Khamis, 31 Mac 2011

From Damak With Love - Kampung Boy versi Kami Chapter 1.

Takde yang lebey sewit dari menjadi budak kampung bagi aku. Pengalaman membesar sebagai budak kampung, menjadi nakal seiring dengan alam, dan mengenal susah payah menjadi manusia yg ala-kadar hidupnya, sangat-sangat berharga dan tak mungkin dapat rasa sekali lagi.. Semalam, aku lepak2 ngan sorang anak murid aku dan kami sembang2 pasal pengalaman aku jadi budak kampung..dia budak pekan yg tak pernah rasa main sawah, kena kejar tebuan penyengat, tak pernah main rounders dan tak pernah curi buah kayu orang..so aku pun storikan laa hehe..kat cni, aku nak share jugak berbantukan bahan bantu dr buku Dato' Lat =)

     Gambar ni mengingatkan aku kat satu ektibiti masa lapang yg pernah aku ngan sepupusepapat yg lain main masa kck2 dulu..nama ektibiti ni rounders..perghhh budak kg yg skolah x abes lg mcm kitorang masa tu pun dah bleh sebut mainan omputeh ni hihi..sgtlah best ektibiti ni bila main ramai2..aku ngan cousin aku Mat Pen slalu jd geng lwn geng kakak2 kami..kami main kat laman umah arwah atok yg slalu jd tempat budak2 kg main kejar-kejar..skang ni budak2 kg dah tak reti main rounders lg dah..sedey2..


    Gambar kat sebelah kanan ni plak mengingatkan aku kat satu lagi mainan kami bebudak kg masa dulu2.. Bila tiba musim menuai padi, inilah mainan yg kami paling suka buat petang2..dr yg tua sampai bebudak mcm kami, dr atuk2, ayah2, mak, kakak2 abang2 suma turun sawah..yg tuai padinye tetap menuai, yg main wau, layang2 pun sama naik..memang meriah.. Arwah Pak Ngah aku, ayah Mat Pen tu kira juara la klu bab main wau ngan layang2 ni huhu..



     Gambar sebelah kiri ni plak sebijik sama mcm kami kecik2 dulu hehe..klu yg dewasa main wau besar2, kami bebudak layan layang2 kecik2 je..aku masa tu cuma mampu main wau rama-rama je..bentuk dia sebijik sama mcm rama2..aku pun pandai buat wau rama-rama ni tak pernah terbang pun hahaha..sbb salah teknikal camna nak terbang kan..masa nak buat kemain lg bersungguh tp suma gagal hukhuk..




    Nak tau camna kami buat layang2 atau wau? Haa sebijik sama mcm dlm gambar kat sebelah kanan ni.. buluh2 yg kami dapat kami akn belah dan raut jd kecik2 untuk dibuat tulang wau..proses ni agak rumit dan selalunye bleh datangkan kecederaan..jari luka tu biasa sgt laa..biasa kami guna gam dr getah pokok..nak ambik getah ni pun satu hal gak..selalunye kami sebat je pokok2 getah sesapa yg sempat..kami toreh sikit je sbb getah tu x guna byk pun..bestnya tuan2 pokok tak pernah bising sbb faham sgt dah hee..

      Ni satu lagi keseronokan zaman bebudak aku dulu hehe..melastik buah kayu org! Ektibiti ni tak sama mcm ektibiti masa lapang yg biasa kami buat sbb musim buah x selalu datang..bila tiba musim je baru kami ektif hehe..buah rambutan, mempelam, buah star, setol, durian hanyut sungai, macam2 lg la..operasi memungut hasil kg ni selalunya berisiko jugak..aku pernah kena kejar ngan sorang pak cik waktu kami cross tanah dia nak gi kutip buat setol..dia kejar ngan batang kayu punya la besar, lintang pukang kami lari lintas sungai, bendang..dup dap dup daapp jugak la hee


     Selalu jugak dlm dok buat kerja jenayah tu kami bernasib malang yg lagi dasat huhu..mcm dlm gambar kat sebelah kanan ni, silap lastik kena sarang tebuan, penyengat atau gegendang haji...pernah sekali, kawan baik aku kena attack ngan tebuan haji sampai koma sebelum meninggal..memang parah jugak la..dia nak gi pungut buat setol tp tah camna, sarang tebuan haji tu jatuh bebetul kat dia..kakak2 dia pun kena tp diorang tak teruk sgt..kawan aku ni je parah sampai meninggal..al-fatehah..


 bersambung..

Ahad, 27 Mac 2011

Anis Madhihah [Part 6]


Pagi  Ahad. Bening. Hujan semalaman membutirkan embunan di hujung rerumput di halaman. Desir air yang deras menghunjam batu-batu di dasar sungai mencetuskan pelbagai irama alam disulami bunyi mawas yang riang di puncak bukit, berpagian mencari rezeki. Johan masih enak di ranjang usangnya, sedaya upaya cuba melawan nafsu yang liat untuk bangun mencecah dingin air bagi menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim.

Pagi itu, terasa benar imannya nipis, berat digoda kedingian alam. Semalam dia memperoleh tidur yang cukup enak. Mungkin kerana kepenatan membawa adik kesayangannya pusing seluruh pekan dari petang hingga lewat malam dengan kereta barunya itu. Semuanya demi menghiburkan hati yang rawan, demi membalas dendam kerana tidak dapat tidur dengan aman pada hari sebelumnya. Semuanya kerana surat Anis itu.

Tetapi dia tetap berusaha menggugah godaan kedingian kampung itu. Subuh itu wajib. Perkara wajib tiada tidak melainkan wajib juga dilaksanakan. Itulah pesan orang tuanya sejak kecil lagi. Pagi itu, dia hanya bersolat sendirian di rumah kerana ayahnya ke surau berhampiran. Ibunya pula lebih awal bangun menunaikan kewajipan itu. Selalunya begitulah. Bangun di sepertiga akhir malam, bertahajud, berzikir dan mengaji sambil menantikan subuh dan usai segala urusan itu, bertugas di dapur menyediakan sarapan untuk keluarga. Itulah ibunya sejak dahulu hingga sekarang. Cergas. Sihat.

“Assalamualaikum ibu,” sapa Johan waktu dia melintasi dapur menuju ke bilik air.

“Waalaikummussalam. Dah bangun pun kamu, Johan. Lekas solat. Dah nak habis waktu ni.” Hajah Kalsom melemparkan senyuman. Hatinya senang melihat anak lelakinya itu bagun menunaikan solat Subuh.

“Adik tak bangun?”

“Dia awal-awal lagi dah bersiap ke sekolah. Ada jamuan katanya,” jawab ibunya.

“Eh,  gelap-gelap dah keluar?” soal Johan. “Tak ada gelapnya. Kamu yang lambat bangun,” jawab ibunya itu penuh mesra. Johan hanya mampu tersenyum. Pukulan berbisa di pagi hari!

 “Tak diberitahu pun semalam. Cadangnya nak ajak dia keluar sekejap, ke pasar.”

“Nak keluar lagi? Kan semalam semalaman kamu berdua keluar. Hari ni duduk saja di rumah. Nanti petang dah nak bertolak pulang. Rehat-rehatlah dahulu Johan,” kata ibunya.

“Nak beli barang dapur sikit mak. Johan pun bukan selalu balik.”

“Sebab itulah mak nak kamu duduk saja di rumah petang ni. Eh, dah dah..pergi solat cepat. Nanti turun bersarapan. Ayah kamu kejap lagi baliklah tu.”

Orait bu, pasti turun!” sahut Johan seraya bergegas masuk ke bilik air. Ibunya ketawa kecil melihatkan telatah Johan itu. Senang hatinya bila Johan pulang. Dalam diam, Hajah Kalsom memanjatkan doa pada Rabbul Jalil, memohon dipermudahkan jodoh buat anak lelakinya itu. Mengenangkan Johan baru sahaja ditinggalkan kekasih hati, Hajah Kalsom tahu, anaknya itu perlukan seseorang yang mampu menemaninya. Tatkala itulah dia mula berfikir, tidak adakah teman sepejabat yang boleh disunting oleh Johan? Tentu ada, putusnya sendirian. Sesuatu harus dilakukan. Hajah Kalsom lalu teringatkan suaminya. Lekas-lekas dia siapkan sarapan dan menunggu kedua-dua orang lelaki yang begitu penting dalam hidupnya kini – Johan, anaknya dan Haji Mohd Noor, suaminya – untuk turun bersarapan.

***

6.35 pagi. Hari masih gelap. Dan pada pagi Ahad begitu, yang selalu memecah kesunyian – sememangnya tidak pernah sunyi pun! – hanyalah deruan bas-bas kilang yang setia mengangkut warga kota, diselang seli oleh bingit hon sang lori  kontena dan deruman motosikal para pengedar koran mingguan yang tak pernah jemu menjelajah setiap jalan dan lorong menebar berita. Tetapi segala keriuhan itu tidak pernah sampai ke banglo mewah Sara yang kelihatan gagah berdiri di puncak bukit, melainkan hanya dingin yang masih tega menyelimuti sekitaran.

Maisarah Haji Zakaria seperti biasa, sudah bangun dari tidurnya walaupun pada hari cuti begitu. Usai subuh tadi, dia terus ke biliknya. Ditinggalkannya  ayah  dan uminya di ruang solat utama. Mereka berdua meneruskan peribadatan. Sara pula memilih untuk berlama-lamaan di ruang ibadatnya sendiri. Di atas bentangan sejadah buatan Tanah Suci di dalam biliknya, dia bermunajat. Sepi, sunyi dan dingin, bersilih berganti-ganti menyerbu sosok tubuhnya, memberikan aliran tenaga segar untuk mindanya. Dia qiam. Dia diam. Matanya erat dipejam. Munajat itu khas untuk mencari ilham, tentang masa depan. Dia berdoa dalam hatinya, mohon supaya ditunjukkan sejelas-jelasnya. Antara Johan dan Iskandar. Atau tiada untuk kedua-duanya.

****

“Johan, jadi kamu balik?” tanya Haji Suhaimi.

“Insya-Allah. Perlu balik ayah. Tak boleh tidak,” jawab Johan.

Haji Suhaimi mencapai teko di hadapannya. Melihatkan tindakan itu, Hajah Kalsom lekas-lekas menghulurkan tangan. Mahu direbutnya teko itu. Haji Suhaimi sedikit pun tidak mempedulikan reaksi pantas isterinya itu. Barangkali Hajah lupa. Pasti ada sesuatu yang menggangu fikirannya, agak Haji Suhaimi. Tidak pernah Hajah Kalsom tidak lengkapkan segala hidangan di meja makan itu sebelum dia duduk dan menjamah makanan, hatta minum apatah.  Lalu perlahan-lahan Haji Suhaimi menarik kembali tangannya. Isyarat yang jelas juga buat isterinya itu supaya tidak leka lagi.

“Tadi, ayah sembang dengan Haji Hashim. Katanya, Yulfa dah habis belajar,” Haji Suhaimi diam. Dia menyuapkan bihun goreng yang dibelinya di warung Nan sewaktu pulang dari masjid tadi. Dikunyahnya perlahan-lahan. Hajah Kalsom resah. Hatinya berdebar-debar. Johan sudah dapat mengagak kata-kata yang bakal terbit seterusnya dari mulut ayahnya itu. Semena itu juga dia menjeling ke arah Hajah Kalsom. Ada pesanan khas pada anak mata ibunya itu. Harus tunggu ayahmu habis dahulu, faham? Johan seolah mengerti maksud jelingan ibunya itu, lalu diam. Dia juga berdebar-debar.

“Yulfa tu belajarnya di India, bukan?” tanya Hajah Kalsom selepas dilihatnya Haji Suhaimi masih belum mahu berkata-kata.

“Begitulah. Baik budak tu. Ayah berkenan,” jawab Haji Suhaimi.

Berkenan? Aduh..sepatutnya aku dah agak!

“Johan, di pejabat kamu, tak adakah yang kau rapat?” tiba-tiba Hajah Kalsom menukar topik. Dia langsung tidak mempedulikan kata-kata suaminya tadi. Akan perkara itulah sebenarnya yang hendak diusulkan, bukan tentang anak Haji Hashim.

“Yulfa itu cerdik. Bijak. Ambik perubatan. Tinggi budinya,” tingkah Haji Suhaimi. Nadanya keras.

Situasi itu mula merimaskan Johan. Sebagai anak yang taat, tidak banyak yang boleh dilakukan, melainkan diam dan mengharapkan antara ibu dan ayahnya, akan ada yang diam juga. Selalunya, ibunyalah yang akan diam bila Haji Suhaimi meninggikan suara walau sedikit. Benar. Hajah Kalsom benar-benar terdiam. Dia juga tidak berani lagi membalas pandangan mata suaminya itu. Suasana menjadi sepi untuk seketika sehinggalah telefon bimbit Johan tiba-tiba menjerit bingit. Dia terpinga-pinga mencari telefonnya itu yang terperosok jauh ke dalam poket seluar track-buttomnya.

“Siapa?” soal Hajah Kalsom sebaik dilihatnya Johan tersenyum membaca kiriman SMS tersebut.

“Adik. Dia minta saya jemput jam 10 nanti. Bolehlah kami ke pekan sekejap,” jawab Johan.

“Pergilah. Tapi jangan lupa balik makan tengah hari di rumah. Bila kamu nak bertolak balik ke Kuala 
Lumpur?” tanya ibunya lagi.

“Lepas Zuhurlah agaknya. Senang bila dah bersolat. Tak risau, tak bimbang apa-apa lagi dah,” balas Johan.

Johan menghabiskan sarapannya. Dia mahu lekas-lekas beredar dari meja makan itu. Tak mahu dengar ayahnya berbicara lagi tentang siapa-siapa. Sungguh, hatinya sedang rajuk. Luka dan pedih. Tiada siapa yang mampu mengubat luka itu, baik seorang doktor yang cantik dan pakar sekali pun tak mampu merawat luka di hatinya. Inikan pula doktor pelatih seperti anak Haji Hashim itu! Aku kenal pun tidak, getus hati kecilnya lagi.

“Johan,” tiba-tiba Haji Suhaimi bersuara. “Ayah mahu kamu kenal-kenal dahulu dengan Yulfa tu. Ini harapan ayah, pada Haji Hashim juga.”

“Ayahnya, kan Johan masih bersedih, tak nampakkah? Saya ibunya, faham benar perasaan Johan tu,” pintas Hajah Kalsom. Perbincangan anak-beranak di pagi hari, di hadapan rezeki Allah itu, harus dipandu tanpa melulu-lulu. Hajah Kalsom tak mahu merosakkan keharmonian di pagi hari itu, hanya semata-mata untuk memenuhi hajat atau harapan sebelah pihak sahaja.

“Entah ayah ni. Yulfa tu saya pun tak kenal benar. Entah-entah, sudah disunting doktor lain di sana,” kata Johan. Dia cuba memaniskan muka.

“Itu usahlah kamu bimbang. Ayah tahulah apa yang ayah buat. Haji Hashim itu awal-awal lagi sudah ayah tanyakan duduk bangun akan si Yulfa tu. Kalau tak, masakan kami saling bersandar harap?” tanya Haji Suhaimi kembali.

Johan terdiam. Tiada jawapan yang boleh diberikan kali ini, apatah lagi dolak-dalih demi menggagalkan hasrat hati orang tuanya itu. Hajah Kalsom juga terdiam.

Anis.. Johan tiba-tiba sayu. Luluh benar hatinya memikirkan tindakan Anis yang meninggalkannya sendirian. Anis pergi mengejar bahagia cintanya, tetapi dia di sini derita terseksa. Derita mencari erti sebuah kehilangan, akhirnya terbalas juga pada surat yang dikirimkan oleh Anis. Tapi kini terseksa pula kerana terpaksa merawat luka itu dengan hasrat dan harapan orang tuanya sendiri. Johan bergelojak. Jiwanya runtun. Rasanya rawan. Hanya kalbunya sahaja yang belum sawan. Lalu pada Tuhan dia memohon perlindungan abadi.

Dia semakin sayu bila kenangan sewaktu bersama Anis datang menerjah ke benak sanubari, lagi dan lagi. Kebahagiaan yang dibina atas air mata orang lain, palsu semata. Allah.. Johan beristighfar. Sungguh dia sudah redha dengan ketentuan ini. Allah, ampunkan aku kerana bersangka buruk. Allah, bahagiakanlah dia, bahagiakanlah dia, bahagiakanlah dia, Allah.

*****

Kota Dubai. Menghadap sebuah bangunan tinggi yang sedang menggagau awanan, Anis sebu. Tiada yang indah pada kota itu, meskipun manusia-manusia arkiteknya berusaha menjadikan ia umpama bandaraya syurga di dunia.

Dunia Arab kini sudah jauh berubah. Arab hari ini ialah Arab ala-Eropah yang sedaya mungkin berusaha menonjolkan diri mereka melalui apa-apa sahaja cara, yang pasti, semuanya keduniaan sifatnya. Arab sudah bijak berbahasa asing, baik Jerman mahupun Itali. Arab sudah tiada silu segannya minum di kafe-kafe mewah, meneguk air mabuk dan berhibur di pub-pub. Tiada anehnya jika ada Arab yang sebelah tangannya ligat meratib tasbih dan sebelah lagi mencekik ramping pinggan gelas yang berisi arak berjenama.

Anis melarikan pandangan matanya, ke sisi jendela, jauh ke seberang bangunan kondominium mewah itu. Dia sunyi sekali. Hidup di rantau orang, ditinggal-tinggalkan pula oleh suami tercinta, hanya sunyi yang lebih banyak menemani. Kerjanya sebagai perunding tidak banyak seperti ketika bersama syarikat Tuan Haji Mansur ketika di tanah air. Walaupun masih di bawah payung yang sama, tetapi firma di Dubai ini lebih banyak mengupah pekerja tempatan. Lalu tugasnya sebagai perunding antara benua menjadi kecil. Dan menjelang lusa, dia akan dikunjungi delegasi bisnes dari Malaysia. Sudah lama dia tidak berbual-bual dengan orang Malaysia berbahasa Melayu. Aku rindu semua itu.

Telefon berdering. Anis mencapainya.

“Sayang, hubby balik lewat,” kedengaran suara di hujung talian. Anis hanya tersenyum tawar.

“Janganlah lewat sangat ye b.. Anis dah sediakan bahan untuk dimasak ni. Masak lomak cili api ni tau b,” pancing Anis. Rahman tersengih lebar sebaik mendengar umpan itu.

“Pandai ye sayang b ni..ehmm, Insya-Allah, b cuba balik secepat yang boleh. Ada lawatan tapak sekejap lagi. Lusa kan ada delegasi Tuan Haji nak datang. Haa..sayang dah siapkan slides? Esok b perlu buat presentation tu pagi,” kata Rahman.

“Pagi? Bukan petang? Semalam b bagitahu petang,” soal Anis. Wajahnya berkerut. Slides suaminya itu masih berbaki kurang 30 peratus untuk disiapkan. Harus segera.

“Tak. Pagi besok jam 8.30 pagi,” jawab Rahman lekas.

“Hmm..tak jadi lagilah kita nak keluar malam ni, b?”

“Kenapa pula?” tanya Rahman.

“Sebab tak siap lagi,” Anis menjawab jujur. Dia berdebar menantikan reaksi suaminya.

“Haa..padan muka. Siapa suruh buat lambat-lambat,” balas Rahman. Dia langsung tidak marah, sebaliknya menahan ketawa. Lucu mendengar suara Anis yang takut-takut di hujung talian. Anis memang jujur dan lurus.

“Eh Encik Rahman, saya ni isteri kamu, bukan setiausaha kerja atau PA kamu ok. Saya pun banyak lagi tugas perlu selesaikan, tau tak?” bentak Anis. Dia geram dengan sindiran suaminya itu.

“Opss..alah sayang ni. Buat apa hantaran mahal-mahal dulu kalau tak nak tolong b buat kerja,” usik Rahman lagi.

“Mahal tu sebab sayang ni kan cantik, comel..b pun tak cakap apa-apa dulu, terima je terus. Siapa suruh tak mintak kurang?” soal Anis kembali. Hatinya panas.

“Bapa kamu nak bagi ke kalau mintak kurang Puan Anis Madhihah sayang?” Rahman terus menguji Anis. Dia sedaya boleh cuba menahan ketawanya daripada lebur.

“Tak!” jawab Anis tegas.

“Hah, tau pun!” balas Rahman. Kali ini dia ketawa juga, disambut Anis. Mereka ketawa bersama, manja dan bahagia.

“Alah b ni, itu pun nak berkira,” kata Anis. Nada suaranya manja, seolah merajuk.

“Sayang, mahal atau murah, itu bukan masalahnya. B peristerikan sayang atas sebab cinta, yang dikirim Allah untuk orang yang telah diciptakan untuk b,” jujur Rahman memberitahu Anis kali ini. Hatinya penuh dengan sayang dan rindu pada Anis meskipun mereka saling berpandangan ketika itu di sebalik tingkap jendela masing-masing. Anis di rumah dan Rahman di ruang pejabatnya, hanya dipisahkan oleh sebatang jalan di bawah. Sengaja Rahman memilih ruang di tingkat 17 kondominium itu sebagai kediaman mereka di kota Dubai, menghadap bangunan pejabatnya di tingkat 15 Menara Al-Sultan, yang disebut Burj Al-Sultan oleh rakyat tempatan.

B tak menyesal, kan?” tanya Anis. Nada suaranya berubah, perlahan dan sayu. Dia menyentuh tapak tangannya pada cermin jendela, membuka seluruh jemari tangan kanannya itu. Dilekapkan, rapat. Hatinya benar-benar sayu ketika itu. Dia memandang tepat ke arah Rahman. Kalau bisa, mahu saja dia terbang kepada suaminya ketika itu. Dia rindu. Rindu pada Rahman, yang menyayanginya luar dan dalam.

“Eh kenapa pula? Are you okey sayang?” Rahman gelisah.

“Kan Anis dahulu pernah kecewakan b..”

“Anis sayang, sekarang sayang dah jadi milik b. Tak ada sebab b nak menyesal. Jangan lari tinggalkan b sudahlah ye,” kata Rahman. Dia cuba memujuk Anis dengan kata-kata yang jelas dan mudah diterima oleh isterinya itu.

“Kalau lari?” duga Anis, sengaja.

“Bayar balik hantaran!”

B……………jahat!” jerit Anis manja. Dia menampar-nampar cermin jendelanya itu seolah-olah menampar suaminya. Melihatkan gelagat itu Rahman hanya ketawa kecil. Lucu. Dia tahu Anis tidak akan meninggalkannya lagi. Keputusannya membawa Anis ke Dubai adalah keputusan yang tepat. Tidak mungkin Johan akan menjejaki Anis hingga ke sini. Itu sahaja jalan yang ada tatkala dia melamar Anis dahulu secara tergesa-gesa. Dia tidak mahu hati Anis berpaling lagi pada Johan. Cukuplah Johan merampas kebahagiaannya dahulu. Cukuplah Johan menggoyahkan setia Anis yang pernah dipupuk bertahun lamanya pada dirinya dahulu. Cukuplah Johan merasai betapa indahnya memilik seorang wanita seperti Anis dahulu walaupun sekejap. Biar Anis bahagia di sini. Allah telah menemukan mereka, menyatukan mereka. Muktamad. Walau ke hujung dunia sekalipun, aku akan bawa Anis kerana ini amanah Allah. Rahman cintakan Anis, dan Johan mesti menerimanya.

Anis Madhihah.

Abdul Rahman.

Dan Johan.

Masing-masing memburu cinta dan bahagia. Ketika Rahman meyakini kebahagiaan yang sedang dibina, Anis pula semakin resah dan gundah. Percaturan cinta itu membawa dia jauh dari Johan, tetapi dekat sedekat-dekatnya dengan Rahman. Tetapi kenapa pula aku kini semakin merindui Johan. Ya Allah, kesibukan apakah yang sedang kau landakan perasaanku ini? Tetapkanlah aku pada jalan redhamu bersama suamiku. Dekatkanlah hati-hati kami sedekat-dekatnya, dan singkirkan segala kejahatan yang cuba menguji rumah tanggaku ini. Anis berdoa, sayup-sayup, diaminkan oleh Rahman. Dan Johan, terus diulit rindu di kejauhan.

Sabtu, 26 Mac 2011

Cerjang Baru. Jom Baca!



Kepada kenkawan sepupusepapat yg kaki baca online dan selalu tercari-cari santapan percuma, moh bace blog junior aku ni..Sara Ayuni..i'm proud of her sebab berjaye release stori sendiri dlm versi cerjang jugak..episod pertame dah released, so kita tunggu episod2 seterusnye...n satu nasehat ntuk Cik Sara, kalau nak menulis cerjang, pstikan anda menjiwai karya anda terlebih dahulu, jaga bahasa yg digunakan dan biarlah logik, tak terlalu berfantasi =)

klik judul dibawah, dan sy akan bawakan anda terus ke sana 

Ahad, 20 Mac 2011

Anis Madhihah [Part 5]


Sara bersiap awal pagi itu. Walaupun tidak perlu ke pejabat seperti biasa, tetapi dia masih kekal dengan rutin tersebut – bangun awal, subuh berjemaah bersama ibu dan ayahnya, dan bersiap kemas! Itu rutin keluarganya yang berjaya menyantuni dirinya selama ini. Pagi itu, dia bercadang hendak ke Mid, mencari shawl baharu. Semalaman semalam dia mengintai ruang shopping online, dari tetingkap ke tetingkap sebelum akhirnya singgah lama di sebuah blog terkenal yang banyak berkongsi tips bertudung yang up-to-date. Hatinya berbunga-bunga, gembira entah ketahuan punca.

“Sara sayang…” tiba-tiba suara mesra bapanya menyentak keasyikan Sara yang sedang leka membetulkan tudungnya itu. Suara itu dari dapur, tentu mahu bersarapan sama. Sara gegas.

“Ye ayah, Sara turun. Tiga minit! Ok?” sahut Sara kembali. Dia berlekas-lekas membetulkan apa yang patut di tudungnya itu. Dengan jeans longgar dan kemeja kotak-kotak rona pudar, dia nyata selesa. Tiada wangian khas melainkan hanya bauan krim sahaja yang menyaluti tubuh tinggi lampainya itu, menerbitkan aura natural yang jarang ada pada wanita seusianya yang lain.

“Wah wah..cantik anak umi pagi ni,” tegur ibunya sebaik sahaja Sara menyertai kedua-dua orang tuanya di ruang makan.

“Nak dating dengan Johan ke,” usik ayahnya pula.

“Eh taklah ayah, Sara nak ke Mid sekejap. Nak beli pakaian baru. Yang ada sekarang semuanya dah lusuh, tak berseri,” balas Sara. Dia tersenyum lebar. Kalaulah umi dan ayah tahu aku nak beli shawl baru ni, tentu diketawakan. Dia sengih sendirian. Lebih baik aku diamkan dulu!

“Kamu pergi seorang? Atau Johan ambilkan?” ibunya pula mengusik. Puan Zawani melirik senyuman nakal sambil menjeling ke arah suaminya. Mereka memang gemar bergurau dan selalunya Saralah yang akan menjadi mangsa.

“Haishh..umi ni. Sara nak keluar sendiri. Encik Johan balik kampung, ada hal katanya. Sara nak keluar seorang,” tingkah Sara cepat-cepat. Dia mencedok nasi lemak yang disediakan oleh ibunya. Hatinya berdebar kencang. Pelik kerana ibu dan ayahnya tak henti-henti menyebut nama  Johan.

“Kalau macam tu, biar ayah hantarkan. Ayah pun kelapangan pagi ni. Boleh ayah terus singgah di masjid,” Haji Zakaria mengusulkan cadangan.

“Masjid? Nak tambah cawangan ke ayah?” tanya Sara. Tak semena itu juga tersembur nasi dari mulut Puan Zawani. Dia terkejut bukan kepalang. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Sara terpinga-pinga. Tatkala itu juga meletus tawa dari ayahnya, di sambut jelingan tajam Puan Zawani.

“Amboi, suka benar ye orang tua ni dengar Sara sebut cawangan?” ngomel Puan Zawani. Dia masam mencuka. Cemburu. Sementara itu Haji Zakaria mula mengendurkan deraian tawanya. Perkara menambahkan cawangan itu meskipun sudah lali akibat selalu disakat teman-temannya, tetapi dirasakan lucu benar bila Sara yang menyebutnya, tambah-tambah di hadapan isterinya yang tercinta.

“Puan Zawani Binti Harun, walaupun saya ni dua tahun lebih muda dari awak dan masih segak lagi tampan bergaya, tetapi akan hal yang demikian itu, tidaklah saya pernah terlintas dek fikiran. Puan Zawani yang satu ini dah penuh mengisi hati saya, tertutup pintu untuk wanita lain..tapi…” Haji Zakaria terhenti. Dia menjeling manja ke arah isterinya.

“Tapi apa?” Segera ditingkah oleh Puan Zawani. Dia mencebik, geli dengan usikan kata-kata suaminya itu.

“Tapi kalau ada janda-janda yang memerlukan, tak salah rasanya saya hulurkan simpati, kan?” usikan Haji Zakaria semakin nakal. Dia memegang pinggannya, sedia bertindak balas dengan sebarang kemungkinan!

Dan seperti diduga, Puan Zawani  segera mengangkat senduk yang masih digenggamnya sedari tadi. Dia bingkas berdiri dan cuba mengejar suaminya yang sudah pun angkat kaki. “Gatal lagi ye orang tua ni,” bebelnya lagi. Haji Zakaria berlari anak mengelilingi meja makan. Sara yang hanya menjadi penonton konflik suami isteri itu hanya ketawa tak henti-henti. Benar-benar terhibur dengan telatah kedua-dua orang tuanya itu. Itulah rahsia kebahagian rumah tangga keluarganya selama ini yang sering disulam dengan jenaka dan hiburan sesama sendiri. Walaupun keluarganya tidak besar, tetapi sikap saling memahami dan mengambil berat antara satu sama lain yang diterapkan oleh Haji Zakaria selaku perunding dan pakar motivasi itu amat-amat disyukuri oleh Sara. Sesungguhnya, dia bahagia.

***

Johan gundah. Dia tak dapat melelapkan matanya semalaman. Sejak tiba semalam, dia langsung tak gembira seperti selalu. Wajah ibunya, wajah ayahnya, dan tentunya wajah mongel Anis bersilih ganti bermain di minda. 

Pagi itu, ibunya inginkan kepastian. Dan surat yang tergenggam di tangannya itu, menuntut supaya diperjelaskan. Pagi itu ayahnya bakal menjadi hakim yang akan memutuskan segala ketentuan, dan ibunya pula, harus dipatuhi segala kehendaknya.

Anis, kenapa buat begini? Kamu tak pernah bagi ruang untuk aku berdiri lebih lama.. Johan buntu. Hajatnya untuk berlama-lama di rumah sebelum bertolak pulang pagi esok seakan dicabuli oleh surat Anis itu. Surat dari kota yang bakal dikunjunginya. Surat dari Dubai. Anis di Dubai, dan dia bersama Rahman, bekas kekasihnya yang kini bergelar suaminya yang sah. Aduh..racun apakah ini Tuhan? Johan memendam rasa. Air matanya terasa begitu murah pagi ini. Semalam tatkala menatap surat itu, dia tenang-tenang, masih boleh berfikir dan masih mampu berbicara walaupun hatinya bagai disentap-sentap. Tapi pagi itu, segalanya hunjam menghunjam menghentak hatinya, remuk redam.

Kau pergi begitu saja dan sekarang kau kirimkan surat ini, untuk apa? Dan sekarang, kau dah libatkan ibu dan ayah. Harapan mereka begitu tinggi terhadap kau Anis.

Satu persoalan yang pasti menagih jawapan dan jawapan itu harus disediakan selengkapnya, sewajar mungkin supaya ibu dan ayahnya kelak faham, tentang kenapa dan apa perlunya dia ke Dubai pada hari lusa. Inilah yang mengocak jiwanya. Kalau diberitahu aku ke sana atas urusan rasmi, mahukah mereka percaya mentah? Ayah bukan bodoh, ibu juga bukan bodoh. Harus benar mereka menduga yang aku ke sana mengejar Anis. Aduh..Tuhan, bantu aku kali ini. Aku tersepit. Ini bukan perkara mudah.

****

Sara mengambil teksi yang ditempah khas oleh ayahnya untuk ke kota Kuala Lumpur. Dia langsung ke tempat yang dituju. Sebagai anak yang baik, dia melaporkan setiap mobilitinya kepada ayah dan umi di rumah. Dia masih tersengih-sengih sendirian setiap kali teringatkan peristiwa di dapur tadi. Dia juga bercadang menghubungi bossnya di kampung, tetapi dibatalkan sahaja niatnya itu. Biarlah Encik Johan tenang-tenang di kampung. Tentu dia sedang asyik dibuai mimpi pagi-pagi begitu, fikir Sara.

Perkarangan utama Mid pagi itu agak hingar. Sebuah penerbitan dari syarikat telekomunikasi terkenal tanah air sedang bersiaran. Beberapa buah kereta jenama mewah juga kelihatan dipamerkan di hadapan pintu utama. Sara tak endah. Dia terus menapak menuju ke pintu masuk. Kereta-kereta mewah, untuk dipertontonkan supaya empunyanya kembang hidung, getusnya sendirian. Kesibukan warga kota metro tak pernah lekang dari dua unsur ini, kemewahan dan hidung tinggi!

Sebaik menjengah masuk, kelihatan pula orang ramai berpusu-pusu mengelilingi sebuah pentas khas yang didirikan di tengah-tengah ruang lobi utama. Sara tertarik. Dia menghampiri kerumunan tersebut. Pada bahagian back drop pentas, matanya terpana pada sebuah gambar seorang lelaki muda yang segak bergaya. 
Dia kelihatan hebat. Sara tersenyum. YB Dato’ Izzudin, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. YB Izzudin akan merasmikan Kempen Anak Muda Jiwa Besar. Kagumnya berlebih-lebih, kalaulah mereka semua ini tahu dahulu Yang Berhormat itu pernah menjadi kekasihku, pasti aku pula yang dikerumuni. 

Sara tersenyum sendirian sebelum berlalu pergi. Dia menuju ke tingkat tiga, ke ruang tekstil dan butik. Nawaitunya bulat, cuma satu dan nekad, untuk ke Butik Anjang seperti yang diiklankan oleh laman blog yang dilawatinya semalam. Di situ, dia akan pastikan shawl tersebut ada dijual. Kalau tak ada, siaplah! Itu amaran pertama buat hatinya yang masih gembira dan berbunga-bunga. Aneh. Perasaan yang keterujaan ini jarang-jarang diperoleh.

*****

Kepayahan itu seperti diduga. Ayahnya sukar menerima penjelasan yang diberikan oleh Johan. Ibunya pula kelihatan sugul.

“Johan, bukan ayah tak percayakan kamu. Tapi ayah bimbang. Johan, yang sudah tu, sudahlah,” kata ayahnya. Johan tak mampu berkata-kata lagi. Dia cuba melawan renungan mata ayahnya tapi tidak terdaya.

“Ibu tak mahu kamu ditimpa susah di kemudian hari,” tutur ibunya pula, halus dan mendatar. Orang tua itu tertunduk. Kelopak matanya kelihatan jernih. Johan semakin serba salah. Sudah diasuh supaya diam ketika ibu dan ayahnya berbicara, lalu Johan tak punya banyak peluang melainkan bersedia dengan setiap patah kata yang keluar. Hatinya pedih. Perasaannya bercampur-baur. Wajah Anis menyesakkan ruang kalbunya. Anis…Anis Madhihah.

“Anis itu ayah anggap dah macam anak sendiri. Dah macam menantu kami, Johan. Kenapa kamu tak pernah beritahu kami selama ini? Dia dah berkahwin, dah terbang jauh. Kalau tidak kerana surat ini, pasti kami sangkakan kamu berdua masih bersama,..” ayah tiba-tiba terdiam. Dia tunduk. Nafasnya dihela halus. Orang tua Johan itu meski berjiwa tenang, tetapi kali ini jelas ombak dadanya beralun juga. Ini perkara berat baginya.

“Kalaulah tidak ada surat yang Anis kirimkan ini, pasti minggu hadapan kami ke rumahnya, mengirim dulang dan sirih. Kamu mengerti?” suaranya getar sekali. Pertanyaan itu tidak menuntut sebarang jawapan, dan Johan tahu dia tak perlu menjawabnya. Yang sudah itu, sudahlah. Johan tahu itu kesimpulan yang sebenarnya lebih awal mematikan permuafakatan anak beranak di pagi hari itu, dan sesi yang sedang berlangsung ini pula ialah sesi melampiaskan gejolak hati ibu dan ayahnya. Besar harapan mereka terhadap Anis dan dirinya, tetapi ia telah diruntuhkan.

Johan sama sekali tidak mahu menyalahkan Anis atas semua yang telah berlaku. Tetapi andai Anis tahu surat itu sudah mengucarkan kebahagiaan hati ibu dan ayahnya, pasti dia tidak kirimkan terus ke kampung. Bukan Anis tidak simpan alamatnya di Kuala Lumpur, atau kirim langsung ke emelnya. Ah, mungkin Anis sengaja. Mungkin Anis mahu ibu dan ayahnya tahu situasi dirinya. Ini perkara besar yang harus ditangangi secermat mungkin. Johan tidak mahu bersangka buruk lagi terhadap Anis.

“Ibu, ayah..izinkan Johan jelaskan hal yang sebenar,” pinta Johan. Dia tidak mengangkat wajah walau sedikit. Udara pagi yang melingkari ruang beranda rumah mereka itu diraih, disedut perlahan-lahan. Sebagai anak yang patuh juga, dia tidak akan sekali-kali mendahulukan perasaannya sendiri, melainkan harus taat dan hormat terhadap kedua-dua orang tuanya.

Suasana sepi. Seketika, ayah dan ibu Johan turut tunduk. Kerusi rotan berkeriyuk tatkala ayahnya berkisar duduk. Orang tua itu melontarkan pandangannya jauh ke halaman yang terbentang luas dipenuhi rerumput menghijau. Sebuah motosikal melintasi ruang halaman itu, memecahkan kesunyian dalam ruang permuafakatan anak-beranak antara Johan dan kedua-dua nadi hidupnya.

“Ayah, ibu..” Johan bersuara sesudah dirasakannya sesuai untuk dia luahkan hal sebenar. “ Anis tak bersalah. Anis memang tinggalkan saya kira-kira enam bulan yang lalu. Dia tinggalkan kami semua di pejabat begitu saja. Tak ada sesiapa pun yang tahu. Dia pergi tanpa sebarang notis. Saya sendiri juga tidak dimaklumkan. Sejak itu, semua perhubungan kami seolah-olah terputus. Saya buntu. Enam bulan saya mencarinya tetapi gagal, dan saya dah pun putuskan yang kami tidak akan bertemu lagi. Hinggalah surat ini menceritakan segalanya, barulah saya tahu di mana Anis sekarang dan dengan siapa”.

“Siapa Rahman?” tanya ibunya.

“Dia suami Anis sekarang,” jawab Johan. Hatinya bagai disiat-siat.

“Itu aku tahu!” bentak ayahnya pula. Suaranya keras. Johan cenggeng. Dia harus jelaskan. Inilah masanya.

“Rahman, kekasih Anis sebelum dengan saya, ayah.”

“Maknanya, kamu dan Anis bersama ketika lelaki itu masih berhubungan dengan Anis?” tanya ayahnya lagi. Johan resah.

“Itu saya tak tahu, ayah. Saya sendiri tak pernah tanyakan dia. Apa yang saya tahu, Anis dan Rahman memang pernah bersama dan mereka berpisah kerana tidak sehaluan. Kemudian itulah baru kami menjalinkan hubungan,” jelas Johan, jujur.

“Hmm..kamu sungguh malang,” sahut ibunya.

“Bukan malang. Johan, ayah rasa Anis keliru,” tiba-tiba ayahnya berubah nada. Johan tertarik dengan kata-kata ayahnya itu. “Maksud ayah?”

“Mungkin dia tersepit. Berapa lama mereka berdua sebelum Anis bersama kamu?”

“Kurang lebih tujuh tahun, rasanya”

“Patutlah. Johan, lupakan saja Anis. Doakan dia bahagia dengan Rahman,” pinta ibunya. Nadanya juga kian mengendur. Kini mereka tahu duduk perkara yang sebenar. Mereka tahu Johan tidak bersalah, tetapi kesal dengan tindakan Anis yang tiba-tiba sahaja menghilangkan diri.

Anis, suatu ketika ibarat permata yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah ruang rumah keluarga Johan. Suatu ketika juga, Anis ibarat penawar hati ibunya yang rawan setelah kematian Angah, kakak Johan akibat barah payu dara. Keletah Anis dan Angah mirip, begitu juga santunan yang menghiasi sosok peribadi dua wanita ini. Ibunya, untuk suatu tempoh yang panjang, begitu menyukai Anis hingga membina segunung harapan untuk bermenantukan wanita itu.

“Ibu, ayah..Johan mohon usahlah dipersalahkan Anis. Berat mata ibu dan ayah yang memandang, tapi berat lagi bahu Johan yang memikul beban ini. Johan akan ke Dubai juga, kerana ini tugas Johan yang mesti diselesaikan. Doakan Johan berjaya dunia dan akhirat. Soal Anis, biarlah di sini sahaja noktahnya. Johan mohon maaf kerana tak dapat penuhi harapan ibu dan ayah, tapi insya-Allah, dengan izin Allah, pasti ada hikmah yang lain untuk kita,” luah Johan. Dia bingkas bangun mendapatkan ayah dan ibunya lalu dirangkul tangan mereka satu persatu. Dia kucup, dia peluk. Erat. Kasih insani hakiki, memansuhkan segala kasih yang palsu.

 *******

Gersik lagu Love Story nyanyian Taylor Swift mengejutkan Sara yang sedang leka memilih shawls. Nada dering itu khas ditetapkan buat seseorang yang di  kejauhan, buat Iskandar. Hatinya berbunga mekar, gembira bak dipuncak.  Lekas-lekas dia menjawab panggilan dari jauh itu.

“Assalamualaikum, Cik Sara…”

“Waalaikummusalam, Is..”

Senyum. Sara senyum. Dia senyum. Sedetik itu juga, telefonnya menerima satu lagi panggilan masuk. Juga dari seseorang yang jauh. Dari Johan. Namun Sara memutuskan untuk tidak menjawab panggilan itu. Kegembiraan ini rupanya untuk Iskandar. Aku harus sandarkannya buat Iskandar. Tanpa sedar, dia seolah mengesampingkan hati Johan yang selama ini begitu dikasihaninya. Rahsia besar itu juga turut luput perlahan-lahan.  Rahsia tentang Anis Madhihah, yang bukan lagi rahsia pada Johan.

“Hye, what are you doing?”

“Kat Mid ni, tengok-tengok shawls baru. Is?”

“Baru nak lelap. Menggangu tak?”

“Ha’ah..sangat-sangat mengganggu,” Sara cuba bergurau. Dia tersenyum. Senyumannya melebar. Dia cuba menahan ketawa saat itu.  

“Hmm..oklah kalau macam tu. Is berundur dulu,” Iskandar pula cuba memancing emosi Sara. Dia tahu Sara cuma bergurau.

“Eh Is tak..tak ganggu pun!”

“Haa..tau pun,” sambut Iskandar seraya ketawa kecil. Terhibur sekali dia dengan keletah Sara.

“Is, suka warna apa?” tanya Sara tiba-tiba. Dia tak mahu ketawa Is itu berlarutan. Dia tahu Is memang suka ketawa dan berjenaka. Sebelum menjadi tak terkawal dan dilihat oleh orang ramai di gedung Anjang itu, baik dia alihkan topik.

“Hmm.. Sara dah lupa ye?” soal Iskandar kembali.

“Eh taklah. Ingat..biru kan? Atau dah bertukar? Maklumlah dah lama kat negara orang, entah-entah suka hitam pula..” usik Sara. Dia menahan ketawa lagi.

“Hai, perli ke apa ni Cik Sara. Walaupun Is kat India, tapi biru tetap di hati Is, ok!” tegas Iskandar lekas. Kerana berasa lucu, mereka berdua ketawa lagi. Kegembiraan itu tulus, untuk dua hati yang saling merindu. Iskandar dan Sara terpisah oleh jarak, tapi dek kejauhan itulah, kasih yang pernah pudar semakin erat disulam hari ke hari oleh rindu yang mulus antara mereka berdua.   

Jumaat, 11 Mac 2011

Wahai Wanita-wanita kami..


Assalamualaikum..

Kehadapan sekalian wanita kami,

Ini surat terbuka yang harus dibaca oleh terutamanya para wanita dan juga lelaki-lelaki yang sayangkan wanita mereka. Ini surat terbuka yang kandungannya harus jangan disalahtafsir, sebaliknya diterima juga dengan hati yang terbuka.

Kami lelah, wahai wanita. Tidaklah kami seronok dengan aksi-aksi anda akhir-akhir ini. Muktahir ini kami begitu lelah dan sesak melihat anda wahai wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang. 

Bukanlah kami ini lemah nafsu atau tidak tertarik tetapi kami minta anda wanita-wanita lekaslah sedar bahawa kami ini lebih-lebihlah bernafsu, justeru awaslah. Kami tidak mahu dipersalahkan jika kami menguasai dan melayani nafsu-nafsu lelaki kami yang memang sudah tertulis ia akan tertarik kepada wanita. Kelak anda wanita-wanita juga yang susah. Sekali lagi, usahlah disalahkan kami jika itu berlaku.

Wahai wanita-wanita, adapun kami ini pelindung tugasnya, tetapi jagalah juga diri kalian kerana kami ini tetap bukan mahram kalian selagi tidak diiktirafkan syarak. Meski kami ini kalian kasihi atas nama teman-teman kalian yang intim, tetapi kami tidak mampu melindungi kalian dari bisikan para syaitan yang senantiasa menantikan peluang. Justeru kami merayu, jagalah juga diri kalian wahai wanita-wanita. Bantulah kami menjadi teman yang diredhai. Kami mahu mengasihi kalian wahai wanita-wanita setulus hati, bantulah kami.

Barang harus diperkirakan juga wahai wanita-wanita bahawa kami ini lelaki maha besar tanggungjawabnya, ada waktunya kami kesasaran, banyak waktunya pula kami kekhilafan. Tapi usahlah segera kami dihukum kerana kami ini hamba juga tarafnya. Mulia kami, hina kami, di mata Tuhan kami semua sama, melainkan atas takwa kami. Jadi perbataskanlah galak kalian wahai wanita supaya kita tidak sama-sama terbabas.

Wahai wanita-wanita, ketahuilah pada diri kalian banyak sekali fitnah-fitnah ke atas kami. Dari ubun-ubunmu hingga ke hujung kuku-kukumu, jika diperhiaskan, bisa menawankan hati dan pandangan kami, lebih-lebih lagi pada dada-dada kalian. Tutupilah dengan pakaian bermaruah, supaya yang mampu kami tatapi cuma kecantikan yang dihalalkan dan supaya kami kekal memuji Tuhan, bukannya kalian.

Wahai wanita-wanita, di perjalanan ini, kami tempang tanpa kalian. Dunia sepi tanpa kehadiran kalian. Kami menghargai wujud kalian tetapi tahulah juga kalian, tempatmu bukan sebagai tuan. Jadi berdirilah bersama kami sebagai pembantu yang paling setia, memimpin kami sejalan para mujahadah. Kami benar bimbang, andai kami tergelincir kerana kalian, tapi kami lebih bimbang jika kami yang menjerumuskan kalian ke lembah kehinaan atas daif akal kalian. Maka kami mohon, kalian persiapkanlah diri kalian sebagai para pembantu kami di medan juang ini.

Akhir sekali, ketahuilah wahai wanita-wanita kami betapa kami mensyukuri anugerah Tuhan pada diri kalian. Kamu wahai wanita-wanita adalah kiriman Tuhan untuk kami permaisurikan di suatu sudut yang mulia, tetapi andai kalian sendiri yang menghinakan diri kalian, apa lagi daya kami melainkan terus mengadu kepada Tuhan. Andai kami mengadu, anggaplah kalian sudah jauh kesasaran dan harus diselamatkan oleh Tuhan. Justeru pilihlah jalanmu wahai wanita-wanita kami.

 Ini sahaja pesan kami berisi luahan dan pengaduan, tulus ikhlas dari kami lelaki-lelaki yang sayang akan kalian. Hingga bertemu lagi.

Isnin, 7 Mac 2011

Lelaki Lebih Beremosi?


Suatu mitos yang selalu dipercayai bahawa sebenarnya yang beremosi ialah lelaki, bukannya wanita. Meskipun dikurniakan sembilan akal berbanding hanya satu bagi wanita, tetapi dalam banyak keadaan, lelaki lebih lebih kuat mengikut emosi dan hawa nafsunya manakala wanita pula lebih tenang dan rasional.

Andai ini betul, ternyata ia satu tamparan buat lelaki yang selalunya dilihat pada kredebiliti mereka selain perwatakan yang tenang dan matang di mata para wanita terutamanya gadis-gadis. Lelaki juga sebenarnya pelakon paling berjaya di pentas kehidupan manusia di dunia ini berbanding wanita kerana mereka mampu memanipulasi akal fikiran wanita untuk mempercayai sesuatu perkara dan wanita pula lebih banyak menerima berbanding berusaha memikirkan hal-hal yang dipercakapkan oleh lelaki.

Dalam sesetengah kes, jelas sekali dua kelebihan ini, iaitu emosi dan manipulasi minda oleh lelaki, telah banyak menguntungkan kaum tersebut. Misalnya, kes-kes penipuan yang melibatkan sesetengah pasangan di mana mangsanya lebih banyak wanita, berbanding kes-kes terpencil yang melibatkan lelaki sebagai mangsa.

Emosi kaum lelaki sebenarnya  berbahaya kerana mereka cenderung menggunakan tindakan fizikal berbanding wanita yang lebih halus dan sentimental. Lelaki yang beremosi pula selalunya tidak berupaya menggunakan kesemua daya akal yang dimiliki, atau dalam erti kata lain, tak sampai ke tahap yang sepatutnya ketika mereka menimbangkan sesuatu perkara.

Misalnya, dalam kes hilang dara sebelum kahwin, sesetengah lelaki melihat perkara ini dengan pandangan emosi yang lebih tinggi berbanding memikirkannya secara rasional. Sesetengah lelaki tidak dapat menerima wanita yang ‘rejek’ akibat zina sebelum kahwin manakala sesetengah yang lain masih boleh menerimanya dengan hati yang terbuka kerana menganggap ‘dara’ itu hanya satu lapisan nipis dalam kehidupan wanita yang tidak perlu diperbesarkan  sehingga meruntuhkan suatu ukhuwah.

Keadaan menjadi parah apabila lelaki-lelaki tersebut menggunakan pertimbangan emosi untuk menghukum wanita-wanita yang hilang dara sebelum kahwin, melabel dengan pelbagai istilah seperti jalang, rosak dan kotor. Namun adakah mereka sedar akan perasaan wanita-wanita tersebut? Bagaimana dengan hak mereka mendapatkan kehidupan yang lebih baik seandainya mereka sudah insaf dan berubah?

Emosi lelaki juga amat koheran dengan ego tetapi percayalah, tidak ada lelaki yang terlalu kental dan keras jiwanya. Pada masa-masa tertentu, mereka juga sebenarnya boleh disentuh dan tersentuh. Inilah titik misteri yang seharusnya dicari oleh setiap wanita supaya mereka juga boleh memanipulasi lelaki!

Justeru dakwaan umum bahawa lelaki juga beremosi sebenarnya tepat dan wajar. Emosi di sini bukanlah bermaksud lemah jiwanya tetapi lebih merujuk kepada pertimbangan halus dalam juzuk-juzuk perasaannya, sama ada ia legap atau boleh lut dengan asakan-asakan tertentu yang menimpa dirinya. Lelaki juga tidak harus malu untuk menangis, tetapi bukanlah lelaki yang hebat jika memilih jalan menangis sebagai proses melegakan tekanan.