Kita tidak suka menjangkakan hal-hal yang buruk. Sifat kita barangkali, sentiasa inginkan sesuatu yang baik. Ketika saya kecil dahulu, saya selalu mengikut ayah ke upacara tolak bala. Tipikal bunyinya tetapi ia benar-benar berlaku dalam masyarakat Melayu Islam tidak lama dahulu.
Pernah satu ketika, saya bertanya kepada ustaz di sekolah, apakah ada dalam ajaran Islam upacara demikian. Kata ustaz, memang ada dan memang diajarkan doa-doa khusus untuk kita amalkan ketika berhadapan dengan sebarang musibah, tetapi bukanlah dengan cara menterbalikkan tapak tangan ketika berdoa!
Antara upacara penting yang pernah saya ingat ialah ketika kampung saya dilanda musibah besar – diserang oleh Orang Minyak! Ini peristiwa besar dan cukup penting dalam diari hidup saya sebagai budak kampung. Ia catatan pengalaman yang cukup berguna, tetapi membuatkan saya tergelak sinis ketika menonton filem Orang Minyak versi moden tidak lama dahulu. Tidak sama langsung.
Serangan Orang Minyak berlaku dalam tempoh yang lama, hampir sebulan juga rasanya. Setiap malam ada saja gangguan dan tidak sedikit mangsa yang berjaya diperangkap oleh Orang Minyak tersebut. Maka berikhtiarlah sekian bomoh dan dukun yang ada bagi menghalau manusia iblis tersebut. Pihak jemaah kampung turut mengadakan majlis atau upacara tolak bala.
Ritualnya agak unik. Ia tidak dilakukan di mana-mana rumah. Dalam sebuah kampung, biasanyakan akan dijalankan tiga kali upacara dalam hari yang berbeza secara berturut-turut. Ia akan dimulakan di bahagian atau kawasan paling hujung kampung, disusuli di bahagian tengah dan penutupnya di bahagian awal atau hilir kampung terbabit.
Ketika itu, ritual pertama dijalankan di kawasan air terjun yang terletak di hujung kampung saya. Kaum wanita tidak dibenarkan hadir sama sekali. Setiap lelaki atau ketua rumah yang datang akan membawa juadah yang tidak boleh disentuh sebelum ritual dijalankan. Ketika ritual tolak bala pula, seorang Imam akan membaca doa-doa khas yang dipetik daripada ayat-ayat suci al-Quran manakala jemaah pula akan menadah tangan secara terbalik. Saya pernah bertanya kepada ayah kenapa begitu, jawab ayah, sebagai simbol menolak bala yang berlaku. Saya tidak pasti langsung kerelevenannya.
Saya berpeluang mengikuti kesemua upacara tolak bala tersebut. Bukan hendak makan sangat pun tetapi seronok bila dapat turut serta dengan orang-orang yang lebih dewasa dalam majlis-majlis yang penting begitu. Mungkin juga fitrah budak, maka saya tidaklah hairan sangat dengan hasilnya. Seingat saya, Orang Minyak masih tetap mengganas sehinggalah ia ditangkap oleh seorang dukun wanita yang muda dan cantik pada suatu hari.
Malangnya saya tidak dibenarkan oleh ayah untuk ikut serta dalam ritual penangkapan tersebut, begitu juga dengan sebahagian besar penduduk kampung yang lain. Atas permintaan dukun itu sendiri maka hanya dua tiga orang saja yang dibenarkan mengikuti upacara tersebut dan ayah salah seorang daripadanya. Namun seperti sudah diperjanjikan, kesemua mereka langsung tidak membuka mulut tentang peristiwa penangkapan tersebut hingga ke hari ini.
Upacara tolak bala lain yang pernah saya sertai ialah ketika negara dilanda serangan virus JE, lama dahulu. Kampung saya juga menerima tempiasnya menyebabkan para penduduk sepakat mengadakan upacara tersebut. Ia seolah-olah menjadi suatu nilai pegangan yang dikongsikan secara turun temurun atau dalam istilahnya, konvensional di mana setiap orang akan berpegang kepada sesuatu adat dan kepercayaan tanpa banyak mempersoalkannya.
Dalam konteks ini, jika ada yang menolak atau tidak mahu turut serta, orang tersebut dianggap sebagai menolak konvensi yang disepakati dan dia secara sosialogisnya, terkeluar daripada rukun bermasyarakat. Inilah uniknya orang silam, tetapi tidak lagi berlaku dalam dunia individualistik hari ini.
Hari ini kita terlalu individualistik. Kita tidak lagi memilih jalan hidup bermasyarakat, malah dalam banyak keadaan, kita cuba lari daripadanya. Bagi saya, ini sangat menyedihkan. Adakah kita sedia untuk kembali kepada akar silam budaya kita?
0 comments:
Catat Ulasan