Jumaat, 30 Disember 2011

Pesan Diri




Cinta tak perlukan falsafah. Itu pegangan saya. Saya percaya cinta itu ada untuk setiap manusia. Di puncak banjaran Tibet bahkan ada cinta. Di lereng dan tebing jalan di Lahore bahkan ada cinta.Pun juga, di dasar muara Kinabatangan, ada cinta.

Saya selalu percaya, cinta itu milik mereka yang punya jiwa besar. Dalam jiwa besar itu, dia punya iltizam yang tak pernah kenal erti penat mahupun lelah. Yang dia tahu ialah berusaha dan terus berusaha. Semacam bunyinya seperti falsafah, tetapi itulah hakikatnya. Cinta perlukan usaha kerana di puncaknya ialah kejayaan. Jadi tak namanya kejayaan kalau tiada usaha.

Persoalannya, cinta bagaimana yang harus atau perlu diusahakan? Cinta yang mendamaikan? Cinta yang menyegarkan? Atau cinta sekadar bila perlu?

Lakaran cinta yang tulen memerlukan mozek minda yang lebih kompleks untuk difahami dan dihadami sebelum dinikmati. Cinta tulen kalau pun tidak seagung Khadijah dan Muhammad SAW, cukuplah jika mampu meraih janji-janji bahagia dari Tuhan mereka yakni Allah SWT.

Pertama, cinta itu fitrah dan hak, benar bagi setiap makhluk terutamanya manusia yang dikurniakan dengan akal dan perasaan. Hakikat ini diratifikasi oleh  firman Allah SWT yang bermaksud, "Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik." (Al-Qur`an: Al-Imron ayat 14).

Secara ringkas, dari firman-Nya ini, terdapat dua bahagian yang harus dirungkaikan oleh kita. “Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik”. Bahagian pertama, daripada potongan maksud ayat yang saya fokuskan ini ialah kesenangan hidup di dunia, yang seharusnya membawa atau membuka pintu kepada kebahagiaan sebenar iaitu kehidupan selepas alam dunia, yang dimaksudkan sebagai tempat kembali yang baik iaitu di sisi Allah SWT (bahagian kedua) dalam potongan ayat tersebut.

Tetapi sejauh mana kita, terutamanya saya sendiri, mengadaptasi segala ruang yang dikurniakan oleh Allat SWT untuk mendekatkan diri kepada-Nya? Dengan segala nikmat yang diberikan – wanita, anak-anak dan harta yang banyak – adakah kita meletakkan kurniaan-kurniaan ini pada tempat yang betul supaya pada akhirnya manfaat sebenar ialah redha Allah SWT, Empunya Agung Segala Yang Ada Di Langit dan Di Bumi?

Kita mungkin mudah mengungkapkan cinta, namun jarang sekali kita mampu memberikan makna pada ungkapan itu. Mengungkapkan makna pada cinta ternyata lebih sukar daripada mengungkapkan kalimah itu sendiri kerana ia memerlukan usaha yang sungguh-sungguh. Saya percaya, kerja memberikan makna pada cinta melampaui batas lisan atau kata-kata, melangkaui batas alphabet atau huruf-huruf dan nombor yang boleh digunakan untuk menulis kata-kata cinta itu, dan paling pasti, ia melewati segenap ruang konkrit yang ada di hadapan mata kita ini. Lalu bagaimana hendak bercinta kalau sedemikian hebat cabarannya?

Adakah kita sedar bahawa cinta yang paling tinggi dan hakiki ialah cinta kepada Allah SWT? Ramai yang mengakuinya tapi tak ramai yang menyedari dan menginsafi hakikat ini. Bahkan, lebih ramai pula yang berusaha untuk meraih cinta pada tingkat yang lebih rendah semata-mata untuk berasa bahagia. Apakah tidak disedari oleh mereka bahawa punca segala kebahagiaan ialah daripada cinta tingkat teratas itu?

Cinta agung ini sebenarnya lebih murah dan mudah untuk digapai, dirasai dan dinikmati sepuas-puasnya. Kamu tidak perlu mengikis duit poket untuk membeli seutas rantai emas atau cincin berlian. Kamu tidak perlu menyediakan peruntukan bulanan untuk membayar duit kereta semata-mata untuk menarik perhatian cinta ini.

Kalimah-kalimah cintanya bahkan sudah lama diajar. Tak perlu kamu bersusah-payah mencari ilham mengarang puisi atau madah indah. Sebutkan saja tiga kalimah suci Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar – Maha Suci Engkau Ya Allah, Segala Puji Hanya UntukMu Ya Allah dan Maha Besar Engkau Ya Allah. Tidurmu, jagamu pasti terisi dengan kebahagiaan hakiki. Yakinkan sahaja hatimu pada kalimah Laailahaillallah, bahawa Tiada Yang Berhak Disembah Melainkan Allah. Nah, cinta hakiki itu tidak akan bertangguh-tangguh lagi menyapa hidupmu.

Namun, sayang sekali, kita jarang benar mahu meraih cinta ini terlebih dahulu. Sebaliknya, kita lebih berusaha untuk mengenali cinta yang buta itu berbanding mengenali cinta yang bersifat penerang segala kebutaan dan kekaburan duniawi. Lalu ketika kita tewas dalam perjuangan mengejar cinta buta itu, segera itu juga hati kita jadi resah dan tertanya-tanya, kenapa aku ditinggalkan, apa kurangnya aku ini, mahu apa lagi kamu selepas segalanya aku berikan? Macam-macam menyerabuti fikiran dan perasaan kita. Ketika itu jugalah, tanpa kita sedar, syaitan akan mengaburi pandangan mata kita ini sehingga akhirnya kita tewas dalam permainan perasaan dan emosi.

Hal ini berbeza sekali jika kita berjaya menggapai kelazatan cinta hakiki. Cinta hakiki tidak bisa luntur pada setiap cabaran, tidak luput pada setiap masa dan tidak usang pada setiap musim. Cinta hakiki bahkan akan terus malar segar, menyemarakkan jiwa untuk terus mendekatinya. Cinta hakiki akan menyapa hati dan jiwa kita dengan kuasa iman menyebabkan kita terus terdorong untuk berkhalwat dengan Kekasih Agung ini pada setiap masa dan ketika. Malah, cinta hakiki akan sentiasa menggamit kita supaya bersegera mendapatkannya, menebarkan harum rindu pada setiap celik dan pejam mata kita ini dan akan terus menyuburkan kalbu kita dengan bisikan-bisikan ilham yang indah nian. Hanya hati kita yang akan merasainya.

Jika cinta yang buta itu hanya membazirkan masa usia dan wang ringgit kita, cinta hakiki pula akan senantiasa meremajakan diri kita dan menambahkan pendapatan akhirat kita. Cinta hakiki tidak mengajak kita ke panggung wayang untuk memesrainya, tidak mendorong kita membeli-belah untuk menawan hatinya. Cinta hakiki hanya akan menghantar kita ke tempat-tempat terbaik di muka bumi ini. Cinta hakiki akan sentiasa menggetarkan naluri kita supaya menghiburkan nafsu dengan memuji-muji kebesaran Allah SWT di setiap penjuru alam sehingga menyebabkan jiwa kita semakin kaya dan menjadi jutawan apabila dibangkitkan di hadapan-Nya kelak.

Insya-Allah, jika semua ini sudah mampu diraih, datanglah cinta-cinta lain yang bersifat sementara itu. Cinta manusia antara lelaki dan perempuan, sebagaimana yang pernah disebut oleh Imam As-Syafie, ialah salah satu daripada enam nikmat dunia yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Raihlah, railah dengan adab yang betul mengikut garis yang dianjurkan. Tidaklah salah mencari cinta sesama manusia tetapi biarlah cinta itu diletakkan pada tingkat yang betul supaya ia akhirnya mendidik kita untuk terus mencintai Allah SWT.

Saya pernah diajar tentang jiwa besar dalam kita menikmati cinta, bahawa belajar melepaskan ialah salah satu daripada kekuatan yang harus dimiliki. Justeru, dalam kita meletakkan cinta manusia yakni pada pasangan yang bukan muhrim, kita harus cuba melepaskannya. Jika benar dia milik kita, ia akan kembali dengan sendirinya nanti. Ini semua adalah kuasa Allah SWT kerana sebagai makhluk yang serba kekurangan, kita tidak tahu siapakah yang akan menjadi pasangan mutlak kita. Kita hanya disuruh mencari tetapi yang menentukannya ialah Allah SWT. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tetapi percayalah, cinta jenis ini tak ubah seperti merpati. Kamu tangkap dan kamu usap tetapi jika kamu lepaskan, ia akan pergi. Namun jika ia sudah mengenalimu dan hatinya sudah serasi denganmu, ia akan kembali. Dan ketika ia kembali itu, pinanglah ia segera mampu dan nikahinya segera mampu juga.

Justeru, ketika dia pergi, dekatkanlah hatimu pada cinta hakiki. Berdoalah sungguh-sungguh supaya kamu diperlihatkan dengan cinta manusia yang sebenar-benarnya untukmu. Berusaha, berdoa dan bertawakal, itulah rahsia kejayaan.

Selasa, 22 November 2011

Ong Kim Swee

kami bersamamu


"They don't respect you, they don't respect our flag, they don't respect our King and they don't respect your parents. If you allow this to happen, then you are cowards. You must teach them what being Malaysian is all about."

ong kim swee

Isnin, 21 November 2011

Glory Malaysia!

waa....Mesia menang lagiiii...
Alhamdulillah..Alhamdulillah...Alhamdulillah....

Kat bwh ade beberape keping gambor yg sempat gua cilok kat Fb kenkawan..saje nak sharing


saat players meraikan kemenangan mereka sekaligus kemenangan seluruh rakyat Mesia terchenta..


brader Baddrol Bakhtiar..Captain Marvel Malaysia yg sgt cool..jaringan penaltinya memutlakkan perjuangan kita di Sukan Sea 2011 di Gelora Bung Karno, Indonesia dgn kemenangan 4-3 selepas terikat 1-1 dlm masa sebenar dan tambahan.


gaya sepakan torpedo Captain Marvel Malaysia!


Apa pun bg gua, wira sebenar ialah Khairul Fahmi Che Mat, goal keeper yg sentiase cemerlang di arena antarabangsa..walaupun bola sepak ialah permainan berpasukan, tp sumbangan brader ni tetap yg tertinggi.


dan ini gaya muhibah penyokong Mesia dr rumah sendiri..siapakah mereka? inilah famili Encik Maliki, Presiden Majlis Belia Malaysia..very cool bro!


Ini plak status sorang kenalan yg menukilkan keghairahan students USM menonton final malam td di warung..sangat bersemangat sampaikan mereka berdiri sewaktu nyanyian Lagu Negaraku.


Dan ini...hahahaha..sangat cool..anda bleh klik untuk besarkan imej..lagu Wonderpet versi Melayu, khusus untuk final malam ni..manusia kreatif menciptanya!


tahniah negara
tahniah harimau malaya
selamanya
selamanya
selamanya
harimau malaya!!!!

Ahad, 20 November 2011

Insiden Seram



Aku penah mengalami beberapa kes seram. Antaranya, sparring ngan sorang tok guru silat yang dirasuk jin, berkawal dengan orang kampong selama sebulan ketika kampong kami diserang orang minyak, main game burung hantu kat sebuah pulau di Tasik Banding pd tahun 2007 dan beberapa lagi insiden. Tapi kes semalam, rasanya lebih menyeramkan.

Jam sudah 2.15 pagi, tapi aku masih belum mengantuk. Mata masih segar menonton movie James Bond lama berjudul Diamonds Forever. Waktu tu, hanya aku sorang yang masih berjaga di rumah. Mak dan ayah awal2 lagi dah tidur selepas menonton telefilem Sanggul Beracun. Dua orang adik aku yang masih berada di rumah pun tidur awal.

Aku jarang tidur depan televisyen. Selalunya aku akan tidur di ruang depan sebab aku tak suka tidur dlm bilik. Tp semalam, sbb tak mengantuk, aku pun lepak depan televisyen. Waktu tengah layan tak layan movie tu, tetiba aku dengar bunyi benda jatuh. Agak kuat bunyinya. Kerana terkejut, aku terus bingkas bangun dan menyalakan lampu. Aku tengok sekitar tapi tak ada apa2 yg berubah. Aku ke dapur, pun sama. Pelik.

Kemudian, aku tinjau dalam kak ngah aku plak. Pun sama, tak ada apa2 yg berubah atau bertaburan di atas lantai. Aku masuk plak bilik adik aku. Aku tengok sekitar terutamanya di atas lantai tetapi keputusannya tetap sama. Akhirnya, aku ke ruang depan. Aku nyalakan lampu. Tiba-tiba aku rase seram sejuk. Aku tengok semua sudut dan ruang terutamanya di lantai. Memang tak ada apa-apa yang berubah.

Namun, waktu aku nak padamkan lampu semula, tiba-tiba mataku terpandang sesuatu di atas lantai betul-betul di hujung kakiku. Sebuah bingkai berisi gambar kakak aku dan suaminya ketika mereka bergraduasi tahun lepas terlentang seperti merenung tajam ke arahku. Aku terkejut. Macam mana gambar ni boleh ada di sini. Aku amat maklum di mana gambar itu sepatutnya berada. Itu gambar yang sangat disayangi oleh kak ngah dan suaminya, dan sepatutnya tergantung di dinding bersama-sama gambar-gambar yang lain.

Tiba-tiba saja bulu tengkukku meremang. Aku tak jadi padamkan lampu. Aku toleh sekeliling. Kemudian aku tenung tempat gambar itu sepatutnya berada. Kelihatan dua paku masih kemas di tempatnya dan gambar-gambar yang lain juga tergantung seperti biasa. Piala-piala yang disusun di atas almari hiasan di bawah gambar-gambar itu juga kemas dalam formasi masing-masing, langsung tak terusik. Aku buntu. Kalau gambar itu jatuh, sudah pasti piala-piala itu berselerak terutamanya piala paling tinggi itu. Dan paling tak masuk akal, bagaimana gambar itu boleh terpelanting begitu jauh, kira-kira dua depa  dari dinding?

Aku tak fikir pencuri. Memang tak logik kalau itu kerja pencuri. Lagi tak logik kalau ada tikus atau kucing. Teori ia jatuh sendiri, aku tolak mentah-mentah. Mustahil. Kalau gambar itu terjatuh, sudah pasti paku yang menggantungnya juga tercabut. Dan alasan paling kukuh untuk aku tolak teori tersebut ialah, piala-piala di atas laci yang langsung tak terusik. Kalau betul ia jatuh, sudah pastilah ia akan mendarat di atas laci dan melanyak piala-piala tersebut. Bunyi yang sepatutnya terhasil jugak adalah lebih kuat dan hingar.

Kerana buntu, aku kejutkan emak. Syukurlah emak aku manusia paling mudah dikejutkan di dunia. Sekali panggil saja, mak terus bangun. Aku tak beritahu apa-apa, sebaliknya aku mintak mak lihat sendiri dan biarkan mak buat andaiannya. Malas nak panjang-panjangkan cerita. Tapi bila ayah aku pun bangun, teorinya lagi mudah. Dia dengan tegas mendakwa gambar itu jatuh sendiri. Ayah ambik gambar itu dan gantungkannya semula sebelum kembali tidur.

Tapi aku langsung tak dapat pejamkan mata. Banyak unsur pelik dalam insiden gambar tersebut jatuh. Aku terus bermain dengan andaian. Kan bagus kalau Conan ada waktu tu. Kurang-kurang, dia dapat rungkaikan misteri tu. Sebenarnya, tak lah misteri sangat. Cuma aku je yang fikir terlalu jauh dengan pelbagai teori. Sama ada ia jatuh sendiri atau dijatuhkan, itulah yang terus menggganggu fikiranku hingga kini.

Teori ada hantu yg terlibat dalam insiden tu, aku tolak terus!

Ahad, 13 November 2011

Royal Belum – My Royal Note [Chapter 3]





Cabaran Bermula

Kami memulakan cabaran hari kedua di Pulau Pertanian dengan aktiviti water confident. Walaupun aktiviti ini sepatutnya dilakukan ketika kami tiba semalam, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana faktor cuaca gelap dan peralatan yang belum tersedia lengkap.

Sebatang kayu balak bersaiz besar dijadikan sebagai jeti bergerak atau mudah alih yang sentiasa terapung di tebing pulau. Pada batang kayu itulah kami diterajang turun ke dalam tasik seorang demi seorang. Ada peserta yang menangis kerana ketakutan tetapi semua itu langsung tidak menyentuh hati para pegawai. Water confident amat mustahak kerana aktiviti-aktiviti kami seterusnya akan melibatkan bot dan air tasik, justeru sebarang ketakutan wajib dinyahkan segera.

Sewaktu berendam di dalam tasik itu kami diagih-agihkan pula ke dalam beberapa kumpulan kecil. Tugas itu amat menyulitkan kerana kami terpaksa mencari rakan-rakan kumpulan dengan berenang, memperkenalkan diri dan memilih nama kumpulan dalam masa yang amat singkat. Semuanya dilakukan dalam air. Sejuk, tentu sekali.

Selesai aktiviti tersebut, kami dikerah mendaki tebing pula. Sekali lagi kesulitan menanti kerana tebing ketika itu amat becak dan licin selepas dibadai hujan lebat pada sebelah malamnya. Ia perlu dilalui oleh lebih 60 orang, seorang demi seorang. Maka bergoleklah sekian banyak peserta ke dalam tasik seorang demi seorang juga lantaran tidak dapat mengerah tenaga mendaki tebing tersebut. Lucu, tetapi itu apabila dikenang pada hari ini. Apa yang kami rasakan ketika itu sebenarnya amat menyeksakan.

Selepas semua peserta berjaya naik ke tebing, kami dikerah berkumpul di asrama induk untuk mengikuti taklimat seterusnya. Kami dibekalkan dengan sebotol air mineral dan sebuku roti sebagai alas perut semasa menjalankan aktiviti seterusnya. Apakah aktiviti tersebut? Untuk seketika, kami langsung tidak diberikan hint mengenainya. Semuanya menjadi rahsia tetapi tidak pula kami tahu apakah motif ia dirahsiakan. Yang kami tahu ketika itu ialah penat, penat dan penat.

Kira-kira jam 10.00 pagi, kami sekali lagi dikerah turun ke jeti batang balak itu. Dalam keadaan yang masih basah kuyup, kami berbaris dalam kumpulan masing-masing. Saya berada dalam kumpulan kedua. Kumpulan pertama terlebih dahulu diarahkan berbaris di atas batang balak berkenaan sehingga bot tiba. Begitulah, sehingga semua kami dibawa oleh bot masing-masing ke destinasi yang kami sendiri belum tahu.

Keliling Sejarah 

Sejam dihenjutkan dasar perahu yang membelah tasik di awal pagi, kami pening-pening lalat ketika tiba di sebuah pulau yang dikatakan tidak pernah dihuni oleh seorang manusia pun. Di pulau itu, kami mendaki pula hingga ke puncak. Ia memakan masa hampir setengah jam sebelum kami diarahkan bersembunyi di balik pokok-pokok besar di sekitarnya. Ketika itu, barulah kami tahu bahawa kami akan mengintai kawanan gajah liar menjilat sira yang terdapat di puncak pulau tersebut.

Hampir sejam kami bersembunyi, menyorok penuh tanda tanya. Akhirnya, ketua rombongan kami memanggil semua peserta keluar dari persembunyian masing-masing dan berkumpul di lokasi sira tersebut. Beliau mula memberikan info yang sepatutnya.

Menurut beliau, nasib kami agak malang kerana gajah-gajah sudah ‘tahu’ kunjungan kami pada pagi itu. Kerana itulah kami tidak berpeluang melihat walau seekor gajah pun walaupun sepatutnya pada waktu itu ialah giliran kawanan gajah menikmati sira yang dikongsi bersama dengan binatang-binatang liar yang lain di pulau tersebut seperti harimau dan babi hutan.

Menurut beliau juga, sira ialah garam mineral semula jadi yang wujud di dalam tanah di situ. Ia berasa masin menyebabkan haiwan-haiwan amat menyukainya. Menariknya, setiap klan atau puak haiwan mempunyai giliran masing-masing untuk menikmati sira tersebut. Jika giliran gajah yang menjilatnya, maka haiwan-haiwan lain sama sekali tidak akan campur tangan. Cantik sekali aturan alam ini.

Pulau Dinousor

Selepas misi ‘skodeng’ yang gagal itu, kami pulang hampa menuju bot masing-masing. Kembara tasik diteruskan. Satu persatu bot berlepas gesit. Pulau tersebut dikelilingi buat kali terakhir. Daripada pemandu pelancong yang dibekalkan bagi setiap bot, kami diberitahu bahawa pulau-pulau yang terdapat di sekitar Tasik Banding sebenarnya berasal daripada bukit bukau dan gunung ganang yang ditenggelami air selepas terbinanya empangan utama. Puncak-puncak bukit yang berbaki di permukaan air itulah yang membentuk pulau-pulau tersebut.

Check point kami seterusnya ialah di sebuah pulau batu putih atau batu kapur yang kelihatan amat gagah dari jauh. Ia satu-satunya pulau batu kapur di situ, berwarna putih dan kelihatan amat berbeza berbanding pulau-pulau lain. Strukturnya tegak megah. Kami mengambil masa hampir setengah jam mengelilingi pulau tersebut.
Menurut tekong bot, pulau itu tidak pernah dijejaki oleh manusia hatta Orang Asli sekali pun kerana strukturnya yang rapuh dan dipenuhi bucu-bucu tajam. Apa yang menarik, pengunjung boleh melihat ratusan sarang lebah bersaiz besar di sekeliling dinding pulau batu kapur itu, tidak terusik langsung.

Tetapi ada fakta yang lebih menarik sebenarnya. Menurut pemandu pelancong, pulau itu sebenarnya mengandungi sisa letusan gunung berapi yang pernah meletus ratusan tahun dahulu di Indonesia. Anda tentu tahu gunung berapi itu. Kesannya merebak jauh hingga ke Belum. Sejujurnya saya tidak meyakini sangat fakta itu, hinggalah pemandu pelancong menunjukkan satu lagi keajaiban yang terdapat pada pulau tersebut.

Selain bentuknya yang gagah dan megah itu, pulau itu juga merupakan satu-satunya lokasi yang masih menyimpan sejenis pohon paku pakis berusia ratusan juta tahun dahulu, atau tepatnya, paku pakis zaman dinousor. Lantaran itulah ia dinamakan juga sebagai Pulau Dinousor. Paku pakis gergasi itu boleh dilihat dengan jelas berjuntaian dari puncak pulau. Rupanya menggerunkan. Berdasarkan kutipan fakta di Internet kemudiannya, saya mula meyakini keajaiban tersebut. Tidak mustahil kerana Belum sendiri merupakan hutan tertua di dunia!

Anehnya, hingga kini dikatakan tidak ada mana-mana pihak yang sanggup melakukan kajian secara ilmiah di pulau tersebut. Mungkin juga kerana faktor strukturnya yang rapuh dan tidak sesuai didaki. Puncaknya juga dikatakan terdiri daripada bongkah tajam yang bercerucuk di sana sini menyebabkan sukar dikunjungi menggunakan helikopter.

Dasar Terdalam

Selepas meluangkan masa hampir sejam mengagumi kebesaran ciptaan Ilahi itu, kami bergerak menuju ke empangan utama. Bot-bot kami bergerak beriringan, memberikan pengalaman yang cukup mengujakan kepada semua peserta. Bot dikerah perlahan. Menderam enjin memecah kesunyian dan kelestarian suasana sekitar. Masing-masing mengambil peluang itu untuk menatap setiap inci tasik yang terbentang luas di depan, belakang, kiri dan kanan bersama gugusan pulau yang pelbagai rupa dan bentuk.

Kelihatan juga beberapa buah pulau kecil yang dimiliki orang persendirian. Banglo-banglo besar dibina di setiap pulau itu dengan lanskap yang cukup menarik. Tentu sekali hanya orang yang benar-benar kaya sahaja mampu melakukannya.

Seketika kemudian, kami tiba betul-betul di hadapan empangan utama. Sukar sekali untuk digambarkan dengan kata-kata akan perasaan kami ketika itu, atau jujurnya perasaan saya sendiri apabila berada di hadapan pintu empangan. Rasanya, setiap bulu roma saya sudah tegak berdiri. Kami semua terdiam. Enjin bot dimatikan. Bot-bot kami terolak-alek dipupuk ombak yang lembut.

Tekong-tekong mula merapatkan setiap bot supaya kami dapat mendengar penerangan daripada ketua pemandu pelancong. Ia merupakan momen-momen yang cukup mendebarkan. Kami menunggu penerangan yang hendak disampaikan di sebalik rasa teruja dan gementar yang bergelora.

Saya melihat beberapa orang peserta mencecah air tasik dengan tangan mereka. Tetapi ia ditegah segera oleh pegawai yang bertugas. Kami kehairanan. Tentu ada sebab yang kukuh kenapa kami tidak boleh ‘bermain’ air di situ yang lebih hangat berbanding di kawasan lain. Jujurnya, ia amat menyeramkan kerana begitu terasa sekali ada ‘sesuatu’ yang lain di situ. Kawasan air di muka pintu empangan itu kelihatan amat luas dan airnya hampir tidak beralun, tenang.

Saya tidak begitu fokus terhadap penerangan yang disampaikan hinggalah pada satu point, kami diberitahu bahawa tempat kami berada ketika itu ialah kawasan paling dalam di Tasik Banding! Menyirat darah saya. Tegak segala bulu roma. Jantung juga seolah-olah terhenti. Bermacam bayangan menerjah fikiran. Terdalam? Patutlah airnya hitam pekat, panas dan tidak beralun langsung. Saya merenung pintu empangan.

Apa akan berlaku jika tiba-tiba bot kami bocor? Atau tiba-tiba pintu empangan itu pecah? Atau tiba-tiba saja muncul ikan toman sebesar balak menyerang kami? Sungguh, saya tak mahu tahu apa jawapannya. Segala kemungkinan biarlah yang baik-baik saja untuk kami. Semoga Tuhan merahmati.

Perkiraan saya, hanya kami sahaja yang gerun ketika itu kerana saya lihat semua peserta baik lelaki atau perempuan pucat dan kecut. Tetapi para pegawai juga turut terdiam. Segera itu juga tekong-tekong dikerah menghidupkan enjin bot. Simpan sajalah cerita hebat tentang dasar dan empangan ini wahai ketua pemandu pelancong yang berani. Kami mahu segera beredar!

Bersambung...

Sabtu, 12 November 2011

Manusia Hebat Tak Ramai, Tapi Di Mana-mana Pun Ada

Benar. Manusia hebat ada di mana-mana. Kadang-kadang, di sebelah rumah kita sendiri ada manusia hebat. Mereka tak semestinya bertali leher dan bertuksedo kemas atau mengemudi konglomerat besar bertaraf global. Tak perlu jadi Bill Gates atau mendiang Steve Jobs. Tak perlu berdiri di rostrum United Nations dan bercakap tentang global warming untuk jadi manusia hebat.

Itulah yang saya alami pada petang tadi. Sebermula kembara hingga kenal manusia hebat ini, ialah apabila saya menerima panggilan dari guru sekolah lama saya. Ada kunjungan ke Pulau Pinang, dan mereka menjemput saya menyertai rombongan tersebut. Sesudah meninjau barang-barang lama di Muzium USM dan singgah di Masjid Al-Khalid Malik untuk menunaikan solat Zuhur, kami langsung ke Bukit Bendera.



Adik-adik dari SMK Sg Bayor 


Kunjungan ke Bukit Bendera atau lebih dikenali sebagai Penang Hill bagi warga kota itu, tak lama. Kami cuma mahu menyediakan sedikit pengalaman buat adik-adik menaiki kereta api yang mendaki salah sebuah bukit di Pulau Pinang. Nostalgia lama bersesak dalam kabin klasik, hanya tinggal dalam ingatan bagi kami tetapi tidak bagi adik-adik peserta rombongan yang rata-ratanya baru pertama kali menjejakkan kaki ke bukit yang pernah mengayakan penjarah Inggeris itu.

Kereta api gasak sekali memecut ke puncak. Tak sampai 5 minit. Kami tiba dan langsung saja ke food court. Saya memesan ais kacang istimewa. Cikgu Naja dan Cikgu Anwar juga, berserta semangkuk laksa Penang masing-masing. Suasana di puncak petang tadi agak dingin. Pemandangan pula umpama melihat dengan mata burung, cerah dan menarik.




Pemandangan di separuh dari ketinggian Bukit Bendera

Setelah berkeliaran sekejap di puncak itu, kami turun. Seperti ketika naik, perjalanan turun juga terlalu sekejap. Tidak ada nilai-nilai classic yang dahulunya hanya ada pada kabin kereta api Bukit Bendera, yang kononnya terkenal seantero dunia itu, pada kabin baru ini. Yang ada hanya nilai komersial dan sedikit keselesaan – masih perlu bersesak – akibat hawa dingin dan sistem suspensi kren yang lebih baik.

Selepas kunjungan singkat ke Bukit Bendera itu, saya terpaksa berpisah dengan rombongan mereka. Saya perlu pulang bagi menyiapkan baki kerja-kerja terjemahan. Rombongan terus ke Batu Feringgi untuk bermalam di sana. Justeru, saya terpaksa mengambil bas laju Rapid Penang, yang sebenarnya lembab juga, untuk pulang.

Ketika menunggu bas itulah, saya berpeluang bertemu dengan seorang manusia hebat. Hebatnya manusia ini adalah kerana beliau mampu berbahasa dalam pelbagai jenis bahasa utama dunia. Pertama, beliau seorang lelaki Melayu, dikenali sebagai Mamu dan amat pekat dialek Tanjungnya. Kedua, saya mendengar beliau berbual melalui telefon dalam bahasa Siam dan Inggeris yang sangat sempurna. Saya menegurnya. Kami berbual seketika. Kemudian, saya lihat dia melayan pula sepasang pelancong dari Jerman dengan ramah dalam bahasa Jerman yang sangat baik.

Dan ketika di dalam bas, sekali lagi saya terkejut apabila melihat lelaki itu membantu sepasang pelancong dari Iran dalam bahasa Parsi yang cukup-cukup-cukup-cukup baik. Seperti tidak percaya. Bukan saya seorang, tetapi semua penumpang senyum dan ada yang menggelengkan kepala seolah-olah tidak percaya langsung dengan kemampuan lelaki tersebut berbahasa asing dengan sempurna. Suaranya pula lantang hingga boleh didengar oleh semua penumpang. Lebih istimewa, lelaki itu memang peramah dan sentiasa mahu menolong para pelancong luar.

Kalau ditanya, apakah benih yang boleh dilemparkan ke tengah laut untuk menghasilkan sebuah pulau, saya fikir inilah benihnya. Lelaki ini kalau dilemparkan ke mana pun, pasti boleh hidup dan boleh berjasa kepada orang lain. Sayang sekali saya terlupa untuk mengambil gambarnya. Insya-Allah, kalau berkesempatan saya akan mengunjunginya lagi kerana beliau memang berkhidmat di Bukit Bendera. Jarang ada lelaki hebat seperti beliau. Oh ya, lelaki ini simple. Hanya bersinglet hitam dan bertopi dengan imej ranggi walaupun sudah berusia. Mudah saja untuk mengenalinya. 

Khamis, 10 November 2011

Royal Belum – My Royal Notes [Chapter 2]

Kenangan Gila

Ini bahagian utama catatan saya berkenaan Royal Belum. Sekitar penghujung tahun 2006, saya diberikan peluang menyertai kem kepimpinan belia anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Selama bertempat di salah sebuah pulau di Royal Belum.

Saya menerima jemputan tersebut dengan semangat yang berkobar-kobar. Ia kunjungan kedua saya ke Hulu Perak selepas mengikuti satu kem motivasi setahun sebelum itu di Pengkalan Hulu.

Kami bergerak dengan dua buah bas terdiri daripada kurang lebih 60 orang peserta yang dikutip dari beberapa buah daerah di Perak. Wakil dari Selama termasuk saya cuma 10 orang sahaja. Saya yang dihantar atas kapasiti selaku Naib Pengerusi Persatuan Belia Peladang agak gementar kerana saya merupakan peserta termuda dalam kumpulan tersebut.




Kami tiba di jeti Royal Belum ketika hari menghampiri senja. Siap menunggu kami ialah beberapa buah bot yang dikendalikan oleh penduduk tempatan. Tanpa mahu memikirkan berapa kos tambang yang dibelanjakan, kami segera berasak-asak naik dan terus meluncur laju membelah tasik menuju ke sebuah pulau yang sedang menunggu kami.

Ketika membelah Tasik Banding itu, berlaku beberapa kejadian yang tidak diduga. Antaranya, bagasi Pegawai Belia Encik Khairul Irwan yang berada dalam bot yang sama dengan saya tanpa disedari terjatuh ke dalam tasik. Ia kemudian dihanyutkan oleh  ombak ke tebing. Kami hanya menyedari ‘kehilangan’ beg tersebut ketika sudah berada di tengah-tengah tasik atau lebih separuh daripada perjalanan. Tiada pilihan, kami terpaksa menjejak beg tersebut sebelum berjaya ditemui terapung-apung di tepi tebing  kira-kira sejam kemudian.

Sememangnya peristiwa itu aneh bagi kami kerana beg tersebut sepatutnya ‘selamat’ di dalam bot. Amat menghairankan apabila ia boleh ‘terjatuh’ dengan mudah memandangkan saiz dan beratnya yang mustahil boleh digerakkan oleh angin, jika itu penyebabnya. Atau, ia dijatuhkan dengan sengaja! Tetapi kami tidak berminat untuk berbincang lanjut. Banyak pantang larang yang perlu dipatuhi, itu pesan penduduk tempatan kepada kami sebaik tiba di jeti tadi.

Kami tiba di pulau yang dituju ketika hari sudah benar-benar gelap. Tanpa mengetahui apakah nama pulau tersebut, kami segera dikerah naik ke ‘asrama’ yang tersedia untuk kami. Kami bersiap-siap ala kadar untuk menunaikan solat dan makan sebelum berkumpul dalam satu taklimat oleh para pegawai bertugas.

Jam 9.00 malam, kami berkumpul di ‘asrama’ induk, atau pondok pegawai yang terletak di tengah-tengah tapak perkhemahan. Dalam taklimat yang diberikan itu, barulah kami mengetahui satu persatu hal berkenaan pulau tersebut dan kawasan Royal Belum secara umum.

Pertama, pulau yang sedang kami diami itu diberi nama Pulau Pertanian dan kami merupakan kelompok manusia moden kedua yang mendarat di situ. Pulau itu kecil dan belum pernah diterokai. Kumpulan pertama ialah para pegawai perhutanan yang membuka pulau tersebut bersama seorang tukang yang bertanggungjawab membina asrama-asrama dan kemudahan asas yang ada di situ.

Kedua, ‘asrama’ yang dimaksudkan sebenarnya ialah rumah panjang, atau menyerupai sekurang-kurangnya seperti model rumah panjang masyarakat pribumi di Borneo. Uniknya ia dibina daripada sumber hutan sepenuhnya menggunakan kayu-kayan, rotan, batang bertam, daun rumbia, buluh dan sebagainya lagi. Lebih unik, ia hasil tangan orang Selama yang didatangkan khas ke pulau tersebut untuk membina asrama-asrama tersebut.

Kenapa lelaki tersebut? Kenapa tidak kontraktor-kontraktor binaan yang sofistikated di luar sana? Mudah. Ia adalah untuk mengekalkan kesejahteraan Royal Belum. Kelestarian alam adalah lebih penting daripada segala bentuk infrastruktur moden yang boleh merosakkan ekosistem di situ.

Lelaki yang dipilih itu pula sememangnya terkenal dengan kepakarannya membina rumah menggunakan sumber hutan dengan kualiti binaan dan seni yang cukup luar biasa. Salah sebuah rumah tradisional yang dibinanya terletak di Sungai Siputeh, Selama, Perak dan pernah menjadi lokasi penggambaran telefilem Chah yang disiarkan di TV3 tidak lama dahulu.

Melalui taklimat pada malam itu juga kami diberikan gambaran yang lebih jelas tentang fizikal Royal Belum serta keunikan alam semula jadinya.

Ketiga, kami diperjelaskan juga tentang kenapa kawasan Pulau Pertanian itu sentiasa bergelap pada waktu malam. Tidak ada sebarang sumber elektrik, malah penjana kuasa juga tidak dibenarkan. Yang boleh dijadikan sumber cahaya pada waktu malam hanyalah lilin atau pelita ayam. Semuanya demi menjaga kelestarian alam sekitar di situ. Ia tidaklah menyulitkan kami kerana rata-rata kami imun dengan cabaran begitu termasuk para peserta wanita. Selain itu, tiada signal telekomunikasi yang boleh didapati di kawasan pulau tersebut menyebabkan kami seolah-olah terputus terus dengan dunia luar. Seandainya negara berperang ketika itu pun kami tentu tidak akan tahu!

Keempat dan paling menggerunkan kami ialah fakta tentang perkuburan lama yang terdampar di dasar tasik, betul-betul di kaki bukit yang membentuk Pulau Pertanian itu selepas Tasik Banding terbentuk. Perkuburan itu bukan calang-calang kubur. Ia milik masyarakat Orang Asli lampau yang pernah menghuni sekitar Royal Belum sebelum Empangan Temengor dibina lagi. Selain itu, kami juga diberitahu, kawasan sekitar Pulau Pertanian dahulu ialah kawasan Gerila Force 306 bermaharajalela. Mereka menjadikan kawasan hutan dan bukit bukau di situ sebagai kawasan perlindungan dan markas utama aktiviti ketenteraan pada zaman Jepun dan darurat.

Malam Pertama

Selesai taklimat yang agak panjang lebar itu, kami diarahkan pulang ke asrama rumah panjang dan berehat. Asrama bagi peserta lelaki terletak betul-betul di bahagian tebing dan menghadap ke arah tasik yang terbentang luas saujana mata memandang. Saujana mata memandang? Ya, kerana pada waktu itu bulan mengambang penuh menyebabkan kami dapat melihat sekitar tasik dengan jelas. Percayalah, ia tidak indah sebaliknya cukup menyeramkan.

Asrama peserta perempuan pula terletak di bahagian atas sedikit dan terlindung oleh pelepah-pelepah rumbia dan pokok bertam yang bertanggungjawab menjadi batas susila kami di situ. Tetapi setiap butir bicara mereka dapat didengar dengan mudah oleh kami kerana jarak yang terlalu dekat, begitu juga sebaliknya.

Malam pertama, kami sukar mendapat tidur. Dalam keadaan berbaring dalam satu baris yang panjang bahu membahu, kami berbual dan berusrah. Saya tidak pasti jam berapa dapat melelapkan mata. Tanpa bantal dan selimut, cuaca sekitar amat kejam mencengkam  segenap inci tubuh kami dengan kesejukan yang melampau. Saya terjaga ketika hampir subuh kerana kaki saya dibasahi oleh air hujan yang jatuh selepas berjaya mencerobohi atap pada  pagi itu.

Bersambung...

Rabu, 9 November 2011

Royal Belum – My Royal Notes [Chapter 1]


Assalamualaikum wbt..

Suatu pagi, sewaktu saya bersama teman-teman dari team belia berkunjung ke Bukit Larut untuk satu ekspedisi santai sekaligus juga reunion geng Royal Belum 2006, saya terusik dengan kenangan lama itu – menyertai perkhemahan lasak di sebuah hutan hujan tertua di dunia. 




Sebelum menyertai perkhemahan tersebut, saya cuma tahu Hutan Amazon sahaja yang hebat. Bahkan, daripada sekian banyak propaganda media, khabarnya Hutan Amazon yang berkali ganda lebih besar dan luas dari Hutan Hujan Royal Belum itu adalah yang tertua di dunia. Namun, kajian saintifik jelas membuktikan fakta tersebut menyalahi hakikat sebenar bahawa hutan tertua dan paling hebat diversitinya ialah Hutan Hujan Royal Belum yang terletak di kawasan Tasek Banding, Perak, bukannya Hutan Amazon! Usianya? Lebih 130 juta tahun!

Menariknya kawasan hutan hujan ini ialah ia memerlukan pengunjung mendapatkan permit sebelum memasuki mana-mana zon di situ. Ia diletakkan di bawah penguasaan pihak tentera, malah Kem Temengor yang terletak di kawasan ini juga cukup terkenal sebagai antara kem paling berjasa dalam sejarah pertahanan negara khususnya ketika era komunis.

Keluasan hutan hujan ini mencecah 290,000 hektar. Secara relatif, ia memang kecil jika hendak dibandingkan dengan Hutan Amazon yang diagung-agungkan oleh Barat itu. Namun, Hutan Hujan Royal Belum juga menyimpan pelbagai diversiti yang unik dan sukar ditemui di kawasan lain di dunia. Kawasan hutan di sini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian atas yang meliputi keluasan 117,500 hektar dengan hutan tebal hingga memasuki kawasan sempadan Thailand-Malaysia dan bahagian bawah yang terdiri daripada hutan sekunder.




Kenapa Belum?

Mungkin ia cuma mitos, tetapi seperti kebanyakan nama tempat lain yang diwartakan di negara kita, Belum juga mendapat namanya daripada elemen alam iaitu bunyi belalang besar yang menjadikan kawasan hutan ini sebagai habitat mereka.

Belum! Belumm! Belummm!! Begitulah bunyinya. Ia memang benar-benar berlaku. Bagi mereka yang pernah atau selalu berkunjung ke sini pasti dapat menangkap bunyi ini di sekitar kawasan Royal Belum.

The Royal Rainforest

Kemuncak persada Belum tercatat dengan megahnya pada tahun 2003 apabila ia secara rasmi dimahsyurkan sebagai hutan diraja oleh Sultan Perak dan diberikan nama baharu iaitu Royal Belum.

Sebelum ini, pelbagai nama pernah digunakan seperti Tasik Banding dan Tasik Temengor yang kesemuanya merujuk kepada tempat yang sama yang kini dikenali sebagai The Royal Belum Rainforest.

Pada 17 April 2007, seluas 117,500 hektar kawasan hutan di Royal Belum telah diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Negeri Perak sekaligus menjadikan kawasan hutan yang diwartakan ini sebagai kawasan hutan pemeliharaan penuh dan terhindar daripada sebarang aktiviti pembangunan fizikal yang melampau.

Kekayaan Diversiti

Apabila kita bercakap tentang hutan hujan di dunia, perlu diingat, setiap satunya mempunyai diversiti yang berbagai-bagai. Usah terlalu ghairah membandingkan Royal Belum dengan Hutan Amazon kerana darjatnya yang amat jauh berbeza.

Berdasarkan penemuan terkini, Royal Belum menyimpan khazanah alam yang amat besar. Ia memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Antara spesis terkenal di sini ialah kelah yang sering menjadi buruan kaki pancing khususnya masyarakat Orang Asli yang mendiami sekitar hutan tersebut.

Sukar untuk dihuraikan secara terperinci di sini tentang kehebatan setiap inci Royal Belum. Ia memerlukan satu set ensiklopedia dengan kajian yang menyeluruh, dan tentunya ia memerlukan lebih banyak masa dan kos untuk disempurnakan.

Bersambung..

Ahad, 25 September 2011

Persidangan Hantu-hantu Kebangsaan - Bab 2



Bab 2

Pada malam itu, maka bermulalah segala keributan. Sekalian anak hantu remaja dan belia jadi gempita. Malam yang senang bertukar jadi medan caci dan maki tatkala mereka sedang berkumpul asyik mengikut alunan merdu seruling si Fantasia di penggir benua menghadap lautan yang luas terbentang. Fantasia ditangkap. Dia diseret, diheret dan dicemeti dengan cemeti neraka, berbilur-bilur segenap belakangnya sedang ia menjerit meronta dan merintih menagih belas kasih.

“Ampunkan saya Pak Koyol..ampunkan saya…apakah salah saya ini?” rayunya teresak-esak. Seruling ajaibnya dirampas dan dihempas ke batu yang melata lalu terburailah segala manik dan permata yang menghiasinya. Hempasan itu juga telah mencetus suatu bunyi bingit lagi nyaring maha dahsyat menyebabkan sekalian hantu di situ menekup telinga masing-masing. Semua mereka gementar sekali.

Namun Koyol sama sekali tidak mempedulikan bunyi aneh itu. Bahkan, dia langsung tak peduli akan rintih perih si Fantasia. Dia merengus. Dia mendengus. Dia menyeringai. Dia mengilai. Puas. Dihentaknya perut Fantasia dengan sepatu bermuncung tajamnya lalu mengeranglah Fantasia, meraung sungguh-sungguh. Beberapa anak hantu cuba menolong tetapi dihalang oleh kuncu-kuncu Koyol. Beberapa anak hantu yang lain pula hanya mampu menangis teresak-esak, sayu melihat pujaan hati mereka itu digasak-gasak.

Setelah puas melanyak, barulah Koyol bersuara menyampaikan titah akan tujuan sebenarnya menahan Fantasia. Dia naik ke atas sebuah batu besar yang selalu menjadi panggung untuk Fantasia meniupkan seruling dan menggesek biolanya. Sambil memegang seruling yang sudah patah itu dan menjulangnya tinggi ke udara, Koyol pun bersuara; “Adapun, ini cumalah kesan awal. Adapun, aku tahan Fantasia ini adalah kerana diperintahkan oleh Ketua Kerajaan kita, Pontianak Syuk kerana Fantasia ini sudah melampaui batas!”

Suasana jadi hingar-bingar semula. Semua anak hantu remaja dan belia yang hadir di lembah itu tidak dapat menerima penjelasan yang diberikan oleh Koyol, lalu bangunlah dua tiga ekor daripada mereka dan bertanya untuk mendapatkan jawapan yang lebih jelas. Fantasia yang sudah longlai hanya mampu menangis. Dia sudah digari kaki dan tangannya, terduduk lesu tersendu-sendu. Jika perintah itu datang daripada Ketua Kerajaan, maka tiada hendak melainkan patuh sahaja, tetapi dia ingin tahu kenapa diperlakukan sebegitu mahu.

“Oh, kalian belum faham ya? Syaitan ini mahu merampas kuasa!”

Panggg!!!

Sedetik itu juga kilat berdentum-dentam. Semilir bertukar  menjadi ribut petir. Semua anak hantu yang masih bersisa semangat untuk melawan sejak tadi jadi kecut. Kilat begitu bukan biasa-biasa. Ia kilat yang menghambat. Ia selalunya diutus oleh tentera Raja Iblis. Di singgahsananya, Raja Iblis bisa memerhati setiap kerja buat sekalian hantu di benua itu dan di seluruh pelosok alam yang lainnya. Justeru kerana itulah setiap hantu jadi kecut jika kilat berdentum tidak semena-mena kerana ia mungkin sahaja isyarat dari Raja Iblis. Isyarat kemurkaan! Tetapi ada satu lagi jenis kilat petir yang paling ditakuti. Ia datang dari langit, dari kuasa yang agung. Maha Agung. Raja Iblis sekalipun tak mampu menandingi keagungan kuasa itu.

“Katakan itu tidak benar kanda Fantasia…katakan tidak benar..” sedu sedan Soyol merintih. Dia berlari mendapatkan Fantasia tetapi dihalang oleh kuncu-kuncu ayahnya sendiri. Lalu dia menerka pula Koyol. Hatinya tak keruan. Kesalahan kerana cuba merampas kuasa bakal menawatkan terus riwayat sesiapa sahaja jika sabit kesalahan. Dia tidak rela itu berlaku ke atas Fantasia yang kian berputik di taman cintanya.

“Ayah…ampunkan kanda Fantasia. Dia tidak bersalah. Dia tak berniat pun begitu. Ayah sendiri mengenalinya, bukan?” rayu Soyol pada ayahnya.

“Ya! Aku mengenalinya selama ini tetapi tidak lagi bermula hari ini. Ini penderhaka negara!” bantah Koyol lantang. Maka gegak gempitalah sekalian yang hadir di lembah di hujung benua itu. Ombak di laut menghempas ganas. Bayu bertukar taufan. Gemuruh di langit kini jadi kilat yang sabung menyabung. Alam jadi kelam. Melihatkan situasi itu, Koyol segera memerintahkan kuncu-kuncunya supaya gegas membawa Fantasia dan Monica ke Istana Keadilan untuk dibicarakan. Sekelip mata, mereka pun hilang lenyap ditelan kabus yang mula menyelubungi rembang senja itu.

Berita penahanan Fantasia, Si Peniup Seruling dan Penggesek Biola serta Monica Si Biduanita disambut dengan pelbagai rasa. Yang dewasa berbelah campur antara gembira dan duka. Ada yang endah acuh tak endah. Ada pula yang bertepuk tampar. Mereka itu tentulah para hantu yang bimbang dengan masa depan anak-anak hantu yang semakin hanyut dengan keasyikan tiupan seruling Fantasia dan kelunakan nyanyian Monica sehingga terabai tugas mengganggu kehidupan manusia-manusia beriman di alam dunia. Ada pula yang sedih, hiba tak terkata. Ada yang tercari-cari pengganti untuk kedua-dua hantu tersebut. Dan mereka itu tentulah pula para hantu remaja dan belia yang sudah bosan dengan kehidupan semasa mereka.

Lalu bersuaralah Soyol kepada rakan-rakannya selepas masing-masing keluar dari penyorokan akibat bunyi azan Maghrib dari dunia manusia sebentar tadi. “Teman-teman, malam ini bakal jadi saksi kepada suatu peristiwa maha penting. Saya menyeru teman-teman sekalian, ayuh kita bertindak!!” tangkas kata-katanya membangkitkan semula semangat teman-teman hantunya. Maka yang lain pun bertempiklah, mengilai dan menjerit di sana-sini. Semua bersetuju pada dasarnya untuk bertindak.

“Tapi, bagaimana?” tiba-tiba muncul seekor anak hantu galah melontarkan pertanyaan. Yang lain juga terdiam. Ada benar juga soalan itu. Bagaimana mahu bertindak?

Dengan sedikit akal yang lebih, Soyol pun mengusulkan cadangannya. “Kita berhimpun secara aman di hadapan Istana Keadilan. Kita berarak beramai-ramai dari lembah hingga ke Istana dan di sana, kita desak pihak kerajaan supaya melepaskan Fantasia dan Monica pada malam ini juga. Saya sendiri akan mengetuai kalian,” terang Soyol.

“Tapi apakah itu ertinya melawan pemerintah? Semacam bunyinya ialah pemberontakan!” soal anak hantu polong pula. Mendengar akan hal pemberontakan, maka sekalian hantu yang lain pun jadi tak keruan.

“Bertenang kalian. Kita tidak memberontak. Kita cuma mendesak. Tuduhan kerajaan seperti yang ayahku perkatakan tadi terlalu berat. Kita perlu jadi saksi perbicaraan, jika perlu, tapi aku harap hal ini boleh diselesaikan melalui rundingan. Suara anak muda seperti kita juga perlu didengar!” laung Soyol penuh semangat. Dia memerhatikan wajah teman-temannya yang sedang diamuk gelora itu.

“Dengan kekuatan ini?” anak hantu galah sekali lagi menimbulkan musykil di hati. Dia merenung tajam ke arah Soyol yang beberapa kali jauh lebih rendah daripadanya walaupun mereka sebaya.

“Teman-teman…,” kata Soyol, “kita tidak mahu melawan pemerintah. Kita cuma mahu menuntut keadilan. Tetapi dengan kekuatan sebegini, saya pasti kita dengan mudah sahaja akan ditunjal oleh kuncu-kuncu ayahku seperti senja tadi. Justeru pada hemah saya, kita perlu meraih kekuatan sampingan daripada hantu-hantu muda seluruh benua. Setujukah kalian?” soalnya kepada sekalian hantu-hantu yang sedang berkobar-kobar itu.

“Setuju!” jawab anak hantu galah.

“Aku ikut!” kata anak hantu sungai pula.

“Aku juga ikut. Bahkan aku sendiri yang akan sebarkan berita ini!” sahut anak hantu bukit pula, penuh semangat.

“Kalau begitu, ayuh kita lekas. Tindak harus pantas!” bingkas Soyol memutuskan kata. Dia sudah punya rencana. Semua anak hantu yang setia bersamanya sejak insiden penahanan Fantasia dan Monica senja tadi akan dilibatkan dalam misi mendapatkan sokongan ramai pada malam itu juga. Masa kian suntuk. Lalu Soyol menjemput cucu hantu lurah, hantu yang bermukim di kawasan laluan angin lintang untuk menerima tugasan pertama. Cucu hantu lurah akan dipertanggungjawabkan mencetuskan angin supaya semua mereka dapat bergerak lebih pantas. Dengan kepakaran nenek moyang turun temurunnya, cucu hantu lurah tentu sekali tidak punya masalah. Mereka pasti akan segera tiba di mana-mana pelosok benua jika angin bertiup kencang.

Seterusnya, anak hantu bukit. Dia akan diberikan tugas untuk menggemakan jerit pekik para hantu dari jenis serigala jadian. Tujuannya untuk memanggil sekalian anak hantu serigala jadian yang rajin berkeliaran pada malam hari di sekitar bukit di seluruh benua. Jika timbul masalah dengan kawanan pontianak liar, maka anak-anak pontianak yang setia bersamanya akan ditugaskan berunding dengan mereka. Setelah semua arahan diperjelaskan, maka Soyol pun membunyikan semboyan dengan meniup serpihan seruling Fantasia yang sudah patah. Bunyi yang terhasil itu telah merintihkan hati mereka, sayu tak terkata lalu mengobarkan lagi semangat untuk gegas menyelamatkan Si Peniup Seruling dan Penggesek Biola itu. Dialah idola, penghibur dunia anak-anak hantu generasi baharu.

Maka bertempiaranlah sekalian hantu mengikut arah masing-masing. Ada yang terbang tinggi menjulang lalu hilang di balik awan. Mereka itu dari suku sakat jin ufuk. Ada yang melata di tanah benua menggelongsor bak ular tedung selar. Mereka itu pula dari kaum Ratu Ular yang hidup di pinggir tebing dan gigi sungai. Ada yang melompat-lompat menyelinap di balik tualang dan mahang hutan. Dan mereka itu pula gerombalan hantu bukit. Semuanya bersatu untuk berseteru dengan kuncu-kuncu ayah Soyol, dan yang utama tentunya, Si Pontianak Syuk, Ketua Kerajaan yang kini menjadi zalim tak semena-mena.

Menjelang azan Isyak, sekalian anak hantu sudah berjaya mengumpul kekuatan tambahan dengan jumlah yang tak terfikirkan, ramainya, banyaknya, pasti akan meluluhkan bengis kuncu-kuncu Koyol dan sekalian bala tentera kerajaan. Mereka menuju ke lembah di hujung benua. Di sana, Soyol akan mengetuai gerakan menuntut pembebasan Fantasia dan Monica. Lalu slogan digagaskan, Bersihkan Pemerintah Zalim! Masing-masing bergelora dan tidak tertahan-tahan lagi nafsu untuk menggempur Istana Keadilan pada malam itu juga.

Ketika Soyol sedang bersyarah meniupkan api amarah dalam jiwa setiap anak hantu yang hadir, tiba-tiba muncul Jembalang Suir dari balik kabus lalu berdiri di sebelah Soyol di atas batu yang menjadi panggung itu. Hantu jembalang itu meraut tangan Soyol lalu mendorongnya mara ke hadapan selangkah dua dan menjulang tangan Soyol ke udara sambil bertempik nyaring menjogolkan taring-temaring runcingnya. Sekalian anak hantu kesit, mengundur selangkah dua sambil ada yang menekup telinga kerana tiada tertahan akan bunyi pekikan jembalang itu. Seketika kemudian suasana jadi sepi. Hantu Jembalang Suir merengus dengan wajah yang polos, merenung lautan anak hantu di hadapannya yang kian bertambah banyak.

“Apa yang kalian lakukan ini adalah keluarbiasaan paling agung pernah aku saksikan. Nescaya akan aku kenang hingga tiba waktu aku bersemadi di neraka jahanam abadi!” laungan Jembalang Suir bergema mengelilingi pelosok lembah, bergemuruh jiwa raga sekalian yang mendengar. Ia umpama api yang membakar jiwa yang sedang mahu memberontak.

“Di sini, akan kita buktikan di mana selayaknya kita diperakukan! Di sini, akan jadi saksi kebangkitan hantu terbanyak, bukan lagi hantu yang boleh dilanyak dipijak sewenang-wenangnya!” Jembalang Suir terus menyalakan api kebangkitan anak-anak hantu. Lalu sekalian mereka pun bertempik berpekik tiada tangguh-tangguh lagi.

“Tepat sepertiga malam, kala manusia tidur kenyenyakan, kita akan berarak ke Istana Keadilan!” laung Soyol pula. Masa sudah ditetapkan. Gerombolan juga sudah dipersiapkan. Semuanya kini menunggu detik untuk digerakkan.

“Aku ada berita untukmu. Berita yang bakal menaikkan lagi semangatmu,” bisik Jembalang Suir kepada Soyol tatkala mereka usai bersyarah. Dia menarik Soyol ke belakang batu dan memberikan isyarat supaya Soyol tidak berbuat bising. Dia tidak mahu ada hantu lain yang mendengar berita itu.

“Lekas. Aku kesuntukan!” gesa Soyol.

“Sebentar lagi, kala bayu laut dari barat daya menghembus, akan tiba satu gerombalan besar anak-anak hantu dari jazirah Nusantara. Mereka akan bersama kita!” bisik Jembalang Suir keras. Namun, berita itu telah mengejutkan Soyol, membongkahkan kotak-kotak kerisauan baru di hatinya. Beberapa persoalan timbul di benak fikiran, tetapi tiada satu pun yang terlepas dari kerongkongnya.

Keresahan Soyol itu seakan-akan ditancapi dengan baik oleh Jembalang Suir, lalu api nista baru dinyalakan dari sumbu ketamakan yang meruap-ruap. Sungguh-sungguh dia tidak menduga segala perancangan yang diatur oleh ketuanya, Jembalang Sundal Agung, pesuruh kepercayaan Tok Pendeta itu akan menjadi begitu sempurna, satu persatu.

“Usah kau bimbang. Mereka itu datang kerana mahu membantu nasib kalian,” beritahu Jembalang Suir lagi dalam nada penuh simpati. Dia sengaja menyembunyikan perihal pembiayaan oleh Gosh Boros, si penyangak agung dari puak hantu Lembah Nevada yang sering mendanai gerakan hantu-hantu global dalam menjayakan misi keadilan sejagat, kononnya. Padahal, semua tahu siapa penyangak itu yang sebenar. Orientasi kebajikan yang dilakukan selama ini bukanlah untuk membantu tetapi untuk mencekik setiap pemerintah supaya tunduk kepada kemahuan agungnya iaitu menjadi Kepala Tangga Tiga Belas dalam pemilihan akan datang.

Untuk makluman, Tangga Tiga Belas ialah perkongsian seluruh benua yang dihuni oleh masyarakat hantu global. Terdapat tiga belas benua kesemuanya. Setiap benua akan dipimpin oleh seorang Ketua Kerajaan dan setiap ketua akan menduduki kerusi yang diwakili anak tangga yang berbeza-beza tarafnya. Anak tangga ketiga belas adalah anak tangga khas untuk pemimpin benua yang paling berkuasa dan hanya pemimpin itu sahajalah yang layak menduduki takhta sebagai Kepala. Namun, untuk menguasai takhta itu bukan mudah. Sesiapa yang berhajat harus memiliki kekayaan yang tiada berbatas, murah hati menabur dana dan bijak pula menyusun rencana politiknya. Ia harus memiliki daya kepimpinan global, cerna akan segala permasalahan dunia hantu seluruhnya. Dan untuk era ini, hanya Gosh Boros sahajalah yang memiliki segala kualiti itu.

Pun begitu, usahanya kelihatan terbantut selagi Pontianak Syuk terus mengetuai benua Himalayola. Hanya benua itu sahaja yang masih belum dapat dikuasai sepenuhnya. Ketua puak pontianak itu terlalu teguh semangat kebangsaannya. Bahkan, popularitinya jarang sekali tergugah oleh sebarang krisis baik dari dalam mahupun dari luar. Sudah banyak rencana diatur dengan kerjasama Tok Pendeta dan Jembalang Sundal Agung tetapi Pontianak Syuk terus kukuh di persada takhta benuanya. Terbaharu, Krisis Darah yang sengaja dicetuskan tetapi dengan mudah sahaja dipatahkan oleh Kabinet Kerajaan Himalayola pimpinan Pontianak Syuk. Paling menyakitkan hatinya ialah detik di mana Pontianak Syuk dengan tenang dan penuh meyakinkan menolak pelawaan Bank Darah Global untuk menyalurkan bantuan darah-darah segar dari jazirah Eropah ke benuanya. Proksinya, si hantu pocong Albotonti, bahkan dihumban ke penjara setelah rencana jahatnya dapat dihidu. Malah, sejak itu langsung tiada berita akan hal si Albotonti itu, hilang lenyap bersama segala rencana dan muslihat.

 Hanya akhir-akhir ini sahaja kelihatan sudah ada keasyikan baru dalam kalangan generasi muda hantu-hantu di benua itu, keasyikan yang sungguh-sungguh terhadap tiupan seruling dan gesekan biola Fantasia dan kelunakan nyanyian Monica. Keasyikan itu mengalih sebahagian besar tumpuan mereka terhadap tugas-tugas hakiki sebagai hantu menyebabkan lahirnya keluh-kesah dan bimbang resah dalam kalangan hantu-hantu dewasa. Tambah mendukacitakan apabila reaksi Pontianak Syuk sendiri yang seolah-olah turut terasyik dengan fenomena bersifat global itu, tiada langsung usaha menghalangnya. Justeru maka itulah, rencana terbaharu itu diatur. Dengan campur tangan gerombolan hantu remaja dan belia dari Nusantara yang telah diupah, nescaya haru-birulah Himalayola. Pontianak Syuk akan dicabar, didesak dan akhirnya digantikan oleh boneka baru. Revolusi! Ia adalah jalan pintas meraih mimpinya.

“Sebelum gerombolan itu tiba, ingin aku tegaskan, kami tidak mahu memberontak. Ini cuma himpunan aman. Sejajar dengan peruntukan undang-undang, kami hanya mempraktikannya sahaja,” beritahu Soyol selepas dia mengesan api keghairahan aneh dari anak mata Jembalang Suir itu. Dia tidak mahu dikenang sejarah sebagai penderhaka negara. Dia cuma percaya pada keadilan dan hak-hak untuk menikmatinya yang sama rata dalam kalangan setiap hantu di Himalayola. Benua itu tak perlukan sesiapa untuk diberantakkan. Jika anak-anak hantu Nusantara tiba untuk mengacau-bilaukan keharmonian tanah airnya, mereka dipersilakan pulang dengan 
angin bayu yang sama, segera itu juga.

“Soyol yang bijaksana, apa kau bimbang ditangkap sama oleh pemerintah?” soal Jembalang Suir sambil tersenyum sinis. Dia lenyap seketika sebelum timbul di belakang Soyol. Dia meraut tengkuk Soyol, membelainya halus dan lembut lalu berbisik sesuatu. “Kau ada peluang jadi pemerintah juga!”

“Bagaimana?” bisikan itu seakan terus menusuk kalbu Soyol. Dia terkesan oleh tikaman halus tersebut lalu tanpa segan silu mengusulkan pertanyaan itu.

“Ini!” gegas sekali Jembalang Suir menjawab sambil mendepakan tangannya ke hadapan. Lautan anak hantu yang kian bertambah di hadapan itu seolah-olah menjadi api yang sedang melahar-laharkan kebangkitan semangat baharu. “Mereka akan menjadi pengikutmu. Percayalah!” bisik Jembalang Suir lagi.

Soyol berdebar-debar. Rencananya tidak disangka-sangka akan menjadi begitu hebat dalam sekejap sahaja. Dia resah, lagi-lagi bila memikirkan betapa dia keseorangan mengepalai himpunan itu. Walaupun berkali-kali dia berpesan bahawa tiada pemberontakan yang ingin dilancarkan, tetapi tiada siapa dapat menjamin keamanan dalam perhimpunan itu mampu dikawal sepenuhnya.  Dia mengakui bahawa setiap anak hantu di hadapannya itu mempunyai kemahuan dan emosi yang berbeza-beza, justeru tidak mudah baginya untuk memimpin mereka dengan sempurna. Namun, tiada langkah mengundur akan diambil. Hanya kemaraan yang akan diteruskan.

“Mereka cuma mahu menuntut pembebasan Fantasia dan Monica. Tiada kurang lebihnya, hanya itu,” kata Soyol perlahan. Dia cuba meyakinkan Jembalang Suir akan niat sebenarnya.

“Anak muda, bukalah matamu. Lihatlah dengan pandangan yang lebih besar. Ini peluang terbaik untuk kalian merobah sejarah. Fantasia dan Monica hanya satu subjek. Mereka juga seperti kalian. Tetapi yang membezakan kalian dengan mereka ialah kesungguhan kalian ini. Tidakkah kau berfikir, untuk apakah hantu-hantu yang sebegini banyak bersusah-payah datang ke sini untuk berhimpun bersamamu? Adakah semata-mata untuk membebaskan dua ekor hantu itu sahaja? Tidak, aku yakin tidak. Mereka sukarela datang kerana ada desakan sosial untuk merubah kerajaan hari ini. Himpunan ini hanya simbolik yang tanpa kau sedari, bakal meletakkan Himalayola dalam sejarah peradaban dan kebebasan bersuara para hantu. Mereka datang kerana mereka sudah jijik melihat pemerintahan hari ini yang terus-terusan membina kekayaan dan kemewahan berbanding memajukan bangsa hantu,” kata Jembalang Suir penuh muslihat.

“Aku tidak mampu merobah sejarah itu. Bukan aku yang layak mengubah geopolitik negara ini. Aku ini bangsa toyol. Lemah dan paling kecil, terpinggir...” balas Soyol pula. Dia belum yakin. Adapun itu juga bukanlah hajat di hatinya. Fantasia. Hanya itu yang didambakan.

“Itu bukan isunya anak muda. Kepimpinan dibentuk oleh pengaruh, bukan keupayaan!” Jembalang Suir segera meningkah. Racun dokmanya terus ditanam.

“Kita bebaskan Fantasia dan Monica dahulu. Kemudian, kita lihat apa reaksi terbanyak. Sekarang izinkan aku mengumumkan kepada teman-temanku akan kedatangan bantuan dari Nusantara. Aku tidak pasti apakah reaksi mereka, tetapi aku harap mereka dapat menerima,” pinta Soyol sambil berlalu pergi. Dia mendaki batu besar yang menjadi panggung itu. Jembalang Suir hanya mengangguk-angguk sambil tersenyum puas.

“Teman-teman sekalian, saya kira masanya semakin hampir. Bangkitlah..bangkitlah kalian. Bersama saya, kita gerakkan suara keamanan dan kebebasan. Kita tangkis tohmah jahat pemerintah,” Soyol mula bersyarah. Anak-anak hantu kembali ke hadapan panggung. Yang jauh mendekat, yang dekat merapat. Kesepaduan baru itu adalah suatu keluarbiasaan. Ada getar dan gemuruh di hati Soyol, tetapi sungguh-sungguh ia cuba menyahkannya sejauh yang terdaya. Dia terus bersyarah.

“Sekali lagi, ingin saya seru dan tegaskan. Kita tidak memberontak. Kita tidak mengkhianati negara tercinta. Kita bukan pengkhianat. Kita bahkan mencintai keamanan yang terbina sejak sekian lama Tetapi kita bersatu untuk menuntut keadilan. Biar malam ini menjadi medan untuk kita menghantar isyarat kepada pemerintah supaya tidak bertindak sesuka rasa. Anak muda bukan bahan belasahan. Anak muda bukan mainan sepak terajang. Anak muda tidak layak ditunjal kepalanya. Anak muda adalah kesatria negara, benteng keutuhan sebenar benua ini! Sebentar lagi teman-temanku, kita akan bersatu dengan kekuatan baru. Bantuan dari Nusantara, sahabat-sahabat kita, akan bersatu atas dasar simpati dan kekitaan baharu. Hantu-hantu muda tidak lagi suka akan perpecahan dan adu domba yang sekian lama membarahi masyarakat kita. Saya mohon teman-teman sekalian agar dapat menerima kehadiran mereka. Ayuh kita bersatu! Demi Fantasia dan Monica yang kita kasihi. Demi masa depan generasi muda sejagat. Demi kebebasan sebenar! Demi Himalayola tercinta!”

Sebaik sahaja Soyol menghabiskan syarahan ringkasnya itu, seluruh anak hantu yang membanjiri lembah pun bertempik berpekiklah penuh ghairah. Gelora yang tercetus telah menenggelamkan bingit ombak yang membadai tebing. Seketika kemudian, langit berubah wajah. Hitam kelam. Bayu laut menjadi ganas dan menderu-deru bagai ribut siklon menghentam pantai. Tahulah mereka angin itu memuat sejumlah besar hantu-hantu dari arah Nusantara. Bantuan yang dikhabarkan telah tiba. Maha dahsyat, tiada tergambarkan oleh kata-kata. Segala bunyi jerit pekik hilai tawa bersilih ganti memenuhi segenap ruang benua. Maha dahsyat, tiada terhitungkan dengan angka akan banyaknya mereka, bergentayangan di udara, terapung-apung sambil menyeringai tanda mesra sesama hantu, jin dan iblis.

Gerombolan itu telah diketuai oleh Sang Kuriman, anak penanggal lagenda Sang Balan-Balan dari puncak Merapi. Dia mendatangi Soyol lalu menyembahkannya sebalang darah yang harum. Soyol mengambil balang itu dan membuka penutupnya lalu menghirup darah tersebut dengan rakus. Dia kemudiannya menyemburkan darah itu ke udara sebagai tanda terima kasih. Maka, gegak gempitalah sekalian hantu yang ada, tiada tertahan-tahan lagi untuk  bergabung tenaga. Umpama pesta adanya. Jembalang Suir yang memerhatikan peristiwa bersejarah itu dari jauh tersenyum bangga. Dia lalu terbang dan hilang lenyap. Adu dombanya begitu sempurna. Tentu Jembalang Sundal Agung akan menganugerahinya dengan gelaran Jaksa Budi, pingat agung yang paling dicemburui oleh sekalian jembalang suruhannya.