Ahad, 13 November 2011

Royal Belum – My Royal Note [Chapter 3]





Cabaran Bermula

Kami memulakan cabaran hari kedua di Pulau Pertanian dengan aktiviti water confident. Walaupun aktiviti ini sepatutnya dilakukan ketika kami tiba semalam, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana faktor cuaca gelap dan peralatan yang belum tersedia lengkap.

Sebatang kayu balak bersaiz besar dijadikan sebagai jeti bergerak atau mudah alih yang sentiasa terapung di tebing pulau. Pada batang kayu itulah kami diterajang turun ke dalam tasik seorang demi seorang. Ada peserta yang menangis kerana ketakutan tetapi semua itu langsung tidak menyentuh hati para pegawai. Water confident amat mustahak kerana aktiviti-aktiviti kami seterusnya akan melibatkan bot dan air tasik, justeru sebarang ketakutan wajib dinyahkan segera.

Sewaktu berendam di dalam tasik itu kami diagih-agihkan pula ke dalam beberapa kumpulan kecil. Tugas itu amat menyulitkan kerana kami terpaksa mencari rakan-rakan kumpulan dengan berenang, memperkenalkan diri dan memilih nama kumpulan dalam masa yang amat singkat. Semuanya dilakukan dalam air. Sejuk, tentu sekali.

Selesai aktiviti tersebut, kami dikerah mendaki tebing pula. Sekali lagi kesulitan menanti kerana tebing ketika itu amat becak dan licin selepas dibadai hujan lebat pada sebelah malamnya. Ia perlu dilalui oleh lebih 60 orang, seorang demi seorang. Maka bergoleklah sekian banyak peserta ke dalam tasik seorang demi seorang juga lantaran tidak dapat mengerah tenaga mendaki tebing tersebut. Lucu, tetapi itu apabila dikenang pada hari ini. Apa yang kami rasakan ketika itu sebenarnya amat menyeksakan.

Selepas semua peserta berjaya naik ke tebing, kami dikerah berkumpul di asrama induk untuk mengikuti taklimat seterusnya. Kami dibekalkan dengan sebotol air mineral dan sebuku roti sebagai alas perut semasa menjalankan aktiviti seterusnya. Apakah aktiviti tersebut? Untuk seketika, kami langsung tidak diberikan hint mengenainya. Semuanya menjadi rahsia tetapi tidak pula kami tahu apakah motif ia dirahsiakan. Yang kami tahu ketika itu ialah penat, penat dan penat.

Kira-kira jam 10.00 pagi, kami sekali lagi dikerah turun ke jeti batang balak itu. Dalam keadaan yang masih basah kuyup, kami berbaris dalam kumpulan masing-masing. Saya berada dalam kumpulan kedua. Kumpulan pertama terlebih dahulu diarahkan berbaris di atas batang balak berkenaan sehingga bot tiba. Begitulah, sehingga semua kami dibawa oleh bot masing-masing ke destinasi yang kami sendiri belum tahu.

Keliling Sejarah 

Sejam dihenjutkan dasar perahu yang membelah tasik di awal pagi, kami pening-pening lalat ketika tiba di sebuah pulau yang dikatakan tidak pernah dihuni oleh seorang manusia pun. Di pulau itu, kami mendaki pula hingga ke puncak. Ia memakan masa hampir setengah jam sebelum kami diarahkan bersembunyi di balik pokok-pokok besar di sekitarnya. Ketika itu, barulah kami tahu bahawa kami akan mengintai kawanan gajah liar menjilat sira yang terdapat di puncak pulau tersebut.

Hampir sejam kami bersembunyi, menyorok penuh tanda tanya. Akhirnya, ketua rombongan kami memanggil semua peserta keluar dari persembunyian masing-masing dan berkumpul di lokasi sira tersebut. Beliau mula memberikan info yang sepatutnya.

Menurut beliau, nasib kami agak malang kerana gajah-gajah sudah ‘tahu’ kunjungan kami pada pagi itu. Kerana itulah kami tidak berpeluang melihat walau seekor gajah pun walaupun sepatutnya pada waktu itu ialah giliran kawanan gajah menikmati sira yang dikongsi bersama dengan binatang-binatang liar yang lain di pulau tersebut seperti harimau dan babi hutan.

Menurut beliau juga, sira ialah garam mineral semula jadi yang wujud di dalam tanah di situ. Ia berasa masin menyebabkan haiwan-haiwan amat menyukainya. Menariknya, setiap klan atau puak haiwan mempunyai giliran masing-masing untuk menikmati sira tersebut. Jika giliran gajah yang menjilatnya, maka haiwan-haiwan lain sama sekali tidak akan campur tangan. Cantik sekali aturan alam ini.

Pulau Dinousor

Selepas misi ‘skodeng’ yang gagal itu, kami pulang hampa menuju bot masing-masing. Kembara tasik diteruskan. Satu persatu bot berlepas gesit. Pulau tersebut dikelilingi buat kali terakhir. Daripada pemandu pelancong yang dibekalkan bagi setiap bot, kami diberitahu bahawa pulau-pulau yang terdapat di sekitar Tasik Banding sebenarnya berasal daripada bukit bukau dan gunung ganang yang ditenggelami air selepas terbinanya empangan utama. Puncak-puncak bukit yang berbaki di permukaan air itulah yang membentuk pulau-pulau tersebut.

Check point kami seterusnya ialah di sebuah pulau batu putih atau batu kapur yang kelihatan amat gagah dari jauh. Ia satu-satunya pulau batu kapur di situ, berwarna putih dan kelihatan amat berbeza berbanding pulau-pulau lain. Strukturnya tegak megah. Kami mengambil masa hampir setengah jam mengelilingi pulau tersebut.
Menurut tekong bot, pulau itu tidak pernah dijejaki oleh manusia hatta Orang Asli sekali pun kerana strukturnya yang rapuh dan dipenuhi bucu-bucu tajam. Apa yang menarik, pengunjung boleh melihat ratusan sarang lebah bersaiz besar di sekeliling dinding pulau batu kapur itu, tidak terusik langsung.

Tetapi ada fakta yang lebih menarik sebenarnya. Menurut pemandu pelancong, pulau itu sebenarnya mengandungi sisa letusan gunung berapi yang pernah meletus ratusan tahun dahulu di Indonesia. Anda tentu tahu gunung berapi itu. Kesannya merebak jauh hingga ke Belum. Sejujurnya saya tidak meyakini sangat fakta itu, hinggalah pemandu pelancong menunjukkan satu lagi keajaiban yang terdapat pada pulau tersebut.

Selain bentuknya yang gagah dan megah itu, pulau itu juga merupakan satu-satunya lokasi yang masih menyimpan sejenis pohon paku pakis berusia ratusan juta tahun dahulu, atau tepatnya, paku pakis zaman dinousor. Lantaran itulah ia dinamakan juga sebagai Pulau Dinousor. Paku pakis gergasi itu boleh dilihat dengan jelas berjuntaian dari puncak pulau. Rupanya menggerunkan. Berdasarkan kutipan fakta di Internet kemudiannya, saya mula meyakini keajaiban tersebut. Tidak mustahil kerana Belum sendiri merupakan hutan tertua di dunia!

Anehnya, hingga kini dikatakan tidak ada mana-mana pihak yang sanggup melakukan kajian secara ilmiah di pulau tersebut. Mungkin juga kerana faktor strukturnya yang rapuh dan tidak sesuai didaki. Puncaknya juga dikatakan terdiri daripada bongkah tajam yang bercerucuk di sana sini menyebabkan sukar dikunjungi menggunakan helikopter.

Dasar Terdalam

Selepas meluangkan masa hampir sejam mengagumi kebesaran ciptaan Ilahi itu, kami bergerak menuju ke empangan utama. Bot-bot kami bergerak beriringan, memberikan pengalaman yang cukup mengujakan kepada semua peserta. Bot dikerah perlahan. Menderam enjin memecah kesunyian dan kelestarian suasana sekitar. Masing-masing mengambil peluang itu untuk menatap setiap inci tasik yang terbentang luas di depan, belakang, kiri dan kanan bersama gugusan pulau yang pelbagai rupa dan bentuk.

Kelihatan juga beberapa buah pulau kecil yang dimiliki orang persendirian. Banglo-banglo besar dibina di setiap pulau itu dengan lanskap yang cukup menarik. Tentu sekali hanya orang yang benar-benar kaya sahaja mampu melakukannya.

Seketika kemudian, kami tiba betul-betul di hadapan empangan utama. Sukar sekali untuk digambarkan dengan kata-kata akan perasaan kami ketika itu, atau jujurnya perasaan saya sendiri apabila berada di hadapan pintu empangan. Rasanya, setiap bulu roma saya sudah tegak berdiri. Kami semua terdiam. Enjin bot dimatikan. Bot-bot kami terolak-alek dipupuk ombak yang lembut.

Tekong-tekong mula merapatkan setiap bot supaya kami dapat mendengar penerangan daripada ketua pemandu pelancong. Ia merupakan momen-momen yang cukup mendebarkan. Kami menunggu penerangan yang hendak disampaikan di sebalik rasa teruja dan gementar yang bergelora.

Saya melihat beberapa orang peserta mencecah air tasik dengan tangan mereka. Tetapi ia ditegah segera oleh pegawai yang bertugas. Kami kehairanan. Tentu ada sebab yang kukuh kenapa kami tidak boleh ‘bermain’ air di situ yang lebih hangat berbanding di kawasan lain. Jujurnya, ia amat menyeramkan kerana begitu terasa sekali ada ‘sesuatu’ yang lain di situ. Kawasan air di muka pintu empangan itu kelihatan amat luas dan airnya hampir tidak beralun, tenang.

Saya tidak begitu fokus terhadap penerangan yang disampaikan hinggalah pada satu point, kami diberitahu bahawa tempat kami berada ketika itu ialah kawasan paling dalam di Tasik Banding! Menyirat darah saya. Tegak segala bulu roma. Jantung juga seolah-olah terhenti. Bermacam bayangan menerjah fikiran. Terdalam? Patutlah airnya hitam pekat, panas dan tidak beralun langsung. Saya merenung pintu empangan.

Apa akan berlaku jika tiba-tiba bot kami bocor? Atau tiba-tiba pintu empangan itu pecah? Atau tiba-tiba saja muncul ikan toman sebesar balak menyerang kami? Sungguh, saya tak mahu tahu apa jawapannya. Segala kemungkinan biarlah yang baik-baik saja untuk kami. Semoga Tuhan merahmati.

Perkiraan saya, hanya kami sahaja yang gerun ketika itu kerana saya lihat semua peserta baik lelaki atau perempuan pucat dan kecut. Tetapi para pegawai juga turut terdiam. Segera itu juga tekong-tekong dikerah menghidupkan enjin bot. Simpan sajalah cerita hebat tentang dasar dan empangan ini wahai ketua pemandu pelancong yang berani. Kami mahu segera beredar!

Bersambung...

0 comments: