Bab 2
Pada malam itu, maka bermulalah segala keributan. Sekalian anak hantu remaja dan belia jadi gempita. Malam yang senang bertukar jadi medan caci dan maki tatkala mereka sedang berkumpul asyik mengikut alunan merdu seruling si Fantasia di penggir benua menghadap lautan yang luas terbentang. Fantasia ditangkap. Dia diseret, diheret dan dicemeti dengan cemeti neraka, berbilur-bilur segenap belakangnya sedang ia menjerit meronta dan merintih menagih belas kasih.
“Ampunkan saya Pak Koyol..ampunkan saya…apakah salah saya ini?” rayunya teresak-esak. Seruling ajaibnya dirampas dan dihempas ke batu yang melata lalu terburailah segala manik dan permata yang menghiasinya. Hempasan itu juga telah mencetus suatu bunyi bingit lagi nyaring maha dahsyat menyebabkan sekalian hantu di situ menekup telinga masing-masing. Semua mereka gementar sekali.
Namun Koyol sama sekali tidak mempedulikan bunyi aneh itu. Bahkan, dia langsung tak peduli akan rintih perih si Fantasia. Dia merengus. Dia mendengus. Dia menyeringai. Dia mengilai. Puas. Dihentaknya perut Fantasia dengan sepatu bermuncung tajamnya lalu mengeranglah Fantasia, meraung sungguh-sungguh. Beberapa anak hantu cuba menolong tetapi dihalang oleh kuncu-kuncu Koyol. Beberapa anak hantu yang lain pula hanya mampu menangis teresak-esak, sayu melihat pujaan hati mereka itu digasak-gasak.
Setelah puas melanyak, barulah Koyol bersuara menyampaikan titah akan tujuan sebenarnya menahan Fantasia. Dia naik ke atas sebuah batu besar yang selalu menjadi panggung untuk Fantasia meniupkan seruling dan menggesek biolanya. Sambil memegang seruling yang sudah patah itu dan menjulangnya tinggi ke udara, Koyol pun bersuara; “Adapun, ini cumalah kesan awal. Adapun, aku tahan Fantasia ini adalah kerana diperintahkan oleh Ketua Kerajaan kita, Pontianak Syuk kerana Fantasia ini sudah melampaui batas!”
Suasana jadi hingar-bingar semula. Semua anak hantu remaja dan belia yang hadir di lembah itu tidak dapat menerima penjelasan yang diberikan oleh Koyol, lalu bangunlah dua tiga ekor daripada mereka dan bertanya untuk mendapatkan jawapan yang lebih jelas. Fantasia yang sudah longlai hanya mampu menangis. Dia sudah digari kaki dan tangannya, terduduk lesu tersendu-sendu. Jika perintah itu datang daripada Ketua Kerajaan, maka tiada hendak melainkan patuh sahaja, tetapi dia ingin tahu kenapa diperlakukan sebegitu mahu.
“Oh, kalian belum faham ya? Syaitan ini mahu merampas kuasa!”
Panggg!!!
Sedetik itu juga kilat berdentum-dentam. Semilir bertukar menjadi ribut petir. Semua anak hantu yang masih bersisa semangat untuk melawan sejak tadi jadi kecut. Kilat begitu bukan biasa-biasa. Ia kilat yang menghambat. Ia selalunya diutus oleh tentera Raja Iblis. Di singgahsananya, Raja Iblis bisa memerhati setiap kerja buat sekalian hantu di benua itu dan di seluruh pelosok alam yang lainnya. Justeru kerana itulah setiap hantu jadi kecut jika kilat berdentum tidak semena-mena kerana ia mungkin sahaja isyarat dari Raja Iblis. Isyarat kemurkaan! Tetapi ada satu lagi jenis kilat petir yang paling ditakuti. Ia datang dari langit, dari kuasa yang agung. Maha Agung. Raja Iblis sekalipun tak mampu menandingi keagungan kuasa itu.
“Katakan itu tidak benar kanda Fantasia…katakan tidak benar..” sedu sedan Soyol merintih. Dia berlari mendapatkan Fantasia tetapi dihalang oleh kuncu-kuncu ayahnya sendiri. Lalu dia menerka pula Koyol. Hatinya tak keruan. Kesalahan kerana cuba merampas kuasa bakal menawatkan terus riwayat sesiapa sahaja jika sabit kesalahan. Dia tidak rela itu berlaku ke atas Fantasia yang kian berputik di taman cintanya.
“Ayah…ampunkan kanda Fantasia. Dia tidak bersalah. Dia tak berniat pun begitu. Ayah sendiri mengenalinya, bukan?” rayu Soyol pada ayahnya.
“Ya! Aku mengenalinya selama ini tetapi tidak lagi bermula hari ini. Ini penderhaka negara!” bantah Koyol lantang. Maka gegak gempitalah sekalian yang hadir di lembah di hujung benua itu. Ombak di laut menghempas ganas. Bayu bertukar taufan. Gemuruh di langit kini jadi kilat yang sabung menyabung. Alam jadi kelam. Melihatkan situasi itu, Koyol segera memerintahkan kuncu-kuncunya supaya gegas membawa Fantasia dan Monica ke Istana Keadilan untuk dibicarakan. Sekelip mata, mereka pun hilang lenyap ditelan kabus yang mula menyelubungi rembang senja itu.
Berita penahanan Fantasia, Si Peniup Seruling dan Penggesek Biola serta Monica Si Biduanita disambut dengan pelbagai rasa. Yang dewasa berbelah campur antara gembira dan duka. Ada yang endah acuh tak endah. Ada pula yang bertepuk tampar. Mereka itu tentulah para hantu yang bimbang dengan masa depan anak-anak hantu yang semakin hanyut dengan keasyikan tiupan seruling Fantasia dan kelunakan nyanyian Monica sehingga terabai tugas mengganggu kehidupan manusia-manusia beriman di alam dunia. Ada pula yang sedih, hiba tak terkata. Ada yang tercari-cari pengganti untuk kedua-dua hantu tersebut. Dan mereka itu tentulah pula para hantu remaja dan belia yang sudah bosan dengan kehidupan semasa mereka.
Lalu bersuaralah Soyol kepada rakan-rakannya selepas masing-masing keluar dari penyorokan akibat bunyi azan Maghrib dari dunia manusia sebentar tadi. “Teman-teman, malam ini bakal jadi saksi kepada suatu peristiwa maha penting. Saya menyeru teman-teman sekalian, ayuh kita bertindak!!” tangkas kata-katanya membangkitkan semula semangat teman-teman hantunya. Maka yang lain pun bertempiklah, mengilai dan menjerit di sana-sini. Semua bersetuju pada dasarnya untuk bertindak.
“Tapi, bagaimana?” tiba-tiba muncul seekor anak hantu galah melontarkan pertanyaan. Yang lain juga terdiam. Ada benar juga soalan itu. Bagaimana mahu bertindak?
Dengan sedikit akal yang lebih, Soyol pun mengusulkan cadangannya. “Kita berhimpun secara aman di hadapan Istana Keadilan. Kita berarak beramai-ramai dari lembah hingga ke Istana dan di sana, kita desak pihak kerajaan supaya melepaskan Fantasia dan Monica pada malam ini juga. Saya sendiri akan mengetuai kalian,” terang Soyol.
“Tapi apakah itu ertinya melawan pemerintah? Semacam bunyinya ialah pemberontakan!” soal anak hantu polong pula. Mendengar akan hal pemberontakan, maka sekalian hantu yang lain pun jadi tak keruan.
“Bertenang kalian. Kita tidak memberontak. Kita cuma mendesak. Tuduhan kerajaan seperti yang ayahku perkatakan tadi terlalu berat. Kita perlu jadi saksi perbicaraan, jika perlu, tapi aku harap hal ini boleh diselesaikan melalui rundingan. Suara anak muda seperti kita juga perlu didengar!” laung Soyol penuh semangat. Dia memerhatikan wajah teman-temannya yang sedang diamuk gelora itu.
“Dengan kekuatan ini?” anak hantu galah sekali lagi menimbulkan musykil di hati. Dia merenung tajam ke arah Soyol yang beberapa kali jauh lebih rendah daripadanya walaupun mereka sebaya.
“Teman-teman…,” kata Soyol, “kita tidak mahu melawan pemerintah. Kita cuma mahu menuntut keadilan. Tetapi dengan kekuatan sebegini, saya pasti kita dengan mudah sahaja akan ditunjal oleh kuncu-kuncu ayahku seperti senja tadi. Justeru pada hemah saya, kita perlu meraih kekuatan sampingan daripada hantu-hantu muda seluruh benua. Setujukah kalian?” soalnya kepada sekalian hantu-hantu yang sedang berkobar-kobar itu.
“Setuju!” jawab anak hantu galah.
“Aku ikut!” kata anak hantu sungai pula.
“Aku juga ikut. Bahkan aku sendiri yang akan sebarkan berita ini!” sahut anak hantu bukit pula, penuh semangat.
“Kalau begitu, ayuh kita lekas. Tindak harus pantas!” bingkas Soyol memutuskan kata. Dia sudah punya rencana. Semua anak hantu yang setia bersamanya sejak insiden penahanan Fantasia dan Monica senja tadi akan dilibatkan dalam misi mendapatkan sokongan ramai pada malam itu juga. Masa kian suntuk. Lalu Soyol menjemput cucu hantu lurah, hantu yang bermukim di kawasan laluan angin lintang untuk menerima tugasan pertama. Cucu hantu lurah akan dipertanggungjawabkan mencetuskan angin supaya semua mereka dapat bergerak lebih pantas. Dengan kepakaran nenek moyang turun temurunnya, cucu hantu lurah tentu sekali tidak punya masalah. Mereka pasti akan segera tiba di mana-mana pelosok benua jika angin bertiup kencang.
Seterusnya, anak hantu bukit. Dia akan diberikan tugas untuk menggemakan jerit pekik para hantu dari jenis serigala jadian. Tujuannya untuk memanggil sekalian anak hantu serigala jadian yang rajin berkeliaran pada malam hari di sekitar bukit di seluruh benua. Jika timbul masalah dengan kawanan pontianak liar, maka anak-anak pontianak yang setia bersamanya akan ditugaskan berunding dengan mereka. Setelah semua arahan diperjelaskan, maka Soyol pun membunyikan semboyan dengan meniup serpihan seruling Fantasia yang sudah patah. Bunyi yang terhasil itu telah merintihkan hati mereka, sayu tak terkata lalu mengobarkan lagi semangat untuk gegas menyelamatkan Si Peniup Seruling dan Penggesek Biola itu. Dialah idola, penghibur dunia anak-anak hantu generasi baharu.
Maka bertempiaranlah sekalian hantu mengikut arah masing-masing. Ada yang terbang tinggi menjulang lalu hilang di balik awan. Mereka itu dari suku sakat jin ufuk. Ada yang melata di tanah benua menggelongsor bak ular tedung selar. Mereka itu pula dari kaum Ratu Ular yang hidup di pinggir tebing dan gigi sungai. Ada yang melompat-lompat menyelinap di balik tualang dan mahang hutan. Dan mereka itu pula gerombalan hantu bukit. Semuanya bersatu untuk berseteru dengan kuncu-kuncu ayah Soyol, dan yang utama tentunya, Si Pontianak Syuk, Ketua Kerajaan yang kini menjadi zalim tak semena-mena.
Menjelang azan Isyak, sekalian anak hantu sudah berjaya mengumpul kekuatan tambahan dengan jumlah yang tak terfikirkan, ramainya, banyaknya, pasti akan meluluhkan bengis kuncu-kuncu Koyol dan sekalian bala tentera kerajaan. Mereka menuju ke lembah di hujung benua. Di sana, Soyol akan mengetuai gerakan menuntut pembebasan Fantasia dan Monica. Lalu slogan digagaskan, Bersihkan Pemerintah Zalim! Masing-masing bergelora dan tidak tertahan-tahan lagi nafsu untuk menggempur Istana Keadilan pada malam itu juga.
Ketika Soyol sedang bersyarah meniupkan api amarah dalam jiwa setiap anak hantu yang hadir, tiba-tiba muncul Jembalang Suir dari balik kabus lalu berdiri di sebelah Soyol di atas batu yang menjadi panggung itu. Hantu jembalang itu meraut tangan Soyol lalu mendorongnya mara ke hadapan selangkah dua dan menjulang tangan Soyol ke udara sambil bertempik nyaring menjogolkan taring-temaring runcingnya. Sekalian anak hantu kesit, mengundur selangkah dua sambil ada yang menekup telinga kerana tiada tertahan akan bunyi pekikan jembalang itu. Seketika kemudian suasana jadi sepi. Hantu Jembalang Suir merengus dengan wajah yang polos, merenung lautan anak hantu di hadapannya yang kian bertambah banyak.
“Apa yang kalian lakukan ini adalah keluarbiasaan paling agung pernah aku saksikan. Nescaya akan aku kenang hingga tiba waktu aku bersemadi di neraka jahanam abadi!” laungan Jembalang Suir bergema mengelilingi pelosok lembah, bergemuruh jiwa raga sekalian yang mendengar. Ia umpama api yang membakar jiwa yang sedang mahu memberontak.
“Di sini, akan kita buktikan di mana selayaknya kita diperakukan! Di sini, akan jadi saksi kebangkitan hantu terbanyak, bukan lagi hantu yang boleh dilanyak dipijak sewenang-wenangnya!” Jembalang Suir terus menyalakan api kebangkitan anak-anak hantu. Lalu sekalian mereka pun bertempik berpekik tiada tangguh-tangguh lagi.
“Tepat sepertiga malam, kala manusia tidur kenyenyakan, kita akan berarak ke Istana Keadilan!” laung Soyol pula. Masa sudah ditetapkan. Gerombolan juga sudah dipersiapkan. Semuanya kini menunggu detik untuk digerakkan.
“Aku ada berita untukmu. Berita yang bakal menaikkan lagi semangatmu,” bisik Jembalang Suir kepada Soyol tatkala mereka usai bersyarah. Dia menarik Soyol ke belakang batu dan memberikan isyarat supaya Soyol tidak berbuat bising. Dia tidak mahu ada hantu lain yang mendengar berita itu.
“Lekas. Aku kesuntukan!” gesa Soyol.
“Sebentar lagi, kala bayu laut dari barat daya menghembus, akan tiba satu gerombalan besar anak-anak hantu dari jazirah Nusantara. Mereka akan bersama kita!” bisik Jembalang Suir keras. Namun, berita itu telah mengejutkan Soyol, membongkahkan kotak-kotak kerisauan baru di hatinya. Beberapa persoalan timbul di benak fikiran, tetapi tiada satu pun yang terlepas dari kerongkongnya.
Keresahan Soyol itu seakan-akan ditancapi dengan baik oleh Jembalang Suir, lalu api nista baru dinyalakan dari sumbu ketamakan yang meruap-ruap. Sungguh-sungguh dia tidak menduga segala perancangan yang diatur oleh ketuanya, Jembalang Sundal Agung, pesuruh kepercayaan Tok Pendeta itu akan menjadi begitu sempurna, satu persatu.
“Usah kau bimbang. Mereka itu datang kerana mahu membantu nasib kalian,” beritahu Jembalang Suir lagi dalam nada penuh simpati. Dia sengaja menyembunyikan perihal pembiayaan oleh Gosh Boros, si penyangak agung dari puak hantu Lembah Nevada yang sering mendanai gerakan hantu-hantu global dalam menjayakan misi keadilan sejagat, kononnya. Padahal, semua tahu siapa penyangak itu yang sebenar. Orientasi kebajikan yang dilakukan selama ini bukanlah untuk membantu tetapi untuk mencekik setiap pemerintah supaya tunduk kepada kemahuan agungnya iaitu menjadi Kepala Tangga Tiga Belas dalam pemilihan akan datang.
Untuk makluman, Tangga Tiga Belas ialah perkongsian seluruh benua yang dihuni oleh masyarakat hantu global. Terdapat tiga belas benua kesemuanya. Setiap benua akan dipimpin oleh seorang Ketua Kerajaan dan setiap ketua akan menduduki kerusi yang diwakili anak tangga yang berbeza-beza tarafnya. Anak tangga ketiga belas adalah anak tangga khas untuk pemimpin benua yang paling berkuasa dan hanya pemimpin itu sahajalah yang layak menduduki takhta sebagai Kepala. Namun, untuk menguasai takhta itu bukan mudah. Sesiapa yang berhajat harus memiliki kekayaan yang tiada berbatas, murah hati menabur dana dan bijak pula menyusun rencana politiknya. Ia harus memiliki daya kepimpinan global, cerna akan segala permasalahan dunia hantu seluruhnya. Dan untuk era ini, hanya Gosh Boros sahajalah yang memiliki segala kualiti itu.
Pun begitu, usahanya kelihatan terbantut selagi Pontianak Syuk terus mengetuai benua Himalayola. Hanya benua itu sahaja yang masih belum dapat dikuasai sepenuhnya. Ketua puak pontianak itu terlalu teguh semangat kebangsaannya. Bahkan, popularitinya jarang sekali tergugah oleh sebarang krisis baik dari dalam mahupun dari luar. Sudah banyak rencana diatur dengan kerjasama Tok Pendeta dan Jembalang Sundal Agung tetapi Pontianak Syuk terus kukuh di persada takhta benuanya. Terbaharu, Krisis Darah yang sengaja dicetuskan tetapi dengan mudah sahaja dipatahkan oleh Kabinet Kerajaan Himalayola pimpinan Pontianak Syuk. Paling menyakitkan hatinya ialah detik di mana Pontianak Syuk dengan tenang dan penuh meyakinkan menolak pelawaan Bank Darah Global untuk menyalurkan bantuan darah-darah segar dari jazirah Eropah ke benuanya. Proksinya, si hantu pocong Albotonti, bahkan dihumban ke penjara setelah rencana jahatnya dapat dihidu. Malah, sejak itu langsung tiada berita akan hal si Albotonti itu, hilang lenyap bersama segala rencana dan muslihat.
Hanya akhir-akhir ini sahaja kelihatan sudah ada keasyikan baru dalam kalangan generasi muda hantu-hantu di benua itu, keasyikan yang sungguh-sungguh terhadap tiupan seruling dan gesekan biola Fantasia dan kelunakan nyanyian Monica. Keasyikan itu mengalih sebahagian besar tumpuan mereka terhadap tugas-tugas hakiki sebagai hantu menyebabkan lahirnya keluh-kesah dan bimbang resah dalam kalangan hantu-hantu dewasa. Tambah mendukacitakan apabila reaksi Pontianak Syuk sendiri yang seolah-olah turut terasyik dengan fenomena bersifat global itu, tiada langsung usaha menghalangnya. Justeru maka itulah, rencana terbaharu itu diatur. Dengan campur tangan gerombolan hantu remaja dan belia dari Nusantara yang telah diupah, nescaya haru-birulah Himalayola. Pontianak Syuk akan dicabar, didesak dan akhirnya digantikan oleh boneka baru. Revolusi! Ia adalah jalan pintas meraih mimpinya.
“Sebelum gerombolan itu tiba, ingin aku tegaskan, kami tidak mahu memberontak. Ini cuma himpunan aman. Sejajar dengan peruntukan undang-undang, kami hanya mempraktikannya sahaja,” beritahu Soyol selepas dia mengesan api keghairahan aneh dari anak mata Jembalang Suir itu. Dia tidak mahu dikenang sejarah sebagai penderhaka negara. Dia cuma percaya pada keadilan dan hak-hak untuk menikmatinya yang sama rata dalam kalangan setiap hantu di Himalayola. Benua itu tak perlukan sesiapa untuk diberantakkan. Jika anak-anak hantu Nusantara tiba untuk mengacau-bilaukan keharmonian tanah airnya, mereka dipersilakan pulang dengan
angin bayu yang sama, segera itu juga.
“Soyol yang bijaksana, apa kau bimbang ditangkap sama oleh pemerintah?” soal Jembalang Suir sambil tersenyum sinis. Dia lenyap seketika sebelum timbul di belakang Soyol. Dia meraut tengkuk Soyol, membelainya halus dan lembut lalu berbisik sesuatu. “Kau ada peluang jadi pemerintah juga!”
“Bagaimana?” bisikan itu seakan terus menusuk kalbu Soyol. Dia terkesan oleh tikaman halus tersebut lalu tanpa segan silu mengusulkan pertanyaan itu.
“Ini!” gegas sekali Jembalang Suir menjawab sambil mendepakan tangannya ke hadapan. Lautan anak hantu yang kian bertambah di hadapan itu seolah-olah menjadi api yang sedang melahar-laharkan kebangkitan semangat baharu. “Mereka akan menjadi pengikutmu. Percayalah!” bisik Jembalang Suir lagi.
Soyol berdebar-debar. Rencananya tidak disangka-sangka akan menjadi begitu hebat dalam sekejap sahaja. Dia resah, lagi-lagi bila memikirkan betapa dia keseorangan mengepalai himpunan itu. Walaupun berkali-kali dia berpesan bahawa tiada pemberontakan yang ingin dilancarkan, tetapi tiada siapa dapat menjamin keamanan dalam perhimpunan itu mampu dikawal sepenuhnya. Dia mengakui bahawa setiap anak hantu di hadapannya itu mempunyai kemahuan dan emosi yang berbeza-beza, justeru tidak mudah baginya untuk memimpin mereka dengan sempurna. Namun, tiada langkah mengundur akan diambil. Hanya kemaraan yang akan diteruskan.
“Mereka cuma mahu menuntut pembebasan Fantasia dan Monica. Tiada kurang lebihnya, hanya itu,” kata Soyol perlahan. Dia cuba meyakinkan Jembalang Suir akan niat sebenarnya.
“Anak muda, bukalah matamu. Lihatlah dengan pandangan yang lebih besar. Ini peluang terbaik untuk kalian merobah sejarah. Fantasia dan Monica hanya satu subjek. Mereka juga seperti kalian. Tetapi yang membezakan kalian dengan mereka ialah kesungguhan kalian ini. Tidakkah kau berfikir, untuk apakah hantu-hantu yang sebegini banyak bersusah-payah datang ke sini untuk berhimpun bersamamu? Adakah semata-mata untuk membebaskan dua ekor hantu itu sahaja? Tidak, aku yakin tidak. Mereka sukarela datang kerana ada desakan sosial untuk merubah kerajaan hari ini. Himpunan ini hanya simbolik yang tanpa kau sedari, bakal meletakkan Himalayola dalam sejarah peradaban dan kebebasan bersuara para hantu. Mereka datang kerana mereka sudah jijik melihat pemerintahan hari ini yang terus-terusan membina kekayaan dan kemewahan berbanding memajukan bangsa hantu,” kata Jembalang Suir penuh muslihat.
“Aku tidak mampu merobah sejarah itu. Bukan aku yang layak mengubah geopolitik negara ini. Aku ini bangsa toyol. Lemah dan paling kecil, terpinggir...” balas Soyol pula. Dia belum yakin. Adapun itu juga bukanlah hajat di hatinya. Fantasia. Hanya itu yang didambakan.
“Itu bukan isunya anak muda. Kepimpinan dibentuk oleh pengaruh, bukan keupayaan!” Jembalang Suir segera meningkah. Racun dokmanya terus ditanam.
“Kita bebaskan Fantasia dan Monica dahulu. Kemudian, kita lihat apa reaksi terbanyak. Sekarang izinkan aku mengumumkan kepada teman-temanku akan kedatangan bantuan dari Nusantara. Aku tidak pasti apakah reaksi mereka, tetapi aku harap mereka dapat menerima,” pinta Soyol sambil berlalu pergi. Dia mendaki batu besar yang menjadi panggung itu. Jembalang Suir hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum puas.
“Teman-teman sekalian, saya kira masanya semakin hampir. Bangkitlah..bangkitlah kalian. Bersama saya, kita gerakkan suara keamanan dan kebebasan. Kita tangkis tohmah jahat pemerintah,” Soyol mula bersyarah. Anak-anak hantu kembali ke hadapan panggung. Yang jauh mendekat, yang dekat merapat. Kesepaduan baru itu adalah suatu keluarbiasaan. Ada getar dan gemuruh di hati Soyol, tetapi sungguh-sungguh ia cuba menyahkannya sejauh yang terdaya. Dia terus bersyarah.
“Sekali lagi, ingin saya seru dan tegaskan. Kita tidak memberontak. Kita tidak mengkhianati negara tercinta. Kita bukan pengkhianat. Kita bahkan mencintai keamanan yang terbina sejak sekian lama Tetapi kita bersatu untuk menuntut keadilan. Biar malam ini menjadi medan untuk kita menghantar isyarat kepada pemerintah supaya tidak bertindak sesuka rasa. Anak muda bukan bahan belasahan. Anak muda bukan mainan sepak terajang. Anak muda tidak layak ditunjal kepalanya. Anak muda adalah kesatria negara, benteng keutuhan sebenar benua ini! Sebentar lagi teman-temanku, kita akan bersatu dengan kekuatan baru. Bantuan dari Nusantara, sahabat-sahabat kita, akan bersatu atas dasar simpati dan kekitaan baharu. Hantu-hantu muda tidak lagi suka akan perpecahan dan adu domba yang sekian lama membarahi masyarakat kita. Saya mohon teman-teman sekalian agar dapat menerima kehadiran mereka. Ayuh kita bersatu! Demi Fantasia dan Monica yang kita kasihi. Demi masa depan generasi muda sejagat. Demi kebebasan sebenar! Demi Himalayola tercinta!”
Sebaik sahaja Soyol menghabiskan syarahan ringkasnya itu, seluruh anak hantu yang membanjiri lembah pun bertempik berpekiklah penuh ghairah. Gelora yang tercetus telah menenggelamkan bingit ombak yang membadai tebing. Seketika kemudian, langit berubah wajah. Hitam kelam. Bayu laut menjadi ganas dan menderu-deru bagai ribut siklon menghentam pantai. Tahulah mereka angin itu memuat sejumlah besar hantu-hantu dari arah Nusantara. Bantuan yang dikhabarkan telah tiba. Maha dahsyat, tiada tergambarkan oleh kata-kata. Segala bunyi jerit pekik hilai tawa bersilih ganti memenuhi segenap ruang benua. Maha dahsyat, tiada terhitungkan dengan angka akan banyaknya mereka, bergentayangan di udara, terapung-apung sambil menyeringai tanda mesra sesama hantu, jin dan iblis.
Gerombolan itu telah diketuai oleh Sang Kuriman, anak penanggal lagenda Sang Balan-Balan dari puncak Merapi. Dia mendatangi Soyol lalu menyembahkannya sebalang darah yang harum. Soyol mengambil balang itu dan membuka penutupnya lalu menghirup darah tersebut dengan rakus. Dia kemudiannya menyemburkan darah itu ke udara sebagai tanda terima kasih. Maka, gegak gempitalah sekalian hantu yang ada, tiada tertahan-tahan lagi untuk bergabung tenaga. Umpama pesta adanya. Jembalang Suir yang memerhatikan peristiwa bersejarah itu dari jauh tersenyum bangga. Dia lalu terbang dan hilang lenyap. Adu dombanya begitu sempurna. Tentu Jembalang Sundal Agung akan menganugerahinya dengan gelaran Jaksa Budi, pingat agung yang paling dicemburui oleh sekalian jembalang suruhannya.
0 comments:
Catat Ulasan