Rabu, 25 Ogos 2010
blown to lough
Khamis, 19 Ogos 2010
Anis Madhihah [Part 1 of 3]
Awak, betul ke awak nak saya lepaskan awak..
-Saya tak mampu bahagiakan awak lagi.
Tapi saya cukup bahagia sekarang ada awak di sisi..apa lagi yang saya mahukan..Cuma awak!
-Tak..awak terseksa. Cukuplah. Lepaskan saya, awak tahu kan kenapa saya mintak begini..
Johan tertunduk. Hatinya sayu sekali. Entah apa lagi yang hendak dia perkatakan supaya Anis faham. Dia buntu. Johan tidak tahu apakah ayat terbaik yang perlu dia taip dan kirimkan kepada Anis selepas segalanya diluahkan. Kenapa Anis tak mahu memahami hasrat hatinya?
Tiga hari berlalu. Johan tidak membalas mesej terakhir dari Anis itu. Sungguh dia tahu kenapa Anis mahu dilepaskan pergi, tetapi hatinya ternyata belum mampu untuk merelakan pemergian itu. Anis pernah pergi tinggalkannya sendirian. Hidupnya sungguh sunyi ketika itu. Segalanya dirasakan palsu. Kemudian Anis kembali, sama seperti dahulu, ceria, comel dan penuh kebahagiaan untuk Johan. Lantas Johan menyambut Anis dengan penuh rasa syukur. Air mata Anis yang tertumpah di lengannya pada suatu malam adalah bukti keikhlasan yang dibawanya kepada Johan.
Tiga hari yang berlalu ini ternyata memeritkan buat Johan. Dia tertanya-tanya sendiri kenapa Anis mahu pergi lagi. Johan tahu dia hanyalah teman buat Anis. Tak ada apa yang mampu dilakukannya ketika itu. Hanya doa setulus hati dengan harapan Anis dapat melihat keikhlasan dan kesungguhan hatinya. Sungguh Johan terlalu menyayangi Anis. Johan sayangkan hubungan mereka itu. Namun yang pasti, dia gagal menemui jawapan yang dicarinya kerana Anis juga langsung menyepi.
Anis Madhihah. Dahulu dia pernah menyanjung Johan yang dikenalnya lewat pertemuan secara tak sengaja dalam sebuah seminar di Kuala Lumpur. Pertemuan itu bukan biasa-biasa kerana ia akhirnya memutikkan cinta antara mereka berdua. Anis tahu dia nanar sekali kerana menduakan kekasihnya tetapi kelibat Johan yang sungguh mempesonakan ketika itu nyata lebih gagah sehingga mampu menggugah hatinya kepada Lokman.
Anis dan Lokman meniti satu hubungan cinta yang ampuh walaupun selalu berjauhan. Mereka sabar mencorakkan perjalanan cinta itu sedaya mungkin meskipun ada kalanya berkocak juga dengan sikap Lokman yang kadang-kala sukar difahami. Sehinggalah suatu hari Lokman seolah-olah tidak mempedulikan perasaan Anis dan ia ternyata menyakitkan hati kekasihnya itu. Ketika itu juga, hubungan Johan dan Anis semakin mekar sekali gus membantu menguatkan hati Anis yang sedang rawan.
Pada awalnya Lokman dapat menghidu perubahan Anis namun dia tetap percayakan kekasihnya itu kerana hubungan mereka sudah lama terjalin bahkan sudah direstui kedua-dua belah pihak. Ibu bapa Anis menerima Lokman dengan hati yang terbuka begitu juga dengan orang tua Lokman. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Baginya, ia hanyalah cabaran dalam setiap hubungan sesama manusia.
Pada waktu Lokman masih berasa yakin dengan cintanya, Johan pula semakin tertawan dengan Anis. Gadis itu dirasakan seperti suatu anugerah buatnya. Johan sudah lama menutup pintu hatinya kepada wanita namun ia seolah terketuk kembali sebaik mengenali Anis. Dia tahu gadis kecil molek ini lain sekali dan yang pasti, terlalu istimewa untuk dilepaskan. Johan tidak dapat melupakan Anis sedetik pun. Saban hari saban waktu dia cuba mendekati Anis, menghiburkannya dengan jenaka walaupun dirinya sendiri bukanlah seorang yang humor.
Kehadiran Johan pada Anis pula ibarat teman yang dikirimkan khas bagi mengubat keresahan hatinya. Sedang dia menjalani suatu hubungan yang belum pasti dengan Lokman, ditakdirkan pula dia bertemu dengan Johan yang pandai mengambil hati, komited dan serius. Meskipun ibarat langit dan bumi, namun dia sesekali tidak akan membandingkan Lokman dan Johan. Kedua-duanya istimewa. Tapi dia tahu, Lokman tetap segalanya.
Tapi kenapa Lokman semakin dingin…kenapa Lokman semakin hambar?? Apakah kerana jarak yang membuatkan mereka terpisah jauh dan tidak dapat selalu bersama menyebabkan Lokman seakan-akan tidak mementingkan lagi kewujudan Anis dalam hidupnya?? Sungguh Anis tidak mampu meneka lagi. Hatinya ketika itu dilema, berbelah bagi, keliru..di sana Lokman, cintanya, dan di sini Johan, peneman waktu suka dan duka..
Johan..maafkan aku..
Lokman..maafkan aku..
Selepas setahun usia perkenalan mereka, ternyata Johan semakin menampakkan kesungguhannya untuk melamar Anis sebagai teman hidupnya. Begitu lama masa diambil oleh Johan untuk mengenali Anis sedalam-dalamnya sebelum dia beranikan diri melamar bunga yang diimpi-impikan selama ini. Akhirnya dengan sekali lafaz, Anis menguntum seribu harapan dan memutikkan cinta mereka ke alam nyata. Sungguh gembira hatinya, begitu juga Anis. Namun Johan tahu, belum sempurna ikatan tersebut kerana dia masih memikirkan Lokman yang belum melepaskan Anis meskipun hubungan mereka sedang dilanda badai besar.
Namun sayangnya, selepas lebih setahun juga, akhirnya Anis sedar hatinya hanya untuk Lokman. Sungguh dia terharu kerana walaupun ditinggalkan tetapi Lokman sentiasa menghubunginya malah tetap berusaha merebut kembali cinta Anis yang pernah hilang. Bagaikan semuanya sudah tersurat, akhirnya Anis kembali dengan tekad yang baru, Lokman tidak akan lagi mensia-siakan setiap waktu mereka yang ada. Kepada Tuhan Anis memanjatkan rasa syukur yang tak putus kerana mengembalikan kebahagiaan yang pernah dibina bertahun-tahun lamanya dahulu bersama Lokman. Kali ini, Lokman tidak akan dikhianati lagi. Itulah cinta matinya.
Perpisahan demi sebuah cinta yang suci. Hanya Anis yang tahu apakah rasanya. Lokman pasti beruntung kerana Anis tidak pernah melupakannya walaupun ketika bersama Johan. Namun tidak bagi Johan. Perpisahan itu terpaksa direlakan dan diterima demi melihat Anis bahagia. Johan tahu dia tidak mampu hidup tanpa Anis di sisi. Setahun membina cinta adalah saat-saat yang sentiasa penuh dengan kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Tetapi Johan telah berjanji, dia akan sedaya mungkin cuba menerima keputusan Anis itu dan sekali-kali tidak akan mengganggu Anis lagi. Dia mahu lihat Anis bahagia. Bahagia dengan insan yang dicintainya kerana Johan tahu erti bahagia itu hanya boleh dikongsi dengan orang yang disayangi sahaja. Orang itu ialah Lokman.
Tetapi kenapa Anis kembali juga kepadanya…sungguh Johan tidak mengerti. Dan kini, Anis meminta supaya dilepaskan lagi. Anis kembali di waktu Johan benar-benar perlukan seorang teman. Sejak Anis pergi, hidupnya serba tidak kena. Segalanya menjadi kosong, sunyi dan sepi. Alam dirasakan tidak lagi bercahaya buatnya. Hari-hari dilalui sebagai sekadar rutin. Tiada kegembiraan, tiada kebahagiaan. Semuanya mula berubah dan bersinar bila suatu hari Anis mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh jabatan mereka. Sejak itu hubungan yang pernah ternoktah dahulu antara mereka mula bertaut kembali walaupun dalam dimensi yang baru, tetapi sangat bermakna untuk Johan.
Mungkin kau nanar lagi Anis.. Johan seakan tidak percaya bila suatu malam Anis mengakui betapa hatinya masih sayangkannya. Anis tulus mengakui dia tidak pernah melupakan Johan dan sentiasa dihimpit rasa bersalah. Malam itulah, air mata Anis tertumpah di lengan Johan. Anis merangkul tangannya dan memohon maaf berulang kali. Tapi Johan tahu, tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana Anis tetap bersama Lokman. Dengan hati yang tulus ikhlas, Johan menerima kehadiran Anis dan berjanji akan terus setia dengan cintanya itu, hanya untuk Anis. Selamanya..
Tapi kini, ia tawar lagi. Tiga hari lalu Anis minta supaya dilepaskan..dan Johan belum memberikan sebarang jawapan. Tiga hari berlalu begitu sahaja, sunyi tanpa berita. Anis menunggu reaksi Johan sebaliknya Johan pula masih berharap semoga Anis dilembutkan hati dan memikirkan semula keputusannya itu.
Hari itu hari Jumaat. Anis terpaksa bergegas pulang ke rumah. Ayahnya meminta supaya dia segera pulang untuk menyelesaikan sesuatu. Anis tidak tahu. Tapi dia mengesyaki ia tentu sekali berkaitan permintaan Lokman semalam. Hatinya berdebar-debar sepanjang perjalanan yang memakan masa hampir empat jam itu.
“ Lokman dah berjumpa ayah tapi ayah belum memberikan kata putus. Ayah nak kau yang buat keputusan, Nis.”
Anis termangu sendirian. Esok keluarga Lokman akan bertandang bersama hajat yang menggunung. Tetapi kenapa begitu mendadak? Aku belum bersedia. Semalaman dia tidak dapat lelapkan mata. Tangannya menggengam erat telefon bimbit yang dihadiahkan oleh Johan pada hari lahirnya yang lalu. Tapi dia benar-benar buntu. Sepatutnya dia gembira dan berbahagia kerana Lokman ingin melamarnya . Namun kenapa mesti segegas itu.. Anis tidak menyangka permintaan Lokman bukan gurauan tetapi hatinya, perasaannya ternyata begitu keliru. Johan belum memberikan kata putus. Dia tidak mahu Johan kecewa lagi justeru dia menantikan kata putus dari Johan sendiri tetapi kenapa Johan langsung menyepi sehingga ke saat genting ini?
Kerana terlalu buntu, akhirnya Anis nekad menunaikan solat sunat dengan harapan diberikan petunjuk. Hampir jam tiga pagi Anis menyepikan dirinya di tikar sejadah. Dia cuba menyisihkan segala kecelaruan yang sedang menghimpit. Dia cuba mengosongkan diri dan meletakkan situasi itu satu persatu sehingga akhirnya dia mula menyedari betapa semua itu terlalu mudah untuk ditangani. Anis berasa kerdil dan malu di hadapan Yang Maha Mengasihi. Sungguh dia telah terlupa kepada siapa sepatutnya dia mengadu tatkala diuji begitu. Bagaikan mendapat semangat baru, Anis bangun dan mencapai telefon bimbitnya. Dia akan berterus terang kepada Johan dengan harapan Johan mengerti. Usai dikirimkan mesej itu kepada Johan, Anis mematikan telefon bimbitnya dan terus tidur tanpa mengetahui di mana Johan berada.
Dan dalam tidurnya, Anis bermimpi sesuatu yang sungguh aneh. Anis melihat Johan jalan beriringan dengan Lokman di sebuah lembah. Sampai di kaki lembah itu, Lokman tidak lagi menemani Johan yang meneruskan pendakiannya pula hingga ke puncak sebuah bukit batu. Ketika di puncak, kabus tebal mengelilingi bukit itu. Tatkala itu, tiba-tiba Anis berasa dirinya berada di hadapan Johan tetapi Johan tidak berkata walau sepatah pun. Johan hanya tersenyum dan berpatah balik sebelum hilang di sebalik kabus dan Anis pula menangis teresak-esak hingga tersedar. Rupanya-rupanya, air matanya sedang berderaian hingga membasahi bantal tidurnya sendiri.
Mimpi itu langsung melenyapkan kantuk Anis. Dia mencapai telefon bimbitnya yang diletak di sebelah bantalnya. Tiada mesej masuk. Anis memeriksa peti hantar. Johan belum menerima mesejnya tadi. Sungguh Anis tidak tahu Johan di mana dan dia terus berharap semoga Johan mengerti usai membaca mesejnya itu. Kini dia faham kenapa Johan hanya tersenyum dan terus menghilang di sebalik kabus di puncak bukit tanpa sebarang kata. Johan, kau mesti kuat kali ini.
Isnin, 9 Ogos 2010
From N9 With Luv
Negeri Sembilan. Sebuah negeri yang selalu aku bayangkan sebagai negeri aku sendiri. Memang sejak lama dulu aku selalu berangan nak melancong ke negeri ni. Bagi aku, negeri ni sama macam Melaka, cantik, bersih dan yang penting orangnya peramah. Makanan pun sedap-sedap.
Baru-baru ni, aku dapat peluang join satu kursus kat Port Dickson. Memang aku sambar terus sebab susah nak dapat peluang macam ni. Ini kunjungan ketiga aku ke Negeri Sembilan tapi yang pertama ke Port Dickson.
Kenapa negeri ni dinamakan Negeri Sembilan? Subjek Kajian Tempatan masa aku darjah empat dulu bagitau nama negeri ni terwujud sebab ada sembilan daerah atau district yang ditadbir oleh seorang Malay Cheiftain bagi setiap daerah.
Sistem politik dan pentadbiran Negeri Sembilan antara yang unik di Malaysia dan sangat kontra dengan negeri aku, Perak. Aku tak nak ulas panjang-panjang sebab page ni aku haramkan untuk cakap tentang politik.
Seremban merupakan capital bagi Negeri Sembilan, atau ibu negeri. Jaraknya lebih kurang 50 kilometer dari Kuala Lumpur dan dihubungkan oleh jalan raya yang cukup baik di samping perkhidmatan keretapi yang cekap. Khabarnya sudah ada keretapi laju terus dari Ipoh. Ini sudah bagus hehe..
Terdapat banyak tempat menarik di Negeri Sembilan yang boleh dikunjungi macam Muzium Negeri, Kompleks Budaya dan Kraftangan, Masjid Negeri yang unik, istana dan taman tasek yang menarik. Memang tak bosan. Walaupun tak sempat lepak-lepak tapi kami sempat tengok-tengok dari dalam bas sewaktu dalam perjalanan. Kompem aku datang lagi lepas ni..wajib huhu.
Selain negeri yang cantik dan makanan yang sedap/pedas, negeri ni jugak unik sebab adanya masyarakat Minangkabau yang menjadi penduduk dominannya sejak dahulu lagi. Orang Minangkabau zahirnya saja sudah unik. Walaupun hari ini identiti Minang tu sudah banyak yang terhakis, tapi akar tradisi mereka masih kuat dan masih diamalkan di sesetengah tempat.
Orang Minangkabau adalah kaum origin Sumatera yang berbangsat atau berpindah ke Malaya sewaktu settlement era lama dulu. Penghijrahan ni turut membawa bersama keunikan adat dan budaya Pepatih yang cukup sinonim dengan orang Minang baik secara mental mahupun fizikal.
Antara keunikan yang masih dikekalkan hingga hari ini ialah pada seni bina bangunan atau rumah yang mempunyai bumbung berbentuk tanduk atau horn-shaped roof di samping pengekalan adat resmi Pepatih yang biasa ditemukan dalam upacara pertabalan Yang DiPertuan Besar ataupun sewaktu majlis perkahwinan.
Pengalaman aku kat Port Dickson sebenarnya lebih mengujakan. Aku tak pernah mandi laut sampai menggigil tapi kat Port Dickson, kami mandi dan berendam sampai azan maghrib. Sejuk tak usah cakaplah. Menggigil terketar-ketar.
Port Dickson memang terkenal dengan pantainya yang bersih dan laut yang belum tercemar. Terletak kira-kira 33 kilometer dari barat Seremban, pantai ni menghadap Selat Melaka dan berada dalam daerah/district Pantai Laut.
Pantainya dianggarkan sepanjang 18 kilometer dan terkenal antara pantai yang popular di Semenanjung Malaysia yang sering menerima kunjungan pelancong dari Kuala Lumpur, Singapura dan pelancong asing di samping penduduk tempatan sendiri.
Memang tak rugi kalau lepak kat sini. Kat sini gak popular dengan bot pisang yang boleh disewa oleh pengunjung dengan kadar RM10 bagi setiap orang. Bot ini akan ditarik oleh sebuah bot laju di sepanjang persisir pantai. Memang puas. Kalau nak try jetski pun ada disediakan.
Petang tu, kami dikumpulkan di pantai untuk acara sukaneka. Sebelum ni aku pernah melalui pengalaman yang sama tapi di Port Dickson, suasananya sangat berbeza. Pantainya cukup terpelihara dan pasirnya juga amat halus. Kami sempat main susun puzzle, pecah belon guna lidi, kaki hantu dan tarik tali. Alhamdulillah, kumpulan aku berjaya menjadi johan. Bukan kerana kami kuat tapi kerana kami paling banyak jadi mangsa buli. Kira menang dengan markah kesian dari fasilitator laa huhu..
Tamat program di sini, kami kemudian ke Melaka pula. Sepanjang perjalanan tu aku memang tak lepaskan peluang rakam sebanyak mungkin gambar dari dalam bas.
Apa yang menarik, suasana tradisional dan moden amat ketara di negeri Sembilan ni. Hampir kebanyakan rumah dibina dengan kedua-dua ciri tersebut. Ada rumah banglo yang sangat besar tapi masih mengekalkan bahagian tradisional yang bercirikan identiti Minangkabau khususnya pada bahagian bumbung dan binaan papan atau kayunya.

Kebanyakan rumah yang aku perhatikan juga dibina secara ‘mewah’. Rumah-rumah orang Negeri Sembilan kebanyakan berasingan atau single lot dalam tanah masing-masing. Di sekeliling rumah pula biasanya akan ditanam dengan bunga-bungaan atau buah-buahan seperti rambutan dan mangga.
Aku suka design rumah-rumah kat negeri ni. Kebanyakan rumahnya masih mengekalkan bahagian atas yang diperbuat daripada papan dan kayu. Memang ciri rumah kampung ala moden. Aku suka bentuk rumah macam ni. Susah nak cari. Memang klasik habis la huhu..
Trip ke negeri Sembilan terlalu singkat sebenarnya aku rasa. Sangat tak puas. Banyak tempat yang tak aku explore. Logik la kan sebab aku pergi berkursus, bukan melancong adoyai huhu..tapi apa-apa pun, wajib aku datang lagi ke negeri ni insya-Allah.. =)
Love N9.
Ahad, 8 Ogos 2010
skripku mana??
Jumaat, 11 Jun 2010
Update.
Selasa, 4 Mei 2010
Cinta Sampai Syurga [Bah. 4]

Pak Arnab Tua menjulang ranting itu tinggi di udara. Suasana menjadi senyap sunyi sepi. Angin pun seolah-olah terhenti berhembus. Air di tasik hening langsung tak berkocak. Awan-awanan juga kelihatan terpaku di angkasa. Debaran di hati setiap makhluk hutan itu termasuk saya sendiri hampir tidak boleh diperjelaskan dengan kata-kata lagi.
Akhirnya, ranting pun dipatahkan tanda mula. Bunyinya begitu kuat kerana ranting itu ranting terbaik dari dahan pohon baharu yang kering dan rapuh sekali. Serentak itu juga, Belukar dan Puteh melompat melembung tinggi ke udara sebelum kembali mendarat ke tanah dan terus meluru pantas sepantas anak remaja Pak Belang sewaktu mengejar kancil dara di hutan itu.
Seluruh binatang yang hadir bagaikan terpukau. Yang berleher jinjang mulalah terhulur-hulur kepalanya, yang melata merangkak pula mulalah mencelah-celah di bawah. Semuanya mahu menyaksikan dengan mata kepala sendiri akan detik bersejarah itu. Kera, monyet dan luntung pula mengekek-ngekek di atas pokok. Suasana menjadi bingit serta-merta itu juga.
Laluan perlumbaan seperti yang telah diputuskan oleh Pak Arnab Tua bukanlah mudah dan singkat. Selain perlu mengelilingi hampir separuh gigi tasik dan merentas hujung padang, mereka berdua perlu pula menyusup dan menyelinap ke dalam belukar sebelum melompat pula di batu-batu di kawasan air terjun di hulu sungai kampung kita ini. Kalian boleh bayangkan betapa beratnya ujian ini. Namun di hati Puteh, tiada siapa tahu betapa cabaran yang bakal dilaluinya akan menjadi lebih berat dan begitu memilukan.
Puteh dan Belukar terus melompat dan melompat lebih laju. Belukar nyata lebih gesit walau Puteh cuba bersaing. Sekejap saja mereka berdua sudah hilang dari pandangan semua binatang yang ada di situ. Belukar mendahului beberapa langkah. Puteh pula terus mencabar. Mereka berdua sudah mula memasuki kawasan belukar di hujung padang. Untuk beberapa ketika, mereka saling berlumba kejar-mengejar potong-memotong pintas-memintas.
Namun, rentak Puteh mula berubah sebaik saja mereka tiba di satu persimpangan kecil sebelum memasuki kawasan berbatu di hulu sungai itu. Puteh mengambil selekoh kanan. Itu selekoh yang salah. Belukar tahu selekoh itu menuju ke rimba dan kalau teruskan juga, Puteh hanya akan masuk lebih jauh ke dalam hutan, bukannya ke kawasan yang telah ditetapkan dan dipersetujui mereka.
Kalian tahu kenapa Puteh berbuat demikian? Ketika itu, tiada siapa pun tahu termasuk saya. Rupa-rupanya Puteh telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlumbaan tersebut tetapi dengan cara yang bermaruh di mata bangsa arnab. Puteh sengaja berbuat demikian supaya dia tidak kelihatan menghampakan Karma dari awal di samping untuk menjaga air muka Pak Arnab Tua dan Belukar sendiri.
Sewaktu berlari, Puteh sebenarnya menangis. Air matanya berjujuran di sepanjang jalan. Sebab itulah kalau kalian lihat di sepanjang lorong yang pernah mereka berlumba dahulu ditumbuhi pokok-pokok renek yang berbunga ungu. Tak pernah selama ini kita bangsa arnab melihat bunga seperti itu. Segala hidupan di rimba dan bukit ini juga hairan dan takjub.
Kalian tahu betapa Puteh sayangkan Karma? Walaupun tempoh yang dilalui sebenarnya amat singkat, namun Puteh sentiasa bahagia di sisi Karma. Segala susah payah dilalui bersama. Puteh memang terlalu menyayangi Karma sepenuh dan setulus hatinya. Setiap malam Puteh akan berdoa sehingga menangis-nangis menyatakan kesyukurannya kepada Pencipta Alam Semesta dan memohon supaya jodoh mereka berkekalan.
Puteh tidak sanggup untuk kehilangan Karma. Hampir setiap masa Puteh berada di sisi Karma walaupun adakalanya juga Karma seperti terganggu. Tapi Puteh tetap mahu di sisi Karma. Mereka menjalani kehidupan yang sungguh sempurna dan berkongsi masa-masa yang berkualiti setiap hari. Apa saja yang mengganggu fikiran Karma, Putehlah yang dahulu merasainya hinggakan Puteh berasakan seolah-olah Karma itulah nyawanya. Kasihnya terlalu tulus dan mulus untuk Karma.
Suatu hari, pernah Karma merengek-rengek kerana kasutnya terkoyak. Ketika itu, di fikiran Puteh cuma satu, mahu membelikan kasut baru yang lebih cantik dan berkualiti untuk Karma. Malangnya Puteh tidak kecukupan wang. Masalah itu benar-benar menghimpit perasaannya. Untuk beberapa ketika, Puteh menjadi bingung. Hatinya sayu melihat Karma terbongkok-bongkok membetulkan kembali kasutnya setiap kali mereka keluar bersiar-siar.
Akhirnya Puteh membuat keputusan untuk menjahit kasut tersebut walaupun dia tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah. Semalaman Puteh berjaga dah cuba menjahit sehalus mungkin supaya Karma kelak selesa ketika memakainya. Jari Puteh sekali tercucuk dan berdarah tapi cepat-cepat dihisapnya dan disapu minyak supaya lekas berhenti darahnya. Kemudian Puteh menyambung kembali kerja menjahit itu dengan hati yang sangat gembira dan puas.
Semua kenangan mereka berdua bersilih ganti bermain di mata Puteh sewaktu dia berlari. Sesekali, Puteh berasa sangat penat dan bingung. Dia tidak tahu apakah betul tindakannya untuk melarikan diri daripada kampung tersebut sekali gus meninggalkan Karma untuk Belukar, cinta hatinya itu, ataupun terus berjuang demi cintanya.
Puteh pernah beritahu saya dahulu bahawa cinta memerlukan pengorbanan dan jika pengorbanan itu ialah kesakitan, pilihlah kerana ia juga adalah kebahagiaan. Tak semua pengorbanan akan berakhir dengan kegembiraan. Selagi terdaya, cubalah untuk terus berjuang. Jika tidak mampu lagi, pilihlah untuk berundur kerana berundur tak semestinya kalah. Saya ingat kata-katanya itu dan betul-betul memahami maksudnya selepas kehilangan Puteh dari kampung ini.
Puteh menyimpan terlalu banyak kenangan bersama Karma walaupun sekejap cuma. Puteh sangat bahagia bila bersama Karma. Karma itu baginya satu-satu dalam dunia ini. Tapi itu ketika Puteh belum tahu tentang Belukar. Pun, Puteh tetap tabah. Dia langsung tidak bertekak dengan Karma walaupun rasa tertipu, sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat. Akhirnya, Puteh menemui jawapan kepada penantiannya selama ini.
Puteh tahu, kalaupun dia cuba bersaing, Belukar tetap akan menang. Kalau pun dia menang dalam perlumbaan itu, tetapi Belukar tetap di hati Karma dan arnab-arnab lain di kampung itu. Rakan-rakan Karma semuanya sukakan Belukar. Walaupun Belukar muda sedikit dari Karma, namun pesona Belukar cukup terserlah. Malah, Puteh sendiri mengakui cemburu dengan pesona Belukar sebagai arnab jantan. Karma memang layak untuk Belukar.
Akhirnya, Puteh memutuskan untuk berundur. Sebab itulah Puteh tak muncul-muncul di garisan penamat. Puteh langsung tak muncul. Kalian tentu fikir arnab-arnab dan sekalian haiwan yang lain akan tercari-cari Puteh atau tertanya-tanya kenapa Puteh lewat? Kalian sebenarnya tersilap. Kecuali saya, tiada seekor pun mereka yang peduli dengan nasib Puteh. Jadi apa yang berlaku?
Memang Belukar telah menang. Kemenangannya bahkan diraikan dengan sorak sorai penuh hilai gembira. Sebaik sahaja Belukar melompat untuk kali terakhir menuju garisan penamat, semua isi hutan yang ada bersorak sakan. Karma pula terlalu riang. Begitu juga Walang, Undeh dan anak-beranak mereka yang lain. Begitu juga Pak Arnab Tua. Begitu juga arnab-arnab betina yang lain semuanya gembira hingga terlupa akan Puteh.
Belukar diraikan segera dan ditabalkan pula sebagai suami sah untuk Karma. Kalau dalam hokum manusia sana, ada penceraian dan edah tetapi kita bangsa arnab lebih mudah. Kuasa di tangan Pak Arnab Tua sebagai pemimpin. Dengan kuasanya juga, Belukar ditabalkan sebagai pewaris tunggal Pak Arnab Tua yang bakal menjadi Ketua Kampung selepas Pak Arnab Tua bersara kelak.
Sejak itu, tiada lagi kelibat Puteh di kampung ini. Tiada siapa pun yang terkesan dengan kehilangan Puteh yang secara tiba-tiba saja itu. Isi kampung kembali kepada kehidupan seperti biasa. Namun, dengan kehadiran Belukar, banyaklah juga perubahan demi perubahan yang dilakukan. Belukar itu nyata memang hebat. Tidak lama kemudian Belukar mula membuka mulut tentang kehilangannya dahulu. Rupa-rupanya Belukar merantau menuntut ilmu di negeri arnab yang lain. Kini sudah sampai masa untuknya berbakti kepada kampung halaman sendiri. Semua arnab gembira sekali.
Tidak lama selepas perlumbaan tersebut berlangsung, Karma mula menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan bayi yang dikandungnya selama ini. Belukar pula semakin mesra dengan Karma malah enggan renggang sedikit pun dari Karma. Katanya, dia mahu bersama-sama Karma menyambut bayi arnab tersebut meskipun ia dari benih Puteh dahulu. Belukar langsung tidak kisah. Sikapnya itu amat membanggakan bangsa arnab yang lain.
Saat yang dinantikan pun tiba. Karma melahirkan bayi sulungnya yang diberi nama Puteh juga oleh Pak Arnab Tua. Bayi itu jantan. Namun, sejak dilahirkan, Puteh sentiasa lemah dan sering sakit-sakit. Beberapa ekor arnab yang mahir ubat-ubatan telah ditampilkan untuk membantu hayat Puteh tetapi ajalnya tetap tiba. Bayi itu akhirnya mati dan terhapuslah satu-satunya zuriat dari darah Puteh di kampung tersebut.
Walaupun begitu, Puteh yang sepatutnya menyambut kelahiran bayi sulungnya itu langsung tidak tahu menahu akan perkara tersebut. Tiada siapa yang tahu dia mana. Sekawan sewah liar yang selalu terbang di sekitar bukit juga memberitahu betapa mereka sendiri tidak pernah menyaksikan kelibat Puteh dari udara.
Belukar pula berjaya memujuk Karma supaya melupakan saja apa yang telah berlaku dan menerima dengan hati yang terbuka. Begitulah Belukar, seekor arnab jantan yang cukup mempesonakan. Dia mampu mengubat hati Karma yang rawan dengan mudah sekali. Kata-katanya selalunya berisi kematangan. Jauh sekali berbeza dengan Puteh yang sentiasa membelai Karma sehingga merimaskan Karma pula.
Kematian bayi mereka telah berubah menjadi sesuatu yang membahagiakan buat Karma dan Belukar. Hasil pujukkan Belukar, akhirnya Karma senang hati untuk meneruskan kehidupan barunya di sisi Belukar. Itulah cinta hatinya yang sebenar. Hanya Belukar yang mampu membahagiakan hidup Karma. Lama-kelamaan Karma memang benar-benar telah melupakan Puteh yang suatu ketika telah memberikan segalanya untuk Karma; kebahagiaan, kegembiraan dan pengorbanan.
Usahlah kalian memikirkan betapa Karma itu sanggup berkelaku sebegitu kerana itulah namanya cinta. Seperti kata Puteh, setiap dari kita berhak untuk hidup dengan cinta yang kita mahukan. Pasti bersalah jika kita menghalang arnab lain daripada bahagia dengan cintanya. Sesungguhnya, Puteh itu benar-benar telah membuktikan kata-katanya. Betapa dia sanggup melihat Karma bahagia sedang hatinya derita.
Kalian, pasti dan yakinlah, jauh dari sini, Puteh sedang melihat Karma dan Belukar. Saya akan keluar dari kampung ini untuk mencari Puteh. Namun kalian janganlah lupa, perjuangan kita sebagai bangsa arnab muda masih panjang. Kita perlukan pembaharuan. Kita mesti tentang hokum arnab yang hanya mementingkan kata-kata Pak Arnab Tua itu. Saya keluar ini untuk mencari Puteh. Kalian tunggu saja di sini, di kampung ini. Suatu hari saya akan pulang dan membawa Puteh bersama untuk meneruskan perjuangan ini.
Saya pergi dahulu.
Ahad, 2 Mei 2010
WHAT TO DO???
O
S
A
N
DAN
SUNYI
[IT IS HARD FOR ME TO GET TROUGH THIS AGAIN ALONE]

