bah. 4]

Pak Arnab Tua menjulang ranting itu tinggi di udara. Suasana menjadi senyap sunyi sepi. Angin pun seolah-olah terhenti berhembus. Air di tasik hening langsung tak berkocak. Awan-awanan juga kelihatan terpaku di angkasa. Debaran di hati setiap makhluk hutan itu termasuk saya sendiri hampir tidak boleh diperjelaskan dengan kata-kata lagi.

Akhirnya, ranting pun dipatahkan tanda mula. Bunyinya begitu kuat kerana ranting itu ranting terbaik dari dahan pohon baharu yang kering dan rapuh sekali. Serentak itu juga, Belukar dan Puteh melompat melembung tinggi ke udara sebelum kembali mendarat ke tanah dan terus meluru pantas sepantas anak remaja Pak Belang sewaktu mengejar kancil dara di hutan itu.

Seluruh binatang yang hadir bagaikan terpukau. Yang berleher jinjang mulalah terhulur-hulur kepalanya, yang melata merangkak pula mulalah mencelah-celah di bawah. Semuanya mahu menyaksikan dengan mata kepala sendiri akan detik bersejarah itu. Kera, monyet dan luntung pula mengekek-ngekek di atas pokok. Suasana menjadi bingit serta-merta itu juga.

Laluan perlumbaan seperti yang telah diputuskan oleh Pak Arnab Tua bukanlah mudah dan singkat. Selain perlu mengelilingi hampir separuh gigi tasik dan merentas hujung padang, mereka berdua perlu pula menyusup dan menyelinap ke dalam belukar sebelum melompat pula di batu-batu di kawasan air terjun di hulu sungai kampung kita ini. Kalian boleh bayangkan betapa beratnya ujian ini. Namun di hati Puteh, tiada siapa tahu betapa cabaran yang bakal dilaluinya akan menjadi lebih berat dan begitu memilukan.

Puteh dan Belukar terus melompat dan melompat lebih laju. Belukar nyata lebih gesit walau Puteh cuba bersaing. Sekejap saja mereka berdua sudah hilang dari pandangan semua binatang yang ada di situ. Belukar mendahului beberapa langkah. Puteh pula terus mencabar. Mereka berdua sudah mula memasuki kawasan belukar di hujung padang. Untuk beberapa ketika, mereka saling berlumba kejar-mengejar potong-memotong pintas-memintas.

Namun, rentak Puteh mula berubah sebaik saja mereka tiba di satu persimpangan kecil sebelum memasuki kawasan berbatu di hulu sungai itu. Puteh mengambil selekoh kanan. Itu selekoh yang salah. Belukar tahu selekoh itu menuju ke rimba dan kalau teruskan juga, Puteh hanya akan masuk lebih jauh ke dalam hutan, bukannya ke kawasan yang telah ditetapkan dan dipersetujui mereka.

Kalian tahu kenapa Puteh berbuat demikian? Ketika itu, tiada siapa pun tahu termasuk saya. Rupa-rupanya Puteh telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlumbaan tersebut tetapi dengan cara yang bermaruh di mata bangsa arnab. Puteh sengaja berbuat demikian supaya dia tidak kelihatan menghampakan Karma dari awal di samping untuk menjaga air muka Pak Arnab Tua dan Belukar sendiri.

Sewaktu berlari, Puteh sebenarnya menangis. Air matanya berjujuran di sepanjang jalan. Sebab itulah kalau kalian lihat di sepanjang lorong yang pernah mereka berlumba dahulu ditumbuhi pokok-pokok renek yang berbunga ungu. Tak pernah selama ini kita bangsa arnab melihat bunga seperti itu. Segala hidupan di rimba dan bukit ini juga hairan dan takjub.

Kalian tahu betapa Puteh sayangkan Karma? Walaupun tempoh yang dilalui sebenarnya amat singkat, namun Puteh sentiasa bahagia di sisi Karma. Segala susah payah dilalui bersama. Puteh memang terlalu menyayangi Karma sepenuh dan setulus hatinya. Setiap malam Puteh akan berdoa sehingga menangis-nangis menyatakan kesyukurannya kepada Pencipta Alam Semesta dan memohon supaya jodoh mereka berkekalan.

Puteh tidak sanggup untuk kehilangan Karma. Hampir setiap masa Puteh berada di sisi Karma walaupun adakalanya juga Karma seperti terganggu. Tapi Puteh tetap mahu di sisi Karma. Mereka menjalani kehidupan yang sungguh sempurna dan berkongsi masa-masa yang berkualiti setiap hari. Apa saja yang mengganggu fikiran Karma, Putehlah yang dahulu merasainya hinggakan Puteh berasakan seolah-olah Karma itulah nyawanya. Kasihnya terlalu tulus dan mulus untuk Karma.

Suatu hari, pernah Karma merengek-rengek kerana kasutnya terkoyak. Ketika itu, di fikiran Puteh cuma satu, mahu membelikan kasut baru yang lebih cantik dan berkualiti untuk Karma. Malangnya Puteh tidak kecukupan wang. Masalah itu benar-benar menghimpit perasaannya. Untuk beberapa ketika, Puteh menjadi bingung. Hatinya sayu melihat Karma terbongkok-bongkok membetulkan kembali kasutnya setiap kali mereka keluar bersiar-siar.

Akhirnya Puteh membuat keputusan untuk menjahit kasut tersebut walaupun dia tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah. Semalaman Puteh berjaga dah cuba menjahit sehalus mungkin supaya Karma kelak selesa ketika memakainya. Jari Puteh sekali tercucuk dan berdarah tapi cepat-cepat dihisapnya dan disapu minyak supaya lekas berhenti darahnya. Kemudian Puteh menyambung kembali kerja menjahit itu dengan hati yang sangat gembira dan puas.

Semua kenangan mereka berdua bersilih ganti bermain di mata Puteh sewaktu dia berlari. Sesekali, Puteh berasa sangat penat dan bingung. Dia tidak tahu apakah betul tindakannya untuk melarikan diri daripada kampung tersebut sekali gus meninggalkan Karma untuk Belukar, cinta hatinya itu, ataupun terus berjuang demi cintanya.

Puteh pernah beritahu saya dahulu bahawa cinta memerlukan pengorbanan dan jika pengorbanan itu ialah kesakitan, pilihlah kerana ia juga adalah kebahagiaan. Tak semua pengorbanan akan berakhir dengan kegembiraan. Selagi terdaya, cubalah untuk terus berjuang. Jika tidak mampu lagi, pilihlah untuk berundur kerana berundur tak semestinya kalah. Saya ingat kata-katanya itu dan betul-betul memahami maksudnya selepas kehilangan Puteh dari kampung ini.

Puteh menyimpan terlalu banyak kenangan bersama Karma walaupun sekejap cuma. Puteh sangat bahagia bila bersama Karma. Karma itu baginya satu-satu dalam dunia ini. Tapi itu ketika Puteh belum tahu tentang Belukar. Pun, Puteh tetap tabah. Dia langsung tidak bertekak dengan Karma walaupun rasa tertipu, sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat. Akhirnya, Puteh menemui jawapan kepada penantiannya selama ini.

Puteh tahu, kalaupun dia cuba bersaing, Belukar tetap akan menang. Kalau pun dia menang dalam perlumbaan itu, tetapi Belukar tetap di hati Karma dan arnab-arnab lain di kampung itu. Rakan-rakan Karma semuanya sukakan Belukar. Walaupun Belukar muda sedikit dari Karma, namun pesona Belukar cukup terserlah. Malah, Puteh sendiri mengakui cemburu dengan pesona Belukar sebagai arnab jantan. Karma memang layak untuk Belukar.

Akhirnya, Puteh memutuskan untuk berundur. Sebab itulah Puteh tak muncul-muncul di garisan penamat. Puteh langsung tak muncul. Kalian tentu fikir arnab-arnab dan sekalian haiwan yang lain akan tercari-cari Puteh atau tertanya-tanya kenapa Puteh lewat? Kalian sebenarnya tersilap. Kecuali saya, tiada seekor pun mereka yang peduli dengan nasib Puteh. Jadi apa yang berlaku?

Memang Belukar telah menang. Kemenangannya bahkan diraikan dengan sorak sorai penuh hilai gembira. Sebaik sahaja Belukar melompat untuk kali terakhir menuju garisan penamat, semua isi hutan yang ada bersorak sakan. Karma pula terlalu riang. Begitu juga Walang, Undeh dan anak-beranak mereka yang lain. Begitu juga Pak Arnab Tua. Begitu juga arnab-arnab betina yang lain semuanya gembira hingga terlupa akan Puteh.

Belukar diraikan segera dan ditabalkan pula sebagai suami sah untuk Karma. Kalau dalam hokum manusia sana, ada penceraian dan edah tetapi kita bangsa arnab lebih mudah. Kuasa di tangan Pak Arnab Tua sebagai pemimpin. Dengan kuasanya juga, Belukar ditabalkan sebagai pewaris tunggal Pak Arnab Tua yang bakal menjadi Ketua Kampung selepas Pak Arnab Tua bersara kelak.

Sejak itu, tiada lagi kelibat Puteh di kampung ini. Tiada siapa pun yang terkesan dengan kehilangan Puteh yang secara tiba-tiba saja itu. Isi kampung kembali kepada kehidupan seperti biasa. Namun, dengan kehadiran Belukar, banyaklah juga perubahan demi perubahan yang dilakukan. Belukar itu nyata memang hebat. Tidak lama kemudian Belukar mula membuka mulut tentang kehilangannya dahulu. Rupa-rupanya Belukar merantau menuntut ilmu di negeri arnab yang lain. Kini sudah sampai masa untuknya berbakti kepada kampung halaman sendiri. Semua arnab gembira sekali.

Tidak lama selepas perlumbaan tersebut berlangsung, Karma mula menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan bayi yang dikandungnya selama ini. Belukar pula semakin mesra dengan Karma malah enggan renggang sedikit pun dari Karma. Katanya, dia mahu bersama-sama Karma menyambut bayi arnab tersebut meskipun ia dari benih Puteh dahulu. Belukar langsung tidak kisah. Sikapnya itu amat membanggakan bangsa arnab yang lain.

Saat yang dinantikan pun tiba. Karma melahirkan bayi sulungnya yang diberi nama Puteh juga oleh Pak Arnab Tua. Bayi itu jantan. Namun, sejak dilahirkan, Puteh sentiasa lemah dan sering sakit-sakit. Beberapa ekor arnab yang mahir ubat-ubatan telah ditampilkan untuk membantu hayat Puteh tetapi ajalnya tetap tiba. Bayi itu akhirnya mati dan terhapuslah satu-satunya zuriat dari darah Puteh di kampung tersebut.

Walaupun begitu, Puteh yang sepatutnya menyambut kelahiran bayi sulungnya itu langsung tidak tahu menahu akan perkara tersebut. Tiada siapa yang tahu dia mana. Sekawan sewah liar yang selalu terbang di sekitar bukit juga memberitahu betapa mereka sendiri tidak pernah menyaksikan kelibat Puteh dari udara.

Belukar pula berjaya memujuk Karma supaya melupakan saja apa yang telah berlaku dan menerima dengan hati yang terbuka. Begitulah Belukar, seekor arnab jantan yang cukup mempesonakan. Dia mampu mengubat hati Karma yang rawan dengan mudah sekali. Kata-katanya selalunya berisi kematangan. Jauh sekali berbeza dengan Puteh yang sentiasa membelai Karma sehingga merimaskan Karma pula.

Kematian bayi mereka telah berubah menjadi sesuatu yang membahagiakan buat Karma dan Belukar. Hasil pujukkan Belukar, akhirnya Karma senang hati untuk meneruskan kehidupan barunya di sisi Belukar. Itulah cinta hatinya yang sebenar. Hanya Belukar yang mampu membahagiakan hidup Karma. Lama-kelamaan Karma memang benar-benar telah melupakan Puteh yang suatu ketika telah memberikan segalanya untuk Karma; kebahagiaan, kegembiraan dan pengorbanan.

Usahlah kalian memikirkan betapa Karma itu sanggup berkelaku sebegitu kerana itulah namanya cinta. Seperti kata Puteh, setiap dari kita berhak untuk hidup dengan cinta yang kita mahukan. Pasti bersalah jika kita menghalang arnab lain daripada bahagia dengan cintanya. Sesungguhnya, Puteh itu benar-benar telah membuktikan kata-katanya. Betapa dia sanggup melihat Karma bahagia sedang hatinya derita.

Kalian, pasti dan yakinlah, jauh dari sini, Puteh sedang melihat Karma dan Belukar. Saya akan keluar dari kampung ini untuk mencari Puteh. Namun kalian janganlah lupa, perjuangan kita sebagai bangsa arnab muda masih panjang. Kita perlukan pembaharuan. Kita mesti tentang hokum arnab yang hanya mementingkan kata-kata Pak Arnab Tua itu. Saya keluar ini untuk mencari Puteh. Kalian tunggu saja di sini, di kampung ini. Suatu hari saya akan pulang dan membawa Puteh bersama untuk meneruskan perjuangan ini.

Saya pergi dahulu.

0 comments: