Khamis, 22 September 2011

Persidangan Hantu-hantu Kebangsaan

sebuah satira politik



Prolog

Mahu kau dengar cerita ini dik? Cerita yang tak pernah dicerita orang. Bukan kerana terlindung hak ciptanya, tapi kerana ia adalah cerita yang mengata-ngata cuma. Dahulu-kala, adalah sebuah benua, dihuni sekaliannya oleh sekalian hantu-hantu, jin dan syaitan. Adapun mereka itu kerjanya berbalah-balahan siang dan malam. Kalau pun ada persatuan, kerja persatuan itu hanyalah juga untuk memecah-belahkan antara satu dengan yang lain. Mereka bersatu untuk bersengketa berdendam berburuk-buruk sangka sesama ahli dan kumpulan, maka jadilah mereka pada benua itu umpama neraka yang kian padam.

Kau hairan dik? Kenapa kau hairan, dik? Oh, kau hairan kerana neraka jika padam seharusnya dirai dengan kegembiraan… Tidak dik, mereka tidak gembira. Jika padam neraka bererti kemusnahanlah bagi dunia mereka kerana adapun dunia mereka itu hanyalah dengan api  yang membaham-baham. Malap neraka bermaksud bencanalah juga kepada mereka.

Dikisahkan kemudiannya, tatkala tiba musim kemuncak iaitu bila para hantu bakal memilih tampuk kepimpinan negara, iaitu kira-kira ketika sepurnama sebelum jadi musim kelam semesta dan purnama jatuh sakit, maka tercetuslah sengketa baharu luar duga. Akan hal itu umpama konflik demi konlik, konfrantasi demi konfrantasi dengan gelora nafsu yang membuak-buak dalam kalangan sekalian hantu di benua itu. Mereka bersengketa untuk berkuasa. Meski ia bukanlah suatu fenomena aneh, namun pada ketentuan yang ini, ia bertukar menjadi mimpi yang ngeri  bagi pihak kerajaan pimpinan seekor hantu pontianak.

Segalanya berpunca akibat daripada salah duga dan terlalu banyak mempercayai konco-konco sekeliling, suatu sikap yang amat merugikan dalam hal pemerintahan di mana-mana pun jua. Namun, di benua itu, yang digelar sejarah Benua Himalayola, pemerintahnya juga sering alpa dan berasa selesa dengan keamanan semasa tanpa banyak melihat ke bawah. Adapun, utama bagi pemerintah itu sebenarnya bersikap memandang ke bawah yakni kepada rakyatnya ketika rakyatnya sentiasa memandang ke atas yakni kepada si pemerintah itu.

Maka terjadilah bibit-bibit sengketa yang akhirnya menjerumuskan sebuah benua yang aman damai ke lembah kekacauan maha dahsyat seperti yang pernah terakam dalam sejarahnya.

Begini, aku kisahkan…

Bab 1

Tok Pendeta, suatu hari, ia seperti biasa memperasap tempayan kecilnya. Kumat-kamit mulutnya, merah pekat liurnya, dihamburnya ke kiri dan ke kanan dengan sumpah seranah serta puji-pujian nan songsang. Maka berkepulanlah asap memenuhi udara terbit dari bara yang dipercik-percik dengan kemenyan yang direpih-repih dengan jemari kirinya. Satu, dua, tiga, maka menjelmalah seekor jembalang terhoyong terhayang datang menyembahnya.

“Tok,” kata jembalang itu sambil tunduk menyembah hormat. Jembalang itu menyentuh kepala lutut Tok Pendeta dengan hujung kukunya yang runcing seraya menciumnya.

“Ada apa kau kemari?” parau suara Tok Pendeta bertanya. Menjegil, bengis tak terperi. Jembalang tak berani memanggung kepala, apatah memandang wajah orang tua itu.

“Hajat besar tok,” jawab jembalang terketar-ketar. “Persidangan jadi haru-biru! Ada yang dah tahu agenda kita,” katanya lagi.

“Ahhhh..sudah aku duga!!” tempik Tok Pendeta tiba-tiba. Dia menampar-nampar pehanya, berulang kali. Jembalang berundur ansur-ansur lalu hilang. Tok Pendeta tarik nafas dalam-dalam dengan mata yang terpejam erat. Dia mendengus. Satu, dua, tiga, dia lepaskan hembusan nafasnya lalu bersatu pekat segala hapak, tengik dan hamis bau nafasnya itu dengan udara malam. Tok Pendeta tarik lagi nafas, dalam-dalam dan hembus lagi. Selepas tiga kali, dia tahan lama-lama. Dia bermantera dengan udara yang tersimpan di ufuk usus perutnya itu. Mantera itu panjang sekali, tapi dihabiskannya cuma dengan satu nafas itu sahaja. Usai upacara itu, Tok Pendeta bertempik lagi. Dia melompat menghayun keris dan bersilat dengan bunga entah apa. Dia berjurus dengan langkah entah berapa. Dia menghunus dan merodok merobek entah pada siapa. Tatkala itulah, tiba-tiba muncul seekor lagi jembalang, hitam kusam, terhoyong-hayang juga.

“Tok,” kata jembalang kedua itu sambil merapat datang dekat.

“Kau langgar perintahku!!!” jerkah Tok Pendeta. Jembalang kedua itu mengundur selangkah dua. Tok Pendeta berpaling membelakangkan jembalang itu. Tok Pendeta menyemburkan air pinang yang bergumam di mulutnya sedari tadi. Kiri, kanan habis dicemari air liur pekatnya itu. Tok Pendeta kembali berpaling ke arah jembalang kedua. Dia hambur lagi air pinang kemerahan itu  tepat ke muka jembalang. Lalu menggelupurlah jembalang kedua itu seperti terbakar meronta hilang perlahan-lahan.

Dua hari sebelum itu, di kaki langit hujung selatan sebuah benua, menjelang satu persidangan bertaraf kebangsaan hantu-hantu sebenua, telah diadakan satu pertemuan antara ahli majlis tertingginya. Pengerusinya, Pontianak Syuk, sedang mengagih-agihkan hasil kutipan derma sesama ahli majlis. Derma yang berupa darah para dajjal kecil (baca: anak-anak manusia yang terpesong akidah dan akhlaknya) diisi dalam tabung-tabung dan balang-balang kaca bertahta dan berhiaskan emas permata. Pontianak Syuk gembira sekali kerana kutipan kali ini begitu lumayan, harum dan menghairahkan. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menghirup setiap balang darah yang menjadi bahagiannya.

“Kau tengok, Langsuya,” katanya sambil berbisik halus ke telinga setiausaha politiknya itu merangkap adik sang gundik kesayangannya dari suku langsuir. “Ramai yang masih bersama kita. Kau cium bau darah ini..kaum cium!” paksanya pula. Dia tarik rambut Langsuya supaya mendekat, ditunjalnya kepala hantu itu rapat ke gigi balang kaca yang dipegangnya. “Ini bau darah gadis yang sudah rosak, usia 18! Muda remaja!” katanya sambil menyeringai ghairah disusul dengan ketawa berdekah-dekah. Hantu-hantu yang lain tidak mempedulikan ketua mereka itu kerana masing-masing bergembira dengan bahagian yang telah ditentukan.

“Mengumumkan ketibaan wakil Tok Pendeta, Jembalang Suir!” tiba-tiba Koyol bertempik garau. Semua gegas berdiri termasuk Pontianak Syuk dan Langsuya. Sekonyong-konyong itu juga muncullah jembalang yang dikhabarkan bersama asap berkepul-kepulan, terus mendarat di atas meja permesyuaratan. Semua mata terpaku, berkedip tiada satu jua pun.

Kedatangan wakil Tok Pendeta ini bukanlah sesuatu yang biasa, hanya atas jemputan Tuan Pengerusi  sahajalah maka ia akan datang. Sejak beratus tahun lamanya, terikat sudah ikatan setiakawan antara Tok Pendeta dengan gerombolan hantu di benua itu. Tok Pendeta menjadi perantara antara dunia nyata dan dunia tersorokan mereka itu. Selama itulah, suku sakat jembalang menjadi wakilnya dan selama itulah, tiada seekor hantu pun yang berani bersahabat dengan kerabat jembalang kerana tarafnya yang tinggi di sisi Tok Pendeta, duta si Raja Iblis itu di alam manusia.

Namun, kedatangan Jembalang Suir kali ini, terlalu memukau. Jembalang yang seekor ini adapun kulitnya tidaklah bergerutu dan taringnya tidaklah terjongol seperti kebiasaan. Adapaun rambutnya pula tidaklah menggerbang terbuai-buai sambil mengepak bau yang hapak seperti kebiasaan adanya pada hantu-hantu jembalang. Tingginya juga tidaklah sedan-sedan, bahkan tidak pula terlalu tinggi hingga setara Toh Galah, dan tidak pula begitu rendah separas Koyol. Pendek kata,  Pontianak Syuk itu pun boleh terpukau kerana elok rupa dan parasnya. Wajahnya bersih dan senyumnya kemilau, disulam oleh putih giginya yang tersusun umpama batu nesan yang dipasak mengikut petak-petaknya, kemas dan berseri. Matanya berkerdip pada irama yang tertentu, sesekali menyerlahkan lentikan alis yang seolah disikat dengan semambu yang dibelah-belah menjadi penggesek biola si hantu Fantasia, indah dan anggun. Dan tatkala ia melangkah, maka luruhlah jantung para hantu sekalian, seolah-olah diketuk-ketuk dengan betisnya yang gebu menawan pabila terselak dihembus bayu malam, semuanya asyik dan hanyut dilambung ombak angan-angan, ghairah tak ketahuan.

Jembalang Suir terus melangkah di atas meja menuju ke arah Pontianak Syuk. Dia lalu melutut di hadapan hantu pontianak itu. Berdebar-debar semua yang memandang, hatta untuk bernafas pun jadi gusar takut-takut mengganggu Jembalang Suir. Jembalang Suir menguis balang darah Pontianak Syuk dengan hujung kakinya, lalu tersemburlah segala ghairah dan resah gundah si Tuan Pengerusi tatkala terselak juga kain Jembalang Suir hingga paras betisnya, putih gebu tiada berbulu-bulu. Melihat asyik itu, sengaja pula digoda oleh Jembalang Suir agar Pontianak Syuk terus terpesona, tanda jeratnya sedang mengena. Dikenyit, dilarik senyum, dihembus gelora asmara, dibiarkan mangsa terbuai terpana, kerana memang dia diutus untuk menggoncang Pontianak Syuk supaya lekas mengikut agenda tuannya.

“Kenapa Tuan Pengerusi?” soalnya mulus menggoda. “Apa Tuan Pengerusi tidak biasa menyaksikan keindahan seperti ini?” soalnya lagi penuh muslihat. Dia selak lagi kainnya, kian terdedah betis membawa hingga ke pehanya sekali gus membuatkan Pontianak Syuk tak senang duduk. Dia mengisar, berdehem halus, mencari sudut pernafasan baru agar fokusnya tidak hilang terus. Lekas-lekas dia ingat akan isterinya di istana mereka. Ahh..jangan kau baik sangatlah..entah-entah dia pun enak berdengus kesah di ranjang dengan jembalang sundal lain; bisikan jahat menerka. Tidak! Isteriku setianya tiada berbatas terhadapku; bisikan baik pula menerpa. Lalu bertarunglah kedua-dua bisikan itu untuk seketika, cuba memenangi kalbu si Pontianak Syuk.

“Ehem..err..boleh kita mulakan mesyuarat?” tiba-tiba Pontianak Syuk memperoleh kekuatan baru untuk mengalihkan  ketegangan itu. Semua hantu yang berdebar-debar sejak tadi menarik nafas lega. Ada yang turut berdehem, ada yang membetulkan duduk dan ada yang lekas-lekas menundukkan wajah. Langsuya juga sama. Mujurlah bosnya lekas bertindak mengendurkan gelora yang sedang asyik membadai nafsu dan mengusik supaya tersungkur dan terus hanyut. Adapun hantu-hantu seperti mereka tiadalah menyimpan iman walau sekelumit melainkan hanya nafsu semata, dengan sedikit akal yang cetek dan emosi yang berganang-ganang tingginya.

Tatkala itu juga Jembalang Suir mengilai halus, menyeringai ke arah Pontianak Syuk dan berpaling lalu terbang rendah menuju ke kerusi empuk yang tersedia untuknya. Hantu galah, pocong, toyol dan sekalian hantu yang lain hanya memandang takut-takut pada jembalang sunti itu. Untuk seketika, suasana jadi sunyi, hening dan bening hinggalah Long Paya berdehem mengejutkan mereka.

“Saya menyeru semua ahli majlis supaya tidak memanjang-manjangkan agenda masing-masing. Sebaiknya, kita perbincangkan agenda pertubuhan yang akan dipersembahkan dalam persidangan esok terlebih dahulu, kemudian jika berkesempatan barulah kita menyusul dengan agenda perwakilan,” terang Long Paya selaku setiausaha mesyuarat sebaik sahaja mendapat isyarat daripada Pontianak Syuk untuk memulakan agenda mesyuarat.

Polong Paya sudah empat penggal memegang kuasa sebagai setiausaha majlis tertinggi dan setiausaha pertubuhan, belum pernah sekali pun jua ia tewas dalam setiap pertandingan yang diadakan. Adapun pula sekalian hantu yang menjadi ahli pertubuhan kesemuanya senang dan berpuas hati dengan komitmen hantu tua itu berkhidmat. Tetapi, dengar-dengar khabar, sampai juga masanya Long Paya akan digugah pada tahun ini. Tetapi, seperti biasa juga, ia tenang. Ia menampakkan daya kepimpinan yang cukup matang berbanding mana-mana hantu lain meskipun sudah ada ura-ura akan wujud undi protes terhadapnya kerana sudah terlalu lama menjawat jawatan tersebut. Untuk rekod, sepenggal ia berkhidmat bersamaan empat puluh tujuh tahun tempoh masanya. Untuk perbandingan pula, Pengerusi Pertubuhan rata-rata hanya berkhidmat untuk tempoh sepenggal dua sahaja. Paling lama pun, hanya Pontianak Syuk yang bakal masuk penggal ketiga jika menang pada pemilihan tahun ini, sementalah kelihatan sokongan akar umbi masih totok tiada rapuh terhadapnya.

“Tuan Long Paya, apa kira molek rasanya jika tuan selaku setiausaha mesyuarat merangkap setiusaha persidangan dan juga setiausaha pertubuhan kebangsaan hantu-hantu ini, menerangkan secara holistik tentang agenda persidangan dan tentatifnya. Kerana, adapun hantu-hantu sekarang sudah jemu untuk mengikuti persidangan dengan perjalanan agenda yang sama sahaja saban tahun. Saya sendiri mendengar keluh kesah sekalian hantu muda dan remaja yang sudah bosan dengan persidangan kita ini. Tiada yang menarik, da bomb..nothing interesting!” Wakil puak pocong tiba-tiba bersuara. Kata-katanya itu menimbulkan pelbagai 
reaksi dalam kalangan ahli majlis.

“Saya setuju!” hantu galah, Toh Galah, pula mencelah seraya menepuk meja, disahut oleh dua tiga ekor hantu yang lain. Jembalang Suir tersenyum sinis. Jarum bakal disulam, hanya menanti masa yang sesuai sahaja.

Melihatkan keadaan semakin bingit, Pontianak Syuk segera meningkah sarana yang dilontarkan. Dia melihat sedari tadi sekalian ahli majlis seolah mengambil kesempatan untuk menggasak Long Paya. Hantu tua itu juga seakan hilang kata, diam seribu bahasa. Justeru jika dibiarkan, boleh timbul konflik baharu.

“Jadi apa cadangan kamu Chom?” tanya Pontianak Syuk kepada hantu pocong.

“Mudah sahaja Tuan Pengerusi. Kita buka kehadiran kepada semua ahli. Dasar pertubuhan yang mengehadkan kehadiran hanya kepada perwakilan tertentu sahaja sudah tidak relevan!” pintas hantu galah segera. Dia puas.

“Kita juga jangan lupa, matlamat utama persidangan ini adalah untuk memenangi hati hantu-hantu muda dan remaja yang bakal mengundi dalam pemilihan sebenua kelak. Kita tiada masa yang banyak. Sesuatu yang baru dan segar perlu dilakukan segera,” kata hantu pocong pula, mengiyakan gagasan galah tadi.

“Kalau begitu, saya selaku Pengerusi membuka ruang untuk percambahan idea. Long Paya, boleh mulakan sekarang,” usul Pontianak Syuk seraya mengetuk meja dengan tongkat pandaknya menandakan agenda baru dibenarkan menjadi perkara yang hendak diperbincangkan.

“Sebentar kalian,” tiba-tiba Jembalang Suir bersuara. Semua mata terarah padanya. Sambil tersenyum, dia memandang sekilas lalu setiap wajah hantu yang berbagai rupa dan paras itu. Dua tiga ekor hantu resah dan berbisik sesama sendiri. Belum pernah berlaku ada jembalang yang hadir sebagai pemerhati mencelahi mesyuarat mereka, tetapi kerana ia itu wakil kehormat Tok Pendeta, mereka tiada alasan untuk menafikan haknya. “Sebenarnya, ada berita yang lagi penting ingin aku sampaikan. Apa kalian sudah tahu akan ada pemberontakan pada petang  menjelang maghrib sebelum Pontianak Syuk menyampaikan ucaptama?”

Semua hantu tercengang, melopong terkejut tak terperi. Berita itu amat mengejutkan. Ia tidak disangka-sangka sama sekali oleh setiap ahli majlis kerana perihal pemberontakan itu satu perkara baharu yang amat asing dalam kalangan mereka para hantu. Oleh siapa? Untuk apa? Maka bingitlah suasana. Hiruk pikuk masing-masing, melalak mengilai, melompat-lompat jadinya. Melihat keadaan begitu, Pontianak Syuk sekali lagi mengetuk-ngetuk meja dengan tongkat pandak warisan para Pengerusi Pertubuhannya sebagai isyarat supaya lekas diam.

“Apa benar wahai wakil Tok Pendeta? Berita ini sungguh tidak disangka-sangka oleh sekalian kami, dan barangkali boleh jadi suatu perkara yang tidak menggembirakan kami seperti yang Cik Jembalang Suir lihat ini. Untuk apa? Siapa pelakunya?” bertalu soal dituju oleh Pontianak Syuk. Jembalang Suir lagi senyum. Yang lain menahan sabar.

“Benar belaka wahai Tuan Pengerusi yang dikasihi. Berita ini sudah jadi bualan umum dan bilangan hantu yang akan menyertai pemberontakan ini kian bertamah dari masa ke masa. Bahkan, gelombang itu kian membesar saat ini. Andai tidak segera dibendung disekat, bimbang benar aku ia bakal menjadi detik peralihan kuasa terbesar dalam sejarah benua kita,” jawab Jembalang Suir.

“Tapi bukankah Pemilihan Umum Sebenua masih jauh?” giliran Long Paya pula menyoal. Dia juga resah.

“Kerana jauhlah maka pemberontakan ini dilancarkan! Bodoh!” tiba-tiba Jembalang Suir bertempik. Dia menyeringai tajam ke arah Long Paya. Hantu tua itu gentar, tidak berani lagi menyusul soal.

“Bertenang sekalian..bertenang!” Koyol selaku Ketua Biro Keselamatan dan Risikan Dalaman pula bersuara. Dalam keadaan tertentu, kuasanya diperlukan. Tetapi dia juga keanehan kerana berita pemberontakan itu tidak diketahuinya. Tiada seorang pun ejen-ejennya yang menyampaikan hal itu, atau apa mungkin mereka telah….ahh..tidak mungkin. Hati kecilnya belum mahu berburuk sangka terhadap kakitangan bawahannya. Tidak mungkin mereka khianat!

“Jembalang Suir, sila jawab soalan saya ini. Siapa yang mahu memberontak? Untuk apa?” soal Pontianak Syuk. Dia juga kian hilang sabar dengan gelagat hantu jembalang itu.

“Kau jangan pura-pura tidak tahu wahai Pontianak Syuk. Aku datang bukan untuk mengadu domba, tetapi untuk membuka mata kalian. Apa kalian sedar apakah sebenarnya masalah kalian ini? Kalian adalah hantu-hantu paling dihormati, duduk di sini kerana adanya penghormatan daripada rakyat hantu di benua ini, tetapi kalian terlalu asyik mengaut hasil atas kesusahan hantu-hantu bawahan. Beratus tahun lamanya pertubuhan kalian memerintah benua, api yang marak kini sudah membaham-baham!” Jembalang Suir berhenti seketika. Dia menyusun pandang satu persatu ke setiap wajah hantu yang berjumlah dua belas ekor itu termasuk Pontianak Syuk.

“Saya kurang cerna maksudmu itu wahai jembalang,” tingkah Pontianak Syuk. Permesyuaratan menjadi tegang semula. Kebanyakan hantu sudah mula menangkap isi hati Jembalang Suir.

“Inilah masalah kalian! Buat-buat tidak faham, leka asyik di puncak kesenangan sedang hantu-hantu bawahan hidup melarat tiada pembelaan! Maka itulah, pemberontakan dilancarkan oleh hantu-hantu remaja dan belia, pimpinan si Fantasia,” jawab Jembalang Suir segera.

“Fantasia?” Semua hantu terpinga-pinga. Koyol paling tidak percaya kerana hantu kacukan dari pergunungan Serbia dan Rusia Timur itu adalah pendatang baru yang paling rapat dengan anak betinanya, Soyol.

“Maksudmu, hantu muda yang sering meniup serulingnya dan menggesek biola itu? Dari jenis kacukan pontianak dan jin pergunungan Serbia?” tanya Koyol.

“Fantasia bukan calang-calang hantu. Jiwanya, semangatnya, muda remaja, berbisa! Dia bisa meraih empati para hantu hanya dengan hembusan serulingnya sahaja. Anakmu juga sudah bersamanya, malah sedang giat merekrut puakmu agar mengasihani perjuangan mereka. Bahkan, anakmu juga Long Paya! Bahkan, tidak sedikit hantu dewasa yang kini terpesona dengan petah bicara dan pidato serta merdu nyanyian si Monica itu yang kini menjadi penyokong setia Fantasia bersama Soyol,” terang Jembalang Suir lagi.

“Monica juga? Si biduanita itu?” tanya Pontianak Syuk pula. Dia kian gelisah. Berita yang dibawakan ini sungguh menggetarkan. Tidak disangka langsung si Monica, anak hantu pontianak suku Eropah yang selalu dijemput ke istananya untuk menghiburkan para tetamu dan delegasi asing itu akan ikut pemberontakan.

Jembalang Suir hanya mengangguk. Dia cuba mengawal diri daripada senyum mahupun ketawa lantaran mengenangkan jeratnya yang kian mengena. Adu dombanya begitu menjadi. Hantu-hantu tua ini begitu mudah dijerat  dan digoda dengan kata nista. Mudahlah kerjaku. Pelan kedua dan ketiga tidak perlu digunakan dan dia juga tidak perlu bersusah payah bergelut dengan nafsu serakah Pontianak Syuk semata-mata untuk menjerat Pengerusi boneka itu.

“Sewajarnya, aku kira kita tahan saja si Fantasia itu. Kenakan tahanan rumah untuk sementara. Di bawah Deklarasi Pemimpin, Kurungan 14 jelas memperakukan ketidakbolehlawanan kuasa yang dipunyai oleh Ketua Kerajaan..err..maksud aku, engkau Pontianak Syuk. Ini jelas sekali ertinya sebagai satu cubaan penghasutan. Fantasia harus disekat. Akan hal Monica dan Soyol, terpulanglah padamu,” Kuntil Anak tampil  memberi pandangan. Sebagai antara hantu senior, dia mempunyai pengetahuan yang agak tidak berbatas tentang pengaplikasian undang-undang dalam pelbagai kes dan masalah yang melibatkan masyarakat hantu, sementelah dia juga mengetuai Biro Perlembagaan dan Tata-Adab Kebangsaan.

“Apa katamu Jembalang Suir?” tanya Pontianak Syuk setelah berfikir sejenak. Bagai pucuk yang diidam-idamkan, ulam pula yang datang terhidang, segera itu juga Jembalang Suir  mencetus ilham. Dia mengangguk sebagai tanda bersetuju. Hanya melalui tangkapan dan penahanan sahajalah akan membuatkan keadaan menjadi bertambah buruk, dan mencetuskan ketegangan dan huru-hara, dan pastinya itulah yang direncanakan oleh tuannya.

“Baiklah kalau begitu. Koyol, engkau aku perintahkan menahan Fantasia dan Monica malam ini juga. Jangan tunggu menjelang esok lagi. Dan Soyol, kita serahkan pada engkau untuk selesaikan sendiri memandangkan ia anakmu,” perintah si Pontianak Syuk tanpa mengusul periksa lebih lanjut. Dia termakan dengan segala hasutan yang dicanang-canangkan.


0 comments: