Awak, betul ke awak nak saya lepaskan awak..
-Saya tak mampu bahagiakan awak lagi.
Tapi saya cukup bahagia sekarang ada awak di sisi..apa lagi yang saya mahukan..Cuma awak!
-Tak..awak terseksa. Cukuplah. Lepaskan saya, awak tahu kan kenapa saya mintak begini..
Johan tertunduk. Hatinya sayu sekali. Entah apa lagi yang hendak dia perkatakan supaya Anis faham. Dia buntu. Johan tidak tahu apakah ayat terbaik yang perlu dia taip dan kirimkan kepada Anis selepas segalanya diluahkan. Kenapa Anis tak mahu memahami hasrat hatinya?
Tiga hari berlalu. Johan tidak membalas mesej terakhir dari Anis itu. Sungguh dia tahu kenapa Anis mahu dilepaskan pergi, tetapi hatinya ternyata belum mampu untuk merelakan pemergian itu. Anis pernah pergi tinggalkannya sendirian. Hidupnya sungguh sunyi ketika itu. Segalanya dirasakan palsu. Kemudian Anis kembali, sama seperti dahulu, ceria, comel dan penuh kebahagiaan untuk Johan. Lantas Johan menyambut Anis dengan penuh rasa syukur. Air mata Anis yang tertumpah di lengannya pada suatu malam adalah bukti keikhlasan yang dibawanya kepada Johan.
Tiga hari yang berlalu ini ternyata memeritkan buat Johan. Dia tertanya-tanya sendiri kenapa Anis mahu pergi lagi. Johan tahu dia hanyalah teman buat Anis. Tak ada apa yang mampu dilakukannya ketika itu. Hanya doa setulus hati dengan harapan Anis dapat melihat keikhlasan dan kesungguhan hatinya. Sungguh Johan terlalu menyayangi Anis. Johan sayangkan hubungan mereka itu. Namun yang pasti, dia gagal menemui jawapan yang dicarinya kerana Anis juga langsung menyepi.
Anis Madhihah. Dahulu dia pernah menyanjung Johan yang dikenalnya lewat pertemuan secara tak sengaja dalam sebuah seminar di Kuala Lumpur. Pertemuan itu bukan biasa-biasa kerana ia akhirnya memutikkan cinta antara mereka berdua. Anis tahu dia nanar sekali kerana menduakan kekasihnya tetapi kelibat Johan yang sungguh mempesonakan ketika itu nyata lebih gagah sehingga mampu menggugah hatinya kepada Lokman.
Anis dan Lokman meniti satu hubungan cinta yang ampuh walaupun selalu berjauhan. Mereka sabar mencorakkan perjalanan cinta itu sedaya mungkin meskipun ada kalanya berkocak juga dengan sikap Lokman yang kadang-kala sukar difahami. Sehinggalah suatu hari Lokman seolah-olah tidak mempedulikan perasaan Anis dan ia ternyata menyakitkan hati kekasihnya itu. Ketika itu juga, hubungan Johan dan Anis semakin mekar sekali gus membantu menguatkan hati Anis yang sedang rawan.
Pada awalnya Lokman dapat menghidu perubahan Anis namun dia tetap percayakan kekasihnya itu kerana hubungan mereka sudah lama terjalin bahkan sudah direstui kedua-dua belah pihak. Ibu bapa Anis menerima Lokman dengan hati yang terbuka begitu juga dengan orang tua Lokman. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Baginya, ia hanyalah cabaran dalam setiap hubungan sesama manusia.
Pada waktu Lokman masih berasa yakin dengan cintanya, Johan pula semakin tertawan dengan Anis. Gadis itu dirasakan seperti suatu anugerah buatnya. Johan sudah lama menutup pintu hatinya kepada wanita namun ia seolah terketuk kembali sebaik mengenali Anis. Dia tahu gadis kecil molek ini lain sekali dan yang pasti, terlalu istimewa untuk dilepaskan. Johan tidak dapat melupakan Anis sedetik pun. Saban hari saban waktu dia cuba mendekati Anis, menghiburkannya dengan jenaka walaupun dirinya sendiri bukanlah seorang yang humor.
Kehadiran Johan pada Anis pula ibarat teman yang dikirimkan khas bagi mengubat keresahan hatinya. Sedang dia menjalani suatu hubungan yang belum pasti dengan Lokman, ditakdirkan pula dia bertemu dengan Johan yang pandai mengambil hati, komited dan serius. Meskipun ibarat langit dan bumi, namun dia sesekali tidak akan membandingkan Lokman dan Johan. Kedua-duanya istimewa. Tapi dia tahu, Lokman tetap segalanya.
Tapi kenapa Lokman semakin dingin…kenapa Lokman semakin hambar?? Apakah kerana jarak yang membuatkan mereka terpisah jauh dan tidak dapat selalu bersama menyebabkan Lokman seakan-akan tidak mementingkan lagi kewujudan Anis dalam hidupnya?? Sungguh Anis tidak mampu meneka lagi. Hatinya ketika itu dilema, berbelah bagi, keliru..di sana Lokman, cintanya, dan di sini Johan, peneman waktu suka dan duka..
Johan..maafkan aku..
Lokman..maafkan aku..
Selepas setahun usia perkenalan mereka, ternyata Johan semakin menampakkan kesungguhannya untuk melamar Anis sebagai teman hidupnya. Begitu lama masa diambil oleh Johan untuk mengenali Anis sedalam-dalamnya sebelum dia beranikan diri melamar bunga yang diimpi-impikan selama ini. Akhirnya dengan sekali lafaz, Anis menguntum seribu harapan dan memutikkan cinta mereka ke alam nyata. Sungguh gembira hatinya, begitu juga Anis. Namun Johan tahu, belum sempurna ikatan tersebut kerana dia masih memikirkan Lokman yang belum melepaskan Anis meskipun hubungan mereka sedang dilanda badai besar.
Namun sayangnya, selepas lebih setahun juga, akhirnya Anis sedar hatinya hanya untuk Lokman. Sungguh dia terharu kerana walaupun ditinggalkan tetapi Lokman sentiasa menghubunginya malah tetap berusaha merebut kembali cinta Anis yang pernah hilang. Bagaikan semuanya sudah tersurat, akhirnya Anis kembali dengan tekad yang baru, Lokman tidak akan lagi mensia-siakan setiap waktu mereka yang ada. Kepada Tuhan Anis memanjatkan rasa syukur yang tak putus kerana mengembalikan kebahagiaan yang pernah dibina bertahun-tahun lamanya dahulu bersama Lokman. Kali ini, Lokman tidak akan dikhianati lagi. Itulah cinta matinya.
Perpisahan demi sebuah cinta yang suci. Hanya Anis yang tahu apakah rasanya. Lokman pasti beruntung kerana Anis tidak pernah melupakannya walaupun ketika bersama Johan. Namun tidak bagi Johan. Perpisahan itu terpaksa direlakan dan diterima demi melihat Anis bahagia. Johan tahu dia tidak mampu hidup tanpa Anis di sisi. Setahun membina cinta adalah saat-saat yang sentiasa penuh dengan kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Tetapi Johan telah berjanji, dia akan sedaya mungkin cuba menerima keputusan Anis itu dan sekali-kali tidak akan mengganggu Anis lagi. Dia mahu lihat Anis bahagia. Bahagia dengan insan yang dicintainya kerana Johan tahu erti bahagia itu hanya boleh dikongsi dengan orang yang disayangi sahaja. Orang itu ialah Lokman.
Tetapi kenapa Anis kembali juga kepadanya…sungguh Johan tidak mengerti. Dan kini, Anis meminta supaya dilepaskan lagi. Anis kembali di waktu Johan benar-benar perlukan seorang teman. Sejak Anis pergi, hidupnya serba tidak kena. Segalanya menjadi kosong, sunyi dan sepi. Alam dirasakan tidak lagi bercahaya buatnya. Hari-hari dilalui sebagai sekadar rutin. Tiada kegembiraan, tiada kebahagiaan. Semuanya mula berubah dan bersinar bila suatu hari Anis mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh jabatan mereka. Sejak itu hubungan yang pernah ternoktah dahulu antara mereka mula bertaut kembali walaupun dalam dimensi yang baru, tetapi sangat bermakna untuk Johan.
Mungkin kau nanar lagi Anis.. Johan seakan tidak percaya bila suatu malam Anis mengakui betapa hatinya masih sayangkannya. Anis tulus mengakui dia tidak pernah melupakan Johan dan sentiasa dihimpit rasa bersalah. Malam itulah, air mata Anis tertumpah di lengan Johan. Anis merangkul tangannya dan memohon maaf berulang kali. Tapi Johan tahu, tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana Anis tetap bersama Lokman. Dengan hati yang tulus ikhlas, Johan menerima kehadiran Anis dan berjanji akan terus setia dengan cintanya itu, hanya untuk Anis. Selamanya..
Tapi kini, ia tawar lagi. Tiga hari lalu Anis minta supaya dilepaskan..dan Johan belum memberikan sebarang jawapan. Tiga hari berlalu begitu sahaja, sunyi tanpa berita. Anis menunggu reaksi Johan sebaliknya Johan pula masih berharap semoga Anis dilembutkan hati dan memikirkan semula keputusannya itu.
Hari itu hari Jumaat. Anis terpaksa bergegas pulang ke rumah. Ayahnya meminta supaya dia segera pulang untuk menyelesaikan sesuatu. Anis tidak tahu. Tapi dia mengesyaki ia tentu sekali berkaitan permintaan Lokman semalam. Hatinya berdebar-debar sepanjang perjalanan yang memakan masa hampir empat jam itu.
“ Lokman dah berjumpa ayah tapi ayah belum memberikan kata putus. Ayah nak kau yang buat keputusan, Nis.”
Anis termangu sendirian. Esok keluarga Lokman akan bertandang bersama hajat yang menggunung. Tetapi kenapa begitu mendadak? Aku belum bersedia. Semalaman dia tidak dapat lelapkan mata. Tangannya menggengam erat telefon bimbit yang dihadiahkan oleh Johan pada hari lahirnya yang lalu. Tapi dia benar-benar buntu. Sepatutnya dia gembira dan berbahagia kerana Lokman ingin melamarnya . Namun kenapa mesti segegas itu.. Anis tidak menyangka permintaan Lokman bukan gurauan tetapi hatinya, perasaannya ternyata begitu keliru. Johan belum memberikan kata putus. Dia tidak mahu Johan kecewa lagi justeru dia menantikan kata putus dari Johan sendiri tetapi kenapa Johan langsung menyepi sehingga ke saat genting ini?
Kerana terlalu buntu, akhirnya Anis nekad menunaikan solat sunat dengan harapan diberikan petunjuk. Hampir jam tiga pagi Anis menyepikan dirinya di tikar sejadah. Dia cuba menyisihkan segala kecelaruan yang sedang menghimpit. Dia cuba mengosongkan diri dan meletakkan situasi itu satu persatu sehingga akhirnya dia mula menyedari betapa semua itu terlalu mudah untuk ditangani. Anis berasa kerdil dan malu di hadapan Yang Maha Mengasihi. Sungguh dia telah terlupa kepada siapa sepatutnya dia mengadu tatkala diuji begitu. Bagaikan mendapat semangat baru, Anis bangun dan mencapai telefon bimbitnya. Dia akan berterus terang kepada Johan dengan harapan Johan mengerti. Usai dikirimkan mesej itu kepada Johan, Anis mematikan telefon bimbitnya dan terus tidur tanpa mengetahui di mana Johan berada.
Dan dalam tidurnya, Anis bermimpi sesuatu yang sungguh aneh. Anis melihat Johan jalan beriringan dengan Lokman di sebuah lembah. Sampai di kaki lembah itu, Lokman tidak lagi menemani Johan yang meneruskan pendakiannya pula hingga ke puncak sebuah bukit batu. Ketika di puncak, kabus tebal mengelilingi bukit itu. Tatkala itu, tiba-tiba Anis berasa dirinya berada di hadapan Johan tetapi Johan tidak berkata walau sepatah pun. Johan hanya tersenyum dan berpatah balik sebelum hilang di sebalik kabus dan Anis pula menangis teresak-esak hingga tersedar. Rupanya-rupanya, air matanya sedang berderaian hingga membasahi bantal tidurnya sendiri.
Mimpi itu langsung melenyapkan kantuk Anis. Dia mencapai telefon bimbitnya yang diletak di sebelah bantalnya. Tiada mesej masuk. Anis memeriksa peti hantar. Johan belum menerima mesejnya tadi. Sungguh Anis tidak tahu Johan di mana dan dia terus berharap semoga Johan mengerti usai membaca mesejnya itu. Kini dia faham kenapa Johan hanya tersenyum dan terus menghilang di sebalik kabus di puncak bukit tanpa sebarang kata. Johan, kau mesti kuat kali ini.
2 comments:
tabahlah wahai hati..
da abih ker citer ni???ni yg den tensen ni...
Catat Ulasan