Ahad, 25 September 2011

Persidangan Hantu-hantu Kebangsaan - Bab 2



Bab 2

Pada malam itu, maka bermulalah segala keributan. Sekalian anak hantu remaja dan belia jadi gempita. Malam yang senang bertukar jadi medan caci dan maki tatkala mereka sedang berkumpul asyik mengikut alunan merdu seruling si Fantasia di penggir benua menghadap lautan yang luas terbentang. Fantasia ditangkap. Dia diseret, diheret dan dicemeti dengan cemeti neraka, berbilur-bilur segenap belakangnya sedang ia menjerit meronta dan merintih menagih belas kasih.

“Ampunkan saya Pak Koyol..ampunkan saya…apakah salah saya ini?” rayunya teresak-esak. Seruling ajaibnya dirampas dan dihempas ke batu yang melata lalu terburailah segala manik dan permata yang menghiasinya. Hempasan itu juga telah mencetus suatu bunyi bingit lagi nyaring maha dahsyat menyebabkan sekalian hantu di situ menekup telinga masing-masing. Semua mereka gementar sekali.

Namun Koyol sama sekali tidak mempedulikan bunyi aneh itu. Bahkan, dia langsung tak peduli akan rintih perih si Fantasia. Dia merengus. Dia mendengus. Dia menyeringai. Dia mengilai. Puas. Dihentaknya perut Fantasia dengan sepatu bermuncung tajamnya lalu mengeranglah Fantasia, meraung sungguh-sungguh. Beberapa anak hantu cuba menolong tetapi dihalang oleh kuncu-kuncu Koyol. Beberapa anak hantu yang lain pula hanya mampu menangis teresak-esak, sayu melihat pujaan hati mereka itu digasak-gasak.

Setelah puas melanyak, barulah Koyol bersuara menyampaikan titah akan tujuan sebenarnya menahan Fantasia. Dia naik ke atas sebuah batu besar yang selalu menjadi panggung untuk Fantasia meniupkan seruling dan menggesek biolanya. Sambil memegang seruling yang sudah patah itu dan menjulangnya tinggi ke udara, Koyol pun bersuara; “Adapun, ini cumalah kesan awal. Adapun, aku tahan Fantasia ini adalah kerana diperintahkan oleh Ketua Kerajaan kita, Pontianak Syuk kerana Fantasia ini sudah melampaui batas!”

Suasana jadi hingar-bingar semula. Semua anak hantu remaja dan belia yang hadir di lembah itu tidak dapat menerima penjelasan yang diberikan oleh Koyol, lalu bangunlah dua tiga ekor daripada mereka dan bertanya untuk mendapatkan jawapan yang lebih jelas. Fantasia yang sudah longlai hanya mampu menangis. Dia sudah digari kaki dan tangannya, terduduk lesu tersendu-sendu. Jika perintah itu datang daripada Ketua Kerajaan, maka tiada hendak melainkan patuh sahaja, tetapi dia ingin tahu kenapa diperlakukan sebegitu mahu.

“Oh, kalian belum faham ya? Syaitan ini mahu merampas kuasa!”

Panggg!!!

Sedetik itu juga kilat berdentum-dentam. Semilir bertukar  menjadi ribut petir. Semua anak hantu yang masih bersisa semangat untuk melawan sejak tadi jadi kecut. Kilat begitu bukan biasa-biasa. Ia kilat yang menghambat. Ia selalunya diutus oleh tentera Raja Iblis. Di singgahsananya, Raja Iblis bisa memerhati setiap kerja buat sekalian hantu di benua itu dan di seluruh pelosok alam yang lainnya. Justeru kerana itulah setiap hantu jadi kecut jika kilat berdentum tidak semena-mena kerana ia mungkin sahaja isyarat dari Raja Iblis. Isyarat kemurkaan! Tetapi ada satu lagi jenis kilat petir yang paling ditakuti. Ia datang dari langit, dari kuasa yang agung. Maha Agung. Raja Iblis sekalipun tak mampu menandingi keagungan kuasa itu.

“Katakan itu tidak benar kanda Fantasia…katakan tidak benar..” sedu sedan Soyol merintih. Dia berlari mendapatkan Fantasia tetapi dihalang oleh kuncu-kuncu ayahnya sendiri. Lalu dia menerka pula Koyol. Hatinya tak keruan. Kesalahan kerana cuba merampas kuasa bakal menawatkan terus riwayat sesiapa sahaja jika sabit kesalahan. Dia tidak rela itu berlaku ke atas Fantasia yang kian berputik di taman cintanya.

“Ayah…ampunkan kanda Fantasia. Dia tidak bersalah. Dia tak berniat pun begitu. Ayah sendiri mengenalinya, bukan?” rayu Soyol pada ayahnya.

“Ya! Aku mengenalinya selama ini tetapi tidak lagi bermula hari ini. Ini penderhaka negara!” bantah Koyol lantang. Maka gegak gempitalah sekalian yang hadir di lembah di hujung benua itu. Ombak di laut menghempas ganas. Bayu bertukar taufan. Gemuruh di langit kini jadi kilat yang sabung menyabung. Alam jadi kelam. Melihatkan situasi itu, Koyol segera memerintahkan kuncu-kuncunya supaya gegas membawa Fantasia dan Monica ke Istana Keadilan untuk dibicarakan. Sekelip mata, mereka pun hilang lenyap ditelan kabus yang mula menyelubungi rembang senja itu.

Berita penahanan Fantasia, Si Peniup Seruling dan Penggesek Biola serta Monica Si Biduanita disambut dengan pelbagai rasa. Yang dewasa berbelah campur antara gembira dan duka. Ada yang endah acuh tak endah. Ada pula yang bertepuk tampar. Mereka itu tentulah para hantu yang bimbang dengan masa depan anak-anak hantu yang semakin hanyut dengan keasyikan tiupan seruling Fantasia dan kelunakan nyanyian Monica sehingga terabai tugas mengganggu kehidupan manusia-manusia beriman di alam dunia. Ada pula yang sedih, hiba tak terkata. Ada yang tercari-cari pengganti untuk kedua-dua hantu tersebut. Dan mereka itu tentulah pula para hantu remaja dan belia yang sudah bosan dengan kehidupan semasa mereka.

Lalu bersuaralah Soyol kepada rakan-rakannya selepas masing-masing keluar dari penyorokan akibat bunyi azan Maghrib dari dunia manusia sebentar tadi. “Teman-teman, malam ini bakal jadi saksi kepada suatu peristiwa maha penting. Saya menyeru teman-teman sekalian, ayuh kita bertindak!!” tangkas kata-katanya membangkitkan semula semangat teman-teman hantunya. Maka yang lain pun bertempiklah, mengilai dan menjerit di sana-sini. Semua bersetuju pada dasarnya untuk bertindak.

“Tapi, bagaimana?” tiba-tiba muncul seekor anak hantu galah melontarkan pertanyaan. Yang lain juga terdiam. Ada benar juga soalan itu. Bagaimana mahu bertindak?

Dengan sedikit akal yang lebih, Soyol pun mengusulkan cadangannya. “Kita berhimpun secara aman di hadapan Istana Keadilan. Kita berarak beramai-ramai dari lembah hingga ke Istana dan di sana, kita desak pihak kerajaan supaya melepaskan Fantasia dan Monica pada malam ini juga. Saya sendiri akan mengetuai kalian,” terang Soyol.

“Tapi apakah itu ertinya melawan pemerintah? Semacam bunyinya ialah pemberontakan!” soal anak hantu polong pula. Mendengar akan hal pemberontakan, maka sekalian hantu yang lain pun jadi tak keruan.

“Bertenang kalian. Kita tidak memberontak. Kita cuma mendesak. Tuduhan kerajaan seperti yang ayahku perkatakan tadi terlalu berat. Kita perlu jadi saksi perbicaraan, jika perlu, tapi aku harap hal ini boleh diselesaikan melalui rundingan. Suara anak muda seperti kita juga perlu didengar!” laung Soyol penuh semangat. Dia memerhatikan wajah teman-temannya yang sedang diamuk gelora itu.

“Dengan kekuatan ini?” anak hantu galah sekali lagi menimbulkan musykil di hati. Dia merenung tajam ke arah Soyol yang beberapa kali jauh lebih rendah daripadanya walaupun mereka sebaya.

“Teman-teman…,” kata Soyol, “kita tidak mahu melawan pemerintah. Kita cuma mahu menuntut keadilan. Tetapi dengan kekuatan sebegini, saya pasti kita dengan mudah sahaja akan ditunjal oleh kuncu-kuncu ayahku seperti senja tadi. Justeru pada hemah saya, kita perlu meraih kekuatan sampingan daripada hantu-hantu muda seluruh benua. Setujukah kalian?” soalnya kepada sekalian hantu-hantu yang sedang berkobar-kobar itu.

“Setuju!” jawab anak hantu galah.

“Aku ikut!” kata anak hantu sungai pula.

“Aku juga ikut. Bahkan aku sendiri yang akan sebarkan berita ini!” sahut anak hantu bukit pula, penuh semangat.

“Kalau begitu, ayuh kita lekas. Tindak harus pantas!” bingkas Soyol memutuskan kata. Dia sudah punya rencana. Semua anak hantu yang setia bersamanya sejak insiden penahanan Fantasia dan Monica senja tadi akan dilibatkan dalam misi mendapatkan sokongan ramai pada malam itu juga. Masa kian suntuk. Lalu Soyol menjemput cucu hantu lurah, hantu yang bermukim di kawasan laluan angin lintang untuk menerima tugasan pertama. Cucu hantu lurah akan dipertanggungjawabkan mencetuskan angin supaya semua mereka dapat bergerak lebih pantas. Dengan kepakaran nenek moyang turun temurunnya, cucu hantu lurah tentu sekali tidak punya masalah. Mereka pasti akan segera tiba di mana-mana pelosok benua jika angin bertiup kencang.

Seterusnya, anak hantu bukit. Dia akan diberikan tugas untuk menggemakan jerit pekik para hantu dari jenis serigala jadian. Tujuannya untuk memanggil sekalian anak hantu serigala jadian yang rajin berkeliaran pada malam hari di sekitar bukit di seluruh benua. Jika timbul masalah dengan kawanan pontianak liar, maka anak-anak pontianak yang setia bersamanya akan ditugaskan berunding dengan mereka. Setelah semua arahan diperjelaskan, maka Soyol pun membunyikan semboyan dengan meniup serpihan seruling Fantasia yang sudah patah. Bunyi yang terhasil itu telah merintihkan hati mereka, sayu tak terkata lalu mengobarkan lagi semangat untuk gegas menyelamatkan Si Peniup Seruling dan Penggesek Biola itu. Dialah idola, penghibur dunia anak-anak hantu generasi baharu.

Maka bertempiaranlah sekalian hantu mengikut arah masing-masing. Ada yang terbang tinggi menjulang lalu hilang di balik awan. Mereka itu dari suku sakat jin ufuk. Ada yang melata di tanah benua menggelongsor bak ular tedung selar. Mereka itu pula dari kaum Ratu Ular yang hidup di pinggir tebing dan gigi sungai. Ada yang melompat-lompat menyelinap di balik tualang dan mahang hutan. Dan mereka itu pula gerombalan hantu bukit. Semuanya bersatu untuk berseteru dengan kuncu-kuncu ayah Soyol, dan yang utama tentunya, Si Pontianak Syuk, Ketua Kerajaan yang kini menjadi zalim tak semena-mena.

Menjelang azan Isyak, sekalian anak hantu sudah berjaya mengumpul kekuatan tambahan dengan jumlah yang tak terfikirkan, ramainya, banyaknya, pasti akan meluluhkan bengis kuncu-kuncu Koyol dan sekalian bala tentera kerajaan. Mereka menuju ke lembah di hujung benua. Di sana, Soyol akan mengetuai gerakan menuntut pembebasan Fantasia dan Monica. Lalu slogan digagaskan, Bersihkan Pemerintah Zalim! Masing-masing bergelora dan tidak tertahan-tahan lagi nafsu untuk menggempur Istana Keadilan pada malam itu juga.

Ketika Soyol sedang bersyarah meniupkan api amarah dalam jiwa setiap anak hantu yang hadir, tiba-tiba muncul Jembalang Suir dari balik kabus lalu berdiri di sebelah Soyol di atas batu yang menjadi panggung itu. Hantu jembalang itu meraut tangan Soyol lalu mendorongnya mara ke hadapan selangkah dua dan menjulang tangan Soyol ke udara sambil bertempik nyaring menjogolkan taring-temaring runcingnya. Sekalian anak hantu kesit, mengundur selangkah dua sambil ada yang menekup telinga kerana tiada tertahan akan bunyi pekikan jembalang itu. Seketika kemudian suasana jadi sepi. Hantu Jembalang Suir merengus dengan wajah yang polos, merenung lautan anak hantu di hadapannya yang kian bertambah banyak.

“Apa yang kalian lakukan ini adalah keluarbiasaan paling agung pernah aku saksikan. Nescaya akan aku kenang hingga tiba waktu aku bersemadi di neraka jahanam abadi!” laungan Jembalang Suir bergema mengelilingi pelosok lembah, bergemuruh jiwa raga sekalian yang mendengar. Ia umpama api yang membakar jiwa yang sedang mahu memberontak.

“Di sini, akan kita buktikan di mana selayaknya kita diperakukan! Di sini, akan jadi saksi kebangkitan hantu terbanyak, bukan lagi hantu yang boleh dilanyak dipijak sewenang-wenangnya!” Jembalang Suir terus menyalakan api kebangkitan anak-anak hantu. Lalu sekalian mereka pun bertempik berpekik tiada tangguh-tangguh lagi.

“Tepat sepertiga malam, kala manusia tidur kenyenyakan, kita akan berarak ke Istana Keadilan!” laung Soyol pula. Masa sudah ditetapkan. Gerombolan juga sudah dipersiapkan. Semuanya kini menunggu detik untuk digerakkan.

“Aku ada berita untukmu. Berita yang bakal menaikkan lagi semangatmu,” bisik Jembalang Suir kepada Soyol tatkala mereka usai bersyarah. Dia menarik Soyol ke belakang batu dan memberikan isyarat supaya Soyol tidak berbuat bising. Dia tidak mahu ada hantu lain yang mendengar berita itu.

“Lekas. Aku kesuntukan!” gesa Soyol.

“Sebentar lagi, kala bayu laut dari barat daya menghembus, akan tiba satu gerombalan besar anak-anak hantu dari jazirah Nusantara. Mereka akan bersama kita!” bisik Jembalang Suir keras. Namun, berita itu telah mengejutkan Soyol, membongkahkan kotak-kotak kerisauan baru di hatinya. Beberapa persoalan timbul di benak fikiran, tetapi tiada satu pun yang terlepas dari kerongkongnya.

Keresahan Soyol itu seakan-akan ditancapi dengan baik oleh Jembalang Suir, lalu api nista baru dinyalakan dari sumbu ketamakan yang meruap-ruap. Sungguh-sungguh dia tidak menduga segala perancangan yang diatur oleh ketuanya, Jembalang Sundal Agung, pesuruh kepercayaan Tok Pendeta itu akan menjadi begitu sempurna, satu persatu.

“Usah kau bimbang. Mereka itu datang kerana mahu membantu nasib kalian,” beritahu Jembalang Suir lagi dalam nada penuh simpati. Dia sengaja menyembunyikan perihal pembiayaan oleh Gosh Boros, si penyangak agung dari puak hantu Lembah Nevada yang sering mendanai gerakan hantu-hantu global dalam menjayakan misi keadilan sejagat, kononnya. Padahal, semua tahu siapa penyangak itu yang sebenar. Orientasi kebajikan yang dilakukan selama ini bukanlah untuk membantu tetapi untuk mencekik setiap pemerintah supaya tunduk kepada kemahuan agungnya iaitu menjadi Kepala Tangga Tiga Belas dalam pemilihan akan datang.

Untuk makluman, Tangga Tiga Belas ialah perkongsian seluruh benua yang dihuni oleh masyarakat hantu global. Terdapat tiga belas benua kesemuanya. Setiap benua akan dipimpin oleh seorang Ketua Kerajaan dan setiap ketua akan menduduki kerusi yang diwakili anak tangga yang berbeza-beza tarafnya. Anak tangga ketiga belas adalah anak tangga khas untuk pemimpin benua yang paling berkuasa dan hanya pemimpin itu sahajalah yang layak menduduki takhta sebagai Kepala. Namun, untuk menguasai takhta itu bukan mudah. Sesiapa yang berhajat harus memiliki kekayaan yang tiada berbatas, murah hati menabur dana dan bijak pula menyusun rencana politiknya. Ia harus memiliki daya kepimpinan global, cerna akan segala permasalahan dunia hantu seluruhnya. Dan untuk era ini, hanya Gosh Boros sahajalah yang memiliki segala kualiti itu.

Pun begitu, usahanya kelihatan terbantut selagi Pontianak Syuk terus mengetuai benua Himalayola. Hanya benua itu sahaja yang masih belum dapat dikuasai sepenuhnya. Ketua puak pontianak itu terlalu teguh semangat kebangsaannya. Bahkan, popularitinya jarang sekali tergugah oleh sebarang krisis baik dari dalam mahupun dari luar. Sudah banyak rencana diatur dengan kerjasama Tok Pendeta dan Jembalang Sundal Agung tetapi Pontianak Syuk terus kukuh di persada takhta benuanya. Terbaharu, Krisis Darah yang sengaja dicetuskan tetapi dengan mudah sahaja dipatahkan oleh Kabinet Kerajaan Himalayola pimpinan Pontianak Syuk. Paling menyakitkan hatinya ialah detik di mana Pontianak Syuk dengan tenang dan penuh meyakinkan menolak pelawaan Bank Darah Global untuk menyalurkan bantuan darah-darah segar dari jazirah Eropah ke benuanya. Proksinya, si hantu pocong Albotonti, bahkan dihumban ke penjara setelah rencana jahatnya dapat dihidu. Malah, sejak itu langsung tiada berita akan hal si Albotonti itu, hilang lenyap bersama segala rencana dan muslihat.

 Hanya akhir-akhir ini sahaja kelihatan sudah ada keasyikan baru dalam kalangan generasi muda hantu-hantu di benua itu, keasyikan yang sungguh-sungguh terhadap tiupan seruling dan gesekan biola Fantasia dan kelunakan nyanyian Monica. Keasyikan itu mengalih sebahagian besar tumpuan mereka terhadap tugas-tugas hakiki sebagai hantu menyebabkan lahirnya keluh-kesah dan bimbang resah dalam kalangan hantu-hantu dewasa. Tambah mendukacitakan apabila reaksi Pontianak Syuk sendiri yang seolah-olah turut terasyik dengan fenomena bersifat global itu, tiada langsung usaha menghalangnya. Justeru maka itulah, rencana terbaharu itu diatur. Dengan campur tangan gerombolan hantu remaja dan belia dari Nusantara yang telah diupah, nescaya haru-birulah Himalayola. Pontianak Syuk akan dicabar, didesak dan akhirnya digantikan oleh boneka baru. Revolusi! Ia adalah jalan pintas meraih mimpinya.

“Sebelum gerombolan itu tiba, ingin aku tegaskan, kami tidak mahu memberontak. Ini cuma himpunan aman. Sejajar dengan peruntukan undang-undang, kami hanya mempraktikannya sahaja,” beritahu Soyol selepas dia mengesan api keghairahan aneh dari anak mata Jembalang Suir itu. Dia tidak mahu dikenang sejarah sebagai penderhaka negara. Dia cuma percaya pada keadilan dan hak-hak untuk menikmatinya yang sama rata dalam kalangan setiap hantu di Himalayola. Benua itu tak perlukan sesiapa untuk diberantakkan. Jika anak-anak hantu Nusantara tiba untuk mengacau-bilaukan keharmonian tanah airnya, mereka dipersilakan pulang dengan 
angin bayu yang sama, segera itu juga.

“Soyol yang bijaksana, apa kau bimbang ditangkap sama oleh pemerintah?” soal Jembalang Suir sambil tersenyum sinis. Dia lenyap seketika sebelum timbul di belakang Soyol. Dia meraut tengkuk Soyol, membelainya halus dan lembut lalu berbisik sesuatu. “Kau ada peluang jadi pemerintah juga!”

“Bagaimana?” bisikan itu seakan terus menusuk kalbu Soyol. Dia terkesan oleh tikaman halus tersebut lalu tanpa segan silu mengusulkan pertanyaan itu.

“Ini!” gegas sekali Jembalang Suir menjawab sambil mendepakan tangannya ke hadapan. Lautan anak hantu yang kian bertambah di hadapan itu seolah-olah menjadi api yang sedang melahar-laharkan kebangkitan semangat baharu. “Mereka akan menjadi pengikutmu. Percayalah!” bisik Jembalang Suir lagi.

Soyol berdebar-debar. Rencananya tidak disangka-sangka akan menjadi begitu hebat dalam sekejap sahaja. Dia resah, lagi-lagi bila memikirkan betapa dia keseorangan mengepalai himpunan itu. Walaupun berkali-kali dia berpesan bahawa tiada pemberontakan yang ingin dilancarkan, tetapi tiada siapa dapat menjamin keamanan dalam perhimpunan itu mampu dikawal sepenuhnya.  Dia mengakui bahawa setiap anak hantu di hadapannya itu mempunyai kemahuan dan emosi yang berbeza-beza, justeru tidak mudah baginya untuk memimpin mereka dengan sempurna. Namun, tiada langkah mengundur akan diambil. Hanya kemaraan yang akan diteruskan.

“Mereka cuma mahu menuntut pembebasan Fantasia dan Monica. Tiada kurang lebihnya, hanya itu,” kata Soyol perlahan. Dia cuba meyakinkan Jembalang Suir akan niat sebenarnya.

“Anak muda, bukalah matamu. Lihatlah dengan pandangan yang lebih besar. Ini peluang terbaik untuk kalian merobah sejarah. Fantasia dan Monica hanya satu subjek. Mereka juga seperti kalian. Tetapi yang membezakan kalian dengan mereka ialah kesungguhan kalian ini. Tidakkah kau berfikir, untuk apakah hantu-hantu yang sebegini banyak bersusah-payah datang ke sini untuk berhimpun bersamamu? Adakah semata-mata untuk membebaskan dua ekor hantu itu sahaja? Tidak, aku yakin tidak. Mereka sukarela datang kerana ada desakan sosial untuk merubah kerajaan hari ini. Himpunan ini hanya simbolik yang tanpa kau sedari, bakal meletakkan Himalayola dalam sejarah peradaban dan kebebasan bersuara para hantu. Mereka datang kerana mereka sudah jijik melihat pemerintahan hari ini yang terus-terusan membina kekayaan dan kemewahan berbanding memajukan bangsa hantu,” kata Jembalang Suir penuh muslihat.

“Aku tidak mampu merobah sejarah itu. Bukan aku yang layak mengubah geopolitik negara ini. Aku ini bangsa toyol. Lemah dan paling kecil, terpinggir...” balas Soyol pula. Dia belum yakin. Adapun itu juga bukanlah hajat di hatinya. Fantasia. Hanya itu yang didambakan.

“Itu bukan isunya anak muda. Kepimpinan dibentuk oleh pengaruh, bukan keupayaan!” Jembalang Suir segera meningkah. Racun dokmanya terus ditanam.

“Kita bebaskan Fantasia dan Monica dahulu. Kemudian, kita lihat apa reaksi terbanyak. Sekarang izinkan aku mengumumkan kepada teman-temanku akan kedatangan bantuan dari Nusantara. Aku tidak pasti apakah reaksi mereka, tetapi aku harap mereka dapat menerima,” pinta Soyol sambil berlalu pergi. Dia mendaki batu besar yang menjadi panggung itu. Jembalang Suir hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum puas.

“Teman-teman sekalian, saya kira masanya semakin hampir. Bangkitlah..bangkitlah kalian. Bersama saya, kita gerakkan suara keamanan dan kebebasan. Kita tangkis tohmah jahat pemerintah,” Soyol mula bersyarah. Anak-anak hantu kembali ke hadapan panggung. Yang jauh mendekat, yang dekat merapat. Kesepaduan baru itu adalah suatu keluarbiasaan. Ada getar dan gemuruh di hati Soyol, tetapi sungguh-sungguh ia cuba menyahkannya sejauh yang terdaya. Dia terus bersyarah.

“Sekali lagi, ingin saya seru dan tegaskan. Kita tidak memberontak. Kita tidak mengkhianati negara tercinta. Kita bukan pengkhianat. Kita bahkan mencintai keamanan yang terbina sejak sekian lama Tetapi kita bersatu untuk menuntut keadilan. Biar malam ini menjadi medan untuk kita menghantar isyarat kepada pemerintah supaya tidak bertindak sesuka rasa. Anak muda bukan bahan belasahan. Anak muda bukan mainan sepak terajang. Anak muda tidak layak ditunjal kepalanya. Anak muda adalah kesatria negara, benteng keutuhan sebenar benua ini! Sebentar lagi teman-temanku, kita akan bersatu dengan kekuatan baru. Bantuan dari Nusantara, sahabat-sahabat kita, akan bersatu atas dasar simpati dan kekitaan baharu. Hantu-hantu muda tidak lagi suka akan perpecahan dan adu domba yang sekian lama membarahi masyarakat kita. Saya mohon teman-teman sekalian agar dapat menerima kehadiran mereka. Ayuh kita bersatu! Demi Fantasia dan Monica yang kita kasihi. Demi masa depan generasi muda sejagat. Demi kebebasan sebenar! Demi Himalayola tercinta!”

Sebaik sahaja Soyol menghabiskan syarahan ringkasnya itu, seluruh anak hantu yang membanjiri lembah pun bertempik berpekiklah penuh ghairah. Gelora yang tercetus telah menenggelamkan bingit ombak yang membadai tebing. Seketika kemudian, langit berubah wajah. Hitam kelam. Bayu laut menjadi ganas dan menderu-deru bagai ribut siklon menghentam pantai. Tahulah mereka angin itu memuat sejumlah besar hantu-hantu dari arah Nusantara. Bantuan yang dikhabarkan telah tiba. Maha dahsyat, tiada tergambarkan oleh kata-kata. Segala bunyi jerit pekik hilai tawa bersilih ganti memenuhi segenap ruang benua. Maha dahsyat, tiada terhitungkan dengan angka akan banyaknya mereka, bergentayangan di udara, terapung-apung sambil menyeringai tanda mesra sesama hantu, jin dan iblis.

Gerombolan itu telah diketuai oleh Sang Kuriman, anak penanggal lagenda Sang Balan-Balan dari puncak Merapi. Dia mendatangi Soyol lalu menyembahkannya sebalang darah yang harum. Soyol mengambil balang itu dan membuka penutupnya lalu menghirup darah tersebut dengan rakus. Dia kemudiannya menyemburkan darah itu ke udara sebagai tanda terima kasih. Maka, gegak gempitalah sekalian hantu yang ada, tiada tertahan-tahan lagi untuk  bergabung tenaga. Umpama pesta adanya. Jembalang Suir yang memerhatikan peristiwa bersejarah itu dari jauh tersenyum bangga. Dia lalu terbang dan hilang lenyap. Adu dombanya begitu sempurna. Tentu Jembalang Sundal Agung akan menganugerahinya dengan gelaran Jaksa Budi, pingat agung yang paling dicemburui oleh sekalian jembalang suruhannya.



Khamis, 22 September 2011

Persidangan Hantu-hantu Kebangsaan

sebuah satira politik



Prolog

Mahu kau dengar cerita ini dik? Cerita yang tak pernah dicerita orang. Bukan kerana terlindung hak ciptanya, tapi kerana ia adalah cerita yang mengata-ngata cuma. Dahulu-kala, adalah sebuah benua, dihuni sekaliannya oleh sekalian hantu-hantu, jin dan syaitan. Adapun mereka itu kerjanya berbalah-balahan siang dan malam. Kalau pun ada persatuan, kerja persatuan itu hanyalah juga untuk memecah-belahkan antara satu dengan yang lain. Mereka bersatu untuk bersengketa berdendam berburuk-buruk sangka sesama ahli dan kumpulan, maka jadilah mereka pada benua itu umpama neraka yang kian padam.

Kau hairan dik? Kenapa kau hairan, dik? Oh, kau hairan kerana neraka jika padam seharusnya dirai dengan kegembiraan… Tidak dik, mereka tidak gembira. Jika padam neraka bererti kemusnahanlah bagi dunia mereka kerana adapun dunia mereka itu hanyalah dengan api  yang membaham-baham. Malap neraka bermaksud bencanalah juga kepada mereka.

Dikisahkan kemudiannya, tatkala tiba musim kemuncak iaitu bila para hantu bakal memilih tampuk kepimpinan negara, iaitu kira-kira ketika sepurnama sebelum jadi musim kelam semesta dan purnama jatuh sakit, maka tercetuslah sengketa baharu luar duga. Akan hal itu umpama konflik demi konlik, konfrantasi demi konfrantasi dengan gelora nafsu yang membuak-buak dalam kalangan sekalian hantu di benua itu. Mereka bersengketa untuk berkuasa. Meski ia bukanlah suatu fenomena aneh, namun pada ketentuan yang ini, ia bertukar menjadi mimpi yang ngeri  bagi pihak kerajaan pimpinan seekor hantu pontianak.

Segalanya berpunca akibat daripada salah duga dan terlalu banyak mempercayai konco-konco sekeliling, suatu sikap yang amat merugikan dalam hal pemerintahan di mana-mana pun jua. Namun, di benua itu, yang digelar sejarah Benua Himalayola, pemerintahnya juga sering alpa dan berasa selesa dengan keamanan semasa tanpa banyak melihat ke bawah. Adapun, utama bagi pemerintah itu sebenarnya bersikap memandang ke bawah yakni kepada rakyatnya ketika rakyatnya sentiasa memandang ke atas yakni kepada si pemerintah itu.

Maka terjadilah bibit-bibit sengketa yang akhirnya menjerumuskan sebuah benua yang aman damai ke lembah kekacauan maha dahsyat seperti yang pernah terakam dalam sejarahnya.

Begini, aku kisahkan…

Bab 1

Tok Pendeta, suatu hari, ia seperti biasa memperasap tempayan kecilnya. Kumat-kamit mulutnya, merah pekat liurnya, dihamburnya ke kiri dan ke kanan dengan sumpah seranah serta puji-pujian nan songsang. Maka berkepulanlah asap memenuhi udara terbit dari bara yang dipercik-percik dengan kemenyan yang direpih-repih dengan jemari kirinya. Satu, dua, tiga, maka menjelmalah seekor jembalang terhoyong terhayang datang menyembahnya.

“Tok,” kata jembalang itu sambil tunduk menyembah hormat. Jembalang itu menyentuh kepala lutut Tok Pendeta dengan hujung kukunya yang runcing seraya menciumnya.

“Ada apa kau kemari?” parau suara Tok Pendeta bertanya. Menjegil, bengis tak terperi. Jembalang tak berani memanggung kepala, apatah memandang wajah orang tua itu.

“Hajat besar tok,” jawab jembalang terketar-ketar. “Persidangan jadi haru-biru! Ada yang dah tahu agenda kita,” katanya lagi.

“Ahhhh..sudah aku duga!!” tempik Tok Pendeta tiba-tiba. Dia menampar-nampar pehanya, berulang kali. Jembalang berundur ansur-ansur lalu hilang. Tok Pendeta tarik nafas dalam-dalam dengan mata yang terpejam erat. Dia mendengus. Satu, dua, tiga, dia lepaskan hembusan nafasnya lalu bersatu pekat segala hapak, tengik dan hamis bau nafasnya itu dengan udara malam. Tok Pendeta tarik lagi nafas, dalam-dalam dan hembus lagi. Selepas tiga kali, dia tahan lama-lama. Dia bermantera dengan udara yang tersimpan di ufuk usus perutnya itu. Mantera itu panjang sekali, tapi dihabiskannya cuma dengan satu nafas itu sahaja. Usai upacara itu, Tok Pendeta bertempik lagi. Dia melompat menghayun keris dan bersilat dengan bunga entah apa. Dia berjurus dengan langkah entah berapa. Dia menghunus dan merodok merobek entah pada siapa. Tatkala itulah, tiba-tiba muncul seekor lagi jembalang, hitam kusam, terhoyong-hayang juga.

“Tok,” kata jembalang kedua itu sambil merapat datang dekat.

“Kau langgar perintahku!!!” jerkah Tok Pendeta. Jembalang kedua itu mengundur selangkah dua. Tok Pendeta berpaling membelakangkan jembalang itu. Tok Pendeta menyemburkan air pinang yang bergumam di mulutnya sedari tadi. Kiri, kanan habis dicemari air liur pekatnya itu. Tok Pendeta kembali berpaling ke arah jembalang kedua. Dia hambur lagi air pinang kemerahan itu  tepat ke muka jembalang. Lalu menggelupurlah jembalang kedua itu seperti terbakar meronta hilang perlahan-lahan.

Dua hari sebelum itu, di kaki langit hujung selatan sebuah benua, menjelang satu persidangan bertaraf kebangsaan hantu-hantu sebenua, telah diadakan satu pertemuan antara ahli majlis tertingginya. Pengerusinya, Pontianak Syuk, sedang mengagih-agihkan hasil kutipan derma sesama ahli majlis. Derma yang berupa darah para dajjal kecil (baca: anak-anak manusia yang terpesong akidah dan akhlaknya) diisi dalam tabung-tabung dan balang-balang kaca bertahta dan berhiaskan emas permata. Pontianak Syuk gembira sekali kerana kutipan kali ini begitu lumayan, harum dan menghairahkan. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghirup setiap balang darah yang menjadi bahagiannya.

“Kau tengok, Langsuya,” katanya sambil berbisik halus ke telinga setiausaha politiknya itu merangkap adik sang gundik kesayangannya dari suku langsuir. “Ramai yang masih bersama kita. Kau cium bau darah ini..kaum cium!” paksanya pula. Dia tarik rambut Langsuya supaya mendekat, ditunjalnya kepala hantu itu rapat ke gigi balang kaca yang dipegangnya. “Ini bau darah gadis yang sudah rosak, usia 18! Muda remaja!” katanya sambil menyeringai ghairah disusul dengan ketawa berdekah-dekah. Hantu-hantu yang lain tidak mempedulikan ketua mereka itu kerana masing-masing bergembira dengan bahagian yang telah ditentukan.

“Mengumumkan ketibaan wakil Tok Pendeta, Jembalang Suir!” tiba-tiba Koyol bertempik garau. Semua gegas berdiri termasuk Pontianak Syuk dan Langsuya. Sekonyong-konyong itu juga muncullah jembalang yang dikhabarkan bersama asap berkepul-kepulan, terus mendarat di atas meja permesyuaratan. Semua mata terpaku, berkedip tiada satu jua pun.

Kedatangan wakil Tok Pendeta ini bukanlah sesuatu yang biasa, hanya atas jemputan Tuan Pengerusi  sahajalah maka ia akan datang. Sejak beratus tahun lamanya, terikat sudah ikatan setiakawan antara Tok Pendeta dengan gerombolan hantu di benua itu. Tok Pendeta menjadi perantara antara dunia nyata dan dunia tersorokan mereka itu. Selama itulah, suku sakat jembalang menjadi wakilnya dan selama itulah, tiada seekor hantu pun yang berani bersahabat dengan kerabat jembalang kerana tarafnya yang tinggi di sisi Tok Pendeta, duta si Raja Iblis itu di alam manusia.

Namun, kedatangan Jembalang Suir kali ini, terlalu memukau. Jembalang yang seekor ini adapun kulitnya tidaklah bergerutu dan taringnya tidaklah terjongol seperti kebiasaan. Adapaun rambutnya pula tidaklah menggerbang terbuai-buai sambil mengepak bau yang hapak seperti kebiasaan adanya pada hantu-hantu jembalang. Tingginya juga tidaklah sedan-sedan, bahkan tidak pula terlalu tinggi hingga setara Toh Galah, dan tidak pula begitu rendah separas Koyol. Pendek kata,  Pontianak Syuk itu pun boleh terpukau kerana elok rupa dan parasnya. Wajahnya bersih dan senyumnya kemilau, disulam oleh putih giginya yang tersusun umpama batu nesan yang dipasak mengikut petak-petaknya, kemas dan berseri. Matanya berkerdip pada irama yang tertentu, sesekali menyerlahkan lentikan alis yang seolah disikat dengan semambu yang dibelah-belah menjadi penggesek biola si hantu Fantasia, indah dan anggun. Dan tatkala ia melangkah, maka luruhlah jantung para hantu sekalian, seolah-olah diketuk-ketuk dengan betisnya yang gebu menawan pabila terselak dihembus bayu malam, semuanya asyik dan hanyut dilambung ombak angan-angan, ghairah tak ketahuan.

Jembalang Suir terus melangkah di atas meja menuju ke arah Pontianak Syuk. Dia lalu melutut di hadapan hantu pontianak itu. Berdebar-debar semua yang memandang, hatta untuk bernafas pun jadi gusar takut-takut mengganggu Jembalang Suir. Jembalang Suir menguis balang darah Pontianak Syuk dengan hujung kakinya, lalu tersemburlah segala ghairah dan resah gundah si Tuan Pengerusi tatkala terselak juga kain Jembalang Suir hingga paras betisnya, putih gebu tiada berbulu-bulu. Melihat asyik itu, sengaja pula digoda oleh Jembalang Suir agar Pontianak Syuk terus terpesona, tanda jeratnya sedang mengena. Dikenyit, dilarik senyum, dihembus gelora asmara, dibiarkan mangsa terbuai terpana, kerana memang dia diutus untuk menggoncang Pontianak Syuk supaya lekas mengikut agenda tuannya.

“Kenapa Tuan Pengerusi?” soalnya mulus menggoda. “Apa Tuan Pengerusi tidak biasa menyaksikan keindahan seperti ini?” soalnya lagi penuh muslihat. Dia selak lagi kainnya, kian terdedah betis membawa hingga ke pehanya sekali gus membuatkan Pontianak Syuk tak senang duduk. Dia mengisar, berdehem halus, mencari sudut pernafasan baru agar fokusnya tidak hilang terus. Lekas-lekas dia ingat akan isterinya di istana mereka. Ahh..jangan kau baik sangatlah..entah-entah dia pun enak berdengus kesah di ranjang dengan jembalang sundal lain; bisikan jahat menerka. Tidak! Isteriku setianya tiada berbatas terhadapku; bisikan baik pula menerpa. Lalu bertarunglah kedua-dua bisikan itu untuk seketika, cuba memenangi kalbu si Pontianak Syuk.

“Ehem..err..boleh kita mulakan mesyuarat?” tiba-tiba Pontianak Syuk memperoleh kekuatan baru untuk mengalihkan  ketegangan itu. Semua hantu yang berdebar-debar sejak tadi menarik nafas lega. Ada yang turut berdehem, ada yang membetulkan duduk dan ada yang lekas-lekas menundukkan wajah. Langsuya juga sama. Mujurlah bosnya lekas bertindak mengendurkan gelora yang sedang asyik membadai nafsu dan mengusik supaya tersungkur dan terus hanyut. Adapun hantu-hantu seperti mereka tiadalah menyimpan iman walau sekelumit melainkan hanya nafsu semata, dengan sedikit akal yang cetek dan emosi yang berganang-ganang tingginya.

Tatkala itu juga Jembalang Suir mengilai halus, menyeringai ke arah Pontianak Syuk dan berpaling lalu terbang rendah menuju ke kerusi empuk yang tersedia untuknya. Hantu galah, pocong, toyol dan sekalian hantu yang lain hanya memandang takut-takut pada jembalang sunti itu. Untuk seketika, suasana jadi sunyi, hening dan bening hinggalah Long Paya berdehem mengejutkan mereka.

“Saya menyeru semua ahli majlis supaya tidak memanjang-manjangkan agenda masing-masing. Sebaiknya, kita perbincangkan agenda pertubuhan yang akan dipersembahkan dalam persidangan esok terlebih dahulu, kemudian jika berkesempatan barulah kita menyusul dengan agenda perwakilan,” terang Long Paya selaku setiausaha mesyuarat sebaik sahaja mendapat isyarat daripada Pontianak Syuk untuk memulakan agenda mesyuarat.

Polong Paya sudah empat penggal memegang kuasa sebagai setiausaha majlis tertinggi dan setiausaha pertubuhan, belum pernah sekali pun jua ia tewas dalam setiap pertandingan yang diadakan. Adapun pula sekalian hantu yang menjadi ahli pertubuhan kesemuanya senang dan berpuas hati dengan komitmen hantu tua itu berkhidmat. Tetapi, dengar-dengar khabar, sampai juga masanya Long Paya akan digugah pada tahun ini. Tetapi, seperti biasa juga, ia tenang. Ia menampakkan daya kepimpinan yang cukup matang berbanding mana-mana hantu lain meskipun sudah ada ura-ura akan wujud undi protes terhadapnya kerana sudah terlalu lama menjawat jawatan tersebut. Untuk rekod, sepenggal ia berkhidmat bersamaan empat puluh tujuh tahun tempoh masanya. Untuk perbandingan pula, Pengerusi Pertubuhan rata-rata hanya berkhidmat untuk tempoh sepenggal dua sahaja. Paling lama pun, hanya Pontianak Syuk yang bakal masuk penggal ketiga jika menang pada pemilihan tahun ini, sementalah kelihatan sokongan akar umbi masih totok tiada rapuh terhadapnya.

“Tuan Long Paya, apa kira molek rasanya jika tuan selaku setiausaha mesyuarat merangkap setiusaha persidangan dan juga setiausaha pertubuhan kebangsaan hantu-hantu ini, menerangkan secara holistik tentang agenda persidangan dan tentatifnya. Kerana, adapun hantu-hantu sekarang sudah jemu untuk mengikuti persidangan dengan perjalanan agenda yang sama sahaja saban tahun. Saya sendiri mendengar keluh kesah sekalian hantu muda dan remaja yang sudah bosan dengan persidangan kita ini. Tiada yang menarik, da bomb..nothing interesting!” Wakil puak pocong tiba-tiba bersuara. Kata-katanya itu menimbulkan pelbagai 
reaksi dalam kalangan ahli majlis.

“Saya setuju!” hantu galah, Toh Galah, pula mencelah seraya menepuk meja, disahut oleh dua tiga ekor hantu yang lain. Jembalang Suir tersenyum sinis. Jarum bakal disulam, hanya menanti masa yang sesuai sahaja.

Melihatkan keadaan semakin bingit, Pontianak Syuk segera meningkah sarana yang dilontarkan. Dia melihat sedari tadi sekalian ahli majlis seolah mengambil kesempatan untuk menggasak Long Paya. Hantu tua itu juga seakan hilang kata, diam seribu bahasa. Justeru jika dibiarkan, boleh timbul konflik baharu.

“Jadi apa cadangan kamu Chom?” tanya Pontianak Syuk kepada hantu pocong.

“Mudah sahaja Tuan Pengerusi. Kita buka kehadiran kepada semua ahli. Dasar pertubuhan yang mengehadkan kehadiran hanya kepada perwakilan tertentu sahaja sudah tidak relevan!” pintas hantu galah segera. Dia puas.

“Kita juga jangan lupa, matlamat utama persidangan ini adalah untuk memenangi hati hantu-hantu muda dan remaja yang bakal mengundi dalam pemilihan sebenua kelak. Kita tiada masa yang banyak. Sesuatu yang baru dan segar perlu dilakukan segera,” kata hantu pocong pula, mengiyakan gagasan galah tadi.

“Kalau begitu, saya selaku Pengerusi membuka ruang untuk percambahan idea. Long Paya, boleh mulakan sekarang,” usul Pontianak Syuk seraya mengetuk meja dengan tongkat pandaknya menandakan agenda baru dibenarkan menjadi perkara yang hendak diperbincangkan.

“Sebentar kalian,” tiba-tiba Jembalang Suir bersuara. Semua mata terarah padanya. Sambil tersenyum, dia memandang sekilas lalu setiap wajah hantu yang berbagai rupa dan paras itu. Dua tiga ekor hantu resah dan berbisik sesama sendiri. Belum pernah berlaku ada jembalang yang hadir sebagai pemerhati mencelahi mesyuarat mereka, tetapi kerana ia itu wakil kehormat Tok Pendeta, mereka tiada alasan untuk menafikan haknya. “Sebenarnya, ada berita yang lagi penting ingin aku sampaikan. Apa kalian sudah tahu akan ada pemberontakan pada petang  menjelang maghrib sebelum Pontianak Syuk menyampaikan ucaptama?”

Semua hantu tercengang, melopong terkejut tak terperi. Berita itu amat mengejutkan. Ia tidak disangka-sangka sama sekali oleh setiap ahli majlis kerana perihal pemberontakan itu satu perkara baharu yang amat asing dalam kalangan mereka para hantu. Oleh siapa? Untuk apa? Maka bingitlah suasana. Hiruk pikuk masing-masing, melalak mengilai, melompat-lompat jadinya. Melihat keadaan begitu, Pontianak Syuk sekali lagi mengetuk-ngetuk meja dengan tongkat pandak warisan para Pengerusi Pertubuhannya sebagai isyarat supaya lekas diam.

“Apa benar wahai wakil Tok Pendeta? Berita ini sungguh tidak disangka-sangka oleh sekalian kami, dan barangkali boleh jadi suatu perkara yang tidak menggembirakan kami seperti yang Cik Jembalang Suir lihat ini. Untuk apa? Siapa pelakunya?” bertalu soal dituju oleh Pontianak Syuk. Jembalang Suir lagi senyum. Yang lain menahan sabar.

“Benar belaka wahai Tuan Pengerusi yang dikasihi. Berita ini sudah jadi bualan umum dan bilangan hantu yang akan menyertai pemberontakan ini kian bertamah dari masa ke masa. Bahkan, gelombang itu kian membesar saat ini. Andai tidak segera dibendung disekat, bimbang benar aku ia bakal menjadi detik peralihan kuasa terbesar dalam sejarah benua kita,” jawab Jembalang Suir.

“Tapi bukankah Pemilihan Umum Sebenua masih jauh?” giliran Long Paya pula menyoal. Dia juga resah.

“Kerana jauhlah maka pemberontakan ini dilancarkan! Bodoh!” tiba-tiba Jembalang Suir bertempik. Dia menyeringai tajam ke arah Long Paya. Hantu tua itu gentar, tidak berani lagi menyusul soal.

“Bertenang sekalian..bertenang!” Koyol selaku Ketua Biro Keselamatan dan Risikan Dalaman pula bersuara. Dalam keadaan tertentu, kuasanya diperlukan. Tetapi dia juga keanehan kerana berita pemberontakan itu tidak diketahuinya. Tiada seorang pun ejen-ejennya yang menyampaikan hal itu, atau apa mungkin mereka telah….ahh..tidak mungkin. Hati kecilnya belum mahu berburuk sangka terhadap kakitangan bawahannya. Tidak mungkin mereka khianat!

“Jembalang Suir, sila jawab soalan saya ini. Siapa yang mahu memberontak? Untuk apa?” soal Pontianak Syuk. Dia juga kian hilang sabar dengan gelagat hantu jembalang itu.

“Kau jangan pura-pura tidak tahu wahai Pontianak Syuk. Aku datang bukan untuk mengadu domba, tetapi untuk membuka mata kalian. Apa kalian sedar apakah sebenarnya masalah kalian ini? Kalian adalah hantu-hantu paling dihormati, duduk di sini kerana adanya penghormatan daripada rakyat hantu di benua ini, tetapi kalian terlalu asyik mengaut hasil atas kesusahan hantu-hantu bawahan. Beratus tahun lamanya pertubuhan kalian memerintah benua, api yang marak kini sudah membaham-baham!” Jembalang Suir berhenti seketika. Dia menyusun pandang satu persatu ke setiap wajah hantu yang berjumlah dua belas ekor itu termasuk Pontianak Syuk.

“Saya kurang cerna maksudmu itu wahai jembalang,” tingkah Pontianak Syuk. Permesyuaratan menjadi tegang semula. Kebanyakan hantu sudah mula menangkap isi hati Jembalang Suir.

“Inilah masalah kalian! Buat-buat tidak faham, leka asyik di puncak kesenangan sedang hantu-hantu bawahan hidup melarat tiada pembelaan! Maka itulah, pemberontakan dilancarkan oleh hantu-hantu remaja dan belia, pimpinan si Fantasia,” jawab Jembalang Suir segera.

“Fantasia?” Semua hantu terpinga-pinga. Koyol paling tidak percaya kerana hantu kacukan dari pergunungan Serbia dan Rusia Timur itu adalah pendatang baru yang paling rapat dengan anak betinanya, Soyol.

“Maksudmu, hantu muda yang sering meniup serulingnya dan menggesek biola itu? Dari jenis kacukan pontianak dan jin pergunungan Serbia?” tanya Koyol.

“Fantasia bukan calang-calang hantu. Jiwanya, semangatnya, muda remaja, berbisa! Dia bisa meraih empati para hantu hanya dengan hembusan serulingnya sahaja. Anakmu juga sudah bersamanya, malah sedang giat merekrut puakmu agar mengasihani perjuangan mereka. Bahkan, anakmu juga Long Paya! Bahkan, tidak sedikit hantu dewasa yang kini terpesona dengan petah bicara dan pidato serta merdu nyanyian si Monica itu yang kini menjadi penyokong setia Fantasia bersama Soyol,” terang Jembalang Suir lagi.

“Monica juga? Si biduanita itu?” tanya Pontianak Syuk pula. Dia kian gelisah. Berita yang dibawakan ini sungguh menggetarkan. Tidak disangka langsung si Monica, anak hantu pontianak suku Eropah yang selalu dijemput ke istananya untuk menghiburkan para tetamu dan delegasi asing itu akan ikut pemberontakan.

Jembalang Suir hanya mengangguk. Dia cuba mengawal diri daripada senyum mahupun ketawa lantaran mengenangkan jeratnya yang kian mengena. Adu dombanya begitu menjadi. Hantu-hantu tua ini begitu mudah dijerat  dan digoda dengan kata nista. Mudahlah kerjaku. Pelan kedua dan ketiga tidak perlu digunakan dan dia juga tidak perlu bersusah payah bergelut dengan nafsu serakah Pontianak Syuk semata-mata untuk menjerat Pengerusi boneka itu.

“Sewajarnya, aku kira kita tahan saja si Fantasia itu. Kenakan tahanan rumah untuk sementara. Di bawah Deklarasi Pemimpin, Kurungan 14 jelas memperakukan ketidakbolehlawanan kuasa yang dipunyai oleh Ketua Kerajaan..err..maksud aku, engkau Pontianak Syuk. Ini jelas sekali ertinya sebagai satu cubaan penghasutan. Fantasia harus disekat. Akan hal Monica dan Soyol, terpulanglah padamu,” Kuntil Anak tampil  memberi pandangan. Sebagai antara hantu senior, dia mempunyai pengetahuan yang agak tidak berbatas tentang pengaplikasian undang-undang dalam pelbagai kes dan masalah yang melibatkan masyarakat hantu, sementelah dia juga mengetuai Biro Perlembagaan dan Tata-Adab Kebangsaan.

“Apa katamu Jembalang Suir?” tanya Pontianak Syuk setelah berfikir sejenak. Bagai pucuk yang diidam-idamkan, ulam pula yang datang terhidang, segera itu juga Jembalang Suir  mencetus ilham. Dia mengangguk sebagai tanda bersetuju. Hanya melalui tangkapan dan penahanan sahajalah akan membuatkan keadaan menjadi bertambah buruk, dan mencetuskan ketegangan dan huru-hara, dan pastinya itulah yang direncanakan oleh tuannya.

“Baiklah kalau begitu. Koyol, engkau aku perintahkan menahan Fantasia dan Monica malam ini juga. Jangan tunggu menjelang esok lagi. Dan Soyol, kita serahkan pada engkau untuk selesaikan sendiri memandangkan ia anakmu,” perintah si Pontianak Syuk tanpa mengusul periksa lebih lanjut. Dia termakan dengan segala hasutan yang dicanang-canangkan.


Alkisah Kulit Kacang


TGV 1st Aveneu Pulau Pinang adalah satu-satunya sinema di Malaysia yg menawarkan hall dgn beanbag untuk penonton menikmati wayang gambarnya. Dan petang tadi, saya berkesempatan meluangkan masa menonton Johny English secara santai di atas beanbag di situ. Sangat selesa! Lagi-lagi bila bersama orang tersayang. Pakej bahagia menanti J


Selasa, 20 September 2011

Tenkiu BTN!!




Sekitar penghujung tahun 2008, saya diberikan satu peluang yang amat berharga iaitu menyertai Kursus Mahasiswa Lanjutan bersama Biro Tatanegara Pulau Pinang bertempat di Kaki Bukit, Perlis. Boleh dikatakan, kursus lasak itu telah banyak mengubah hidup saya termasuk mencorak semula persepsi saya terhadap pelbagai perkara terutamanya selepas PRU 12.


Kursus tanpa modul khusus itu juga boleh dianggap sebagai antara kursus ‘gila’ yang pernah dikerjakan oleh tenaga penggerak BTN kepada saya dan rakan-rakan dari USM.


Kami tiba di Kaki Bukit ketika kawasan utara semenanjung sedang dilanda musim tengkujuh. Perlis juga tidak terkecuali. Perjalanan ke sana dari Pulau Pinang sentiasa diiringi hujan yang lebat. Sebaik memasuki kawasan Kaki Bukit, kami melihat kawasan sekitar terutamanya kebun-kebun getah yang sedang ditenggelami air. Hati resah. Tidak banyak yang boleh kami jangkakan tentang kursus kali ini setelah melihat cuaca pada waktu itu.


Kami diturunkan di sebuah masjid untuk menunaikan solat jamak Asar dan Zuhur di sebuah kampong berhampiran. Kami kemudiannya dibekalkan dengan seragam khas kursus yang akan melekat di badan kami sepanjang empat hari berikutnya. Tiada saiz yang lebih selesa untuk setiap daripada kami melainkan terpaksa merelakan hati yang sebelum itu begitu bersemangat hendak berkursus. Ia juga ibarat petanda awal keperitan yang sedang menanti.


Uniform hijau ala PGA 3 itu tebal dan merimaskan. Semua barang yang kami bawa pula menjadi sia-sia kerana kami diarahkan meninggalkan bagasi masing-masing kepada pihak urusetia. Hanya empat barang paling mustahak sahaja dibenarkan dibawa mengikut keperluan diri sendiri. Saya mungkin antara peserta yang paling melucukan kerana turut membawa cadar kerana beranggapan kursus kali ini sama seperti kursus-kursus sebelumnya yang diadakan di kem BTN.


Seterusnya, kami diarahkan memulakan perjalanan menuju tapak perkhemahan. Dalam hujan yang lebat, kami menapak dari masjid tersebut menuju ke pintu Gua Kelam sebelum tiba di base camp. Ternyata, banyak cabaran luar jangka yang menanti kami semua termasuk para jurulatih dan tenaga penggerak sendiri. Sebaik sahaja kami semua tiba di base, kawasan sekitar mula dinaiki air. Keadaan yang semakin gelap tambah menyulitkan.


Dalam keadaan yang cukup merimaskan itu kami bergotong-royong mendirikan khemah mengikut kumpulan di samping menyediakan khemah induk dan khemah memasak. Hati mendidih kerana setiap masa jurulatih akan bertempik memberikan arahan yang berbagai-bagai seolah-olah hendak mendera mental kami. Namun tiada yang berani membantah melainkan mengikut sahaja segala arahan tersebut.


Saya bersama tiga orang lagi rakan ditugaskan untuk mengambil barang keperluan dapur di luar gua. Ia amat menggerunkan kerana kami terpaksa menyeberang sebatang sungai dengan menggunakan sebuah jambatan yang sudah pun ditenggelami arus deras memandangkan jalan alternatif iaitu laluan yang boleh dilalui kenderaan adalah terlalu jauh  Tiada pilihan melainkan terpaksa juga melaluinya. Kemudian kami meredah pula laluan pejalan kaki menuju ke gua yang ditenggelami air separas betis.


Setelah hampir separuh gua kami redahi, tiba-tiba semua lampu di dalam gua dipadamkan kerana masa melawat yang sudah tamat. Untuk meneruskan perjalanan adalah sesuatu yang amat berbahaya memandangkan air di bawah semakin tinggi sehingga menenggelamkan laluan yang disediakan. Akhirnya kami membuat keputusan berpatah balik dengan berpandukan dinding gua sahaja. Itu antara pengalaman berharga yang pernah saya lalui.


Sebaik tiba di tapak perkhemahan, kami berbincang dengan jurulatih untuk mencari laluan alternatif ke pintu masuk gua bagi mengambil barangan keperluan. Keputusan dicapai. Petugas akan meredah laluan kenderaan walaupun jaraknya amat jauh.


Pada waktu itu, dapat dilihat wajah setiap peserta yang kepenatan dan menahan lapar kerana bertungkus lumus menyiapkan khemah dan lain-lain keperluan asas seperti mencari kayu api dan daun pisang hutan untuk dijadikan alas makan. Mujurlah kawasan hutan di sekitar tapak perkhemahan mempunyai sumber-sumber tersebut.  Namun, yang paling gila, ialah menggunakan kayu api yang basah untuk memasak!


Kami terpaksa menakik kayu yang besar-besar untuk mendapatkan bahagian dalamnya yang masih kering. Jujurnya, itu bukanlah kerja yang mudah. Setiap kumpulan berebut mencari kayu api yang basah – sesuatu yang saya pasti tidak pernah dilakukan selama ini oleh setiap peserta. Namun, kerana itulah sahaja sumber yang ada dan ia juga satu-satunya idea yang paling bernas, kami terpaksa berusaha keras mencari dan menakik setiap kayu yang kami jumpa hatta kayu hidup sekali pun.


Lebih kurang jam 10 malam baharulah kami semua berpeluang menikmati juadah pertama di kem tersebut hasil usaha kami sendiri. Ikan kembung goreng, sayur kobis goreng dan nasi putih yang mentah. Tetapi ia amat enak! Saya pasti, ketika proses memasak, tiada satu pun dapur yang mengeluarkan api yang membanggakan melainkan hanya asap yang berkepul-kepul dan kayu yang hanya mampu berbara malap. Mungkin itulah faktornya kerja memasak mengambil masa yang amat lama berbanding biasa.


Menunaikan solat fardhu pula memberikan cabaran yang baru kepada sebahagian besar daripada kami. Setiap sujud yang dilakukan pastinya akan mencium air yang bergenangan di tanah. Layar biru yang dibentangkan cuma muat untuk empat atau lima orang sahaja setiap kali solat berjemaah didirikan. Sudah tentulah keutamaan diberikan kepada imam-imam yang secara sukarela tampil ke hadapan.  Tidak ada sejadah dan permaidani yang mewah. Dengan uniform yang sudah lencun itulah kami menyerahkan diri buat seketika kepada Tuhan.


Pada malam pertama itu, sesi usrah dan berkenalan dilakukan. Walaupun kepenatan, kami semua masih ceria kerana rata-rata kami adalah rakan pertama kali atau pertama kali bertemu di kem tersebut, sekurang-kurangnya. Ketika itulah saya mengenali nama-nama besar di USM seperti Saudara Shafiq Aziz dan Ahmad Wafi (kedua-duanya mantan YDP MPP USM) serta Sara Ayuni dan Bazilah Mohd Zaki yang juga merupakan bekas MPP USM.


Hari kedua, hujan masih turun seperti biasa. Namun, jurulatih sedikit pun tidak berganjak malah semakin bersemangat untuk meneruskan kursus tersebut. Walaupun tidak ada modul khas, tetapi aktiviti yang telah dirancang sebenarnya cukup signifikan buat kami.


Hari kedua itulah kami mengenali antara satu sama lain dengan sebenar-benarnya. Seawal pagi, kami sudah memasak untuk menyediakan sarapan dengan bahan yang cukup terhad. Kemudian, kami ditugaskan mencari sumber-sumber hutan untuk dijadikan bahan makanan pada tengah harinya pula. Pihak urusetia hanya menyediakan bahan asas seperti beras, minyak masak, garam dan sebagainya yang memerlukan kami bersaing sesama kumpulan untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut. Ia dijalankan melalui aktiviti kompas gila.


Banyak insiden yang di luar jangkaan kami berlaku. Antaranya, hampir tercetus pergaduhan apabila terdapat kumpulan yang bertindak mencuri dan menyorok bahan makanan kumpulan lain. Mujurlah ia dapat diatasi dengan baik atas semangat aspirasi yang tinggi antara kami.


Ahli-ahli kumpulan yang lain pula ditugaskan untuk mencari sumber hutan seperti pucuk-pucuk kayu yang boleh dijadikan ulam sebagai juadah tambahan. Mujur juga, di sekitar kem tersebut terdapat banyak pokok cili api yang tumbuh meliar di samping pisang hutan yang boleh ditemui di mana-mana.


Kami juga diberikan mata kail dan tali tangsi untuk mendapatkan ikan dari sungai sebagai lauk. Ia bukan tugas yang mudah. Seingat saya, hanya dua peserta sahaja yang berjaya menaikkan ikan daripada sungai tersebut yang berarus deras. Atas ehsan jurulatih, kami akhirnya dibenarkan memasuki kem BTN bersebelahan tapak perkhemahan untuk memancing di kolam yang terdapat di situ. Maka banyaklah ikan yang berjaya dinaikkan hingga tidak habis dimasak!


Proses memasak pada hari kedua masih menjadi cabaran besar kepada kami. Atas semangat aspirasi yang tebal dalam jiwa setiap peserta, akhirnya kami memutuskan untuk bergabung tanpa memikirkan lagi soal persaingan antara kumpulan. Secara tidak rasminya, kami kembali bersatu untuk menyediakan santapan tengah hari. Setiap peserta membantu tanpa diminta terutamanya untuk menghidupkan api.


Pada sebelah petangnya, kami menjalankan beberapa tugasan yang cukup menarik. Antaranya, menyediakan aktiviti kompas gila di mana setiap kumpulan akan menyediakan tugasan kepada kumpulan lawan untuk dihabiskan sebelum senja. Aktiviti ini dikendalikan sepenuhnya oleh peserta. Kami yang menyediakan soalan tugasan dan arahan dan kami jugalah yang menyelesaikannya. Apa yang menarik, ketika inilah kami mengenali erti bahawa kawan yang baik belum tentu bersedia membantu kita ketika susah dan sikap mempercayai sepenuhnya adalah sikap yang merugikan!


Terlalu banyak peristiwa yang menarik yang berlaku dalam tempoh tersebut. Tetapi saya lebih teruja dengan aktiviti malam pada hari kedua. Kami tidak lagi perlu bertungkus lumus memasak kerana pihak urusetia telah menyediakan juadah untuk kami. Sekurang-kurangnya, ia menjadi satu berita yang amat menggembirakan dan melegakan hinggalah kami tahu apakah juadah tersebut. Ia ala kadar sahaja dan pencucui mulutnya, ialah ubi kayu bakar!


Peristiwa ubi kayu bakar dan air kelapa muda pada malam tersebut amat bermakna pada kami. Ia mengajar kami erti kesusahan nenek moyang kita untuk mencari rezeki pada zaman Jepun dan darurat. Kami perlu menyediakan unggun api dengan kayu yang basah untuk memanggang ubi-ubi kayu tua yang bersaiz betis dan lengan orang dewasa. Ia amat menyusahkan, tetapi perlu dilakukan juga.


Peserta lelaki ditugaskan memanggang ubi-ubi tersebut manakala peserta perempuan memarut kelapa menggunakan kukur, sejenis alat tradisional untuk memarut kelapa yang diperoleh daripada penduduk kampong. Selepas selesai kerja-kerja tersebut, kami menikmati ubi kayu dengan kelapa parut dan air kelapa muda secara santai sambil berbual-bual tentang pengalaman masing-masing.


Hari berikutnya menjadi hari yang paling meninggalkan kesan kepada kami, baik secara mental mahupun fizikal hingga kekal sebagai memori paling bernilai sepanjang hidup. Seawal pagi, kami dikejutkan untuk bersiap-siap. Kami tidak tahu apakah tugasan yang sedia menanti. Kami hanya diarahkan menyiapkan kelengkapan peribadi yang perlu diisikan dalam beg kembara ala tentera sebelum berkumpul untuk menerima arahan. Kemudian, baharulah kami tahu bahawa azab yang sedang menanti adalah amat menggerunkan. Kami akan berjalan kaki dari base camp hingga ke Padang Besar!


Teruja, dan gementar. Apakah fizikal dan mental kami sudah bersedia ketika itu? Sudahlah penat dan tidak mandi sejak hari pertama, kini perlu berjalan kaki lagi dengan uniform yang sudah berbau masam begitu. Jaraknya pula, dikhabarkan lebih 20 kilometer untuk pergi sahaja! Mujurlah kami tidak dilarang daripada mencari alternatif mengikut kreativiti masing-masing.


Ketua jurulatih, Pak Nan, kemudian memaklumkan pula apakah tugasan yang perlu kami lakukan kelak. Pertama, tanpa dibekalkan wang walau satu sen pun, kami perlu mencari bahan mentah untuk dimasak sebagai  juadah makan malam. Untuk tengah hari itu pula, kami perlu mencarinya sendiri ketika dalam perjalanan atau ketika di Padang Besar. Saya sudah dapat membayangkan kesulitan yang bakal dihadapi.


Seterusnya, kami dibekalkan dengan beberapa bidang Jalur Gemilang untuk digunakan sebagai modal bagi mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Bermakna, kami perlu menjualnya untuk mendapatkan tunai! Itulah yang terbayang di fikiran masing-masing ketika itu. Tidak syak lagi, ada sesuatu yang tersirat sedang menanti untuk disingkap oleh kami dalam tugasan ini.


Selesai taklimat, kami mula melangkah keluar dari tapak perkhemahan. Mujurlah hujan sudah berhenti. Dengan cuaca yang redup, ia seolah-olah memayungi perjalanan jauh yang bakal kami tempuhi. Sebaik keluar dari pintu gua, kedua-dua kumpulan kami berhenti untuk melakukan aktiviti regangan ringkas. Kumpulan lawan yang dipimpin oleh Ahmad Wafi nyata lebih agresif apabila menyertai sekumpulan penduduk yang sedang berpoco-poco di kawasan letak kereta berhampiran. Mereka nampak begitu bersemangat dan cuba melakukan provokasi ‘mesra’ terhadap kami. Kumpulan saya yang diketuai oleh Shafiq Aziz hanya tersenyum kerana memahami ia cuma helah psikologi. Tiada yang perlu dikisahkan.


Perjalanan yang lebih kepada kembara gila itu bertukar menjadi perlumbaan yang menarik. Bayangkan dua buah kumpulan anak muda dengan seragam hijau gelap seperti tentera bergerak berasingan merentas kawasan kampong dan pekan berhampiran sempadan negara!
Saya masih ingat, ketika kumpulan kami berhenti di sebuah kedai makan untuk memulakan tugasan pertama iaitu mencari tunai dan sedikit makanan, kumpulan Wafi juga tiba. Kami memikirkan ada helah yang cuba dilakukan, lalu kami membatalkan hasrat tersebut sebaliknya memilih untuk tunggu dan lihat apakah yang akan dilakukan oleh mereka. Apa yang menjadi kebimbangan kami ketika itu ialah, kumpulan lawan akan meniru tindakan kami secara taktikal. Shafiq Aziz ternyata seorang strategis yang bijak apabila melarang kami menjual Jalur Gemilang sebaliknya menggunakan kaedah diplomasi termasuk berkerja untuk mendapatkan wang dan makanan!


Kumpulan Wafi rupa-rupanya bertujuan untuk melengahkan kami. Mereka hanya berhenti rehat dan memaksa kami bergerak terlebih dahulu. Tujuannya adalah mudah, iaitu mereka akan menahan apa-apa sahaja kenderaan yang sesuai untuk memuatkan seluruh ahli kumpulan menuju ke Padang Besar. Pada mulanya, kaedah tersebut tidak terfikirkan oleh kami kerana bimbang ia menyalahi peraturan yang ditetapkan. Namun, hati mana yang dapat menahan geram selepas melihat kumpulan lawan dengan gembiranya menumpang sebuah lori besar dan memotong kami yang sedang gigih mengatur langkah. Akhirnya, kami juga sepakat untuk menahan mana-mana lori yang sedia membantu.


Namun, itu bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan. Di kawasan Padang Besar, pemeriksaan jalan adalah lumrah. Membawa muatan yang tidak diishtiharkan pula adalah suatu kesalahan  dan boleh dikenakan tindakan. Itulah yang diberitahu oleh tuan lori yang kami tumpangi. Kata-katanya benar. Ketika tiba di sebuah pondok pemeriksaan, beliau meminta kami semua turun terlebih dahulu dan menunggunya semula selepas pondok tersebut. Tujuannya adalah untuk mengelak daripada diperiksa.


Sepanjang perjalanan pergi, sekurang-kurangnya dua buah lori kami tumpangi. Ia sekurang-kurangnya telah membantu mengurangkan kesengsaraan kami di samping mempercepatkan masa.


Sebaik tiba di Padang Besar, Pak Nan dan seorang lagi jurulatih, Pak Man, sudah pun menunggu kami dengan tugasan baru. Tiada ruang untuk berehat. Kami diminta melaporkan diri. Malangnya, kumpulan kami didapati lewat dan kalah dalam perlumbaan pertama lalu dikenakan denda. Seterusnya, kami diarahkan mencari maklumat berkaitan kawasan Padang Besar seperti komposisi penduduk, ketua balai, bilangan pengundi berdaftar, ADUN dan MPnya dan yang paling penting, mencari makanan untuk tengah hari dan bahan mentah untuk makan malam.


Ketua kumpulan kami segera mengagihkan tugasan. Saya bersama sahabat, Nazri dan dua orang anak buah iaitu Ina dan Ana ditugaskan mencari data yang diperlukan. Ahli kumpulan yang lain pula dikehendaki mencari makanan tengah hari. Kaedahnya, dengan berkerja di mana-mana warung atau restoran. Shafiq dan dua tiga orang lagi rakan pula mencari wang tunai, juga dengan cara berkerja. Saya tidak pasti apakah yang mereka lakukan tetapi hasilnya amat lumayan! Shafiq berjaya memperoleh 12 kotak nasi dengan pelbagai lauk pauk secara percuma dan lebih lumayan, dia juga berjaya mendapat tunai lebih 1oo ringgit tanpa mengorbankan walau satu pun Jalur Gemilang.


Ketika saya dan rakan-rakan yang lain meneroka setiap inci kawasan Padang Besar untuk mencari maklumat termasuk menemuramah ketua kampong dan berkunjung ke Pusat KADUN, kami melihat ahli kumpulan Wafi sedang enak berehat di sebuah pondok berhampiran arked Padang Besar. Sebahagiannya sudah enak dibuai mimpi. Hati cemburu kerana menyaksikan mereka  berehat begitu. Apakah strategi yang digunakan? Kami tidak tahu.


Ketika kami berempat berehat selepas membongkar maklumat di sebuah balai polis, kami terpaksa menebalkan muka mengupas ubi kayu yang dibawa sebagai bekalan untuk alas perut pada tengah hari tersebut. Empat ketul semuanya, perlu dikongsikan dengan lebih sepuluh orang ahli kumpulan yang lain. Maka kami hanya berdikit-dikit, kata orang, ingat orang belakang! Ketika itu kami langsung tidak tahu betapa Shafiq dan Fadzilah sudah berjaya mengumpul berkotak-kotak nasi untuk kami kerana masing-masing melakukan tugasan di lokasi berbeza.


Kira-kira jam dua petang, kami berkumpul di arked. Alangkah gembiranya melihat rakan-rakan yang lain membawa kotak-kotak putih yang berisi makanan. Sudah terbayang nasi dengan lauk yang sedap-sedap seperti ayam goreng dan ikan keli bakar. Semuanya tersenyum puas dalam kepenatan. Fadzilah turut membawa bungkusan air milo ais dan jus oren untuk kumpulan kami. Untuk seketika, kami menikmati saat-saat itu seperti banduan yang baru terlepas daripada penjara!


Selesai semua tugasan, kami mula melangkah pulang ke Kaki Bukit. Dalam perjalanan pulang itu kami mengumpul bahan-bahan basah untuk makan malam. Ketika tiba di sebuah kedai, kami lihat kumpulan Wafi bermewah-mewahan membeli barang. Ayam goreng segera dalam paket jenama Ayamas, itu bukanlah  juadah yang biasa untuk kami selama  tiga hari yang lalu tetapi mereka mempunyai tunai yang cukup untuk menikmati makan malam yang hebat! Sekali lagi hati cemburu.


Kami pula memilih untuk berjimat cermat. Sekali lagi Shafiq berpesan supaya berdiplomasi dan berlaku jujur dengan harapan ada ehsan lagi untuk kami. Akhirnya, tanpa satu sen pun, kami berjaya mendapatkan pelbagai jenis ikan mentah dan sayur-sayuran segar. Ia rezeki yang cukup murah bagi kami. Tunai terkini yang berjaya dikumpul ketika itu sudah lebih 120 tanpa satu sen pun digunakan. Caranya mudah, hanya perlu berlaku jujur dengan sedikit sikap ramah dan muka simpati yang tebal.


Ketika melangkah pulang, sekali lagi kami berlumba. Namun, ia bukanlah perlumbaan siapa atau kumpulan mana yang lebih pantas berjalan. Agak gila juga jika itu berlaku. Kami sebaliknya bersaing mendapatkan kenderaan yang boleh ditumpangi untuk pulang ke Kaki Bukit.


Pertama, kumpulan kami berjaya menumpang sebuah trak pick-up warga Thailand untuk kira-kira tiga kilometer perjalanan. Kemudian, entah malang apa yang menimpa, tiada sebuah pun lori yang kosong untuk memuatkan kami sehinggalah sebuah van Pos Malaysia melintasi kami. Ia berhenti dan, seperti bermimpi, kami ditawarkan menumpang oleh pemandunya, seorang pemuda yang ramah.


Itulah pengalaman pertama saya menaiki van Pos Malaysia dan mungkin juga yang terakhir (saya tidak pernah bercita-cita menjadi Posmen jarak jauh atau pun dekat). Kemudian, kami secara sedar mula mengetahui bahawa van Pos Malaysia bukanlah kenderaan mewah kerana bahagian belakangnya langsung tidak disediakan pendingin udara. Dengan tingkap yang tertutup rapat (anda boleh melihat sendiri jika berkunjung ke pejabat pos berhampiran pada sebelah petang selepas jam 5), ia umpama berada di dalam tin sardin yang dipanaskan secara perlahan-lahan di dalam sebuah oven. Baju yang sudah kering kembali lencun dengan peluh yang mencurah-curah. Namun, bolehlah saya katakan ketika itu, dalam keadaan bersesak-sesak, deria bau kami juga seolah-olah tidak berfungsi dengan baik.


Kumpulan Wafi pula menikmati perjalanan yang lebih sempurna. Mereka ditumpangkan oleh seorang pemandu bas  tanpa sebarang bayaran dengan pakej pendingin udara! Itu pun selepas mereka menerangkan situasi dan kesulitan yang dialami.


Adakah kami kalah dalam perlumbaan pulang ini? Tidak. Kali ini kami berjaya memenangi perlumbaan pulang. Malah, kami tiba lebih awal daripada yang sepatutnya. Dengan masa yang banyak itu, kami segera ke dapur untuk menyediakan makan malam.


Namun, sekali lagi masalah baru muncul. Kami memiliki sejumlah ikan yang banyak dan sayur-sayuran yang pelbagai. Adalah mustahil semua itu dapat dimasak dengan sempurna melainkan jika kami diberikan dapur gas. Tapi itu ternyata sesuatu yang lebih mustahil. Akhirnya, kami sekali lagi terpaksa menakik kayu-kayu yang basah yang berlonggokan di bawah khemah. Keghairahan untuk memasak tiba-tiba menurun.


Tidak lama kemudian, kami lihat ahli kumpulan Wafi tiba seorang demi seorang. Jam semakin hampir angka 6 ketika itu. Kami percaya, azab untuk mereka lebih besar kerana mereka juga terpaksa melalui kesukaran yang sama untuk menyalakan api. Maka akhirnya, keghairahan itu juga akan menurun dengan natural.


Namun, telahan itu meleset. Sebenarnya, Wafi memiliki sejumlah peserta lelaki yang lebih cekap dalam kemahiran hidup atau survivor di dalam hutan. Saya dapat melihat melalui kepantasan mereka menyediakan dapur walaupun baru sahaja tiba. Malah, ayam goreng segera mereka menjadi lauk yang sedap dan paling cepat dimasak berbanding kami yang memiliki sejumlah ikan yang sebenarnya lebih mahal jika dinilaikan dengan tunai tetapi sukar dimasak.


Akhirnya, walaupun kumpulan kami tiba lebih awal, kumpulan Wafi lebih dahulu menikmati juadah makan malam mereka. Kali ini, cemburu yang wujud dalam sanubari menjadi lebih besar lebih-lebih lagi bila melihat barisan jurulatih dan urusetia memuji-muji masakan mereka! Ketika itu, saya dapat lihat wajah-wajah ahli kumpulan kami yang langsung tidak ceria. Penat, seolah kecewa dan berputus asa. Kemungkinan kami kalah secara keseluruhan semakin tinggi.


Jam 10 kurang lebih, kami dihimpunkan  di pondok urusetia. Sesi post moterm dan laporan terpaksa kami tempuhi. Sudah terbayang dalam minda masing-masing ketika itu detik-detik yang membosankan. Sebenarnya, dalam sesebuah kursus luar pintu (out-door) atau lasak begitu, jika ada slot yang hanya melibatkan  mental seperti diskusi atau LDK, ia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Secara tiba-tiba juga badan kita terasa penat, lesu dan lemah.


Namun jangkaan tersebut ternyata meleset. Sesi laporan bertukar menjadi sesi perdebatan antara kedua-dua kumpulan. Semuanya berpunca apabila pihak urusetia melancarkan provokasi halus sehingga menaikkan emosi setiap daripada kami. Laporan tentang aktiviti kembara ke Padang Besar rupa-rupanya adalah slot untuk memerangkap kami.


Kegagalan demi kegagalan didedahkan oleh pihak jurulatih dan urusetia dengan alasan kononnya kami tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Ia juga menjadi sesi untuk mencari salah kami sahaja. Kemuncaknya, ialah apabila setiap kumpulan diminta membentangkan jumlah kutipan tunai dan kaedah yang digunakan.


Kumpulan Wafi mengundang reaksi panas apabila dengan bangganya mengumumkan jumlah kutipan (yang jauh lebih rendah berbanding kutipan kumpulan kami) selepas berjaya menjual semua bendera yang dibekalkan. Ia umpama poin terpijak bagi kami untuk melancarkan provokasi sebenarnya.


Pertama, adalah mengejutkan kerana mereka bertindak menjual semua bendera tersebut. Bagi kami, ia umpama menjual negara! Namun Wafi dengan tegasnya menafikan perkara tersebut kerana mereka bertindak mengikut arahan yang diberikan. Bahkan, salah satu Jalur Gemilang mereka berjaya dijual pada harga RM50 yang dibeli oleh seorang anggota polis yang patriotik.


Kedua, mereka juga gagal menunjukkan semangat setiakawan dan tolong menolong apabila tidak menumpangkan kami sedangkan lori yang dinaiki cukup untuk memuatkan 100 orang ketika dalam perjalanan ke Padang Besar. Untuk kesalahan ini, Wafi sekali dengan tegasnya menyatakan bahawa mereka bersikap begitu kerana berasakan masih dalam pertandingan. Ia logik, walaupun hakikatnya memedihkan bagi kami. Seorang ahli kumpulan kami mengalami masalah melecet yang teruk kerana terpaksa berjalan dalam jarak yang jauh.


Selepas saling berdebat dan menegakkan ‘benang basah’ masing-masing, akhirnya kami diarahkan berdamai. Tiada pemenang mutlak walaupun dari segi hujah dan kutipan tunai kumpulan kami jauh lebih baik. Mungkin pihak urusetia sengaja membiarkan kami begitu supaya terus berfikir dan berdebat secara sihat. Hingga kini, kami masih beranggapan tiada pemenang mutlak dalam perlumbaan tersebut selepas menilai segala hujah yang dibentangkan.


Pada malam terakhir itu, kami dibenarkan tidur di pondok urusetia. Ia bukanlah sesuatu yang lebih selesa daripada tidur di bawah khemah yang digenangi air, tetapi arahan tersebut ternyata sedikit melegakan kami dari kerimasan menunggu hari siang. Dengan lantai simen dan tanpa dinding, hanya sejuk yang menyelimuti tidur kami pada malam terakhir itu.


Keesokannya, seawal pagi kami sudah siap-siap untuk pulang. Tugas mengemas tapak perkhemahan dilakukan dengan penuh semangat. Kira-kira jam 9 pagi, bagasi kami tiba. Masing-masing dibenarkan mengambil barang keperluan terutamanya pakaian sebelum berangkat pulang. Saya pula, perkara pertama yang dicari ialah pisau cukur dan pencuci muka. Empat hari tidak bercukur membuatkan muka terasa tebal lebih empat inci!


Selepas pulang dari kursus tersebut, banyak perkara membuatkan saya berfikir lebih dari biasa. Komposisi kaum, ekonomi yang tak seimbang, masalah di sempadan yang dialami oleh para peniaga dan bermacam-macam lagi. Tapi itu semua yang terzahir di pandangan dan terhasil melalui data-data yang kami kumpul. Apa yang lebih penting ialah kejayaan BTN dalam memupuk sikap-sikap murni dalam kalangan kami.


Saya amat tidak bersetuju dengan segala tohmahan terhadap BTN selama ini. Bagi saya, BTN punya misi yang cukup mulia untuk memupuk kesedaran nasional yang tinggi. Ubi kayu bakar dan kelapa parut adalah bukti kecil bahawa BTN mampu mendekatkan anak muda hari ini dengan sisi silam bangsanya secara praktikal.


Peristiwa berjalan kaki dari Kaki Bukit, meredah Gua Kelam, dan menapak hingga ke Padang Besar pula adalah manifestasi setakat termampu tentang keperitan para pejuang terdahulu meraih kemerdekaan  negara khususnya dalam menangani ancaman komunis di sempadan.


Justeru saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BTN terutamanya Cawangan Pulau Pinang kerana telah banyak membentuk asas minda dan pemikiran saya selama ini. Jika diberi peluang, saya juga ingin melakukan perkara yang sama untuk nusa bangsa.


Dan baru-baru ini ketika saya duduk berbual dengan Penolong Pengarah BTN (Mahasiswa & Remaja) Putrajaya, saya benar-benar terkedu. Rupa-rupanya, kursus tersebut adalah kursus yang tidak dirancang sebegitu. Semuanya berpunca selepas bajetnya tidak diluluskan! Segala perbelanjaan dikeluarkan oleh pihak urusetia sendiri. Inikah yang dikatakan pengorbanan? Tidak syak lagi, kami meraih manfaat yang cukup besar daripadanya. Terima kasih BTN!!!