Selasa, 12 Oktober 2010

Sikap Kita



Ada satu ungkapan yang selalu buat saya berfikir berkali-kali. Tuhan menemukan kita dengan orang yang salah sebelum ditemukan kita dengan orang betul. Saya tidak pasti adakah ini ungkapan yang sahih dan ada nasnya atau mungkin sedakar ungkapan pemujukan.

Hari ini saya duduk di dalam sebuah kuliah yang menyegarkan. Pensyarah berkongsi ilmu dan pengalamannnya yang sesekali diiringkan dengan kata nasihat yang berguna. Salah satunya, beliau menggunakan perumpamaan yang hampir atau mirip sama dengan maksud ungkapan di atas.

Kata beliau, jangan kita menyesal jika hari ini kita gagal, tetapi menyesallah kalau hari esok kita masih gagal dan gagal dan terus gagal pada hari-hari berikutnya. Saya terfikir, mungkin, apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah kita hendaklah merancang sesuatu sebelum melakukannya. Kalau itulah maksudnya, maka saya pasti, kita sentiasa ada sebab bila gagal.

Namun bila beliau menggunakan contoh lain, iaitu dalam konteks hubungan sesama manusia – kerana kursus tersebut relate dengan hubungan manusia sesama manusia – maka saya lagi berfikir, ada benarnya juga ungkapan yang awal tadi.

Kita ditemukan dengan seseorang yang salah, sebelum ditemukan dengan orang yang betul, bagi saya ialah proses biasa dalam kita menjalani kehidupan bersosial. Kita tidak mampu menentukan orang lain, sama seperti orang lain tidak mampu menentukan kita.

Dalam membina perhubungan, kita membina satu garis dasar tentang apa yang kita perlu lakukan dan apa yang tidak boleh kita lakukan dan ia berlaku sejak awal proses tersebut bermula, hinggalah ke akhirnya. Atau lebih tepat, dari masa ke masa. Kita seboleh mungkin cuba memberitahu pasangan kita tentang apa yang kita suka dan kita juga mahu dia tahu apa yang kita tidak suka dengan hasrat, dia tidak akan melakukannya.

Namun, secara sedar ataupun tidak, kerana kita sering cuba menetapkan itu ini, walaupun dalam kehendak sendiri, ia berpotensi menjadi alasan keretakan dalam binaan perhubunga tersebut. Jika parah, akhirnya runtuh.

Bagaimana? Begini. Saya pernah melalui proses tersebut. Saya pernah membina suatu hubungan yang serius. Masa yang lama diambil sebelum saya berasa puas dengan binaan yang sedang saya miliki. Lantaran sudah terlalu yakin, maka saya sering kali terlupa bahawa asas binaan itu melibatkan dua perkara yang sangat kuat wujudnya dalam diri manusia iaitu emosi dan spiritual.

Sering kali saya terbabas dan melanggar binaan saya sendiri dan tanpa saya sedar, ia menjadi semakin lemah. Strukturnya lekas goyah kerana sikap saya. Sikap yang bagaimana? Ia boleh saya katakan, antara lain seperti ego, tinggi diri, rasa diri saja yang betul dan mahu pasangan ikut setiap kemahuan saya sedangkan pada masa yang sama, saya abaikan emosi dan spiritual pasangan saya. Tentunya dia juga mempunyai keinginan dan kehendak sendiri. Dari situ maka tercetuslah konflik. Ia mudah, tapi kesannya parah.

Semua ini berlaku kerana sikap kita yang suka membiasakan diri dengan keadaan. Kalau boleh, apa pun kita cuba biasakan sehingga sampai satu tahap atau keadaan, kita kehilangan keistimewaan yang tersirat disebaliknya. Percayalah, ia sangat merugikan.

Suatu hubungan yang positif harus memiliki nilai-nilai keistimewaan. Ia mungkin hadir melalui kreativiti dan berusaha menghindari kebiasaan. Mungkin sukar tapi tidak mustahil dilakukan walau dalam jarak yang jauh sekalipun.

Ramai yang mengaku faham pasangan masing-masing tetapi sejauh mana? Ia bukan soal mencari teman yang sekepala kerana ramai yang menemui pasangan masing-masing dari haluan atau bidang yang berbeza sama sekali. Misalnya, seorang guru sejarah berkahwin dengan seorang guru matematik. Secara biologi dan psikologi, kedua-duanya mempunyai asas pemikiran yang sangat berbeza tetapi mereka masih boleh bersama, bahkan bahagia.

Memahami pasangan bukanlah suatu proses yang mudah. Ia bergantung kepada kreativiti masing-masing. Dalam keadaan hujan dan berkongsi payung sekalipun, kita masih mampu bertengkar jika tidak faham sikap pasangan kita.

Jika hari ini kita gagal dalam suatu perhubungan, usahlah menuding jari mencari salah pasangan kita. Tanyalah diri sendiri di mana kekurangan kita. 

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

betul tu..cari kesalahan diri sendiri dulu..