Benar. Manusia hebat ada di mana-mana. Kadang-kadang, di sebelah rumah kita sendiri ada manusia hebat. Mereka tak semestinya bertali leher dan bertuksedo kemas atau mengemudi konglomerat besar bertaraf global. Tak perlu jadi Bill Gates atau mendiang Steve Jobs. Tak perlu berdiri di rostrum United Nations dan bercakap tentang global warming untuk jadi manusia hebat.
Itulah yang saya alami pada petang tadi. Sebermula kembara hingga kenal manusia hebat ini, ialah apabila saya menerima panggilan dari guru sekolah lama saya. Ada kunjungan ke Pulau Pinang, dan mereka menjemput saya menyertai rombongan tersebut. Sesudah meninjau barang-barang lama di Muzium USM dan singgah di Masjid Al-Khalid Malik untuk menunaikan solat Zuhur, kami langsung ke Bukit Bendera.
Adik-adik dari SMK Sg Bayor
Kunjungan ke Bukit Bendera atau lebih dikenali sebagai Penang Hill bagi warga kota itu, tak lama. Kami cuma mahu menyediakan sedikit pengalaman buat adik-adik menaiki kereta api yang mendaki salah sebuah bukit di Pulau Pinang. Nostalgia lama bersesak dalam kabin klasik, hanya tinggal dalam ingatan bagi kami tetapi tidak bagi adik-adik peserta rombongan yang rata-ratanya baru pertama kali menjejakkan kaki ke bukit yang pernah mengayakan penjarah Inggeris itu.
Kereta api gasak sekali memecut ke puncak. Tak sampai 5 minit. Kami tiba dan langsung saja ke food court. Saya memesan ais kacang istimewa. Cikgu Naja dan Cikgu Anwar juga, berserta semangkuk laksa Penang masing-masing. Suasana di puncak petang tadi agak dingin. Pemandangan pula umpama melihat dengan mata burung, cerah dan menarik.
Pemandangan di separuh dari ketinggian Bukit Bendera
Setelah berkeliaran sekejap di puncak itu, kami turun. Seperti ketika naik, perjalanan turun juga terlalu sekejap. Tidak ada nilai-nilai classic yang dahulunya hanya ada pada kabin kereta api Bukit Bendera, yang kononnya terkenal seantero dunia itu, pada kabin baru ini. Yang ada hanya nilai komersial dan sedikit keselesaan – masih perlu bersesak – akibat hawa dingin dan sistem suspensi kren yang lebih baik.
Selepas kunjungan singkat ke Bukit Bendera itu, saya terpaksa berpisah dengan rombongan mereka. Saya perlu pulang bagi menyiapkan baki kerja-kerja terjemahan. Rombongan terus ke Batu Feringgi untuk bermalam di sana. Justeru, saya terpaksa mengambil bas laju Rapid Penang, yang sebenarnya lembab juga, untuk pulang.
Ketika menunggu bas itulah, saya berpeluang bertemu dengan seorang manusia hebat. Hebatnya manusia ini adalah kerana beliau mampu berbahasa dalam pelbagai jenis bahasa utama dunia. Pertama, beliau seorang lelaki Melayu, dikenali sebagai Mamu dan amat pekat dialek Tanjungnya. Kedua, saya mendengar beliau berbual melalui telefon dalam bahasa Siam dan Inggeris yang sangat sempurna. Saya menegurnya. Kami berbual seketika. Kemudian, saya lihat dia melayan pula sepasang pelancong dari Jerman dengan ramah dalam bahasa Jerman yang sangat baik.
Dan ketika di dalam bas, sekali lagi saya terkejut apabila melihat lelaki itu membantu sepasang pelancong dari Iran dalam bahasa Parsi yang cukup-cukup-cukup-cukup baik. Seperti tidak percaya. Bukan saya seorang, tetapi semua penumpang senyum dan ada yang menggelengkan kepala seolah-olah tidak percaya langsung dengan kemampuan lelaki tersebut berbahasa asing dengan sempurna. Suaranya pula lantang hingga boleh didengar oleh semua penumpang. Lebih istimewa, lelaki itu memang peramah dan sentiasa mahu menolong para pelancong luar.
Kalau ditanya, apakah benih yang boleh dilemparkan ke tengah laut untuk menghasilkan sebuah pulau, saya fikir inilah benihnya. Lelaki ini kalau dilemparkan ke mana pun, pasti boleh hidup dan boleh berjasa kepada orang lain. Sayang sekali saya terlupa untuk mengambil gambarnya. Insya-Allah, kalau berkesempatan saya akan mengunjunginya lagi kerana beliau memang berkhidmat di Bukit Bendera. Jarang ada lelaki hebat seperti beliau. Oh ya, lelaki ini simple. Hanya bersinglet hitam dan bertopi dengan imej ranggi walaupun sudah berusia. Mudah saja untuk mengenalinya.
0 comments:
Catat Ulasan