Kenangan Gila
Ini bahagian utama catatan saya berkenaan Royal Belum. Sekitar penghujung tahun 2006, saya diberikan peluang menyertai kem kepimpinan belia anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Selama bertempat di salah sebuah pulau di Royal Belum.
Saya menerima jemputan tersebut dengan semangat yang berkobar-kobar. Ia kunjungan kedua saya ke Hulu Perak selepas mengikuti satu kem motivasi setahun sebelum itu di Pengkalan Hulu.
Kami bergerak dengan dua buah bas terdiri daripada kurang lebih 60 orang peserta yang dikutip dari beberapa buah daerah di Perak. Wakil dari Selama termasuk saya cuma 10 orang sahaja. Saya yang dihantar atas kapasiti selaku Naib Pengerusi Persatuan Belia Peladang agak gementar kerana saya merupakan peserta termuda dalam kumpulan tersebut.
Kami tiba di jeti Royal Belum ketika hari menghampiri senja. Siap menunggu kami ialah beberapa buah bot yang dikendalikan oleh penduduk tempatan. Tanpa mahu memikirkan berapa kos tambang yang dibelanjakan, kami segera berasak-asak naik dan terus meluncur laju membelah tasik menuju ke sebuah pulau yang sedang menunggu kami.
Ketika membelah Tasik Banding itu, berlaku beberapa kejadian yang tidak diduga. Antaranya, bagasi Pegawai Belia Encik Khairul Irwan yang berada dalam bot yang sama dengan saya tanpa disedari terjatuh ke dalam tasik. Ia kemudian dihanyutkan oleh ombak ke tebing. Kami hanya menyedari ‘kehilangan’ beg tersebut ketika sudah berada di tengah-tengah tasik atau lebih separuh daripada perjalanan. Tiada pilihan, kami terpaksa menjejak beg tersebut sebelum berjaya ditemui terapung-apung di tepi tebing kira-kira sejam kemudian.
Sememangnya peristiwa itu aneh bagi kami kerana beg tersebut sepatutnya ‘selamat’ di dalam bot. Amat menghairankan apabila ia boleh ‘terjatuh’ dengan mudah memandangkan saiz dan beratnya yang mustahil boleh digerakkan oleh angin, jika itu penyebabnya. Atau, ia dijatuhkan dengan sengaja! Tetapi kami tidak berminat untuk berbincang lanjut. Banyak pantang larang yang perlu dipatuhi, itu pesan penduduk tempatan kepada kami sebaik tiba di jeti tadi.
Kami tiba di pulau yang dituju ketika hari sudah benar-benar gelap. Tanpa mengetahui apakah nama pulau tersebut, kami segera dikerah naik ke ‘asrama’ yang tersedia untuk kami. Kami bersiap-siap ala kadar untuk menunaikan solat dan makan sebelum berkumpul dalam satu taklimat oleh para pegawai bertugas.
Jam 9.00 malam, kami berkumpul di ‘asrama’ induk, atau pondok pegawai yang terletak di tengah-tengah tapak perkhemahan. Dalam taklimat yang diberikan itu, barulah kami mengetahui satu persatu hal berkenaan pulau tersebut dan kawasan Royal Belum secara umum.
Pertama, pulau yang sedang kami diami itu diberi nama Pulau Pertanian dan kami merupakan kelompok manusia moden kedua yang mendarat di situ. Pulau itu kecil dan belum pernah diterokai. Kumpulan pertama ialah para pegawai perhutanan yang membuka pulau tersebut bersama seorang tukang yang bertanggungjawab membina asrama-asrama dan kemudahan asas yang ada di situ.
Kedua, ‘asrama’ yang dimaksudkan sebenarnya ialah rumah panjang, atau menyerupai sekurang-kurangnya seperti model rumah panjang masyarakat pribumi di Borneo. Uniknya ia dibina daripada sumber hutan sepenuhnya menggunakan kayu-kayan, rotan, batang bertam, daun rumbia, buluh dan sebagainya lagi. Lebih unik, ia hasil tangan orang Selama yang didatangkan khas ke pulau tersebut untuk membina asrama-asrama tersebut.
Kenapa lelaki tersebut? Kenapa tidak kontraktor-kontraktor binaan yang sofistikated di luar sana? Mudah. Ia adalah untuk mengekalkan kesejahteraan Royal Belum. Kelestarian alam adalah lebih penting daripada segala bentuk infrastruktur moden yang boleh merosakkan ekosistem di situ.
Lelaki yang dipilih itu pula sememangnya terkenal dengan kepakarannya membina rumah menggunakan sumber hutan dengan kualiti binaan dan seni yang cukup luar biasa. Salah sebuah rumah tradisional yang dibinanya terletak di Sungai Siputeh, Selama, Perak dan pernah menjadi lokasi penggambaran telefilem Chah yang disiarkan di TV3 tidak lama dahulu.
Melalui taklimat pada malam itu juga kami diberikan gambaran yang lebih jelas tentang fizikal Royal Belum serta keunikan alam semula jadinya.
Ketiga, kami diperjelaskan juga tentang kenapa kawasan Pulau Pertanian itu sentiasa bergelap pada waktu malam. Tidak ada sebarang sumber elektrik, malah penjana kuasa juga tidak dibenarkan. Yang boleh dijadikan sumber cahaya pada waktu malam hanyalah lilin atau pelita ayam. Semuanya demi menjaga kelestarian alam sekitar di situ. Ia tidaklah menyulitkan kami kerana rata-rata kami imun dengan cabaran begitu termasuk para peserta wanita. Selain itu, tiada signal telekomunikasi yang boleh didapati di kawasan pulau tersebut menyebabkan kami seolah-olah terputus terus dengan dunia luar. Seandainya negara berperang ketika itu pun kami tentu tidak akan tahu!
Keempat dan paling menggerunkan kami ialah fakta tentang perkuburan lama yang terdampar di dasar tasik, betul-betul di kaki bukit yang membentuk Pulau Pertanian itu selepas Tasik Banding terbentuk. Perkuburan itu bukan calang-calang kubur. Ia milik masyarakat Orang Asli lampau yang pernah menghuni sekitar Royal Belum sebelum Empangan Temengor dibina lagi. Selain itu, kami juga diberitahu, kawasan sekitar Pulau Pertanian dahulu ialah kawasan Gerila Force 306 bermaharajalela. Mereka menjadikan kawasan hutan dan bukit bukau di situ sebagai kawasan perlindungan dan markas utama aktiviti ketenteraan pada zaman Jepun dan darurat.
Malam Pertama
Selesai taklimat yang agak panjang lebar itu, kami diarahkan pulang ke asrama rumah panjang dan berehat. Asrama bagi peserta lelaki terletak betul-betul di bahagian tebing dan menghadap ke arah tasik yang terbentang luas saujana mata memandang. Saujana mata memandang? Ya, kerana pada waktu itu bulan mengambang penuh menyebabkan kami dapat melihat sekitar tasik dengan jelas. Percayalah, ia tidak indah sebaliknya cukup menyeramkan.
Asrama peserta perempuan pula terletak di bahagian atas sedikit dan terlindung oleh pelepah-pelepah rumbia dan pokok bertam yang bertanggungjawab menjadi batas susila kami di situ. Tetapi setiap butir bicara mereka dapat didengar dengan mudah oleh kami kerana jarak yang terlalu dekat, begitu juga sebaliknya.
Malam pertama, kami sukar mendapat tidur. Dalam keadaan berbaring dalam satu baris yang panjang bahu membahu, kami berbual dan berusrah. Saya tidak pasti jam berapa dapat melelapkan mata. Tanpa bantal dan selimut, cuaca sekitar amat kejam mencengkam segenap inci tubuh kami dengan kesejukan yang melampau. Saya terjaga ketika hampir subuh kerana kaki saya dibasahi oleh air hujan yang jatuh selepas berjaya mencerobohi atap pada pagi itu.
Bersambung...
0 comments:
Catat Ulasan