Khamis, 11 November 2010

Angin Gunung Kampung Kememeh [Part 2]


Setelah berbasa-basi, dan sebelum aku dengan nekadnya mengusulkan pertanyaan tersebut, pak cik tua itu akhirnya memperkenalkan dirinya. Namanya Hamad. Dipanggil orang Pak Su Hamad. Ah, aneh bukan. Setelah jauh bergurau berbual berbasa-basi itu ini baru masuk bab pengenalan. Ia seperti prolog di tengah-tengah cerita, yang dibina supaya khalayak kembali ke titik awal ketika plot semakin tegang!

Tetapi dalam situasi kami, aku tidak pasti siapa yang sengaja mencipta keadaan tersebut. Mungkin aku yang sepatutnya memperkenalkan diri lebih awal, atau setidak mungkin, dengan sendirinya menghulurkan namaku supaya dia kenal ketika kami belum memulakan perbualan yang lebih serius. Tapi sudah aku katakan, aku memang dhoif dalam bab sosial begitu.

“Pak Su, boleh saya tanya something? Eh silap, sesuatu??”

“Apa dia, nak?” balas orang tua sambil senyum. Dia kembali merenungi aku dengan anak matanya yang seolah ditarik masuk ke dalam tengkorak kepalanya itu.

“Ehmm..macam mana ye nak cakap,” aku hanya tersengih kering. Sebetulnya aku takut-takut nak menanyakan perkara tersebut. Bimbang kalau tersalah cakap. Tiba-tiba aku teringatkan sepupuku itu. Elok aku jadikan dia sebagai modal!

“Haa..macam ni Pak Su,” kataku, “sepupu saya, Hadi anak Pak Lang Abas tu, kenal kan? Tak lama dulu dia pernah ceritakan kepada saya sesuatu. Dia bagitahu, di kampung ini dulu pernah jadi satu peristiwa berantakan dalam sebuah keluarga. Sampai berbunuh. Pak Su tahu ceritanya?”

“Sepupu kamu tu lelaki ke perempuan?” tanya orang tua itu pula. Aku kehairanan. Masuk tajukkah soalannya itu. Bukankah tadi aku sudah bilang namanya Hadi?

“Lelaki, Pak Su. Namanya, Hadi. Abdul Hadi,” beritahuku dalam nada yang berbaur mengeluh. Kalau dia tanya lagi, aku akan ulang lagi. Kalau dia masih tanya juga lagi, pun, aku tetap akan ulang lagi. Sebab aku nak dia buka mulut pasal cerita itu. Aku mesti dapatkan ceritanya andai tiada lagi peluang kali kedua bertemu dengan orang tua seperti Pak Su Hamad itu. Diam-diam aku menyeluk saku, mencapai Sony 770i dan menekan beberapa punat. Aku mahu rakam perbualan tersebut!

“Anak Abas tu? Kalau dia, betullah tu. Memang betullah cerita yang kau dengar tu. Kampung ni ada dua orang nama Abas. Satu Abas di hujung kampung, anak Pendekar Sulong. Satu lagi, Abas bapaknya Hadi tu, Pak Lang kamu,” jelas orang tua itu kepadaku. Dia kembali melontarkan pandangannya ke tengah sawah.

Beberapa kawan burung pipit terbang riuh bercicip melintasi kami sebelum hinggap di hujung tangkai pepadi yang sedang sarat menanti waktu dituai. Tak lama lagi pasti bingitlah kampung dengan mesin-mesin padi milik Haji Hussein itu. Dia usahawan  pertanian terkenal di daerah ini. Hadi selalu juga bercerita tentang lelaki tersebut. Dia ada anak gadis kembar dua pasang, kesemuanya comel-comel genit. Salah seorangnya, buah hati Hadi. Tak guna! Budak kampung pun dah pandai bercintan-cintun sekarang ini. Aku yang duduk dan membesar di bandar pun tak pernah terlintas mahu bermain gadis!

“Jadi, Pak Su pun tahulah ya?” soal aku pula.

“Semua orang kampung ni tahu, nak.”

“Saya benar-benar nak tahu dari awal sampai habis ceritanya, Pak Su!”

Tiba-tiba orang tua itu meningkah, “Kamu nak tahu kenapa? Kamu bukan orang sini!” Dia merenung tajam, tepat ke mataku. Aku jadi hilang punca. Sesal kemudian, benar tiada gunanya. Ikut hati, benar, bisa-bisa membawa mati. Kalau orang tua ini silap-silap ahli keluarga tersebut, memang matilah aku!

“Ma..ma…maafkan saya Pak Su!” kataku tergagap-gagap dan seolah-olah merayu.

“Hmm..” dia bersuara kembali setelah senyap seketika. “Tak ada orang kampung ini yang ingin buka kembali cerita tersebut. Sejak dua belas tahun yang lalu, semua orang di sini, termasuk kampung aku di sebelah sana, semua seolah mahu melupakan apa yang dah terjadi. Malapetaka besar!” jelas Pak Su Hamad kepadaku. Namun pasti, kukirakan, dia baru memulakan introduksi kepada cerita yang sebenar dan aku sangat berharap, cerita itu bisa lengkap petang itu juga.

“Maksud Pak Su?”

Pak Su Hamad tidak memberikan sebarang reaksi terhadap soalan tidak semena aku itu. Dia mengibas-ngibas lagi kain selempangnya. Agas berterbangan mengelilingi kepalanya bercempara lari sebelum datang kembali menghurung jasadnya itu. Agas itu agas-agas kerbau, bahkan mungkin agas-agas babi hutan yang biasa berkeliaran di kawasan semak di sekitar kampung. Kalau kerbau, mungkin ada dekat-dekat dengan sawah ini saja aku kira. Untuk seketika, suasana menjadi sepi. Cicip-cicip pipit sawah juga tiba-tiba sepi.

Aku terus sabar menanti. Aku congak-congak kembali. Rasanya soalan tadi sudah menepati piawaian kehendakku sendiri. Dan kalau kira kesesuaiannya juga, ia selari dengan santunan berbahasa. Jelas aku tidak berbiadap sedikitpun dengan soalan tersebut. Mungkin orang tua itu sedang memutar kembali peti memorinya. Maklumlah, barang lama, susah nak dipanggil semula lebih-lebih lagi jika upaya ingatannya tinggal beberapa peratus saja.

“Esok petang kau ada apa nak dibuat?” tiba-tiba dia mengajukan soalan itu kepadaku.

“Kenapa Pak Su?” tanyaku kembali, inginkan kepastian. Tetapi segera itu juga aku putuskan 
untuk menjawab soalannya tanpa banyak berbicara lagi. Aku memang free petang esok.

“Tunggu di sini, jam ini, petang esok. Aku bawak kau ke rumah arwah,” jawab Pak Su Hamad sekaligus menjawab segala persoalan aku tadi. Kini tahulah aku, Pak Su Hamad sedang benar-benar membuka cerita tragis yang berlaku dua belas tahun yang lalu, yang tidak dilaporkan oleh mana-mana akhbar atau berita TV, dan aku bakal mencipta rekod. Laporan dari lokasi kejadian selepas dua belas tahun ia terperap tanpa sebarang pembongkaran! Ini sudah bagus. Esok, pasti aku datang tunggu orang tua itu di pangkin ini. Pasti ada sesuatu!

0 comments: