Ahad, 20 Mac 2011

Anis Madhihah [Part 5]


Sara bersiap awal pagi itu. Walaupun tidak perlu ke pejabat seperti biasa, tetapi dia masih kekal dengan rutin tersebut – bangun awal, subuh berjemaah bersama ibu dan ayahnya, dan bersiap kemas! Itu rutin keluarganya yang berjaya menyantuni dirinya selama ini. Pagi itu, dia bercadang hendak ke Mid, mencari shawl baharu. Semalaman semalam dia mengintai ruang shopping online, dari tetingkap ke tetingkap sebelum akhirnya singgah lama di sebuah blog terkenal yang banyak berkongsi tips bertudung yang up-to-date. Hatinya berbunga-bunga, gembira entah ketahuan punca.

“Sara sayang…” tiba-tiba suara mesra bapanya menyentak keasyikan Sara yang sedang leka membetulkan tudungnya itu. Suara itu dari dapur, tentu mahu bersarapan sama. Sara gegas.

“Ye ayah, Sara turun. Tiga minit! Ok?” sahut Sara kembali. Dia berlekas-lekas membetulkan apa yang patut di tudungnya itu. Dengan jeans longgar dan kemeja kotak-kotak rona pudar, dia nyata selesa. Tiada wangian khas melainkan hanya bauan krim sahaja yang menyaluti tubuh tinggi lampainya itu, menerbitkan aura natural yang jarang ada pada wanita seusianya yang lain.

“Wah wah..cantik anak umi pagi ni,” tegur ibunya sebaik sahaja Sara menyertai kedua-dua orang tuanya di ruang makan.

“Nak dating dengan Johan ke,” usik ayahnya pula.

“Eh taklah ayah, Sara nak ke Mid sekejap. Nak beli pakaian baru. Yang ada sekarang semuanya dah lusuh, tak berseri,” balas Sara. Dia tersenyum lebar. Kalaulah umi dan ayah tahu aku nak beli shawl baru ni, tentu diketawakan. Dia sengih sendirian. Lebih baik aku diamkan dulu!

“Kamu pergi seorang? Atau Johan ambilkan?” ibunya pula mengusik. Puan Zawani melirik senyuman nakal sambil menjeling ke arah suaminya. Mereka memang gemar bergurau dan selalunya Saralah yang akan menjadi mangsa.

“Haishh..umi ni. Sara nak keluar sendiri. Encik Johan balik kampung, ada hal katanya. Sara nak keluar seorang,” tingkah Sara cepat-cepat. Dia mencedok nasi lemak yang disediakan oleh ibunya. Hatinya berdebar kencang. Pelik kerana ibu dan ayahnya tak henti-henti menyebut nama  Johan.

“Kalau macam tu, biar ayah hantarkan. Ayah pun kelapangan pagi ni. Boleh ayah terus singgah di masjid,” Haji Zakaria mengusulkan cadangan.

“Masjid? Nak tambah cawangan ke ayah?” tanya Sara. Tak semena itu juga tersembur nasi dari mulut Puan Zawani. Dia terkejut bukan kepalang. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Sara terpinga-pinga. Tatkala itu juga meletus tawa dari ayahnya, di sambut jelingan tajam Puan Zawani.

“Amboi, suka benar ye orang tua ni dengar Sara sebut cawangan?” ngomel Puan Zawani. Dia masam mencuka. Cemburu. Sementara itu Haji Zakaria mula mengendurkan deraian tawanya. Perkara menambahkan cawangan itu meskipun sudah lali akibat selalu disakat teman-temannya, tetapi dirasakan lucu benar bila Sara yang menyebutnya, tambah-tambah di hadapan isterinya yang tercinta.

“Puan Zawani Binti Harun, walaupun saya ni dua tahun lebih muda dari awak dan masih segak lagi tampan bergaya, tetapi akan hal yang demikian itu, tidaklah saya pernah terlintas dek fikiran. Puan Zawani yang satu ini dah penuh mengisi hati saya, tertutup pintu untuk wanita lain..tapi…” Haji Zakaria terhenti. Dia menjeling manja ke arah isterinya.

“Tapi apa?” Segera ditingkah oleh Puan Zawani. Dia mencebik, geli dengan usikan kata-kata suaminya itu.

“Tapi kalau ada janda-janda yang memerlukan, tak salah rasanya saya hulurkan simpati, kan?” usikan Haji Zakaria semakin nakal. Dia memegang pinggannya, sedia bertindak balas dengan sebarang kemungkinan!

Dan seperti diduga, Puan Zawani  segera mengangkat senduk yang masih digenggamnya sedari tadi. Dia bingkas berdiri dan cuba mengejar suaminya yang sudah pun angkat kaki. “Gatal lagi ye orang tua ni,” bebelnya lagi. Haji Zakaria berlari anak mengelilingi meja makan. Sara yang hanya menjadi penonton konflik suami isteri itu hanya ketawa tak henti-henti. Benar-benar terhibur dengan telatah kedua-dua orang tuanya itu. Itulah rahsia kebahagian rumah tangga keluarganya selama ini yang sering disulam dengan jenaka dan hiburan sesama sendiri. Walaupun keluarganya tidak besar, tetapi sikap saling memahami dan mengambil berat antara satu sama lain yang diterapkan oleh Haji Zakaria selaku perunding dan pakar motivasi itu amat-amat disyukuri oleh Sara. Sesungguhnya, dia bahagia.

***

Johan gundah. Dia tak dapat melelapkan matanya semalaman. Sejak tiba semalam, dia langsung tak gembira seperti selalu. Wajah ibunya, wajah ayahnya, dan tentunya wajah mongel Anis bersilih ganti bermain di minda. 

Pagi itu, ibunya inginkan kepastian. Dan surat yang tergenggam di tangannya itu, menuntut supaya diperjelaskan. Pagi itu ayahnya bakal menjadi hakim yang akan memutuskan segala ketentuan, dan ibunya pula, harus dipatuhi segala kehendaknya.

Anis, kenapa buat begini? Kamu tak pernah bagi ruang untuk aku berdiri lebih lama.. Johan buntu. Hajatnya untuk berlama-lama di rumah sebelum bertolak pulang pagi esok seakan dicabuli oleh surat Anis itu. Surat dari kota yang bakal dikunjunginya. Surat dari Dubai. Anis di Dubai, dan dia bersama Rahman, bekas kekasihnya yang kini bergelar suaminya yang sah. Aduh..racun apakah ini Tuhan? Johan memendam rasa. Air matanya terasa begitu murah pagi ini. Semalam tatkala menatap surat itu, dia tenang-tenang, masih boleh berfikir dan masih mampu berbicara walaupun hatinya bagai disentap-sentap. Tapi pagi itu, segalanya hunjam menghunjam menghentak hatinya, remuk redam.

Kau pergi begitu saja dan sekarang kau kirimkan surat ini, untuk apa? Dan sekarang, kau dah libatkan ibu dan ayah. Harapan mereka begitu tinggi terhadap kau Anis.

Satu persoalan yang pasti menagih jawapan dan jawapan itu harus disediakan selengkapnya, sewajar mungkin supaya ibu dan ayahnya kelak faham, tentang kenapa dan apa perlunya dia ke Dubai pada hari lusa. Inilah yang mengocak jiwanya. Kalau diberitahu aku ke sana atas urusan rasmi, mahukah mereka percaya mentah? Ayah bukan bodoh, ibu juga bukan bodoh. Harus benar mereka menduga yang aku ke sana mengejar Anis. Aduh..Tuhan, bantu aku kali ini. Aku tersepit. Ini bukan perkara mudah.

****

Sara mengambil teksi yang ditempah khas oleh ayahnya untuk ke kota Kuala Lumpur. Dia langsung ke tempat yang dituju. Sebagai anak yang baik, dia melaporkan setiap mobilitinya kepada ayah dan umi di rumah. Dia masih tersengih-sengih sendirian setiap kali teringatkan peristiwa di dapur tadi. Dia juga bercadang menghubungi bossnya di kampung, tetapi dibatalkan sahaja niatnya itu. Biarlah Encik Johan tenang-tenang di kampung. Tentu dia sedang asyik dibuai mimpi pagi-pagi begitu, fikir Sara.

Perkarangan utama Mid pagi itu agak hingar. Sebuah penerbitan dari syarikat telekomunikasi terkenal tanah air sedang bersiaran. Beberapa buah kereta jenama mewah juga kelihatan dipamerkan di hadapan pintu utama. Sara tak endah. Dia terus menapak menuju ke pintu masuk. Kereta-kereta mewah, untuk dipertontonkan supaya empunyanya kembang hidung, getusnya sendirian. Kesibukan warga kota metro tak pernah lekang dari dua unsur ini, kemewahan dan hidung tinggi!

Sebaik menjengah masuk, kelihatan pula orang ramai berpusu-pusu mengelilingi sebuah pentas khas yang didirikan di tengah-tengah ruang lobi utama. Sara tertarik. Dia menghampiri kerumunan tersebut. Pada bahagian back drop pentas, matanya terpana pada sebuah gambar seorang lelaki muda yang segak bergaya. 
Dia kelihatan hebat. Sara tersenyum. YB Dato’ Izzudin, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. YB Izzudin akan merasmikan Kempen Anak Muda Jiwa Besar. Kagumnya berlebih-lebih, kalaulah mereka semua ini tahu dahulu Yang Berhormat itu pernah menjadi kekasihku, pasti aku pula yang dikerumuni. 

Sara tersenyum sendirian sebelum berlalu pergi. Dia menuju ke tingkat tiga, ke ruang tekstil dan butik. Nawaitunya bulat, cuma satu dan nekad, untuk ke Butik Anjang seperti yang diiklankan oleh laman blog yang dilawatinya semalam. Di situ, dia akan pastikan shawl tersebut ada dijual. Kalau tak ada, siaplah! Itu amaran pertama buat hatinya yang masih gembira dan berbunga-bunga. Aneh. Perasaan yang keterujaan ini jarang-jarang diperoleh.

*****

Kepayahan itu seperti diduga. Ayahnya sukar menerima penjelasan yang diberikan oleh Johan. Ibunya pula kelihatan sugul.

“Johan, bukan ayah tak percayakan kamu. Tapi ayah bimbang. Johan, yang sudah tu, sudahlah,” kata ayahnya. Johan tak mampu berkata-kata lagi. Dia cuba melawan renungan mata ayahnya tapi tidak terdaya.

“Ibu tak mahu kamu ditimpa susah di kemudian hari,” tutur ibunya pula, halus dan mendatar. Orang tua itu tertunduk. Kelopak matanya kelihatan jernih. Johan semakin serba salah. Sudah diasuh supaya diam ketika ibu dan ayahnya berbicara, lalu Johan tak punya banyak peluang melainkan bersedia dengan setiap patah kata yang keluar. Hatinya pedih. Perasaannya bercampur-baur. Wajah Anis menyesakkan ruang kalbunya. Anis…Anis Madhihah.

“Anis itu ayah anggap dah macam anak sendiri. Dah macam menantu kami, Johan. Kenapa kamu tak pernah beritahu kami selama ini? Dia dah berkahwin, dah terbang jauh. Kalau tidak kerana surat ini, pasti kami sangkakan kamu berdua masih bersama,..” ayah tiba-tiba terdiam. Dia tunduk. Nafasnya dihela halus. Orang tua Johan itu meski berjiwa tenang, tetapi kali ini jelas ombak dadanya beralun juga. Ini perkara berat baginya.

“Kalaulah tidak ada surat yang Anis kirimkan ini, pasti minggu hadapan kami ke rumahnya, mengirim dulang dan sirih. Kamu mengerti?” suaranya getar sekali. Pertanyaan itu tidak menuntut sebarang jawapan, dan Johan tahu dia tak perlu menjawabnya. Yang sudah itu, sudahlah. Johan tahu itu kesimpulan yang sebenarnya lebih awal mematikan permuafakatan anak beranak di pagi hari itu, dan sesi yang sedang berlangsung ini pula ialah sesi melampiaskan gejolak hati ibu dan ayahnya. Besar harapan mereka terhadap Anis dan dirinya, tetapi ia telah diruntuhkan.

Johan sama sekali tidak mahu menyalahkan Anis atas semua yang telah berlaku. Tetapi andai Anis tahu surat itu sudah mengucarkan kebahagiaan hati ibu dan ayahnya, pasti dia tidak kirimkan terus ke kampung. Bukan Anis tidak simpan alamatnya di Kuala Lumpur, atau kirim langsung ke emelnya. Ah, mungkin Anis sengaja. Mungkin Anis mahu ibu dan ayahnya tahu situasi dirinya. Ini perkara besar yang harus ditangangi secermat mungkin. Johan tidak mahu bersangka buruk lagi terhadap Anis.

“Ibu, ayah..izinkan Johan jelaskan hal yang sebenar,” pinta Johan. Dia tidak mengangkat wajah walau sedikit. Udara pagi yang melingkari ruang beranda rumah mereka itu diraih, disedut perlahan-lahan. Sebagai anak yang patuh juga, dia tidak akan sekali-kali mendahulukan perasaannya sendiri, melainkan harus taat dan hormat terhadap kedua-dua orang tuanya.

Suasana sepi. Seketika, ayah dan ibu Johan turut tunduk. Kerusi rotan berkeriyuk tatkala ayahnya berkisar duduk. Orang tua itu melontarkan pandangannya jauh ke halaman yang terbentang luas dipenuhi rerumput menghijau. Sebuah motosikal melintasi ruang halaman itu, memecahkan kesunyian dalam ruang permuafakatan anak-beranak antara Johan dan kedua-dua nadi hidupnya.

“Ayah, ibu..” Johan bersuara sesudah dirasakannya sesuai untuk dia luahkan hal sebenar. “ Anis tak bersalah. Anis memang tinggalkan saya kira-kira enam bulan yang lalu. Dia tinggalkan kami semua di pejabat begitu saja. Tak ada sesiapa pun yang tahu. Dia pergi tanpa sebarang notis. Saya sendiri juga tidak dimaklumkan. Sejak itu, semua perhubungan kami seolah-olah terputus. Saya buntu. Enam bulan saya mencarinya tetapi gagal, dan saya dah pun putuskan yang kami tidak akan bertemu lagi. Hinggalah surat ini menceritakan segalanya, barulah saya tahu di mana Anis sekarang dan dengan siapa”.

“Siapa Rahman?” tanya ibunya.

“Dia suami Anis sekarang,” jawab Johan. Hatinya bagai disiat-siat.

“Itu aku tahu!” bentak ayahnya pula. Suaranya keras. Johan cenggeng. Dia harus jelaskan. Inilah masanya.

“Rahman, kekasih Anis sebelum dengan saya, ayah.”

“Maknanya, kamu dan Anis bersama ketika lelaki itu masih berhubungan dengan Anis?” tanya ayahnya lagi. Johan resah.

“Itu saya tak tahu, ayah. Saya sendiri tak pernah tanyakan dia. Apa yang saya tahu, Anis dan Rahman memang pernah bersama dan mereka berpisah kerana tidak sehaluan. Kemudian itulah baru kami menjalinkan hubungan,” jelas Johan, jujur.

“Hmm..kamu sungguh malang,” sahut ibunya.

“Bukan malang. Johan, ayah rasa Anis keliru,” tiba-tiba ayahnya berubah nada. Johan tertarik dengan kata-kata ayahnya itu. “Maksud ayah?”

“Mungkin dia tersepit. Berapa lama mereka berdua sebelum Anis bersama kamu?”

“Kurang lebih tujuh tahun, rasanya”

“Patutlah. Johan, lupakan saja Anis. Doakan dia bahagia dengan Rahman,” pinta ibunya. Nadanya juga kian mengendur. Kini mereka tahu duduk perkara yang sebenar. Mereka tahu Johan tidak bersalah, tetapi kesal dengan tindakan Anis yang tiba-tiba sahaja menghilangkan diri.

Anis, suatu ketika ibarat permata yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah ruang rumah keluarga Johan. Suatu ketika juga, Anis ibarat penawar hati ibunya yang rawan setelah kematian Angah, kakak Johan akibat barah payu dara. Keletah Anis dan Angah mirip, begitu juga santunan yang menghiasi sosok peribadi dua wanita ini. Ibunya, untuk suatu tempoh yang panjang, begitu menyukai Anis hingga membina segunung harapan untuk bermenantukan wanita itu.

“Ibu, ayah..Johan mohon usahlah dipersalahkan Anis. Berat mata ibu dan ayah yang memandang, tapi berat lagi bahu Johan yang memikul beban ini. Johan akan ke Dubai juga, kerana ini tugas Johan yang mesti diselesaikan. Doakan Johan berjaya dunia dan akhirat. Soal Anis, biarlah di sini sahaja noktahnya. Johan mohon maaf kerana tak dapat penuhi harapan ibu dan ayah, tapi insya-Allah, dengan izin Allah, pasti ada hikmah yang lain untuk kita,” luah Johan. Dia bingkas bangun mendapatkan ayah dan ibunya lalu dirangkul tangan mereka satu persatu. Dia kucup, dia peluk. Erat. Kasih insani hakiki, memansuhkan segala kasih yang palsu.

 *******

Gersik lagu Love Story nyanyian Taylor Swift mengejutkan Sara yang sedang leka memilih shawls. Nada dering itu khas ditetapkan buat seseorang yang di  kejauhan, buat Iskandar. Hatinya berbunga mekar, gembira bak dipuncak.  Lekas-lekas dia menjawab panggilan dari jauh itu.

“Assalamualaikum, Cik Sara…”

“Waalaikummusalam, Is..”

Senyum. Sara senyum. Dia senyum. Sedetik itu juga, telefonnya menerima satu lagi panggilan masuk. Juga dari seseorang yang jauh. Dari Johan. Namun Sara memutuskan untuk tidak menjawab panggilan itu. Kegembiraan ini rupanya untuk Iskandar. Aku harus sandarkannya buat Iskandar. Tanpa sedar, dia seolah mengesampingkan hati Johan yang selama ini begitu dikasihaninya. Rahsia besar itu juga turut luput perlahan-lahan.  Rahsia tentang Anis Madhihah, yang bukan lagi rahsia pada Johan.

“Hye, what are you doing?”

“Kat Mid ni, tengok-tengok shawls baru. Is?”

“Baru nak lelap. Menggangu tak?”

“Ha’ah..sangat-sangat mengganggu,” Sara cuba bergurau. Dia tersenyum. Senyumannya melebar. Dia cuba menahan ketawa saat itu.  

“Hmm..oklah kalau macam tu. Is berundur dulu,” Iskandar pula cuba memancing emosi Sara. Dia tahu Sara cuma bergurau.

“Eh Is tak..tak ganggu pun!”

“Haa..tau pun,” sambut Iskandar seraya ketawa kecil. Terhibur sekali dia dengan keletah Sara.

“Is, suka warna apa?” tanya Sara tiba-tiba. Dia tak mahu ketawa Is itu berlarutan. Dia tahu Is memang suka ketawa dan berjenaka. Sebelum menjadi tak terkawal dan dilihat oleh orang ramai di gedung Anjang itu, baik dia alihkan topik.

“Hmm.. Sara dah lupa ye?” soal Iskandar kembali.

“Eh taklah. Ingat..biru kan? Atau dah bertukar? Maklumlah dah lama kat negara orang, entah-entah suka hitam pula..” usik Sara. Dia menahan ketawa lagi.

“Hai, perli ke apa ni Cik Sara. Walaupun Is kat India, tapi biru tetap di hati Is, ok!” tegas Iskandar lekas. Kerana berasa lucu, mereka berdua ketawa lagi. Kegembiraan itu tulus, untuk dua hati yang saling merindu. Iskandar dan Sara terpisah oleh jarak, tapi dek kejauhan itulah, kasih yang pernah pudar semakin erat disulam hari ke hari oleh rindu yang mulus antara mereka berdua.   

0 comments: