Khamis, 28 Oktober 2010

Angin Gunung Kampung Kememeh [Part 1]



Petang itu sedang aku duduk-duduk di pangkin kayu di pangkal humi sebatang pohon ciku besar menghadap sawah yang terbentang sayup-sayup, tiba-tiba aku disapa oleh seorang pak cik tua. Dia kelihatan agak uzur pada pandangan anak muda kota sepertiku. Dibahunya terselempang kain pelikat usuh. Lantaran tidak memakai baju, maka terjengollah juga selangkanya yang kelihatan cekung sekali dengan perut yang berlipat-lipat. Kalau di kota, pada usia begini selalu orang-orang tuanya gendut-gendut tetapi pak cik tua itu tidak. Dia nampak kurus benar dan kulit tubuhnya jelas dengan kesan dibaham matahari, kelam dan kusam.

“Assalamualaikum, anak muda..” sapanya sambil tersenyum. Beberapa batang gigi menghiasai  senyumannya itu. Aku kira mungkin ia senyuman paling indah yang bisa dihadiahkan untukku dalam pertemuan pertama kali kami itu. Giginya kalau boleh kugambarkan di sini, barangkali setanding dengan gigi orang gasar yang tak pernah disentuh berus atau dicalit ubat berpudina. Kuning. Berkarat. Anda mungkin fikir aku jijik ketika itu. Tapi percayalah, wajahnya terlalu bersih untuk aku lukiskan di sini dan wajah itulah yang menyegerakan aku untuk memesrainya kembali.

Aku jawab salamnya dengan penuh rasa hormat. Aku jabat tangannya. Namun, yang terasakan cumalah jemari-jemari yang keras bertulang. Hampir tidak aku rasa sentuhan manusia kalau tidak kerana masih ada jaluran-jaluran kasar pada tapak tangannya itu. Pak cik tua itu kemudian duduk di hujung pangkin, di sisi kananku. Kain selempangnya digibar-gibarkan sebelum disangkut kembali ke bahunya. Dia terbatuk-batuk tatkala aku masih asyik dipersonakan dengan kehadirannya di pangkin itu.

“Angin..” tiba-tiba dia bersuara. Kepalanya diangkat, dan matanya kukirakan jauh memandang ke tengah sawah. Entah sejauh mana tidaklah aku pasti kerana pada usia begitu, kalau di kotaku, orang-orang tuanya kebanyakan menggunakan cermin mata berkuasa tinggi. Tetapi pak cik tua ini tidak. Aku semakin takjub.

“Err..pak cik nampak angin ke?” aku bertanya kepadanya. Bodoh. Kenapa soalan itu yang terkeluar. Tetapi apa lagi yang boleh kuresponkan bila dia hanya menyebut angin secara tidak semena-mena dan kemudian terus diam.

“Angin kotamu terlalu kuat, anak muda. Menusuk lubang hidung pak cik. Apa kamu ini dari Kuala Lumpur?” dia membalas sambil menoleh kepadaku. Dia senyum lagi. Aku balas senyuman itu tetapi tidak berani pula untuk bertentang mata lebih lama. Aku segera tunduk sebelum melontar pandangan jauh ke hujung sawah dan pak cik tua itu pula, masih memandang aku.

“Kuala Lumpur. Tetapi sebetulnya dari Bangi, pak cik. Ke kampung ini kerana menziarahi keluarga bapa saudara saya. Walimatulurus minggu hadapan untuk anak lelaki sulungnya,” jawabku jujur dan jelas.

“Pertama kali di sini?” soalnya lagi. Dan masih, memandang ke arahku. Aku jadi tak senang duduk. Pertama, memang aku baru di kampung itu dan keduanya, aku jarang beroleh ruang seperti itu. Maksudku, di Bangi, aku jarang duduk-duduk dengan orang-orang tua. Aku jadi kekok.

“Ha’ah..baru di sini,” aduhhhh…tersalah lagi! Aku tak sepatutnya menggunakan kata ha’ah begitu dengan orang yang lebih berusia. Kedengaran langsung tidak beradap. Aku pernah diherdik oleh pensyarahku kerana menggunakan perkataan tersebut apabila ditanya di dalam kuliah. Dia mengusulkan supaya menggunakan perkataan lain yang lebih santun seperti ya, benar atau hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum! Ha’ah itu kepasaran.

Pak cik tua itu kembali diam. Dia mengalih pandangannya. Ibarat bersembunyi daripada penyamun, apabila penyamun itu beredar maka kita pun terasa amat lega, begitulah juga denganku bila pak cik tua itu mengalihkan pandangannya. Bukan aku takut atau tidak suka, tetapi pandangannya terlalu menggetarkan!

“Pak cik orang kampung sini?” tanyaku pula.

“Di hujung bendang tu rumah pak cik.”

Aku mengangguk-angguk. Di hujung sana ada sungai, diseberangnya ada padang yang dipenuhi nisan berceracak. Di sebelanya itu ada sebuah surau tua beratap nipah dan di situlah, adanya rumah-rumah penduduk Kampung Tokang, jiran terdekat kepada Kampung Kememeh iaitu kampung yang sedang aku dan pak cik tua itu melabuhkan punggung kami.

“Maksudnya, dekat surau Kampung Kememeh?” aku bertanya lagi untuk mendapatkan lebih kepastian.

Pak cik tua itu kembali menoleh kepadaku. Dia tersenyum lagi seraya mengangguk. “Cuma ada dua kampung ini saja, nak. Dahulu di belakang sana, ada lagi orang kampung yang masih diam di situ,” beritahunya sambil menunding jari ke arah kiri kami. Namun yang ternampakkan cumalah pohon-pohon kelapa tua yang gemalai pelepahnya dipupuk angin gunung senja. Dari pangkin itu juga aku boleh melihat sebatang jalan bertar yang sudah pecah-pecah membelah sebuah bukit terus menuju ke hulu Kampung Kememeh. Barangkali di sebelah sana bukit itulah yang dimaksudkan oleh pak cik tua. Aku tidak pernah lagi sampai ke sana. Seram rasanya.

Aku pernah dengar cerita dari sepupuku, anak kedua Tok Ayah Chik, yang di atas bukit itu dahulu terdapat beberapa buah rumah penduduk yang kini tidak lagi berpenghuni. Mereka katanya orang asal Sumatera dari jurai Minang. Tak pula ku pasti kebenarannya sebab Tok Ayah Chik tak pernah pun bercerita. Kata sepupuku itu, pernah satu ketika ada insiden berbunuhan di salah sebuah rumah di situ. Mangsanya seorang nenek tua yang tinggal sendirian. Mayat mangsa ditemui  selepas dua hari, itu pun selepas  anak saudaranya datang berkunjung. Apa yang tragis, bilang sepupuku, pembunuh itu adalah anak kepada anak saudara mangsa sendiri yang datang menziarahinya itu! Nauzubillah.

“Pak cik tahu selok belok di sini?” aku cuba menduganya. Mungkin ini peluang terbaik untuk aku menyelidiki kebenaran peristiwa tersebut. Tiba-tiba aku peroleh satu idea. Kenapa tidak aku bongkarkan kisah kejam itu sebagai tesis aku kelak? Jurnal itu mesti diserahkan akhir semester hadapan, juga semester terakhir aku di Bangi. Masih ada banyak masa dan sekarang, aku mesti dapatkan bahannya, dari orang tua itu. sekurang-kurangnya, itulah yang aku fikirkan ketika itu tanpa sedikit pun mengetahui padah yang menanti. 

Selasa, 26 Oktober 2010

Anis Madhihah [Part 3]




Jam langkau sepuluh tiga puluh lima minit. Kota besar Kuala Lumpur semakin galak dengan citra malamnya. Manusia-manusia berbondongan keluar, ada yang bersiar-siar, ada yang berhibur dan paling ramai, riadah bersama keluarga. Anak-anak muda kota, riang di sana sini. Tapi itu semua tidak menggamit sebarang rasa buat Johan dan Sara yang sudah kepenatan. Johan memandu Passat CC kesayangannya dengan santai walaupun hatinya mahu lekas saja pulang ke rumah dan beristirahat.

“Hmm..boleh tahan juga ye awak ni Sara..” Johan membutir bicara sebaik saja  keretanya lepas dari selekoh pertama susur keluar pusat beli belah tersebut.

“Kenapa?” soal Sara, sedikit kehairanan.

“Boleh tanan juga awak bila jolly…” Johan membalas sambil tersenyum nipis. Dia tidak menoleh kepada Sara yang sedari tadi seperti cenggeng dengan kata-katanya.

“Oohh…tak adalah. Dah memang saya macam ni,” kata Sara sambil ketawa kecil. Dia kembali memandang ke hadapan. Langit kelihatan cerah sekali dengan taburan bintang malam 13 Safar itu. Di ufuk barat, ada balam-balam awan kemerahan. Ia satu fenomena langit kota yang sudah biasa walaupun awan menebal mengisyaratkan hujan bakal datang.

“Solat sudah, makan sudah, jalan-jalan sudah..shopping pun sudah..” tiba-tiba Johan bersuara. Nadanya sederhana tetapi agak serius. Kali ini Sara menoleh lagi kepadanya. Dia menunggu Johan menghabiskan bicaranya itu. Pasti ada sesuatu. Johan seorang yang cermat bila bertutur kata. Selalunya dia akan menyusun patah-patah perkataannya sebelum dihamburkan keluar, dan setiap kali itu, ia pastinya mudah dan senang untuk dicernakan oleh sesiapa. Ekonomi dalam berkata-kata, budaya Jepun yang menjadi prinsip hidupnya.

Tetapi penantian itu menjadi sesuatu yang aneh buat Sara. Johan belum menghabiskan ayatnya tadi. Dia asyik menggenggam stereng kereta sambil sesekali menukar posisi gear auto bila bertukar laluan. Passat CC itu seolah isteri kesayangannya, dibeli selepas saja dia ditinggalkan oleh cinta hatinya. Sara tahu itu kerana Johan sendiri yang menceritakannnya, malah Sara juga yang menjadi peneman waktu dia pertama kali mengunjungi pusat Volkswagen kira-kira tiga bulan yang lalu.

“Kenapa, Cik Johan?” akhirnya Sara melantunkan pertanyaan setelah dilihat Johan terus senyap membiarkan ayatnya tadi tergantung bagitu saja.Johan menoleh, memandang wajah Sara. Sekilas.

“Sara, terima kasih!”

“Untuk?” Sara kehairanan.

“Awak terlalu banyak menyokong hidup saya selama ini. Percayalah, kalau hati saya ini tiada lagi Anis, sudah lama saya lamar awak jadi suri hidup saya. Awak mengisi sebelah daripada ruang kesunyian yang sedang saya tanggung, tetapi sebelah lagi, masih terisi dengan rindu kepada Anis..” Johan akhirnya bersuara. Dia tidak memandang Sara lagi. Untuk seketika, bening mengisi sudut-sudut mewah dalam keretanya itu.

Sara diam. Jantungnya berdegup kencang. Dalam payah dia cuba menarik nafas. Dia mahu uraikan kekusutan suasana akibat luahan yang menggemparkan oleh Johan itu tadi. Dia tahu kini suasana hening itu menjadi tanggungjawabnya untuk dipecahkan kerana Johan pasti tidak akan bersuara lagi selepas ini. Kebiasaannya begitulah. Tapi kali ini, ia sangat payah buat Sara. Cepu fikirnya sarat dan ligat mencari topik lain.

Namun jauh di sudut hati, ada sesuatu juga yang ingin diluahkan oleh Sara.. Johan, kalaulah kamu juga mengerti….

Sara menekan punat audio. Bercempera cahaya-cahaya biru lembut menjengah keluar dari pemuka skrin sesentuh. Dia mencari frekuensi FM, terus ligat mengesan channel Suria. Tiba-tiba Johan menghalang. Dia mematikan sistem audio tersebut tatkala suara DJ semakin lantang berkemundang dicelah speaker beresolusi tinggi keretanya. Sara mahu membukanya sekuat yang boleh, biar mereka terpisah seketika dari dunia itu. Namun dia terkejut dengan tindakan luar duga oleh Johan.

“Sara, cakaplah sesuatu..” Johan bersuara.

“Entahlah..saya pun buntu. Keadaan kita begini, tak betul..” Sara menghela nafasnya. Allah, hanya Dia yang tahu betapa gundahnya perasaannya saat dihenyak dengan persoalan berat begitu. Apa lagi yang perlu dikatakan. Aku tersepit kali ini, Johan…

“Saya juga menginginkan hubungan yang lebih baik, dengan lelaki yang boleh memberikan hidupnya kepada saya..tetapi saya tidak akan mengambil kesempatan. Sesekali tidak,” tegasnya. Ya, aku tidak akan mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Sesekali tidak. Umi dan Ayah pasti tidak merestui.

“Saya sendiri juga buntu Sara. Entah kenapa, saya begitu bergantung kepada awak selama ini. Saya tidak menyalahkan kerja yang menyebabkan kita begini. Tetapi inilah takdir. Kita dipertemukan waktu kita sendiri sangat memerlukan seseorang,” balas  Johan. Perbincangan itu menjadi semakin personal, seolah-olah masing-masing cuba menyelami dua hati serentak.

“Encik Johan, cukuplah  ya. Saya penat. Perkara ini perlukan ketenangan untuk dibincangkan. Lagi pun dah nak sampai ni..insya-Allah, ada masa yang sesuai, kita bincang lagi. Daerah hati saya sentiasa bersedia untuk diisi, kalau ada yang sudi.” Sara senyum.

Johan tidak membalas kata-kata Sara itu. Dia faham akan perasaan Sara. Dia sendiri sejujurnya belum bersedia. Hatinya masih mengharapkan Anis akan pulang semula dan menjelaskan segala-galanya.

Kereta yang mereka naiki mula memasuki daerah Selayang. Rumah Sara terletak sedikit ke atas sebuah bukit sekali gus memberikan panorama yang indah pada bila-bila masa. Johan mengambil selekoh ke taman perumahan mewah yang menjadi kejiranan Sara. Kira-kira tiga minit kemudian, kereta Passat CC itu sudah pun berada di hadapan pintu pagar rumah Sara.

“Ayah belum tidur barangkali,” kata Sara. “Lampu ruang tamu masih terang. Layan wrestlinglah tu,” katanya lagi sambil tersenyum manis. Dia memandang Johan buat kali terakhir sebelum keluar.

“Percayalah, hati saya bersedia untuk diisi, kalau ada yang sudi..assalamualaikum.” Sara terus membuka pintu dan keluar, meninggalkan Johan yang hanya mampu tersenyum. Hatinya semakin kusut. Dia menyambung perjalanan untuk pulang ke rumahnya.

Anis Madhihah..aku sangat merindui kamu sayang…

****

Sara menghempaskan badannya ke katil. Barang-barang yang dibelinya bersama Johan tadi dibiarkan bersepah di sebelah. Jeans, tudung kesukaannya, t-shirt labuh..semuanya dibeli oleh Johan. Satu sen pun tidak menggunakan duitnya walaupun dia berkeras untuk membayarnya tadi. Tetapi semua itu tidak lagi membangkitkan keterujaan buat Sara, sebaliknya dia sebu sekali memikirkan kata-kata Johan sewaktu dalam perjalanan pulang tadi sebentar.

Dia mencapai telefon bimbit.

Boss, pandu hati-hati =)

Mesej dihantar kepada Johan. Sara menunggu kalau-kalau Johan akan membalasnya, tetapi masa berlalu tanpa sebarangan deringan masuk. Sara bangun. Dia membuka tudungnya satu persatu. Dia duduk di hadapan cermin besar yang melekat utuh pada almari berkayu jati di dalam biliknya itu. Itulah tempat dia merenung kekurangan diri dan mensyukuri nikmat kecantikan yang dikurniakan oleh Ilahi kepadanya selama ini.

Datuk Hamdan, ayahnya, tidak memiliki anak gadis lain, juga anak teruna. Hanya dia seorang. Mereka dikelilingi kemewahan tetapi ayahnya dan umi sentiasa mengiringkan kehidupan mereka dengan sifat kesederhanaan dan kasih sayang yang tidak melampaui batas. Buktinya, pada usia muda begitu lagi Sara sudah memiliki perkerjaan walaupun gajinya kecil saja. Datuk Hamdan punya rangkaian butik dan tekstil yang luas, tetapi semua itu belum menjadi milik Sara. Belum masanya.

Sara mencapai anak patung kecil Spongebob yang tergantung pada cermin hiasnya. Dia tersenyum. Kenangan zaman persekolahan dari cinta pertamanya, Izuddin. Lelaki itu kini sudah berjaya. Dia terkenal di seluruh negara sebagai Yang Berhormat termuda di Malaysia. Laluan kejayaannya diiringi dengan minat yang cukup mendalam terhadap politik. Dalam diam Sara kagum dengan mantan kekasihnya itu. Mungkin aku sudah dilupakan..getusnya sendirian.

Kemudian dia membelek pula sekuntum bunga ros yang telah diawetkan dan diletakkan di dalam gelas tinggi yang jernih. Ia juga sesuatu yang bermakna. Pemberian seseorang yang kini sedang menghabiskan pengajiannya di India dalam bidang perubatan, bunga itu terlalu bererti. Ia lambang penantian dan kesetiaan. 
Lelaki itu sabar menantinya walaupun Sara sudah beberapa kali membikin masalah. Bukan dia tidak mahu serius, tetapi sikap Iskandar yang sering mengabaikannya selama ini kerap melukakan hatinya. Tetapi sejak akhir-akhir ini, Iskandar kembali intim dengannya. Mungkin kerana pengajiannya akan tamat tidak lama lagi dan dia bakal pulang berkhidmat dalam negara.Sara kembali kusut. Iskandar…. dan Johan juga. Sesuatu mesti dilakukan..fikirnya. Pasti.

*****

Pagi bertamu. Johan sudah bersiap. Hari ini dia tidak boleh lewat. Jam 8.30 sudah ada mesyuarat dengan Lembaga Pengarah, diikuti perbincangan peringkat akhir dengan Cik Farahain. Walaupun ini kali pertama dia akan berbincang secara formal dengan Cik Farahain tapi Johan sudah bersedia. Wanita muda itu terlalu cerewet dan mementingkan ketelitian, itulah pesanan yang disampaikan oleh bossnya dahulu. Johan terus bergerak meninggalkan apartmentnya.

Sebaik tiba di pejabatnya, Johan terus ke bahagian pantry. Seperti biasa, segelas nescafe suam dan dua bungkus nasi lemak kegemarannya sudah tersedia di atas meja, dan ia pastinya disediakan oleh Sara yang datang lebih awal. Dia suka dengan nescafe bancuhan pembantunya itu. Enak dan harum. Pernah suatu ketika Johan berasa takjub kerana setiap keinginan dan kesukaannya mampu difahami oleh Sara dengan baik, berbanding kekasihnya sendiri.

“Encik Johan, ada lima minit lagi. Jangan lewat!!” tiba-tiba suara mesra dari Sara menerjah lamunannya. Dia menoleh ke belakang. Sara berdiri di pintu sambil mengelek sebuah fail dan case laptopnya. Dia tersenyum manis. Semakin manis dengan padanan tudung Arlene berwarna ungu lembut dan rambut yang disanggul tinggi. Nampak ayu dan sopan sekali, sesuai pula dengan susuk tubuhnya yang tinggi lampai itu.

“Orait!!” balas Johan sambil mengangkat tangan kirinya. Dia lekas-lekas menghabiskan sarapannya. “Sedap sungguh nescafe awak ni Sara. Rehat nanti saya nak lagi ok, dengan ais!” katanya lagi sambil tersenyum lebar. Sara tergelak kecil. Senang hatinya melihat senyuman Johan itu. Hatinya berbunga mekar. Kata-kata Johan semalam masih segar diingatan, terngiang-ngiang. Semalaman juga dia bermuhasabah. Johan dan Iskandar. 
Sesuatu telah diputuskan.

Sara sudah tekad untuk meluahkan isi hatinya kepada Johan. Dia akan luahkan segalanya. Biar Johan jelas dan pasti. Biar Johan tidak menduganya lagi. Biar Johan tidak sunyi lagi. Dan kalau boleh, dia juga mahu jelaskan kepada Johan tentang Anis, bekas kekasihnya yang tergamak mengkhianati cinta agung Johan selama ini. Biarlah, biar apa pun, Johan mesti tahu juga dan tidak lagi menunggu seperti anak kecil yang kematian ibunya. Selepas itu, segalanya akan diserahkan kepada Johan dan pada takdir. Biar Johan yang menentukannya. Jika Johan sudi, dia akan minta lelaki itu datang ke rumah dan selesaikan segalanya mengikut adat dan hukum. Sara tidak mahu buang masa memadu cinta. Dia mahu bahagia secara halal, dengan seorang lelaki bergelar suami. Dia akan pupuk cinta yang hadir selepas segalanya menjadi sah miliknya.
Dan Iskandar, dia mesti faham dan menerima keputusan ini.

******

“Sara, saya akan ke Dubai. Tuan minta saya ke sana dengan Cik Farahain,” Johan memulakan bicara. Dia memandang wajah Sara yang duduk dihadapannya itu. Ada riak-riak terkejut, tapi disembunyikan oleh ketenangan pada wajah wanita muda tersebut.

“Oh..berapa lama?” tanya Sara kembali. Dia tidak pasti adakah itu tindak balas yang sepatutnya diberikan. Mungkin Johan akan ceritakan juga. Ahh…bodohnya aku. Sebetulnya aku bertanya kenapa dengan Cik Farahain, kenapa tidak aku??

“Lima hari saja. Untuk berbincang dengan Syarikat Melati Cari Gali. Tuan mahu dimuktamadkan segera dan kita akan mulakan kerja-kerja awal di tapak hujung bulan depan, insya-Allah. Awak kena bantu saya tau di sini sepanjang ketiadaan saya nanti,” Johan menjelaskan lebih lanjut. Dia senyum. Sara membalas senyuman itu walau dihatinya membunga kesayuan.

“Ehmm..kalau awak tak kisah, saya nak luangkan masa lagi dengan awak hari ini, boleh Sara?”

“Err..hari ini?” Sara seolah-olah terkejut dengan permintaan Johan itu. Dia masih memikirkan kunjungan berdua Johan ke Dubai, dan pasti, semuanya akan berubah kelak. Hatinya semakin luluh.

“Ye..selepas waktu kerja. Pastikan semua kerja dibereskan, ok?” Johan segera membalas. Dia senyum lagi. Manis. Berseri. Sambil itu dia menarik gelas besar berisi air bali ais yang baru saja diletakkan oleh pelayan restoran tersebut. Air batu campur yang dipesan oleh Sara masih belum sampai.

“Encik Johan berapa lama di Dubai?..” tiba-tiba Sara bertanya lagi. Dia tidak memandang wajah Johan sebaliknya hanya merenung gelas yang sedang digenggam oleh Johan dihadapannya.

“Eh kan saya dah bagitahu tadi..lima hari. Awak ok ke Sara? Kenapa lain saja ni?”

“Eh ye ke..maafkan saya. Tak perasan pula Encik Johan dah beritahu tadi. Maafkan saya. Hmm…mana ABC saya ni. Lambatnya..”

Johan tidak membalas kata-kata Sara itu. Dia juga tidak senyum lagi. Sara dihadapannya kelihatan resah. Air mukanya seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Johan dapat mengesan perubahan pada wajah dan reaksi badan wanita itu. Selalunya dia tenang saja walau dalam apa jua keadaan sekalipun dan ketenangan itulah yang menyenangkan Johan selama berkerja dengan Sara. Tapi tengah hari ini, dia lain sekali. Jelas keresahan itu menyelubungi dirinya.

“Sara..” tiba-tiba Johan bersuara. “Awak ada masalah? Cuba kongsikan dengan saya..” katanya lagi.

“Ehmm…petang nanti ye Encik Johan. Kan kita nak keluar lagi. Petang ini saya akan temankan Encik Johan..”

Johan hanya mampu tersenyum. Hatinya juga resah kini. Sara..kenapa ruang ini yang tercipta untuk kita?   

Isnin, 25 Oktober 2010

Magika Yang Magis, Memukau!




Malam ni aku rasa mcm nak kongsi pengalaman yg aku kutip dua minggu lepas. Pengalaman yg mengujakan – menonton sebuah filem buatan anak Malaysia yg barangkali setaraf dengan produk luar negara, paling lekeh pun mungkin sebaris kalau nak dibandingkan ngan filem2 dr Thailand, pusat perfileman Asia yg cukup terkenal.

Filem yg aku maksudkan ialah Magika, buah tangan sulung dari trio bersaudara terulung negara kita iaitu Edry KRU. Filem ini khabarnya merupakan filem muzikal pertama di Malaysia, tak tahulah betoi ke tak. Kalau tak silap, filem Qabil Khusry Qabil Igam dulu pun bergenre muzikal jugak tapi mungkin tak sehebat Magika.

Muzikal dalam Magika memang menjadi. So tak hairanlah kalau filem ni dinobatkan sebagai Filem Terbaik dalam Festivel Filem Malaysia 2010. Sepanjang aku lepak dalam panggung, tak terase langsung bosan. Citernye sangat laju dan peralihan antara babak dibuat dengan kemas sampaikan penonton tak sedar dengan durasi filem ni.

Kalau tak silap, ada 14 buah lagu yang disampaikan. Lagu-lagu ni bukan setakat penyeri jalan cerita tetapi mengandungi skrip yg tersendiri untuk melengkapkan kisah yang disampaikan. Mudah katenye, setiap lagu ade cerita yg hendak disampaikan.

Filem ini mengisahkan tentang dua beradik yg tersesat ke alam bunian iaitu dunia Magika selepas keluar rumah pada waktu maghrib. Seperti yg aku katakan tadi, jalan ceritanya sgt pantas. Bermula dengan babak di rumah Ayu (Diana Danielle) diikuti insiden jatuh perigi buta oleh adiknya, Malik (Fimie Don), mereka berdua akhirnya terjun ke dunia bunian tersebut melalui pintu perigi berkenaan.

Ketika di Magika, Malik telah diculik oleh Nenek Kebayan (Ziana Zain). Dari sinilah cerita sebenar Magika bermula apabila Ayu berhadapan dengan pelbagai ujian untuk menyelamatkan adiknya itu. Ayu terpaksa berhadapan dengan kerenah Pak Pandir (Aznil Nawawi) dan isterinya, Mak Andeh (Raja Azura) di samping beberapa lagi watak ‘ternama’ dalam sejarah bangsa Melayu seperti  Hang Tuah Bersaudara (lakonan Saiful Apek dan rakan-rakan), Puteri Gunung Ledang, Mahsuri, Bawang Putih dan juga Bawang Merah.

Bagaimanapun Ayu bernasib baik kerana bertemu dengan Badang atau Bad lakonan Mawi  yang setia membantunya mencari Malik termasuk beberapa kali menyelamatkan Malik dari cengkaman Nenek Kebayan. Bagi aku, part paling menarik ialah ketika Ayu, Bad dan Malik berhadapan dengan Penunggu Tasik Chini lakonan M. Nasir yg boleh bertukar rupa menjadi naga dan manusia sewaktu menempuh halangan terakhir mereka.

Babak ini memaparkan teknologi CGI yang cukup menyerlah daripada KRU Studio meskipun sebahagian besar cerita Magik itu sendiri digarap oleh teknik CGI yang boleh dikatakan terbaik setakat ini di Malaysia selepas siri Cicak-Man dan beberapa filem lain terbitan kompeni David Teo. Tak kurang juga mungkin, ialah teknik penggandaan watak lakonan Maya Karin dalam babak-babak awal filem ini, sangat menjadi!

Kesimpulannye, bagi aku Magika memang harus dipuji sebagai produk 1Malaysia yang mengagumkan. KRU ketika ini sedang dalam proses menyiapkan buah tangan terbesar mereka iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Filem ini dikatakan bakal menjadi filem terbesar di negara ini kerana bertaraf Hollywood, malah sudah menerima tempahan daripada lebih 200 buah panggung di luar negara. Sama-sama kita nantikan. Aku dah tengok traillernye, memang sangat mengujakan. Epik. Klasik. Berkualiti.

Next : Enthuran dan Jangan Pandang Belakang Congkak 2.

Nota : Anis Madhihah [Final] masih di peringkat akhir penulisan, insya-Allah akan disiarkan bila sudah bersedia. Selain itu, cerpen "Mak, Adik Nak ke Putrajaya" juga akan saya siarkan (sekadar suka-suka) lepas frust tak dapat join pertandingan yg dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya baru-baru ni.. 

Jumaat, 15 Oktober 2010

Amal Kaseh.




Alhamdulillah..semuanya ikut perancangan =)

Buat pertama kali, saya akan ke rumah anak yatim bagi menjalankan kerja-kerja amal di sana. Agak lewat sebenarnya kerana pada usia begini baru hendak jenguk dunia anak-anak malang ini, tetapi biarlah langkah pertama ni membawa anjakan yang lebih besar kelak, insya-Allah.

Semalam, bersama rakan-rakan, kami bertungkus-lumus menyediakan alatan-alatan yang akan dibawa pada hari Sabtu ini. Masing-masing sibuk dengan kerja yang diagihkan. Saya cuma membantu menggunting huruf-huruf blok dan memotong lipatan kertas keras yang diarahkan. Niat nak tolong lebih tapi risau bila tengok semuanya tekun dengan bahagian sendiri. So, banyaknya saya cuma jadi pemerhati ajelah =).

Apa yang menarik semalam, saya berada dalam kumpulan manusia yang berbeza kognitif. Rakan-rakan saya kesemuanya dari aliran berbeza berbanding saya dan seorang lagi rakan dan kebetulan, hanya kami berdua saja yang berusia lebih (sedikit saja hehe..). Yang menariknya, kerja-kerja kami boleh dikatakan melibatkan aplikasi seni dan sastera. Namun kerana yang mengepalai dan mendominasi kerja semuanya budak sains, maka ia kelihatan janggal! Apa-apa pun inilah keunikan berada di USM, menggabungkan manusia yang pelbagai akar fikir.

Semoga segala perancangan kami terus berjalan lancar dan menjadi realiti, esok..insya-Allah.

Selasa, 12 Oktober 2010

Tolak Bala



Kita tidak suka menjangkakan hal-hal yang buruk. Sifat kita barangkali, sentiasa inginkan sesuatu yang baik. Ketika saya kecil dahulu, saya selalu mengikut ayah ke upacara tolak bala. Tipikal bunyinya tetapi ia benar-benar berlaku dalam masyarakat Melayu Islam tidak lama dahulu.

Pernah satu ketika, saya bertanya kepada ustaz di sekolah, apakah ada dalam ajaran Islam upacara demikian. Kata ustaz, memang ada dan memang diajarkan doa-doa khusus untuk kita amalkan ketika berhadapan dengan sebarang musibah, tetapi bukanlah dengan cara menterbalikkan tapak tangan ketika berdoa!

Antara upacara penting yang pernah saya ingat ialah ketika kampung saya dilanda musibah besar – diserang oleh Orang Minyak! Ini peristiwa besar dan cukup penting dalam diari hidup saya sebagai budak kampung. Ia catatan pengalaman yang cukup berguna, tetapi membuatkan saya tergelak sinis ketika menonton filem Orang Minyak versi moden tidak lama dahulu. Tidak sama langsung.

Serangan Orang Minyak berlaku dalam tempoh yang lama, hampir sebulan juga rasanya. Setiap malam ada saja gangguan dan tidak sedikit mangsa yang berjaya diperangkap oleh Orang Minyak tersebut. Maka berikhtiarlah sekian bomoh dan dukun yang ada bagi menghalau manusia iblis tersebut. Pihak jemaah kampung turut mengadakan majlis atau upacara tolak bala.

Ritualnya agak unik. Ia tidak dilakukan di mana-mana rumah. Dalam sebuah kampung, biasanyakan akan dijalankan tiga kali upacara dalam hari yang berbeza secara berturut-turut. Ia akan dimulakan di bahagian atau kawasan paling hujung kampung, disusuli di bahagian tengah dan penutupnya di bahagian awal atau hilir kampung terbabit.

Ketika itu, ritual pertama dijalankan di kawasan air terjun yang terletak di hujung kampung saya. Kaum wanita tidak dibenarkan hadir sama sekali. Setiap lelaki atau ketua rumah yang datang akan membawa juadah yang tidak boleh disentuh sebelum ritual dijalankan. Ketika ritual tolak bala pula, seorang Imam akan membaca doa-doa khas yang dipetik daripada ayat-ayat suci al-Quran manakala jemaah pula akan menadah tangan secara terbalik. Saya pernah bertanya kepada ayah kenapa begitu, jawab ayah, sebagai simbol menolak bala yang berlaku. Saya tidak pasti langsung kerelevenannya.

Saya berpeluang mengikuti kesemua upacara tolak bala tersebut. Bukan hendak makan sangat pun tetapi seronok bila dapat turut serta dengan orang-orang yang lebih dewasa dalam majlis-majlis yang penting begitu. Mungkin juga fitrah budak, maka saya tidaklah hairan sangat dengan hasilnya. Seingat saya, Orang Minyak masih tetap mengganas sehinggalah ia ditangkap oleh seorang dukun wanita yang muda dan cantik pada suatu hari.

Malangnya saya tidak dibenarkan oleh ayah untuk ikut serta dalam ritual penangkapan tersebut, begitu juga dengan sebahagian besar penduduk kampung yang lain. Atas permintaan dukun itu sendiri maka hanya dua tiga orang saja yang dibenarkan mengikuti upacara tersebut dan ayah salah seorang daripadanya. Namun seperti sudah diperjanjikan, kesemua mereka langsung tidak membuka mulut tentang peristiwa penangkapan tersebut hingga ke hari ini.

Upacara tolak bala lain yang pernah saya sertai ialah ketika negara dilanda serangan virus JE, lama dahulu. Kampung saya juga menerima tempiasnya menyebabkan para penduduk sepakat mengadakan upacara tersebut. Ia seolah-olah menjadi suatu nilai pegangan yang dikongsikan secara turun temurun atau dalam istilahnya, konvensional di mana setiap orang akan berpegang kepada sesuatu adat dan kepercayaan tanpa banyak mempersoalkannya.

Dalam konteks ini, jika ada yang menolak atau tidak mahu turut serta, orang tersebut dianggap sebagai menolak konvensi yang disepakati dan dia secara sosialogisnya, terkeluar daripada rukun bermasyarakat. Inilah uniknya orang silam, tetapi tidak lagi berlaku dalam dunia individualistik hari ini.

Hari ini kita terlalu individualistik. Kita tidak lagi memilih jalan hidup bermasyarakat, malah dalam banyak keadaan, kita cuba lari daripadanya. Bagi saya, ini sangat menyedihkan. Adakah kita sedia untuk kembali kepada akar silam budaya kita?  

Sikap Kita



Ada satu ungkapan yang selalu buat saya berfikir berkali-kali. Tuhan menemukan kita dengan orang yang salah sebelum ditemukan kita dengan orang betul. Saya tidak pasti adakah ini ungkapan yang sahih dan ada nasnya atau mungkin sedakar ungkapan pemujukan.

Hari ini saya duduk di dalam sebuah kuliah yang menyegarkan. Pensyarah berkongsi ilmu dan pengalamannnya yang sesekali diiringkan dengan kata nasihat yang berguna. Salah satunya, beliau menggunakan perumpamaan yang hampir atau mirip sama dengan maksud ungkapan di atas.

Kata beliau, jangan kita menyesal jika hari ini kita gagal, tetapi menyesallah kalau hari esok kita masih gagal dan gagal dan terus gagal pada hari-hari berikutnya. Saya terfikir, mungkin, apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah kita hendaklah merancang sesuatu sebelum melakukannya. Kalau itulah maksudnya, maka saya pasti, kita sentiasa ada sebab bila gagal.

Namun bila beliau menggunakan contoh lain, iaitu dalam konteks hubungan sesama manusia – kerana kursus tersebut relate dengan hubungan manusia sesama manusia – maka saya lagi berfikir, ada benarnya juga ungkapan yang awal tadi.

Kita ditemukan dengan seseorang yang salah, sebelum ditemukan dengan orang yang betul, bagi saya ialah proses biasa dalam kita menjalani kehidupan bersosial. Kita tidak mampu menentukan orang lain, sama seperti orang lain tidak mampu menentukan kita.

Dalam membina perhubungan, kita membina satu garis dasar tentang apa yang kita perlu lakukan dan apa yang tidak boleh kita lakukan dan ia berlaku sejak awal proses tersebut bermula, hinggalah ke akhirnya. Atau lebih tepat, dari masa ke masa. Kita seboleh mungkin cuba memberitahu pasangan kita tentang apa yang kita suka dan kita juga mahu dia tahu apa yang kita tidak suka dengan hasrat, dia tidak akan melakukannya.

Namun, secara sedar ataupun tidak, kerana kita sering cuba menetapkan itu ini, walaupun dalam kehendak sendiri, ia berpotensi menjadi alasan keretakan dalam binaan perhubunga tersebut. Jika parah, akhirnya runtuh.

Bagaimana? Begini. Saya pernah melalui proses tersebut. Saya pernah membina suatu hubungan yang serius. Masa yang lama diambil sebelum saya berasa puas dengan binaan yang sedang saya miliki. Lantaran sudah terlalu yakin, maka saya sering kali terlupa bahawa asas binaan itu melibatkan dua perkara yang sangat kuat wujudnya dalam diri manusia iaitu emosi dan spiritual.

Sering kali saya terbabas dan melanggar binaan saya sendiri dan tanpa saya sedar, ia menjadi semakin lemah. Strukturnya lekas goyah kerana sikap saya. Sikap yang bagaimana? Ia boleh saya katakan, antara lain seperti ego, tinggi diri, rasa diri saja yang betul dan mahu pasangan ikut setiap kemahuan saya sedangkan pada masa yang sama, saya abaikan emosi dan spiritual pasangan saya. Tentunya dia juga mempunyai keinginan dan kehendak sendiri. Dari situ maka tercetuslah konflik. Ia mudah, tapi kesannya parah.

Semua ini berlaku kerana sikap kita yang suka membiasakan diri dengan keadaan. Kalau boleh, apa pun kita cuba biasakan sehingga sampai satu tahap atau keadaan, kita kehilangan keistimewaan yang tersirat disebaliknya. Percayalah, ia sangat merugikan.

Suatu hubungan yang positif harus memiliki nilai-nilai keistimewaan. Ia mungkin hadir melalui kreativiti dan berusaha menghindari kebiasaan. Mungkin sukar tapi tidak mustahil dilakukan walau dalam jarak yang jauh sekalipun.

Ramai yang mengaku faham pasangan masing-masing tetapi sejauh mana? Ia bukan soal mencari teman yang sekepala kerana ramai yang menemui pasangan masing-masing dari haluan atau bidang yang berbeza sama sekali. Misalnya, seorang guru sejarah berkahwin dengan seorang guru matematik. Secara biologi dan psikologi, kedua-duanya mempunyai asas pemikiran yang sangat berbeza tetapi mereka masih boleh bersama, bahkan bahagia.

Memahami pasangan bukanlah suatu proses yang mudah. Ia bergantung kepada kreativiti masing-masing. Dalam keadaan hujan dan berkongsi payung sekalipun, kita masih mampu bertengkar jika tidak faham sikap pasangan kita.

Jika hari ini kita gagal dalam suatu perhubungan, usahlah menuding jari mencari salah pasangan kita. Tanyalah diri sendiri di mana kekurangan kita. 

Isnin, 11 Oktober 2010

Malaysian Women Are Lazy?

Tadi gua lepak kat atas bukit sana..pastu gua pusing2, then gua stop kat kafe baru kat Bakti tu..hajat nak tapau nasik..alhamdulillah, byk lauk kat sane so gua pun layan la cedok lauk2 yg gua nak...


tetengah dok cedok, tetibe tinga gua panass..gua dengar sorang mamat ni - orang asing - sembang ngan tokey cafe tu...dari awal lg gua dah dengar ape yg diorang ckp, tp bila part dye tanye somthing kat tokey tu, terus gua toleh tengok kat dye..tau ape dye tanye??


"Why Malaysian ladies they are lazy??"


Bukan aku je yg toleh kat dye, otomatik due tige org awek yg ade kat situ pun same angkat kepale tgk kat mamat tu ngan tokey cafe..ishhh...apehal brader ni ttbe main isu gender plak ni..aku dah hangin hnssssssss..


"They love to eat outside.." sambung dye..fuhh..naseb ko baik brader..aku pun kembali mencedok lauk2 kat depan mate aku tu..perot dah berkugiran sakan dah ni..sambil tu aku bukak tinga leluas, nak dengar ape jawapan tokey cafe tu plak..


"No..u're wrong..normally they cook at nite. Mostly they are working here n they dun have much time to cook for lunch"


Perghh..naseb baik tokey tu pandai cilok..gua tau dye pun tipu je hehe..hakikatnye memang ramai kaum hawa kat Mesia ni yg malas masak...termasuk yg kerje kat USM ni..tp pencilokan oleh tokey cafe tersebut telah menyelamatkan saham wanita2 kat Mesia di mata orang asing..


Tp mamat tu still tak puas hati..dye cube buat comparisson..


"In my country, there are a small numbers of restoran..they love to eat at home!!"


Ciss..memang la bang...lu country mana? Sini Mesia. Ekonomi sini makmur. Rakyat cukup makan, kdg2 terlebih makan..gua very sure mamat ni paling tak pun dari India klu ikutkan style dye cakap n slang dye gune..tak pun Pakistan, mebi. Bukan Denmark, bukan Perancis, bukan bukan dan bukan..so tak yah la nak tunjuk lagak kat sini okeh.


Gua hangin. Gua bayar. Pastu gua blah..mamat tu try senyum kat gua. Dye cakap Helo. Heh...gua senyum then blah camtu je. Gua start moto. Sampai bilik gua makan. Lapar..burrrppppp alhamdulillah. Gua kenyang.


sekian.