Ahad, 27 Disember 2009

Surat Cinta Untuk Cikgu Qistina

Kalau saya ditanya, apakah erti menunggu, saya akan hanya menjawab dengan paling mudah dan ringkas, dengan pilihan kata-kata yang paling tepat dan sunguh-sungguh, bahawa ia adalah saat bila kita memberikan seluruh kesanggupan.

Saya mengenalinya, dan terus jatuh hati. Bila pertama kali saya tahu dia sudah dimiliki, saya terus cuba berhenti. Perhentian itu saya bina dalam tempoh yang panjang dengan harapan dia mengerti akhirnya, bahawa saya harus mengundur diri. Saya mengajaknya berhenti pada saat yang saya kira sudah patut. Saya beritahunya, bahawa dia mesti lupakan saya segera.

Waktu itu, sebenarnya, baru dua minggu kami kenal. Sungguh aneh kerana begitu lekas saya jatuh hati, walaupun kata orang, kita mengambil masa seminit untuk mengenali dan sehari untuk jatuh hati. Kerana itu jugalah saya mahu lekas berhenti dari terus jatuh hati, kerana saya takut, jika saya benci, ia akan jadi satu episod yang terlalu panjang. Kata orang, kita selamanya akan membenci bila sekali kita dikhianati.

Saya mengambil keputusan itu setelah merenungi diri ini. Cikgu, saya sebenarnya terlalu sayangkan dia. Dia terlalu istimewa buat saya. Dua minggu itu terlalu banyak yang saya selami, dasarnya tenang dan indah sekali. Setiap gerak degup hatinya membuatkan saya begitu terpesona sehingga saya jadi pinar lantas hilang nafas. Saya jadi lemas di dasar itu. Sehinggalah akhirnya saya seolah-olah nampak bahawa sama ada saya akan lemas dan karam, atau saya akan hilang terus di dasar itu tak lagi kembali ke permukaan. Kedua-duanya sama sekali bukan impian dan harapan saya. Waktu itulah, saya sedar, saya perlu lekas naik ke permukaan dan tinggalkan dia.

Alhamdulillah, dia mengerti dan memahami. Saya mengucapkan selamat tinggal seminggu kemudian, iaitu seminggu sebelum ulang tahun kelahiran saya. Sengaja saya pilih waktu itu walau pun hati saya, perasaan saya dan seluruh jiwa saya masih inginkan kemesraan kami bertahan selama mungkin. Tempoh mengenalinya, sebenarnya, adalah tempoh untuk saya membina impian dan harapan. Utamanya, saya mahu menyambut hari jadi saya bersama. Itu impian yang cukup-cukup saya impikan, sebaik saya sedar saya telah jatuh hati padanya. Namun saya buat keputusan lebih awal untuk pergi walaupun saya mampu memanjangkan tempoh tersebut. Sungguh semuanya di tangan saya meski pun dia yang sepatutnya pergi.

Saya tahu, dia tidak akan pergi dari saya. Saya tahu, dia lebih sayangkan saya, bahkan lebih mahu saya terus bersamanya.

Cikgu,

Air matanya saya kesat pada titisan pertama. Ia jatuh hangat di atas lengan ini. Saya menangis jauh di dalam hati. Sedang jiwa saya merajuk. Saat itu juga, seluruh hidup saya terasa sunyi. Saya tahu, saya mencipta hari-hari yang bakal suram dan kelam.

Hening sekali waktu itu. Dia cuma tunduk. Esakannya terdengar oleh saya tetapi cukup halus. Mungkin dia sendiri tidak pasti kenapa harus dia menangis sedangkan kami belum pun membina satu hubungan yang kukuh, tak lebih cuma kawan. Saya selalu berpesan pada diri, dia sudah dimiliki seseorang dan orang itu jauh darinya, sedang saya dekat dan selalu disisi waktu senang dan susah. Saya seharusnya tidak membenarkan dia jatuh hati sama seperti saya. Mungkin, mungkin kerana itulah, selama dua minggu tersebut, kami cuma mampu menjadi kawan yang saling memahami hati dan perasaan masing-masing.

Namun, saat dia menangis, saya tahu bahawa dia juga sudah meghamparkan sesuatu pada diri saya. Saya tahu, dia menyandarkan jiwanya pada hati saya. Tangisan itu bukan dibuat-buat. Ia begitu mulus, tambah mulus saat dia mengangkat wajahnya dan merenungi mata saya. Dia senyum. Tuhan, hati ini menggeletar. Ia sungguh menikam sanubari, menggetarkan seluruh naluri. Saya renunginya, dalam-dalam. Dia senyum. Kuntumannya mekar dalam kebasahan air mata, seolah-olah mawar yang kembang disimbahi embun dan suria. Indah, mulus.

Cikgu, saat dia genggam jemari saya, hati saya begitu digoncang.

Dan saat dia membuka mulutnya, saya tahu, sesuatu yang paling tulus akan keluar dan meniti dibibirnya, dihembus angin dingin, menyapa terus ke kalbu saya. Benar cikgu, dia mengungkapkan sesuatu yang pasti akan saya ingat dan tunaikan, kerana ia adalah permintaan yang paling indah daripadanya sejak saya kenalinya.

Tunggu aku.

Allah, kau kuatkanlah semangatku hingga ke akhirnya, kerana aku pasti akan tunggu dia.

Cikgu, saya menangis yang teramat sangat. Hati saya merajuk hingga ke hari ini. saya telah kecewakan hati saya sendiri. Namun saya sudah berjanji untuk menunaikan permintaannya, sehinggalah hari ini, cikgu datang dalam hidup saya.

Sudikah cikgu terima cinta saya?

Yang benar,

Salim bin Kassim.

Cikgu..cikgu..ada surat lagi dari abang saya untuk cikgu hari ni.

Arghhhhhhhhhhhhhhhhh..tidakkkkkkkkkkkkkkkk..

Cikgu Aisya Qistina mendadak menuruni tangga, lekas-lekas belok ke kanan dan menyelinap masuk ke tandas yang terletak kira-kira dua meter dari Kelas 3 Kenanga, meninggalkan Daim yang terkial-kial memerhatikannya dari atas.

Salim abang Daim. Salim kata orang kampung, tiga suku. Semakin menjadi-jadi. Daim adiknya pula, lembam. Alahai, nasib. Minggu depan pasti, aku akan ke bandar dan ke PPD mengisi boring permohonan bertukar, getus hati kecilnya.

0 comments: