NOTIS
cerite ni mang xde kene-mengene ngan sape2, baik yg masih hidup, ataupun yg nyawe2 ikan, ataupun yg dah mati terus dan sedang diazab sekarang ni alam kubur, ataupun yg sedang menikmati nikmat alam kubur.
aku saje nak mapu sambil melepaskan ketensenan membuat esemen aku ni..ngeh.
Saya selalu berfikir kenapa saya tidak dilahirkan dengan kemampuan yang luar biasa, yang melampau-lampau biasanya, misalnya ; melompat dari bangunan ke bangunan, atau menembusi kenderaan-kenderaan di jalan raya yang sibuk, atau pun menyelam sambil menyeberangi Selat Melaka dengan selambanya. Kenapa ya?
Saya pernah juga berfikir, dengan mekanisme tertentu, kenapa saya tak mampu juga jadi orang yang luar biasa, yang melampau-lampau biasanya, misalnya setelah memakai kasut yang mahal harganya di beli di butik ternama di Queensbay, tetapi masih juga tak mampu berjalan dengan penuh gaya seperti Tom Cruise ataupun Johny Depp.
Kenapa juga ya, dengan sedikit iltizam dan dengan banyaknya wang dibelanjakan, setelah mengubah trim gaya rambut saya ini, tetapi kenapa saya masih juga biasa-biasa, bukan jadi lebih luar biasa sehingga melampau-lampau luar biasanya. Saya lihat di cermin dan masih, rupa ini biasa-biasa juga. Saya mahu bersiul-siul di tepi jalan sewaktu bersiar-siar di bandar dan gadis-gadis serta wanita elegen akan memandang-mandang saya berulang-ulang.
Saya juga pernah berkali-berkali berfikir, kenapa setelah mencuba pelbagai lagu di pusat-pusat karoke terkenal di bandar-bandar yang saya kunjungi, dari irama nostalgia ke irama semasa, dari balada ke rock keras-keras, dari goyang Inul ke gerudi Mas Idayu, dari merdu Ruth Sahanaya hingga ke nyaring Black dan Azlan sewaktu mereka berduet..err lagu…tak ingat, ah abaikan, kerana soalnya di sini, kenapa saya masih juga belum mampu menghabiskan satu pun lagu dengan jayanya. Saya sudahnya digelak-gelakkan oleh dia. Tak faham sungguh.
Lalu minggu lepas, saya pulang ke kampung. Di satu petang, bertanya langsung kepada bonda tentang masalah-masalah ini. Bonda hanya senyum. Tak nampak pun giginya kerana petang itu, barangkali bonda sengaja tidak mengenakan gigi palsunya. Gusi bonda merah pucat. Bonda nampak pun tak sihat juga.
Saya anak bongsu bonda, hasil kahwin kedua dengan lelaki itu. Saya anak bongsu dari dua orang beradik. Adik saya meninggal waktu bonda habis pantang. Bonda berkeras mahu saya jadi anak sulung, tapi saya lagi berkeras, sekeras-kerasnya, mahu jadi anak bongsu juga. Walaupun anak tunggal sebenarnya, setelah arwah adik selamat didaftarkan sebagai ‘mati’ dalam sijil kematiannya, tetapi saya rasakan menjadi anak bongsu itu lebih manis, atau setidak-tidaknya, menggunakan gelaran tersebut. Ya, manis sekali kerana manjanya lebih.
Tapi lelaki itu, yang kahwini bonda, dia tak pernah lekat di rumah. Dia memang tidak pernah berada bersama saya dan bonda, tidak juga bersama isteri-isterinya yang lain, yang seorang itu khabarnya nun di Sandakan sana, yang seorang lagi khabarnya pula, di sebuah kampung nelayan di pinggir pelabuhan di Thailand. Saya tidak tahu langsung alamatnya, apatah lagi mengambil tahu berapa anaknya bersama betina itu. Dan bonda, katanya, isteri ‘bongsu’ yang paling muda, paling sayang dan paling chenta. Saya sama sekali tidak ngerti apa itu muda pada lelaki itu, apa itu sayang pada lelaki itu dan apa itu chenta pada lelaki itu. Saya belajar di USM, dan kawan-kawan bagitahu saya, bukan chenta tapi cinta.
Chenta atau cinta? Saya belum faham, bahkan makin kelam-kelam. Lelaki itu dalam satu suratnya kepada bonda selepas saya lahir ke dunia ini, berulang kali menulis aku chenta sama kamu Mia, aku chenta sama kamu Mia, aku chenta sama kamu Mia. Bonda, Samiah Mokhtar, selalu juga bacakan surat itu kepada saya, selalu juga sampai nangis-nangis.
Bila saya sudah dua belas tahun, saya curi-curi baca surat-surat lelaki itu kepada bonda yang lainnya. Di sekolah, guru Bahasa Melayu mengajar saya ilmu mengarang. Ya, mengarang itu indah. Saya suka sekali mengarang. Karangan juga selalu benar dapat kepujian, kadang-kadang diberi bintang penuh berjumlah lima butir oleh Guru. Saya panggil dia Guru. Kawan-kawan mentertawakan saya kerana panggilan tersebut. Mereka bahasakan, cikgu. Tapi bagi saya, guru yang saya gelarkan pada Guru itu lebih tinggi dan mulia dari cikgu. Kasihan Guru, mereka tidak faham barangkali jasamu Guru.
Ketika itu, saya sebetulnya baru belajar bab mengarang surat tidak rasmi. Seorang teman bernama Jehan, lucu sekali dia bila dia menanyakan kepada Guru, apakah surat cinta itu juga surat tidak rasmi, cikgu?
Guru hanya gelak. Saya juga gelak sambil menoleh kepada Jehan, dan kepada Guru. Saya duduk di hadapan sekali di dalam kelas. Saya mahu dekat-dekat dengan semua guru-guru. Oh ya, semua guru saya panggil Guru.
Bila saya baca surat lelaki itu kepada bonda, saya memang teringatkan lelucon Jehan dan penerangan dari Guru sekali gus. Tapi, surat ini lain sekali. Saya tidak tahu kenapa saya harus gementar sekali membaca surat tersebut ketika bonda ke sungai membasuh baju-baju sekolah saya. Hari itu hari Rabu. Dan surat yang saya pegang dan baca ini bukan surat yang biasa bonda bacakan. Surat itu memang ada. Dan rupanya, ia ditujukan khas kepada saya bila lelaki itu tahu saya sudah lahir ke dunia. Binatang!! Surat yang sedang saya baca ini ternyata lebih celaka dari surat yang selalu bonda bacakan kepada saya setiap kali saya mahu tidur dahulu.
Lelaki itu sungguh berani membahasakan dirinya Kanda kepada bonda, dan dipanggilnya bonda, Dinda. Saya geram amat. Saya cuba bertenang sehingga habis surat itu saya baca. Beberapa kali lelaki itu menyatakan kerinduannya kepada bonda. Beberapa kali itu jugalah hati saya begitu ditusuk. Kenapa bonda membiarkan lelaki itu begitu berani meluahkan rasa hatinya? Tak malukah dia? Tak malukah bonda? Tak malukah bonda kepada saya?
Lebih menyiat-nyiat hati saya ini bila pada satu perenggan surat itu, ayatnya penuh erotis. Lelaki itu telalu berani melucahi cintanya kepada bonda. Saya geram bila baca patah-patah kata penuh berahi lelaki itu yang ditujukan khas kepada bonda. Pujuk rayunya, cumbu kasihnya, pada budak-budak yang baru baligh seperti saya ini, memang mengghairahkan sehingga saya sendiri membayangkan bukan-bukan. Tetapi rasa ghairah itu terhenti, mati terus bila saya sedar betapa watak utamanya ialah Kanda, yakni bonda saya sendiri. Lelaki itu setan!!
Sedang saya leka menyelongkar peti surat chenta/cinta bonda, terdengar suara seseorang dari luar kamar bonda. Saya kenal, cam benar suara itu. Oh, bapak sudah pulang. Saya seperti budak-budak yang kerinduan bapaknya, terus menerkam bapak. Bapak tanyakan, di mana ibu, lalu saya khabarkan ibu di sungai. Bapak terus masuk ke kamar kerana mahu menukar jubahnya. Bapak baru pulang dari masjid barangkai saya fikir. Bapak seorang imam, tapi lebih banyak jadi bilal dan makmum sekali gus semenjak orang-orang kampung bertegang urat dengan Lebai Wahab isu sembelihan siapa yang lebih halal. Semenjak itu, ramai jemaah beralih kiblat menukar imam. Mereka ke markaz yang kononnya, di sana, jamin masuk syurga. Di masjid, belum tentu, kata mereka.
Tatkala itulah, bapak terlihat peti surat chenta/cinta bonda. Bapak tidak terus bertanya apa-apa, sebaliknya bertindak mendahului bicara. Memang, siapa pun kalau pun bukan bapak akan pelik lagi hairan melihat surat-surat tersebut, yang sebahagiannya masih bersampul. Bapak ambil satu, belek-belek dan baca. Bapak ambil lagi, belek-belek, dan baca. Bapak ambil lagi, belek-belek, dan baca. Bapak ambil lagi, dan lagi, dan lagi, dan saya kesani, ada robah pada raut wajah bapak. Dari tenang kepada berkerut, kepada geleng-geleng dan terus dihempasnya surat-surat tersebut. Bapak tanya, mana ibu? Saya jawab, kerana saya kira bapak lupa tadi dia juga sudah tanyakan di mana bonda. Saya beritahu ibu masih di sungai, dengan tambahan ‘masih’ pada jawapan kali ini bagi menunjukkan saya sebenarnya sudah pun memberitahu bapak di mana bonda ketika itu.
Bapak nampak macam mahu bertempik, tapi tidak jadi. Sebalinya, saya dengar bapak beristighfar. Malam itu, bapak berbual panjang dengan bonda. Saya di dalam bilik menekuni buku-buku pelajaran. Esok saya mesti jawab ujian Matematik kerana saya mahu lulus dan ditawarkan ke sekolah Izuddin Shah di Ipoh. Saya bercita-cita ke sana setelah saya berkenalan dan jatuh hati dengan Ustaz Fadlan Shahidi. Dia lulusan Izuddin dan Al-Azhar. Saya mahu jadi ustaz juga.
Malam itu memang panjang bualan bapak dengan bonda. Saya dengar-dengar. Beberapa kali bapak bertanya tentang surat-surat tersebut. Beberapa kali nama lelaki itu terhambur keluar dari mulut bapak, kadang-kadang agak kuat juga. Bapak seolahnya agak kurang sabar malam itu. Saya kesani, dalam mentah usia begini, yang bapak bernada cemburu. Sedang bonda, berhempas pulas agaknya menjawab. Satu ketika, saya dengar bonda teresak-esak. Saya senyum. Drama orang tua, fikir saya. Beberapa kali juga saya dengar perkataan-perkataan yang agak luar biasa dari mulut bapak, yang juga seorang imam, bilal, dan makmum yang setia. Ya, bapak setia, utamanya kepada cintanya. Kepada bonda, bapak memang setia. Bukan macam lelaki itu.
Esoknya, pagi-pagi, bonda mengejutkan saya. Rupa-rupanya, bonda tidak tidur dengan bapak semalam. Bonda lekas-lekas menyiapkan saya, tetapi bukan dengan baju seragam sekolah seperti biasa. Saya tanya bonda, kemana hendak pergi pagi-pagi begini? Saya beritahu yang saya mahu ke sekolah ambil ujian. Bonda tidak menjawab, tetapi hanya menangis. Baju-baju saya dan bonda yang lain sudah siap dikemaskan dan disimpan dalam bagasi. Saya tanya lagi, apa yang sedang berlaku? Mungkin kali ini bonda sudah enggan berahsia lagi lalu terus menjawab, bapak sudah ceraikan bonda talak tiga. Sekarang kita kena keluar.
Saya hairan. Oh, patutlah bonda tidur bersama saya, tidak bersama bapak. Saya teringat di sekolah agama, ustazah pernah beritahu saya, wanita yang diceraikan haram tidur bersama suami yang menceraikannya itu. Oh, patutlah bonda tidur di bilik saya semalam. Tetapi kenapa bonda menangis saja?
Sebelum bergegas keluar, saya sempat lihat bonda meninggalkan sesuatu di atas meja di ruang tamu. Saya sempat amatinya. Itu surat. Ya, itu surat. Saya kenal sampulnya. Lusuh. Saya cuba ingat-ingat lagi. Oh ya, itu surat lelaki itu kepada bonda. Surat itu saya sempat baca semalam. Ya, surat itu isinya ialah luahan rasa hati lelaki itu kepada bonda. Ya, saya ingat, lelaki juga turut ceraikan bonda, juga dengan talak tiga. Sama seperti bapaklah kalau begitu, fikir saya. Wah, bertuahnya bonda. Semua lelaki menceraikannya dengan talak tiga. Kata ustazah, talak tiga ialah talak tertinggi, paling berkuasa. Kalau begitu, bonda memang hebatlah.
Hari ini, saya sudah 23 tahun. Sudah tua dan sudah faham apa itu cinta. Maknanya sama saja dengan chenta. Dua-dua sama.
Hari ini, saya di USM. Bukan di Al-Azhar, dan tidak pernah pun ke Izuddin. Bapak yang saya harapkan akan bimbing saya sehingga menjadi ustaz, sudah mati. Lelaki itu juga sudah mati. Bonda juga.
Hari ini, saya masih bertanya, kenapa saya tidak pernah dilahirkan dengan kemampuan yang luar biasa, agar saya bisa dan mampu kembali ke masa lalu, dan mengkarate hidup-hidup semua lelaki yang pernah merosakkan hidup mama?
3 comments:
gemar penulisan ini. karyanya ikhlas :)
semoga bonda dicucuri rahmatNya. amin.
tita
salam despret rumet hehe..tenkiu sudi bace ape yg sye merapukan ni.. Bonda tu bukan sape2 pun huhu..tak berkubur pun klu mati..jz wujud dlm stori ni je..tu pun x tau la nak kate stori ke ape..btl2 xde kaitan ngn sape2 stori ni...ikut jari yg menaip n ikut hati yg berbicara je..pape pun tenkiu k :)
menarik2!! x lme ag dh ley jual dh nih..=D
Catat Ulasan