Pengalaman. Suka duka. Gembira bahagia. Kalau nak tulis semuanya, rasanya selaut dakwat dari Laut China Selatan pun belum tentu cukup. Kita hidup hari ini kerana semalam kita pernah hidup, dan Allah berikan lagi hari ini untuk kita tunaikan segala amanah dan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Selagi belum cukup defisit umur yang Dia tetapkan, maka selagi itulah, kita akan terus hidup dan saling membaiki kerosakan semalam untuk kehidupan hari ini dan esok yang lebih baik. Itu jika kita mahu membaikinya. Jika sebaliknya, maka kekallah kita sebagai orang-orang yang gagal merancang masa depannya.
Satu perkara tentang masa silam yang sukar aku lupakan ialah memiliki kawan-kawan dan sahabat-sahabat yang sama pada hari ini. Semalam mereka pernah bersama aku, tetapi hari ini menjadi lebih baik dan bermakna kerana mereka masih bersama aku. Bagi aku, inilah kejayaan merancang masa depan yang sebenar, bila mana kita mampu meneruskan ukhuwah dan persahabatan yang cukup tinggi makamnya di sisi Allah. Semoga ukhuwah itu kekal lagi dan lagi untuk esok dan seterusnya kerana langkah yang sendirian selalunya akan keciciran berbanding langkah-langkah yang sederap bersama menongkah cabaran hidup ini.
Memiliki kawan-kawan dan sahabat-sahabat pada masa silam pula bagi aku hanya menjadi sempurna dalam lipatan sejarah kita bila ada pengalaman yang dicipta untuk dikenang pada hari ini dan hari-hari muka. Salah satu pengalaman paling aku ingat ketika bersama mereka ialah ketika kami diamanahkan mengimarahkan mussolla atau surau sekolah di SMK Sungai Bayor, antara tahun 2003 dan 2004. Pengalaman ketika menjadi ‘budak surau’ ternyata amat mematangkan aku, dan merobah sebahagian besar sikap kendiri aku hingga ke hari ini.
Balkis – itulah nama kumpulan kami waktu itu. Kedengaran seperti kewanitaan tetapi jangan tersilap kerana Balkis ini jauh lebih utama berbanding citra wanita pada namanya. Balkis ini maksudnya, Badan Amal dan Kebajikan Islam SMK Sungai Bayor yang buat pertama kalinya ditubuhkan pada waktu aku di tingkatan empat. Rezekinya lebih-lebih kepada aku dan kawan-kawan kerana kami dipilih menjadi peneraju awal dan aku diamanahkan sebagai Pengerusi yang pertama oleh Penasihat Balkis, Ust Fadzli (sekarang bertugas di UKM). Bersama-sama yang lain, kami ketepikan formalitas di atas kertas kerana hitam putih perjalanan Balkis terletak pada kesungguhan kami menjayakan aspirasinya, bukan hanya sekadar cetakan pada kertas kerja dan cadangan semata-mata.
Di awal penubuhan Balkis, kami bergerak perlahan. Kami hanya memfokuskan usaha membina jaringan kawan-kawan dari semua peringkat umur. Kemudian, selepas kukuh dari segi kekuatan penggerak, kami mula merencana program-program khusus untuk pembangunan sahsiah para pelajar SMK Sungai Bayor. Lalu hampir setiap minggu pasti diadakan program Qiamullail dan Solat Hajat yang selalunya mengambil masa selama tiga hari dua malam untuk satu-satu sessi. Berkat kekuatan yang besar, kami berupaya menggerakkan seluruh pelajar yang berjumlah tak kurang 1300 orang untuk menyertai setiap sessi yang dibahagi-bahagikan mengikut tingkatan dan jantina. Sistem penggiliran mingguan ini membolehkan pelajar wanita dan lelaki diasingkan mengikut kesesuaian modul dan berjaya mengelakkan masalah-masalah sampingan.
Balkis juga mendapat sokongan yang padu daripada guru-guru SMK Sungai Bayor, sesuatu yang barangkali agak sukar ditemui di mana-mana sekolah yang lain. Setiap sesi memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga orang guru pengiring, seorang Ustaz atau Ustazah dan sejumlah tenaga fasilitator yang berkebolehan mengajar dan mengasuh peserta dengan hal-hal keagamaan. Dengan komposisi 100 peratus pelajar dan guru Muslim, kami mendapat kerjasama yang optimum daripada seluruh warga sekolah, bukan sahaja guru bahkan staff dan pengawal keselamatan sendiri. Inilah yang membangkitkan semangat Balkis yang pada waktu berjumlah kurang 30 orang sahaja.
Kewujudan Balkis ketika itu juga seolah menjadi satu fenomena di SMK Sungai Bayor. Ramai pelajar yang melekat di surau dan lepak bersama-sama dengan tenaga penggerak, berkumpul dan berusrah selepas waktu persekolahan. Inilah kejayaan paling manis bagi aku kerana berjaya menarik pengaruh yang besar dari kalangan adik-adik dan kami bentuk mereka hingga ukhuwah tersebut kekal sampai ke hari ini. Hari ini, sebahagian besar penggerak Balkis sudah berjaya dab bertebaran di seluruh negara. Tetapi ukhuwah antara kami kekal terpelihara. Setiap kali ada kelapangan, kami akan berkumpul dan setiap kali itu, pasti kenangan di SMK Sungai Bayor yang menjadi topik utama perbualan.
3 comments:
hahaha.....nostalgia sungguh entri mu kali nie...lagi takleh lupa kita lah muka2 yg akan menghiasi sekolah tu siang dan malam tanpa mengenal yang kita ni ada rumah sebenarnya...muahahahaha.......kreditutk ang..............
hahahha...terbaiklah balqis
erm terbaiklah...banyak kenangan aku dengan SMK SUNGAI BAYOR....thanks bayorian
Catat Ulasan